"..kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti?" [Al-An'am:32]
Tuesday, 22 November 2011
Mari "Utamakan Yang Utama"
Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk ke program Nadwah "Utamakan yang Utama" anjuran IKRAM Johor Bahru Tengah. Tiga orang panel telah mengupas megupas buku yang dikarang oleh seorang ulama kontemporari iaitu Syeikh Dr Yusuf Al Qardawi. Banyak pengisian yang telah diperolehi dan mudah-mudahan ianya dapat membantu untuk membuat pilihan yang terbaik dalam usaha mencari redha Allah.
Fiqh Aulawiyat (keutamaan) boleh juga dikaitkan juga dengan Fiqh Muwazanah (pertimbangan). Dalam kehidupan, boleh dikatakan setiap saat atau minit kita berhadapan dengan masalah untuk membuat keputusan. Hatta, untuk nak makan pun, kita terpaksa berhadapan dengan membuat keputusan seperti nak makan ape dan sebagainya. Justeru, fiqh aulawiyat ini menjelaskan konsep bagaimana kita sebagai seorang muslim membuat keputusan dalam merancang tindakan yang perlu didahulukan. Formula yang ditekankan ialah memikirkan input (tindakan) dan output (hasil) yang bakal dilakukan. Kedua-duanya mestilah seimbang agar dapat memberi maslahah yang lebih banyak kepada ramai orang atau dapat mengurangkan mudarat kepada lebih ramai orang. Antara perkara yang harus dipertimbangkan dalam menentukan keutamaan:
1. Nilai terlebih dahulu perkara yang wajib sebelum perkara yang sunat
2. Utamakan perkara pokok dan bukan fokuskan kepada perkara furu'
3. Utamakan tarbiyah dalam diri sebelum kepada masyarakat supaya tidak menimbulkan fitnah
kepada agama.
4. Mengutamakan ilmu yang dapat melahirkan amal
5. mengutamakan kualiti dari kuantiti
6. Mengutamakan kesihatan agar dapat berdakwah.
Sifirnya mudah sahaja bukan? Tetapi, nak menyeimbangkan kedua-dua input dan output ini bukan satu perkara yang mudah kerana ia dipengaruhi pula oleh keadaan atau persekitaran. Agar tidak terbabas dari landasan, NIAT memainkan peranan penting. Niat merupakan pemandu arah kepada seseorang untuk memperolehi apa yang dihajatkan. Bermula dari niat yang ikhlas, kita boleh tentukan mana prioriti utama yang perlu didahulu berdasarkan kepada maslahah yang lebih luas. Di samping itu, pengorbanan juga adalah penting. Pengorbanan ini merangkumi pengorbanan perasaan, masa dan tenaga. Adakalanya, keutamaan itu bukan keinginan hati kita, tetapi demi untuk dakwah kita perlu berkorban perasaan agar dapat memberi manafaat pada orang lain. Pengurusan diri dan masa juga adalah sangat penting untuk memastikan kita dapat melaksanakan prioriti utama dalam hidup kita sebagai muslim.
Hassan Al Bana ada menyebut:
"Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita,
oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya"
-Hassan Al-Banna
“Peredaran masa sesuatu yang aneh, tetapi lebih aneh orang yang membiarkan sahaja ianya berlalu.” -Imam Syafie
Kesimpulannya, keutamaan yang perlu diutamakan ialah melaksanakan dakwah dalam diri, keluarga dan masyarakat. Firman Allah dalam Surah At Taubah ayat 71 yang bermaksud:
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Wallahu'alam.
Monday, 13 July 2009
Pengajaran tentang solat
Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).
Sabda Baginda SAW lagi:
"Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).
Firman Allah SWT yang maksud-Nya:
(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)
Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)
Solat adalah sebuah madrasah yang mendidik jiwa kita. Solat mendidik jiwa kita untuk melakukan kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya. Sebagai mukmin, solat merupakan teknik mengurus stres yang paling berkesan dalam hidupnya.
Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.
Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.
Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: "Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain".
Justeru, marilah sama-sama menjaga solat kita. Solat bukanlah semata-mata satu kebiasaan tetapi ianya merupakan penghubung jiwa kita dengan Allah SWT. Lakukan dengan penuh keimanan, ketaqwaan, dan keikhlasan untuk memperolehi nikmat disebalik solat tersebut.
Tuesday, 7 July 2009
Letih dalam beribadah
Dalam kita melaksanakan ibadah pada Allah memang persoalan keletihan seringkali timbul. Dalam kita berpuasa sama ada sunat atau fardhu..kita terkadang mengeluh Ya Allah letihnya..laparnya..dahaganya...semua simptom-simptom keletihan ini datang secara tersusun.
Begitu juga dalam ibadah solat. Ibadah solat juga memerlukan stamina yang kuat dari kita. Terutama solat subuh...terkadang amat berat nak angkat selimut untuk bangun solat.
Dalam kontek sedekah pun kita rasa letih juga. Kerana wang yang nak disedekah itu juga hasil dari titik peluh kita. Tanpa titik peluh tersebut..mana nak dapat wang untuk kita sedekah.
Berjihad dengan harta, diri, masa, tenaga, buah fikiran untuk meninggikan Islam. Letih juga! Berlawan dengan nafsu diri pun amat letih. Misalnya, nak didik jiwa kita agar tidak cintakan harta memerlukan kekuatan jiwa kita. Kadang-kadang jiwa kita bergolak, sanggup tak nak infaqkan harta dan diri untuk perjuangan?
Begitu juga masa, tenaga dan buah fikiran...kadang-kadang kita letih apabila buah fikiran diperlekehkan. Begitu juga dalam pembelajaran kita, amat letih untuk memastikan masa yang diperuntukkan itu digunakan sebaiknya. Menuntut ilmu pun letih juga...
Begitu juga nak menegakkan syariat Islam dalam diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita. Letih juga untuk mengawal diri agar tidak tersasar dari matlamat Islam.
Pendeknya, nak beribadah pada Allah memang lah letih. Tetapi dari keletihan itu ada nilainya kiranya kita lakukan bersungguh-sungguh kerana Allah dan dilakukan dengan penuh keikhlasan.
Firman Allah yang bermaksud:
"Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yg benar (pada tutur kata dan perbuatan) mendapat menafa'at dari kebenaran mereka;........."
AL-MAIDAH: 119.
Wednesday, 1 April 2009
Praktikkanlah ajaran Islam secara keseluruhannya
Ayat yang saya paprkan diatas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengarahkan umat Islam agar masuk yang bererti menerima Islam secara keseluruhannya tanpa berbelah bagi. Seperti juga dalam doa iftitah yang sering kita baca dalam setiap solat, 'sesungguhnya solatku, segala ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan sekelian alam ini'. Begitulah juga dengan doa yang dibaca melalui surah al-Fatihah, 17 kali sehari semalam, iaitu 'tunjuklah kami jalan yang lurus'.
Masuk atau menerima Islam secara keseluruhannya seperti dalam ayat di atas, boleh disimpulkan seperti di bawah ini :
1- Menerima Islam sebagai cara hidup. Yakni, segala suruhan dan larangan yang anjurkan oleh agama kita tunaikan. Sebagai muslim, kita terjemahkan keindahan Islam itu dalam diri kita dan bukanlah sekadar atas nama sebagai beragama Islam.
2- Menerima Islam sebagai penyelesai kepada semua masalah. Apa-apa pun masalah yang melanda kita biarlah kita kembali kepada ajaran agama.
3- Menyedari bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah. Keyakinan ini akan menyebabkan kita tidak goyah akidah walau pun kita berada dalam keadaan kesempitan dan sebagainya. Hatta, walaupun kita dipulaukan oleh masyarakat kita tetapi kita tetap berpegang teguh pada agama Allah dan bukanlah ianya dipertaruhkan dengan sebegitu murah nilainya. Contohnya, apabila sesorang itu tertekan atas kemiskinan atau dipulau oleh rakan-rakan, lalu kita ugut bahawa kita akan keluar dari agama Islam. Perbuatan seperti ini menunjukkan betapa lemahnya iman kita kepada Allah SWT. Justeru, kembalilah kepada firman Allah dalam surah al Baqarah yang dijelaskan di atas.
4- Menyedari bahawa apabila tidak beramal dengan Islam secara serius, akan ditimpakan musibah oleh Allah SWT.
5- Memahami dengan sebaik-baiknya, bahawa apabila tidak beramal dengan Islam, bererti tidak percaya kepada kemuliaan Allah selaku Pencipta, apabila tidak percaya kepada Allah, bermakna menempah tempat dalam neraka.
6- Bersedia untuk menjadikan Islam sebagai pegangan dari sudut pakaian, cara berfikir, pergaulan, kerjaya dengan melaksanakan segala tanggungjawab sebagai Muslim dan Muslimah sejati di sisi Allah. Yakni, apabila kita berpegang teguh dengan Islam, bagi muslimah hendaklah ia menutup auratnya seperti pemakaian tudung dan pakaian yang tidak menjolok mata. Seperti yang ditekanlah dalam al Quran: Surah An Nur:30-31. Yang mana menyeru wanita Islam menutup auratnya. Sebagai muslimah, janganlah fobia untuk memakai tudung kerana ia akan menampak anda lagi anggun dan mulia di sisi Allah sekiranya hati kita benar-benar berpegang teguh dengan agama Allah. Begitu juga dengan pergaulan harian kita. Jagalah suara kita agar tidak menjadi fitnah. Begitu juga pergaulan yang menggunakan internet sebagai 'mediator'. Contohnya, pergaulan dalam facebook yang dewasa ini menjadi alat komunikasi yang popular dikalangan orang muda dan orang tua. Tanpa disedari komunikasi melalui facebook menyebabkan ramai yang tanpa segan silu meletakkan gambar yang kurang sopan atau tidak menutup aurat. Ada juga yang begitu ghairah meletakkan gambar yang tidak memakai tudung walaupun networkingnya terdiri dari lelaki dan perempuan. Pergaulan juga semakin tidak terkawal antara lelaki dan perempuan. Fenomena ini agak kurang sihat kerana kelalaian seseorang untuk menjaga peribadi sebagai seorang muslim. Facebook bukanlah masalahnya tetapi sebagai seorang muslim hendaklah kita berpandukan agama sebagai batasan dalam komunikasi kita.
7- Memperuntukkan masa untuk belajar Islam serta berkorban segala keringat, masa, tenaga, pemikiran dan kesanggupan. Dalam hal ini, walaupun kita bukan secara langsung belajar dalam aliran agama tetapi kita kena berusaha untuk pertingkatkan ilmu agama misalnya banyakkan pembacaan, berbincang dengan orang yang alim. Di samping itu, menghadiri kuliah-kuliah agama di surau-surau atau masjid.
8- Berjanji kepada Allah untuk memelihara agama-Nya. Yakni, kita berusaha menjaga kesucian agama Allah daripada perkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Lantaran dewasa ini terdapat kecenderungan golongan-golongan liberal yang cuba mengelirukan masyarakat Islam terhadap ajaran Islam yang sebenar dengan hujah-hujah akal mereka. Misalnya, golongan liberal ini cuba menyamakan Islam dengan agama-agama lain. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk berdepan dengan isu ini dan menjelaskan kesucian agama kita agar tidak dicemari.
9- Berjanji untuk memelihara jiwa daripada sebarang naluri dan kecenderungan yang menyalahi syariat. Yakni, membersihkan hati kita agar sentiasa melakukan tindakan selaras dengan syariat yang dianjurkan oleh agam kita.
10- Berjanji untuk memelihara harta daripada terjebak menyokong musuh-musuh Allah yang akhirnya membunuh saudara-saudara seagama. Misalnya, membeli rokok atau barangan keluaran syarikat orang-orang Yahudi. walaupun usaha ini nampak kecil tetapi kalau kita niatkan untuk memelihara harta demi agama, insyaAllah ianya dilihat sebagai amalan mulia dalam agama kita. Begitu juga dengan wang simpanan di bank. Sebagai muslim, kita hendaklah berusaha daripada terlibat dengan amalan riba yang diharamkan dalam agama Islam.
11- Berjanji memelihara keturunan serta kehormatan sebagai orang Islam dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan imej serta peribadi sebagai seorang Muslim yang sungguh-sungguh untuk mendaulatkan Islam.
12- Berjanji untuk memelihara memelihara akal daripada berfikir yang boleh merosakkan kesucian agama Islam dan berfikir cara bagaimana boleh memajukannya.
13- Menterjemahkan lima slogan yang pernah difahami oleh generasi ulama awalan sebagai cara hidup sempurna, iaitu Allah matlamat kita, Rasul itu pemimpin dan contoh teladan kita, al-Quran itu perlembagaan kita, jihad itu adalah cara hidup kita dan mati pada jalan Allah adalah cita-cita kita yang tinggi lagi murni di sisi Allah.
Moga tazkirah ringkas ini memberi peringatan pada diri kita agar sentiasa berpegang teguh dengan agama Allah walau apa jua yang menimpa kita. Janganlah kita dengan mudah memperjudikan agama hanya kerana kita menghadapi musibah di dunia yang fana ini. Anggaplah apa yang berlaku itu sebagai satu ujian untuk memantapkan iman. Contohilah ketabahan dan keteguhan iman Bilal bin rabah dalam mempertahankan agama ini..
Wallahu'alam.
Friday, 13 February 2009
Wasiat As syahid Hasan Al Bana
Kebiasaannya sebelum saya mulakan kerja saya pada setiap pagi, saya akan 'warm up' terlebih dahulu dengan membaca isu-isu semasa untuk peringatan pada diri sendiri. Entah hari ni, saya tiba-tiba teringat akan 10 wasiat dari seorang mujahid Islam yang mempunyai bidang ilmu yang luas iaitu As Syahid Hasan Al Bana. Semasa saya mengaji di UKM dahulu saya dan sahabat-sahabat seusrah pernah mengupas bersama wasiat-wasiat As Syahid. Malah, buku-buku as syahid banyak mempengaruhi pemikiran saya untuk melibatkan diri dalam gerakan Islam. Pada penulisan kali ini, saya hanya sertakan 10 wasiat tersebut, insyaAllah saya akan cuba paparkan biodata As Syahid Hasan Al Bana pada penulisan akan datang.Wasiat tersebut banyak memberi peringatan berguna kepada kita untuk diteladani dalam kehidupan kita.
10 wasiat tersebut saya sertakan seperti dibawah sebagai renungan dan peringatan bersama.
1)Wahai saudaraku, segeralah tunaikan solat di awal waktu. Dikala mendengar azan usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan Di situ ada sumber pertolongan Di situ ada sumber taufiq. Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran dimulakan dengan menyebut solat di awalnya.
2)Wahai saudaraku, Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya Selalulah berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit Kurangilah dengan masa yang tidak bertujuan Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu Sumber hidayah kepada anda dan saya Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir. Jadilah hamba yang sejahtera.
3)Wahai saudaraku, Dorongkanlah diri untuk menguasai Bahasa al-Quran Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda telah lama bermula Iaitu sejak anda solat setiap hari. Antara mala petaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya.
4)Wahai saudaraku, Usahlah bertarung idea tanpa adabnya! Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran Kerana di sana ada unsur lain membisikkan iaitu Syaitan namanya!
5)Wahai saudaraku, Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa. Rasulullah s. a. w adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya. Plato juga berharap agar pementasan hiburan yang tidak bermutu terlalu banyak ketawa bodoh hanyalah disaksikan oleh golongan abdi dan orang upahan asing. Begitu juga Aristotle berpendapat supaya golongan belia ditegah daripada menyaksikan hiburan-hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, supaya tidak menular keburukan dalam diri. Saudara, kalau kita perhati di kaca TV kita terlalu banyak hiburan lawak ketawa yang boleh merosakkan jiwa kita apabila terlalu banyak ketawa, maka marilah kita sama-sama hindari.
6)Wahai saudaraku, seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair : Berikan kerehatan pada jiwamu Yang sibuk dengan berfikir Ubati dengan bergurau Tapi, Kalau mengubatinya dengan bergurau Mestilah dalam batas Seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.
7)Wahai saudaraku, Kawallah nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakit hati orang lain pula. Luqman El-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya.
8)Wahai saudaraku, Usahlah umpat mengumpat. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Hindarilah... mengumpat! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama. Dosa orang yang mengumpat adalah seperti memakan daging saudaranya yang telah mati. Bertaubatlah jika anda mengumpat dan minta ampun terhadap orang umpatanmu. Boleh mengumpat... apabila ada tujuan syarie seperti untuk menuntut keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran, kerana memberi amaran kepada Muslim tentang kejahatan, dan kerana mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.
9)Wahai saudaraku, Luaskanlah interaksimu dengan umat manusia Sekalipun mereka tidak diminta berbuat demikian. Hulurkan perkenalan, kemesraan dan persahabatn sesama insan.
10)Wahai saudaraku, Maksimumkanlah faedah waktu anda dan Tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Disiplinkan diri anda dengan masa. Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda. Bersegeralah, kerana... Sabda Nabi s. a. w bermaksud : "Bertindak segeralah melakukan amal...". Sayanglah masa saudaramu juga. Hormatilah waktu mereka dan usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.
Thursday, 29 January 2009
Simpati vs Empati
Justeru, kalau kita lihat dua istilah tersebut iaitu simpati dan empati seakan-akan serupa tetapi maknanya berlainan. Sesorang yang mempunyai empati terhadap orang lain lebih menghargai diri sendiri dan orang lain dalam hidupnya. Misalnya, apabila ada musibah di kalangan kawan-kawan atau saudara seIslam, hati kita turut mengalami kesakitan musibah tersebut lantaran jiwa kita penuh dengan nilai empati. Daripada empati tersebut maka akan lahirnya ukhuwwah kita dengan orang lain. Apabila terbinanya ukhuwwah maka utuhlah perpaduan dan kasih sayang dalam sesebuah masyarakat. Tidak timbul lagi caci-mencaci, mengumpat dan mengata terhadap kelemahan seseorang. Rasulullah SAW pernah bersabda: 'kasihilah saudara mu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri'. Ini menegaskan kepada kita bahawa Islam menegaskan betapa pentingnya sikap empati ini dalam membina persaudaraan Islam.
Oleh itu, mari kita renungkan dalam diri kita sejauhmanakah nilai empati ini adalah dalam diri kita? Adakah hati kita terasa sedih apabila ada sahabat-sahabat kita yang mengalami musibah dan sebagainya? Begitu juga bagaimana perasaan kita sebagai muslim apabila saudara-saudara kita di Palestin dizalimi dan dibunuh dengan kejam oleh rejim Zionis? Adakah kita hanya tunjuk simpati atau empati? Tepuklah dada, tanyalah iman kita...
Saturday, 3 January 2009
Istanbul kota yang dijanji dalam hadis
Oleh Ibrahim Abdullah (Utusan Malaysia)KEMASYHURAN kota Istanbul menjadikan ia salah sebuah destinasi pelancongan yang mesti dilawati. – Gambar hiasan
ISTANBUL kota yang pernah dijanjikan oleh Nabi Muhammad SAW yang dahulunya bernama Konstantinopel. Di Istanbul, Turki baru-baru ini telah diadakan pertemuan antarabangsa mengenai al-Aqsa dan bumi Palestin.
Tidak kurang 50,000 orang dari segenap penjuru dunia menunjukkan simpatinya pada al-Aqsa dengan menghadiri Persidangan al-Quds di kota bersejarah Istanbul.
Dalam hadis Rasulullah SAW diriwayatkan dengan maksud: “Abdullah bin Amru bin al'As berkata bahawa ketika kami duduk di sekeliling Rasulullah SAW untuk menulis, tiba-tiba Baginda ditanya tentang kota manakah yang akan futuh (dibuka) terlebih dahulu, Konstantinopel atau Rom? Rasulullah SAW menjawab: "Kota Heraklius terlebih dahulu (maksudnya Konstantinopel).” (riwayat Imam Ahmad)
Hadis lain juga ada yang menyebutkan secara jelas tentang jatuhnya kota Konstantinopel ke tangan umat Islam yang bermaksud: "Rasulullah SAW bersabda: Kamu akan pasti membebaskan Konstantinopel, sehebat-hebat Amir (Panglima Perang) adalah Amirnya dan sekuat-kuat pasukan adalah pasukannya." (riwayat Imam Ahmad)
Setelah sekian lama berita gembira mengenai kejatuhan Konstantinopel ke tangan Islam diberitahu, namun tidak juga kunjung tiba walaupun generasi sahabat telah meninggal dunia dan diikuti generasi tabi'in.
Tetapi pada akhir pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih, kota Istanbul akhirnya jatuh juga ke tangan Islam, sebagai bukti kebenaran hadis Rasulullah SAW.
Sejak itu Istanbul akhirnya menjadi ibu kota khalifah Islamiah hingga 1924, dan menjadi benteng kekuatan umat Islam dalam menghadapi pengaruh Zionis dunia yang ingin memasuki bumi Baitulmaqdis.
Setelah selesai kongres Zionis antarabangsa yang diselenggarakan di Basel, Swiss pada 1897,seorang wartawan Yahudi Austria, Theodore Hertzl terpilih mengetuai gerakan Zionis lantang menyatakan, Palestin sebagai 'rumah' bagi kaum Yahudi yang bertebaran di seluruh dunia. Untuk tujuan itu, Hertzl menemui Sultan Abdul Hamid 11, khalifah Turki Usmaniyah, di mana pada waktu itu Palestin merupakan sebahagian daripada kekuasaan kekhalifahan Islam.
Sultan Abdul Hamid 11 menolak mentah-mentah segala daya usaha Hertzl, meskipun waktu itu kekuatan kekhalifahannya sedang terancam.
Beliau dikenali dengan penyataannya yang popular: “Meskipun kamu mencubik-cubik tubuhku menjadi serpihan-serpihan daging, tidak akan aku serahkan Palestin kepada kamu.''
Istanbul adalah kota perjuangan mempertahankan al-Aqsa daripada pengaruh Zionis. Justeru, Persidangan al-Quds dilangsungkan di Istanbul untuk mengembalikan kegemilangan al-Aqsa.
Aal-Aqsa kini menjadi rebutan dan terdapat perancangan Zionis untuk menghancurkan Masjid al-Aqsa dan dijadikan pusat peribadatan Yahudi antarabangsa. Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah di Mekah dengan perintah Allah SWT. Kini ia berada dalam kawasan jajahan Yahudi.
Jika dilihat gambar yang diedarkan sekarang, tentu ramai yang menyangka bahawa masjid itu adalah Masjid al-Aqsa. Pihak Yahudi telah mengambil kesempatan untuk mengelirukan umat Islam dengan mengedarkan gambar Dome of The Rock sebagai Masjid al-Aqsa dengan putar belit dan dakyah mereka.
Tujuan mereka ialah untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Apabila umat Islam sudah keliru dan sukar untuk membezakan Masjid al-Aqsa yang sebenarnya, maka semakin mudahlah tugas mereka untuk melaksanakan perancangan jahat tersebut.
Muhammad al-Fatih
Manakala mengenai Muhammad al-Fatih yang membuka dan membebaskan kota Istanbul, dalam bahasa Turki, Muhammad sering disebut dengan Fatih Sultan Mehmet. Beliau lahir pada 30 Mac 1432 dan wafat pada 3 Mei 1481.
Merujuk segi kesolehannya, Muhammad al-Fatih disebutkan tidak pernah meninggalkan tahajud dan solat rawatib sejak baligh hingga waktu wafatnya. Pendekatannya kepada Allah SWT diajarkan kepada tenteranya. Sehinggakan tenteranya tidak pernah meninggalkan solat fardu dan solat tahajud sejak baligh. Itulah barangkali kunci utama kejayaannya dan tenteranya dalam menaklukkan kota Istanbul sebagaimana dalam hadis di atas.
Prestasinya menakluki kota Istanbul, beliau kemudian mendapat gelaran 'Al-Fatih' yang bererti penakluk atau pembebasan. Barangkali juga jolokan gelaran itu diberikan kepadanya kerana para pelaku sejarah sebelumnya tidak pernah berhasil menakluk Istanbul walaupun ada hadis mengenai hal itu.
Manakala orang Barat menyebutnya The Conqueror (penakluk). Ada implikasinya bila menyebut penakluk, bahawa beliau seolah-olah pemimpin yang ganas dan kejam. Pada hal gelaran yang sebenarnya dalam bahasa Arab adalah 'Al-Fatih'.
Di samping itu, beliau merupakan seorang yang sangat pakar dalam peperangan dan pandai berkuda. Ada yang mengatakan bahawa sebahagian hidupnya dihabiskan di atas kudanya.
Lebih menarik, meskipun beliau mempunyai kedudukan tertinggi dalam struktur pemerintahan, namun kerana kepakarannya dalam ilmu strategi perang, hampir seluruh perjalanan jihadnya adalah di bawah pimpinannya. Bahkan beliau tetap berangkat berjihad walaupun sedang menderita penyakit.
Beliau juga ahli di bidang pentadbiran negara, baik secara fizikal atau birokrasi dan hukum. Kehebatan beliau dalam mentadbir negaranya menjadi negara yang sangat maju diakui oleh banyak ilmuan dunia. Bahkan secara serius beliau banyak melakukan pembaikan dalam hal perekonomian, pendidikan dan lain-lain.
Dari segi kepimpinan, Istanbul dalam waktu singkat sudah menjadi pusat pemerintahan yang sangat indah dan maju serta kota ekonomi yang berjaya.
Beliau juga pakar dalam bidang sains dan matematik serta menguasai enam bahasa sejak berumur 21 tahun. Seorang pemimpin yang hebat namun cukup bertawaduk dan merendahkan dirinya.
Maka tidaklah hairanlah tenteranya paling rajin bersolat fardu dan sunat.
Setelah menakluk kota Konstantinopel, namanya diubah kepada Islambul yang bererti Kota Islam, Kemudian nama itu telah diganti oleh Mustafa Kemal Ataturk menjadi Istanbul.
Sejak itu ibu kota khalifah Bani Usmaniyah beralih ke kota Istanbul dan menjadi pusat peradaban Islam dunia selama beberapa abad kemudian. Kerana kota itu dibangun dengan segala bentuk dan seni keindahannya, percampuran antara seni Eropah Timur dan Arab jelas ketara.
Gereja-gereja dan tempat ibadat bukan Muslim dibiarkan berdiri dan tidak diganggu. Sementara khalifah membangun gedung-gedung yang indah dan cantik yang dapat disaksikan hingga kini.
Kejayaannya itu menyebabkan banyak kawan dan lawan kagum dengan kepemimpinannya serta taktik strategi peperangan yang dikatakan mendahului zamannya.
Sebagai memperingati jasa Muhammad al-Fatih, Masjid al-Fatih telah dibangunkan di sebelah makamnya di Istanbul.
Monday, 29 December 2008
Doa memohon kesabaran dan mati dalam iman
Keterangan Ayat
Allah SWT menggunakan perkataan 'limpah' laksana air. Sabar berperanan seperti air yang menjadi agen pembersihan dan ketenangan. Seperti mana air membersihkan kekotoran, demikian juga sabar membersihkan dosa. (Tafsir al-Baidhawi, tafsir ayat 126, surah al-A'raf)
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tabari dalam tafsirnya, ayat ini menceritakan tentang tabahnya iman ahli sihir terhadap Allah sesudah meyakini perutusan Nabi Musa.
Walaupun mereka takut kepada Firaun yang berkuasa menzalimi mereka tetapi mereka memilih mati syahid demi mempertahankan akidah mereka.
Ahli-ahli sihir yang rancak mempamerkan tipu daya mereka pada sebelah pagi bertukar menjadi mujahid di jalan Allah SWT pada sebelah petangnya. (Jami' al-Bayan li al-Tabari, tafsir ayat 126, surah al-A'raf)
Khasiat dan Kaifiat Beramal
Oleh itu, kita wajar mencontohi iman dan keyakinan golongan mukmin seperti ini. Walaupun kita beriman, kadangkala iman boleh tergugat apabila berhadapan dengan tipu daya dunia. Maka awasilah iman dengan cara beramal dengan ayat ini supaya mampu menikmati iman 'ahli-ahli sihir' yang dipilih Allah SWT menjadi para 'syuhada.'
Monday, 17 November 2008
Masa dan kehidupan
Seorang rakan sentiasa mengeluh kepada saya "aku ni busy sangat sampai tak cukup tangan nak buat kerja..assignment lah, exam lah bla, bla, bla..". Tidak kurang juga saya sering diajukan soalan "busy ke?". Kadang-kadang saya bosan dengan ungkapan atau pertanyaan tersebut kerana ia melambangkan sikap pesimis. Namun, saya hanya tersenyum apabila rakan tersebut meluahkan segala kesibukannya. Di hati saya berkata..memanglah selagi kita bernyawa hidup kita penuh dengan pelbagai komitmen. Lalu saya katakan kepada rakan tersebut.."biasalah tu, kalau kita tak de kerja pun kita akan bosan juga". Dalam Teori Stress pun ada menyebutkan bahawa jika kita berada dalam situasi underutilized hidup kita akan tertekan terutama sekali bagi mereka yang mempunyai personaliti optimistic.
Bagaimana dengan saya sebagai pelajar PhD? Kalau dikira kesibukan itu memanglah sibuk tetapi kerana minat yang mendalam untuk sambung belajar maka kenalah bersedia menempuhi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan untuk menyiapkan PhD. Teringat pula pengalaman saya sebagai pekerja iaitu sebelum saya sambung belajar..pun sama juga terlibat dengan pelbagai komitmen..nak buat preparation nota kuliah, menelaah isu semasa yang boleh di kaitkan dengan subjek pada setiap kelas agar kelas tersebut lebih hidup dan membangunkan minda pelajar-pelajar supaya tidak statik dengan teoretikal dalam buku, meeting research RMC, IRPA dan jabatan..maknanya apa jua peranan kita masa tetap menghantui diri kita. Justeru, dalam Melayu ada pepatah yang mengatakan bahwa "masa itu umpama emas". Namun, pada saya peribahasa tersebut sudah kurang relevan kerana sudah ramai orang kaya yang mampu membeli emas bergram-gram..kalau tengok di kalangan orang Melayu pun sudah ramai yang memakai gelang sampai menghampiri aras siku hehe. maknaya emas pun sudah mampu dibeli. Tapi bagaimana dengan masa..ia tetap tidak boleh dibeli walaupun kita seorang jutawan. Oleh itu, Allah SWT mengingatkan kita dalam surah pendek dalam Al Quran yang bermasksud: "Demi masa sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman yang berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kebenaran". Kalau ayat tersebut ditadabbur dengan mata hati ia memberi kesan kepada hati nurani kita. Yakni, Allah bersumpah dengan masa bahawasanya manusia itu dalam kerugian kiranya gagal memanafaatkan masa di jalan yang benar...Jauh pula otak saya menerewang tentang masa..Ya Allah Moga memberikan kekuatan kepada hati ini untuk terus berjihad memanafaatkan masa berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah.
Berbalik kepada luahan rakan tadi..saya teringat kata-kata motivasi "when you keep saying you are busy, then you are never free.....". Kalau kita mengambil dari sudut positive kesibukan merupakan suatu kehidupan yang indah. Tetapi kita haruslah pandai mengurus masa dengan bijak. Jangan sampai masa yang menikam diri kita dan berhentilah daripada berkata "aku sentiasa busy". Jadilah seorang pengurus masa yang cemerlang..dan bersyukurlah kerana kita ada kerja yang perlu dilakukan kerana itu adalah amanah kita sebagai insan sementara di muka bumi ini. Be positive!!
Monday, 3 November 2008
Jauhi diri dari 'gosip'
Hati memberi kesan ke atas setiap tingkah laku dan tutur kata kita. Bersihnya hati kita maka bersihlah tingkah laku dan perbuatan kita. Bersihnya hati kita maka kuranglah prasangka kita terhadap orang lain. Bersihnya hati kita maka kuranglah kita bercakap tentang hal-hal orang lain. Tetapi manusia memang cenderung dan suka kepada 'gosip' dan mengata hal-hal orang. Jika perbuatan mengata tersebut untuk kebaikan tidak mengapa tetapi kalau hanya untuk mengumpat dan bersaing-saing ianya boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia. Di dalam Al Quran awal-awal telah memberi peringatan berkaitan dengan azab bagi mereka yang suka mengata dan mengumpat orang.
Bagi diri kita demi mengelakkan daripada terjebak dengan perbuatan 'gosip', kita kena faham bahawa manusia boleh memberi pelbagai penafsiran terhadap seseorang. Hakikat yang perlu kita terima ialah penafsiran setiap orang adalah berbeza. Selalulah meletakkan diri kita di tempat orang lain supaya kita menyelami keadaan orang lain dan tidak bertindak mengikut kata hati atau andaian sendiri sendiri sahaja. Kadang-kadang perbuatan 'mengata orang' datang secara tidak langsung kepada kita. Mungkin di tempat kerja atau mungkin dalam kelompok masyarakat kita. Kalau kita dengar orang mengata hal-hal orang cepat-cepatlah kita muhasabah dan keluar dari kelompok perbincangan tersebut.
Begitu juga dengan hubungan kita dengan rakan, jika kita ada masalah yang dihadapi luahkan masalah tersebut dengan cara berhikmah. Janganlah pula masalah tersebut kita hebohkan kepada orang yang bukan sepatutnya hingga menjadi 'gosip' atau bahan umpatan orang. Jika ini berlaku ianya akan menjadi barah yang sukar diubati. Sebagai contoh hubungan dengan kawan -kawan. Jika kita berasa tidak selesa dengannya atau kerap tersinggung, maka perlu diluahkan dengan berhikmah agar tidak dipendam dan lama kelamaan mengeruhkan hubungan persahabatan.
Cara meluahkan perasaan juga perlu betul. Ini supaya tidak timbul kesan buruk yang lain pula. Bercakap dengan nada yang lembut, dalam suasana yang mesra dan berbincang dari hati ke hati. Semasa perbincangan elakkan dari menyalahkan, menyerang dan terlalu mempertahankan diri. Ini akan menimbulkan ketegangan perbincangan. Adalah lebih elok kita mengakui kekurangan dan kesilapan diri. Bersikap rendah diri. Minta penjelasan dengan baik jika mahukan penjelasan. Akhiri perbincangan dengan segera memohon maaf. InsyaAllah akan jernih kekeruhan.
Friday, 17 October 2008
Harta bukan matlamat hidup
SHEIKH Sya'rawi berkata: Tajuk yang datang dalam ayat mulia ini ialah pertembungan peperangan Islam yang Allah SWT jadikannya sebagai tanda berkekalan untuk menjelaskan kepada kita bahawa peperangan, keimanan memerlukan hanya kembali kepada Allah SWT dan memutuskan dari segala adab dan tabiat antaranya syahwat dunia.
Iktibar dan fiqh ayat:
1. Ibn Kathir berkata: "Allah SWT menceritakan kepada kita berkenaan dengan perhiasan kepada manusia dan kelazatan dengan mengikut susunan ujian dan fitnah yang paling banyak."
2. Al-Samarkandi berkata: "Syaitan yang menghiaskan sebagai ujian kepada orang yang beriman dengan cara was-was. Disebut dengan wanita dahulu kerana ia sebesar-besar fitnah yang berlaku sejak zaman Adam a.s hingga ke hari ini. Antara bentuk fitnah tersebut boleh memutuskan silaturrahim dan pergaduhan.
3. Ibn Jauzi berkata: "Semua yang disebut ini menjadi niat pada hamba untuk memakainya dan menjadi buruk akibat jika niatnya tidak baik."
4. Sheikh Sya'rawi berkata: "Apabila kita mengkaji ayat ini yang disebut berkenaan dengan kepelbagaian nikmat dari itu peperangan yang memerlukan perpisahan dengan keluarga hendaklah tidak menghalang oleh nafsu syahwat. Sehingga akhirnya orang yang beriman sejati mampu bersedekah pada jalan Allah SWT dan kudanya digunakan untuk berjihad pada jalan Allah SWT bagi meninggikan kalimahnya."
5. Al-Maraghi berkata: "Kecintaan terhadap kaum wanita disebut dahulu daripada kecintaan terhadap anak-anak padahal perasaan rasa cinta terhadap wanita adakala tidak kekal, sedangkan perasaan cinta terhadap anak akan berkekalan kerana kecintaan terhadap anak tidak akan membawa sikap berlebih-lebihan sebagaimana rasa kecintaan terhadap mana-mana wanita. "Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu untuk meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. Ia mengandungi suatu hikmah yang tersendiri, sama ada pada manusia atau haiwan."
6. Hamka berkata: "Di sini terdapat tiga kata. Pertama Zuyyina, ertinya diperhiaskan. Maksudnya, segala barang yang diingini itu ada baiknya dan ada buruknya, tetapi apabila keinginan telah timbul, yang kelihatan hanya eloknya saja dan lupa akan buruk atau susahnya.
Kata kedua ialah Hubb, ertinya kesukaan atau cinta. Kata ketiga ialah Syahwat, iaitu keinginan-keinginan yang menimbulkan selera yang menarik nafsu buat empunya diri.
Maka disebutlah enam macam hal yang manusia sangat menyukainya kerana hendak mempunyai dan menguasainya sehingga yang nampak oleh manusia hanyalah keuntungannya saja.
7. Al-Sonhadji berkata: "Manusia itu telah diciptakan oleh Allah SWT mempunyai watak atau tabiat semula jadi menyukai nafsu syahwat kepada enam perkara yang disebutkan dalam ayat ini. Segala kelazatan di dunia yang diciptakan oleh Allah SWT, dibolehkan hamba-hamba-Nya menyukai untuk dikecapi dan dinikmati keinginannya dengan diberikan-Nya pula batasan halal haramnya.
Ayat ini mengingatkan kita bahawa harta dunia sebagai ujian Allah SWT kepada manusia untuk mujahadah al-nafsi dan membetulkan niat dengan menganggap harta benda sebagai alat atau wasilah dan bukan matlamat atau ghayah. Ia digunakan sebagai alat keperluan untuk mentaati dan mematuhi segala ajaran Allah SWT bagi mentahqiqkan matlamat penciptaannya untuk menjadi hamba Allah SWT yang sejati dan khalifah Allah SWT di dunia ini.
Semoga kita menjadi manusia yang selamat dari godaan hawa nafsu dan syahwat. Amin...
Wednesday, 15 October 2008
Hari Raya bukan untuk berpesta-pestaan
Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri, disambut setelah umat Islam menjalani ibadah berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan. Puasa merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Apabila selesai berpuasa, bermakna, kita menyelesaikan satu rukun.
Oleh kerana itu adalah wajar bagi mereka yang berjaya menunaikan rukun itu, berhari raya atau bergembira kerana berjaya menunai perintah Allah. Tujuan kegembiraan dipamerkan adalah untuk mensyukuri nikmat Allah selepas ibadah sempurna dilakukan.
Hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w (mafhumnya): "Ramadan pada awalnya rahmah, pertengahannya keampunan dan pada akhirnya bebas daripada api neraka."
Bagi orang yang mendapat ketiga-tiga itu, apakah dia tidak mahu menyambutnya dengan perasaan gembira sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT.
Bagi mengisi cara perayaan tersebut, syarak menggariskan beberapa panduan tertentu antaranya:
1. Diharamkan berpuasa pada hari raya - Ertinya kita harus menjamu selera. Sebaik-baiknya persediaan untuk menjamu selera itu mestilah munasabah dan tidak membebankan.
2. Berpakaian bersih, kemas dan menarik, termasuk berpakaian baru.
3. Pada pagi hari menuju ke tempat solat hari raya - sebaik-baiknya di tanah lapang jika keadaan mengizinkan kerana hendak memberi peluang kepada yang uzur, dapat bersama mengikuti khutbah raya.
4. Bertakbir dengan takbir yang disyariatkan - bermula terbenam matahari pada akhir Ramadan, masuk ke bulan Syawal sehingga selesai khutbah Aidilfitri.
5. Mendengar khutbah di samping bersembahyang hari raya.
6. Bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan silaturahim.
Dalam satu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Apabila berlaku Hari Raya Fitrah, malaikat-malaikat turun ke bumi, berbaris di jalan-jalan orang yang hendak pergi ke tempat solat, sambil menyeru mereka dengan suara yang didengari oleh semua makhluk, kecuali jin dan manusia, dengan kata-kata "wahai umat Muhammad, ayuh beramai-ramai kepada keredaan Allah, Tuhan yang Maha Mulia, Tuhan yang memberi anugerah yang amat banyak dan yang mengampun dosa-dosa yang banyak."
Apabila mereka berada di tempat solat dan menunaikan solat serta mendengar khutbah, maka Allah berfirman kepada malaikat-malaikat tadi, "Tahukah kamu apakah balasan Aku kepada semua mereka itu?" Malaikat menjawab, "Allah sahajalah yang Maha Mengetahui dan akan membalas apa sahaja amal-amal ibadah mereka." Allah menjawab lagi, "Aku bersaksikan kamu, bahawa Aku akan membalas amalan puasa mereka, sembahyang malam mereka dan solat mereka pada hari ini, dengan keredaan-Ku dan keampunan-Ku kepada dosa-dosa mereka." (Riwayat Ibnu Abbas r.a)
Dalam Kitab Durratun Nasihin, halaman 80 dibawa suatu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Pada hari raya berbanyak-banyaklah bersedekah dan lakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebajikan serta pahala, perbanyakkan memuji Allah, mengagungkan Allah dan bersungguh-sungguh mentaati-Nya kerana pada hari itu Allah akan ampunkan dosa manusiayang berpuasa dan menyambut hari raya dan dibalas dengan syurga Allah."
Kaab bin Munabbih menceritakan, pada hari raya, raja iblis amat murung dan amat dukacita, anak-anak buah dan kuncu-kuncunya berkumpul beramai-ramai dan bertanya kepada raja mereka, siapakah yang menyebabkan dia berdukacita, segeralah beritahu agar mereka bertindak menghapuskannya. Maka jawab raja iblis, "Tidak bukannya orang yang mendukacitakan aku, tetapi Allah, Allah yang memberi keampunan kepada dosa yang telah kita usahakan mereka berdosa." "Jika begitu apa kita perlu lakukan?" tanya anak-anak iblis.
Jawabnya, "Mestilah kamu bertindak memalingkan manusia daripada keredaan Allah, hanyutkan mereka dengan nafsu syahwat, biar mereka menjamu selera sehingga melanggar hukum Allah, hasutkan sehingga mereka melakukan perkara yang diharamkan, ajak mereka berhibur dengan hiburan yang melalaikan, suruh mereka minum dan makan yang ditegah oleh Allah, biar mereka dimurkai semula oleh Allah."
Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w bersabda dalam suatu hadis yang mafhumnya: "Syurga amat merindui kepada empat kategori insan untuk memasukinya. Pertama, yang membaca al-Quran. Kedua, yang menjaga lidah daripada bertutur yang tidak baik. Ketiga, yang memberi makan orang yang lapar (terutamanya untuk berbuka puasa) dan keempat, yang berpuasa sepenuhnya pada bulan Ramadan."
Sehubungan itu umat Islam semuanya hendaklah berteraskan hal-hal daripada garis panduan yang dinyatakan seperti di atas. Wallahua'lam.
Monday, 13 October 2008
Puasa Sunat Syawal
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. (Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa setahun.
Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah SWT maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah puasa sunat Syawal
Puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberi ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain itu, sebagai manusia yang menjadi hamba Allah, alangkah baik seandainya amalan puasa yang wajib pada bulan Ramadan ini kita teruskan di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari.
Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada tuhannya. Sebab itulah kata ulama: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai”.
Monday, 6 October 2008
Silaturrahim di Aidil fitri
Maka di kesempatan syawal ini digunakan sepenuhnya untuk menjemput saudara seIslam mahupun non muslim ke rumah walaupun dengan hidangan yang hanya sederhana saja. Di samping itu, menziarahi sahabat-sahabat lain. Keseronokan di Aidil fitri yang paling hakiki ialah dapat merapatkan silaturrahim sesama insan. Makanan adalah perkara kedua tetapi yang paling aula adalah ukhuwwah yang patut dibina berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah sesuai dengan prinsip hari raya aidil fitri sebagai mercu kemenangan kepada umat Islam. Moga ukhuwwah yang terbina dapat menjadikan umat Islam umat yang terbaik dan menjadi qudwah hasanah kepada masyarakat lain.
“Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia senang menjalin silaturrahim” (HR Bukhari).
Sebagaimana namanya, “silah” artinya hubungan atau menghubungkan, dan “ar-rahmi” artinya kasih sayang. Dilihat dari maknanya, tujuan yang diharapkan dari silaturrahim adalah terwujudnya kasih sayang yang diridhai Allah SWT.
Banyak keuntungan yang diperoleh dari melakukan perbuatan baik ini, yang di antaranya disebutkan dalam hadits di atas: mudah rezeki dan panjang umur. Rezeki Allah kadangkala diberikan lewat tangan-tangan atau sepatah kata dari orang lain. Sepatah kata orang yang bijak dan bermanfaat dari orang lain tidak tertutup kemungkinan menggugat dan membuka fikiran kita luas-luas, sehingga mampu melihat peluang-peluang rezeki yang dihamparkan Allah setiap hari di dunia ini. Lebih-lebih kata yang bersifat ilham, yang tidak semua orang mampu mengenalinya dan memahaminya. Oleh karena itu, silaturrahim sebaiknya dilakukan bukan hanya dengan orang-orang yang dikenali, tetapi juga yang tidak dikenali.
Selanjutnya, umur manusia yang gemar bersilaturrahim akan berkat. Kerana hidup dalam kedamaian, sebagai akibat baik dari silaturrahim, kita menjadi benar-benar mengisi dan menikmati hidup dengan sebaik-baiknya, tidak takut dalam mencari rezeki, dan boleh beribadah kepada Allah dengan semaksima mungkin.
Sebaliknya, kalau silaturrahim diputuskan, pasti timbul beberapa akibat yang sangat buruk. Antaranya hidup di bawah tekanan, ancaman dan peperangan, terasa tidak menyenangkan, kerana selalu timbul rasa was-was akan berbagai mara bahaya dari pihak lain dan kadang-kadang terpaksa berlagak hipokrit di hadapan orang lain. Nampak luaran tersenyum tetapi di dalam hati tidak ada ketenangan kerana rapuhnya ikatan silaturrahim sesama manusia. Ikatan silaturrahim yang rapuh ini akan melemahkan umat Islam sejagat. Rezeki pun terasa amat sulit untuk diperoleh, kerana antara sesama kita bukan saling memberi manfaat tetapi saling memusuhi. Waktu untuk menikmati hidup akan terasa sedikit. Akibat yang lebih buruk lagi ialah tidak ditilik Allah di Hari Kiamat (HR Ad-Dailami).
Friday, 3 October 2008
Khutbah Terpilih Aidil Fitri 1429
BERJUANG LAH !!
الله أكبر الله اكبر الله اكبر ..... الله أكبر الله اكبر الله اكبر ..... الله أكبر الله اكبر الله اكبر ..... الله اكبر كبيرا و الحمد لله كثيرا و سبحان الله بكرة و أصيلا اللهم صل و سلم على رسولنا المصطفى صلى الله عليه وسلم و على آله و أصحابه و التابعين و تابعيهم بإحسان إلى يوم الدين وقال الله تعالى في كتابه العزيز : يا يها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته و لا تموتن إلا و أنتم مسلمون
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah swt.
Hari ini adalah hari seluruh umat Islam bersatu melaungkan kebesaran Allah Azza wa Jalla . Ia juga menepati laungan kemenangan Islam Agama suci ke atas gabungan musuh yang menentang Islam . Sebuah kemenangan yang berpaksi kepada ajaran tauhid , meng Esa dan meng Agongkan Allah Jalla wa A’la .
لا إله إلا الله وحده صدق وعده و نصر عبده وأعز جنده و هزم الأحزاب وحده
لا إله إلا الله و الله أكبر
الله أكبر و لله الحمد
“ Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah Tuhan Yang Maha Esa , Tuhan Yang Telah benarlah JanjiNya , Tuhan Yang Telah Memberi Kemenangan kepada HambaNya dan Tuhan Yang telah Memberi keperkasaan kepada TenteraNya dan Tuhan Yang telah Membinasakan Tentera Ahzab dengan segala keEsaanNya .
Tiada Tuhan Yang layak disembah melainkan Allah dan Allah adalah Tuhan Yang Maha Agong……….. Allah Tuhan Yang Maha Agong dan kembali kepada Allah segala Kepujian “.
Justeru itu , marilah kita raikan kemenangan tersebut dengan 1001 keinsafan bahawa kita pada hari ini , jika bermaksud mahu mengulangi kemenangan generasi terdahulu maka mestilah kita juga memiliki standard keupayaan yang serupa .
Sesungguhnya kemenangan menjulang Agama Allah dimata dunia , pula mengatasi ideology dan agama ciptaan manusia bukanlah satu kemenangan mudah , yang dicapai dalam masa yang singkat tanpa melalui tahap pengorbanan yang tinggi dan perjuangan yang getir .
Hari ini kita menyambut dan mengulangi slogan kemenangan , bukan hanya kerana rasa seronok dan gembira dengan kemenangan tersebut tetapi apa yang lebih penting ialah ingin menyemarakkan kembali semangat juang ke arah mendaulatkan syariat Allah swt dan memartabatkan sunnah Rasulillah saw. Sekaligus mengambil iktibar bagaimana persiapan spiritual , mental dan fizikal yang dipersiapkan oleh Rasulullah saw mendepani kekuatan serangan dan propaganda musuh .
الله أكبر .... الله أكبر...... الله أكبر
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah.
Kegembiraan kita menyambut hari lebaran ini janganlah sampai kita lupa , bagaimana keadaan Islam dan umatnya yang kini menghadapi tekanan dan kepungan hebat dari pihak musuh , samada di peringkat antarabangsa mahupun diperingkat nasional . Satu keadaan yang memaksa kita sebagai seorang muslim yang mukmin , bangkit berjuang membela maruah ummah dan berjuang menjulang kalimah Allah swt.
Perlu disedari , bahawa musuh tidak pernah bersimpati terhadap Islam dan umatnya. Inilah reality yang telah didedahkan oleh Allah swt :
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوا اْليَهُوْدَ وَ اَّلذِيْنَ أَشْرَكُوْا
Demi sesungguhnya ( engkau wahai Muhammad ) akan dapati manusia yang sangat tinggi semangat permusuhannya terhadap orang – orang beriman ialah orang – orang Yahudi dan mereka yang mempersekutukan Allah swt.
Surah al Maaidah . Ayat : 82
Kita sebagai seorang muslim muttaqin yang telah dididik sebulan di Madrasah Ramadhan guna melahirkan Insan yang komited dan istiqamah dengan amal Islami tentunya tidak mempunyai pilihan yang lain , melainkan kita selayaknya menyahut seruan Rasulullah saw.[1]
وَ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ يُقَاتِلُهُمُ اْليَوْمُ رَجُلٌ فَيَقْتُلُ صَابِرًا مُحْتَسِباً
مُقْبِلاً غَيْرَ مُدْبِرٍ إِلاَّ أَدْخَلَهُ اللهُ الْجَنَّةَ .
“Demi ( Allah ) yang diri Muhammad di dalam gemgamanNya , tidaklah seseorang yang berjuang menentang mereka ( musyrikin ) hari ini lalu ia berjuang penuh kesabaran dan penghayatan serta sedia menghadapi musuh tanpa gentar ( berundur ) melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.”
Muslimin dan Muslimat sekelian .
Adalah salah , jika kita memahami Ramadhan hanyalah sebagai bulan Puasa semata – mata . Sedang Ramadhan juga adalah :
bulan Taqwa yang mendidik jiwa tunduk kepada Allah swt ,
bulan Quran yang memandu manusia mencari redho Allah swt dan
bulan Jihad yang merangsang daya juang menegakkan agama Allah swt.
الله أكبر .... الله أكبر...... الله أكبر
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah .
Kini ummat Islam dinodai . Sejarah gemilangnya dipalit arang. Prestasi cemerlangnya dipandang sinis sementara pejuang kedaulatannya pula dicurigai . Ummat Islam menjadi bangsat di atas tanahair sendiri , menjadi hina di hadapan kaum bangsa sendiri dan menjadi lemah dalam jumlah mereka yang ramai . Mereka hilang identiti dan luntur kualiti .
Bukankah kita ummat yang terbaik ?
Firman Allah swt :
كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف و تنهون عن المنكر و تؤمنون بالله
Maksudnya : Kamu adalah sebaik – baik ummah , dikeluarkan dikalangan manusia . Kamu menegakkan perkara Ma’ruf dan mencegah perkara Mungkar dan kamu beriman kepada Allah swt.
( Surah Aali Imran . Ayat 110 )
Ummat ini tetap menjadi ummat yang terbaik asal sahaja mereka masih komited dengan 3 prinsip[2] yang dinyatakan oleh Allah di dalam ayat 110 dari surah Aali Imran yang saya bacakan tadi , iaitu :
Ø Menegakkan perkara Makruf
Ø Mencegah perkara Mungkar dan
Ø Beriman kepada Allah swt.
Ummat ini adalah ummat yang terbaik justeru inilah : [3]
· Ummat yang dilahirkan oleh Allah di atas muka bumi ini sebagai khalifah , untuk menjadi tuan dan pentadbir urusan hidup , kearah sebuah kemakmuran yang abadi dan hakiki .
· Ummat yang mempunyai Kitab suci ( al Quran ) sebagai pedoman dan panduan hala tuju yang bukan sahaja menjanjikan tamaddun yang soleh tetapi juga kehidupan yang dirahmati dan diredhoi oleh Allah swt.[4]
· Ummat yang diutuskan Rasul ( nabi Muhammad saw. ) sebagai pembimbing dan penunjuk arah yang bukan sahaja menjanjikan kesejahteraan dan kejayaan hidup tetapi juga menghindarkan kemurkaan dan azab ilahi .[5]
· Ummat yang dikurniakan aqal dan nafsu untuk mengendalikan sebuah kehidupan yang normal serta dikurniakan pula agama dan syariat untuk memelihara dan mengawal pengendalian tersebut. ( bukan bertujuan menghalang dan menafikan hak sebuah kehidupan.)
الله أكبر .... الله أكبر...... الله أكبر
Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian .
Persoalannya , kenapa dan mengapa ummat ini mengalami kemerosotan yang amat parah dan sangat kritikal ? Malah kenapa ummat ini terperangkap dalam kancah yang merosakkan prinsip aqidah mereka , melunturkan nilai akhlak dan moral mereka jua mengheret mereka dalam konflik perasaan dan polemic jiwa yang tidak berkesudahan .
Realiti ini telah memaparkan satu landskap kehidupan ummat yang sangat menghiris dan memilukan perasaan kita yang masih memiliki selembar iman dan secangkir agama ini . Manakan tidak……..
Institusi keluarga porak peranda .
Ibubapa sibuk memburu kemewahan dunia sementara anak terabai tanpa didikan dan asuhan yang sempurna. Hilang kasih sayang , lekang kemesraan dan hancur adab susila . Keluarga sedemikian hanyalah melahirkan anak yang liar tanpa kawalan , isteri durhaka tanpa rasa hormat kepada suami dan ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab tanpa rasa bersalah .
Remaja tanpa jati diri .
Dunia mereka hanya dilingkari hiburan dan rakan sebaya yang tidak membantu pertumbuhan jati diri yang berwibawa dan bertaqwa . Masa depan mereka terumbang ambing laksana langkah kaki mereka yang tidak berketentuan . malah ramai yang terjebak dalam dunia maksiat yang keji dan jenayah yang jijik.
Mereka menyumbang kepada peningkatan taraf index jenayah yang menggugat rasa aman dalam Negara .[6]
Aktiviti maksiat dan Pusat hiburan bercambah .
Ianya bercambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan tanpa sebarang sekatan dan kawalan . Sebaliknya dengan rasa bangga , aktiviti dan pusat maksiat ini diperluas tanpa mengira sentiment ummat Islam .[7] Rentak muziknya menenggelamkan ketinggian suara azan dari menara rumah Allah ( masjid ) dan aksi lincah mereka mengatasi keaktifan seorang pendakwah yang tekun menyebarkan agama .
Program agama dan gerakkerja dakwah difitnah .
Aktiviti amal Islami sering berhadapan dengan fitnah dan terpaksa berhadapan pula dengan pelbagai implikasi yang tidak sedikit , khasnya dari pihak tertentu yang sering memandang perkembangan ini dengan rasa cemburu yang negative .
Fenomena ini hanya melahirkan masyarakat yang jahil dan menjadikan mereka lemas dalam arus deras mungkar dan maksiat yang sukar dikawal dan dibatasi .
Elemen inilah yang menghancurkan peradaban insaniyyah ( kemanusiaan ) dan anasir inilah pula yang menjadikan keadaan ummah mengalami dilemma dalam mencari identity dan kuality diri mereka .
Insafilah , bahawa kejatuhan ummat ini bukan kerana mereka berpegang teguh dengan ajaran agama Islam tetapi kerana hubungan mereka dengan Islam yang kian renggang , penghayatan mereka yang kian luntur , amalan mereka yang kian surut , akhlak mereka yang kian terhakis dan keimanan mereka kepada Allah serta hari akhirat kian malap .
Marilah , kita bergandingan dengan seluruh upaya dan daya yang kita miliki serta mengambil segala ruang dan peluang yang ada untuk mengembalikan semula kegemilangan dan kecemerlangan ummat ini .
Pastinya pula tiada formula dan tiada pilihan yang paling tepat melainkan kita kembali ke pangkuan agama dengan segala penghayatan dan perlaksanaannya. Komited dan istiqamah dengan setiap suruhan dan ajaran Ilahi . Hayatilah Firman Allah swt ini :
لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم . ثم رددناه أسفل سافلين . إلا الذين ءامنوا و عملوا الصالحات فلهم أجر غير ممنون .
فما يكذبك بعد بالدين . أليس الله بأحكم الحاكمين .
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk Yang sebaik-baik ciptaan ) dan lengkap sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur dan menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan Dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang Yang rendah, Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala Yang tidak putus-putus. (jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula Yang menjadikan Engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil Yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?
( Surah at Tiin : Ayat 4 – 8 )
Muslimin dan Muslimat sekelian .
Agama lah yang mengajar kita supaya membina silaturrahim agar wujud perpaduan yang merentasi kepentingan bangsa dan kaum serta agama dan budaya .
Agama lah yang mendidik kita supaya mentaati ibubapa , menghormati orang yang lebih dewasa dan menyayangi mereka yang lebih muda , agar lahir masyarakat penyayang yang saling hormat menghormati diantara satu sama lain .
Agama lah yang membimbing kita supaya menghindarkan diri dari segala maksiat , mungkar dan jenayah , semoga masyarakat bukan sahaja mendapat redho dan rahmat Ilahi tetapi juga bebas dari kerosakan dan kemusnahan serta hidup dalam keamanan dan kesejahteraan .
Agama lah yang membentuk nilai akhlak dan moral terpuji bagi meletakkan ummat Islam sebagai ummat yang bermartabat dan berdaulat jua bertamaddun dan berkeperibadian tinggi.
Agama lah yang menjana kekuatan spiritual dengan nilai pengabdian diri kepada Allah swt . Kekuatan rohani inilah pula yang mencetuskan rasa takut kepada Allah dan mampu menilai antara syurga dan neraka serta dosa dan pahala .
الله أكبر .... الله أكبر...... الله أكبر
Muslimin dan Muslimat sekelian .
Demi masa depan ummah dan tanahair tercinta ini , malah demi masa depan kita bersama , marilah kita kembali dengan sehayun tangan dan selangkah kaki ke pangkuan agama suci ini, justeru hanya inilah jalan yang lurus , jalan yang membawa kita ke pintu syurga .
و أن هذا صراطى مستقيما فاتبعوه و لا تتبعوا السبل فتفرق بكم عن سبيله
ذلكم وصكم به لعلكم تتقون
Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
( Surah al – An a’am : Ayat 153 )
بارك الله لي و لكم في القرآن العظيم و نفعني و إياكم بالآيات و الذكر الحكيم و تقبل مني و منكم تلاوته إنه هو السميع العليم .....
[1] Rujuk kisahnya di dalam Kitab al Jihaadu Fil Islam : Karangan Dr. al Imam Abdul Halim Mahmud , di bawah tajuk : دور الإيمان في المعركة . M/surat : 47 . Terbitan Darul Ma’arif Qaherah .
[2] Prinsip tersebut ialah : Menegakkan perkara ma’ruf ( syariat ) , Mencegah perkara Mungkar , Beriman kepada Allah swt.
[3] Sila rujuk Tafsir Al Munir Juzuk ke 4 . M/s 40 .
[4] Firman Allah swt .و نزلنا عليك الكتاب تبيانا لكل شئ و هدى و رحمة و بشرى للمسلمين dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran guna menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam. ( Surah an – Nahl : Ayat 89 )
[5] Firman Allah swt. و لقد بعثنا في كل أمة رسولا أن اعبدوا الله و اجتنبوا الطاغوت فمنهم من هدى الله و منهم من حقت عليه الضلالة
Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada Yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula Yang berhak ditimpa kesesatan.
( Surah an – Nahl : Ayat 36 )
[6] 156 , 455 kes jenayah berakhir tahun 2004 berbanding hanya 70 , 823 kes jenayah pada tahu 1980 . ( Laporan Harian Metro : 24 September 2005 .)
[7] Menteri Pelancungan Tengku Adnan Mansur telah mencadangkan agar Pusat hiburan di Bandar – Bandar tumpuan pelancung melanjutkan tempoh operasi hingga jam 5 am.
Monday, 29 September 2008
Ramadhan, pergi mu di tangisi!
RAMADHAN
TERLALU PANTAS RUPANYA
HADIRMU BULAN BUDIMAN
TERASA BARU SUARAMU DI LAMAN NURANI MENYAPA
KETIKA KAMI ANTARA SEDAR DAN LEKA
BELUM PANAS SIMPUHMU DI LANTAI BATIN TIBA-TIBA
KAMU SUDAH SIAP MAHU BERANGKAT
DENGAN BAGASI YANG KEMAS TERIKAT
KENAPA JADI BEGINI?
MERAJUKKAH NAMANYA INI?
RAMADHAN..MAAFKAN KAMI
ATAS KEBIADABAN KAMI
ATAS KEANGKUHAN KAMI
ATAS KEBODOHAN KAMI
ATAS KEGILAAN KAMI
YANG TIDAK MENGENALIMU
YANG SILAU KACA DUNIAWI
LALU DISANGKA PERMATA BAIDURI
HINGGA LUPA TAWARAN SORGAWI
YANG BERHAMBURAN SEMERBAK MEWANGI
NAFAHAT ILAHI
BERSAMA KUNJUNGANMU RAMADHAN..
RUPA-RUPANYA HARI INI
DUA PULUH ENAM HARI KAMU DISINI
325 JAM PUASAMU TELAH KAMI JALANI
ADUH..BENARLAH KALAM RABBI
أياما معدودات
HANYA BEBERAPA HARI
YANG BISA DIHITUNG JARI
RAMADHAN..OH RAMADHAN
RUPANYA BILA KAGET TERJADI
BILA SUDAH SEDAR BEGINI
BARU KAMI TAHU SIAPA HAKIKATMU
BERITA KEDATANGANMU
TAJAAN ILAHI RABBI
JELAS TERPERINCI
TERSURAT DAN TERSIRAT
DALAM AYAT DEMI AYAT
YANG NYATA DAN TERSEMBUNYI
DISOKONG HADIH NABAWI
DALAM PELBAGAI RIWAYAT
MANTAP MATAN DAN SANAD
MENYIMPUL SATU MAKNA
BAHAWA
KAMU SANG RAMADHAN ADALAH
BULAN SUCI
BULAN MULIA
BULAN RAHMAT
BULAN MAGHFIRAT
BULAN BARAKAT
BULAN MERDEKA DARI NERAKA
BULAN PAHALA BERGANDA
BULAN PINTU SYURGA TERBUKA
BULAN PINTU NERAKA DISITA
BULAN IBLIS DAN SYAITAN DIGARI
AGAR ARENA IBADAH BEBAS DICARI
DIMANA JUA
TAK TERIKAT DENGAN MASA
TERBUKA DAN TERSEMBUNYI
BENARLAH ENGKAU RAMADHAN
BULAN MEMBINA JATI DIRI
BULAN QURAN DINUZUL
DOA DIKABUL
BULAN PUASA DAN QIYAM
BULAN UJIAN DAN LATIHAN
MEMBINA KEMANUSIAAN
MEMBINA KETAHANAN
MEMBINA KESABARAN
MEMBINA KEBENARAN
MEMBINA KEJUJURAN
MEMBINA KEINSAFAN DIHATI
MEMBINA MANUSIAWI
SEGALA YANG NAMANYA KEPALSUAN
ATAU PENIPUAN DAN KEBATILAN
TERBAKAR DI RELAUMU
SEGALA YANG NAMANYA KEDURJANAAN
HANGUS DEK PANAS RAMDHA’MU
ITULAH PUASA PINTU TAQWA
RAMADHAN…
PADAMU LAILATUL QADAR
KHAIRUN MIN ALFI SYAHAR
YANG MELAKAR SEJARAH ALAM
PADA YANG KETUJUH BELAS MALAM
DALAM GUA HIRA’ YANG KELAM
TURUN KEPALA MALAIKAT
MEMBAWA IQRA’ AYAT KERAMAT
UNTUK DISAMBUT PESURUH UMMAT
SAYYIDINA MUHAMMAD صلى الله عليه وسلم
SETELAH BERKALI-KALI DIPELUK DILEPAS
LETIH SEAKAN TIADA BERNAFAS
SETELAH JAWAPAN SENADA
AKU TIADA ARIF MEMBACA
ITULAH PERMULAAN
KEPADA SATU PERADABAN
MEMBANGUN SEJARAH BASYARI
DENGAN AL-QURAN PIMPINAN RAHMAN
SEBAGAI PERLEMBAGAAN
BERGANDING SUNNAH RASUL PILIHAN
MEMANDU MANUSIA DI JALAN TUHAN
RAMADHAN,
TIDAKKAH JUGA PADAMU BADAR?
BUKANKAH DILAMANMU
TERSUNGKUR REBAH SANG TAKBUR
TERKUJUR DENGAN DARAH BERLUMUR
ABU JAHAL IDOLA KUFUR
BERSAMA 69 PEMUKA JAHANAM
MUSUH KETAT ISLAM
MEMILIH JALAN YANG KELAM
SEDANG DIDEPAN TERANG BENDERANG
SEBAGAI PENGAJARAN
KEPADA SIAPA JUA YANG ANGKUH MENENTANG
PARA PEJUANG DI JALAN ILAHI
RAMADHAN OH RAMADHAN
DUHAI BULAN PESTA IBADAH
BULAN TARAWIH, TADARUS, SADAQAH
BULAN ZIARAH, JARIAH, TAZKIRAH
BULAN TILAWAH DAN I’TIKAF
BULAN FITRAH DAN KEBAJIKAN
BULAN PERPADUAN DAN KESATUAN
BULAN PEMBELAAN
TERHADAP MANGSA KEADAAN
FAKIR, MISKIN, ARMALAH DAN YATIM
HATI YANG SAYU DATANG MEMBANTU
TIADA RIYA’
TIADA HARAP PUJIAN
SELAIN KEREDAAN TUHAN
RAMADHAN..
BEGITU SARAT RUPANYA
TAWARAN YANG KAMU BAWA
DARI ‘AZZA WAJALLA
UNTUK KAMI SEMUA
RAMADHAN..
MAAFKANKAN KAMI
KIRANYA LAYANAN DINGIN YANG KAMI BERIKAN
TAK LAYAK MENJADI SAMBUTAN
BULAN SEMULIAMU DI SISI TUHAN
KERDIL DAN DUNGU TERASA
KAMI YANG SIBUK SENTIASA
KONON MENGEJAR MASA
MASA YANG ENTAH APA
KIRANYA ADA LAGI PERTEMUAN
DATANGLAH LAGI
KALAU UMUR MASIH BERSISA
DATANGLAH MENJENGAH KAMI SEMULA
YANG HIDUP
DALAM KEPALSUAN DAN PENIPUAN
BERSIHKANLAH DIRI KAMI
DENGAN RAMDHA’MU
LIMPAHILAH KAMI
DENGAN RAHMATMU
MAGHFIRAHMU
JANJI BEBAS NERAKA
YANG TERANGKUM DALAM TAQWA
SEMOGA KAMI WARGANYA
AMIN..YA RABBAL ALAMIN
Beberapa pengajaran daripada madrasah Ramadhan
Ibadat puasa memberi beberapa iktibar yang boleh kita manfaatkan untuk menambahkan kesedaran dan kefahaman berkenaan dengan sir atau rahsia ibadat puasa itu. Antaranya:
i. Lapar dan dahaga. Seorang sufi ditanya kenapa Allah SWT mewajibkan puasa? Lantas dijawabnya: "Untuk melaparkan orang kaya". Ini kerana lapar boleh menginsafkan manusia serta melahirkan keihsanan kepada golongan miskin dan yang perlukan bantuan. Lapar juga boleh mendidik nafsu daripada bersifat kebinatangan kepada kebersihan jiwa yang tinggi dan dapat menjalani fitrah manusiawi bahkan menuju jiwanya ke arah yang tinggi. Lapar juga boleh menghasilkan kepintaran dan kecerdikan. Benarlah kata pujangga: "Dari rumah orang-orang fakir lahirnya cendekiawan terbilang". Sebagai contoh, Imam Syafie, Imam Abu Yusuff, Imam al-Bukhari dan ramai lagi.
ii. Bersahur. Satu ibadat yang cukup pelik pada logik akal kerana makan pada waktu ghalibnya manusia dibuai mimpi dan tidur yang penuh dengan kenyenyakan tiba-tiba terpaksa bangkit untuk bersahur bagi mencari sebuah keberkatan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW. Ibn al-Qayyim menafsirkan dengan maksud kekuatan tambahan kepada seseorang yang bersahur untuk memudahkan pelaksanaan ibadat puasa tanpa kelaparan yang teramat. Di samping itu melihat kepada para sahabat seperti Imam Muslim dan lainnya, bahawa para sahabat menggunakan waktu antara sahur dan subuh dengan membaca al-Quran antara 50 ke 60 ayat. Ini bermaksud walaupun disuruh bersahur tetapi para salaf al-soleh, ulama dan orang-orang soleh menggunakan waktu tersebut untuk berqiammullail, berzikir, berdoa, beristighfar dan munajat kepada Rabbilalamin. Ini sudah tentu mendekatkan mereka kepada Allah SWT.
iii. Iftar atau berbuka. Di mana Islam menggalakkan umatnya supaya berbuka dengan segera berdasarkan kepada nas Nabawi. Berbuka dengan peraturan-peraturan dan adab-adabnya seperti memakan tamar atau manisan. Iftar mempunyai matlamat yang khusus dari segi perubatan dan kesihatan sebagai Tibbu Nabawi. Iftar akan merasai bagi yang berpuasa sebagai sebuah kejayaan dan kemenangan kerana dapat melaksanakan perintah Allah SWT dengan jayanya pada hari tersebut. Ucapan doa dan syukur dirafakkan kepada-Nya. Disebalik iftar, kita dapati sebuah keluarga yang ibu dan bapanya atau suami isteri serta anak-anak yang makan secara individu atau berseorangan pada bulan-bulan lain akan bertaup kembali dengan makan secara jamaai. Di mana ini menatijahkan kekuatan silaturrahim dan keakraban kekeluargaan. Perasaan kasih sayang, hormat menghormati, mengambil prihatin dan cakna sesama keluarga akan subur kembali.
iv. Puasa dari segi maknanya menahan. Memberi maksud supaya ditingkatkan kesabaran ketika menghadapi ujian yang pada asasnya lapar dan dahaga. Tetapi sebenarnya madrasah Ramadan telah memperkenalkan serta melakukan tamrin kepada yang berpuasa untuk mengekali dan menjiwai watak sabar supaya ia sebati dalam jiwa manusia muslim. Sabar yang banyak dan kerap kali diungkap di dalam al-Quran dan hadis yang menatijahkan kemenangan, kejayaan, kebahagiaan, kepimpinan, keluasan rezeki, pelepasan daripada musuh dan lain-lain. Benarlah kata pujangga: "Hai saudara ku, kamu tidak akan mencapai kejayaan sehingga kamu menjilat kesabaran".
Semoga kita semua menjadi golongan yang dapat mengambil iktibar dari Ramadan al-Mubarak dengan pelbagai kelebihan yang ada padanya. Marilah sama-sama kita meningkatkan lagi kefahaman dan amalan di bulan Ramadan dengan menghadiri majlis ilmu, bertarawih, tadarus, zikir, selawat dan ibadat-ibadat sunat yang lain. Sama-samalah kita istaqamah dengan amalan-amalan kita di dalam bulan Ramadhan ke bulan-bulan yang seterusnya. Moga pendidikan yang kita perolehi semasa sebulan di dalam bulan Ramadhan dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah.
Tuesday, 23 September 2008
Mengapa Baitul-Maqdis dianggap bandar suci bagi umat Islam?
2. Kemudian, setelah tidak lagi mengadap ke arah Baitil-Maqdis, Rasulullah s.a.w. tetap menganggapnya sebagai masjid utama, iaitu yang kedua utama selepas Masjidil-Haram. Ini dapat diperhatikan pada kelebihan solat di situ di mana baginda bersabda; صلاة في المسجد الحرام مائة ألف صلاة، وصلاة في مسجدي ألف صلاة، وفي بيت المقدس خمسمائة صلاة “Menunaikan solat di Masjidil-Haram menyamai 100 ribu solat (di masjid yang lain). Solat di masjidku menyamai 1 ribu solat. Solat di Baitil-Maqdis menyamai 500 ribu solat” (HR al-Baihaqi dari Jabir r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; sanad hadis ini hasan. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5109)
3. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda; لا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: مسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِي هَذَا، وَمسْجِدِ الأَقصَى“Janganlah mengembara (semata-mata untuk menunaikan solat di suatu masjid) melainkan ke tiga masjid sahaja; Masjidil-Haram, Masjid ku ini (yakni masjid Nabawi di Madinah) dan Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim) Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita mengembara bukan sahaja ke Masjidil-Haram dan Masjidnya, tetapi juga ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis). Namun pengembaraan ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) tidak dapat kaum muslimin lakukan hari ini kerana dikuasai Yahudi. Menurut ulamak; kelebihan Masjidil-Haram adalah kerana di situ dilakukan ibadah haji dan di situ juga terletak qiblat. Kelebihan masjid Nabi ialah kerana ia di atas atas takwa dan kelebihan Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) kerana ia adalah qiblat umat-umat terdahulu. (Faidhul-Qadier, hadis no. 9802).
4. Ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj, Nabi s.a.w. tidak terus naik ke langit dari Mekah, akan tetapi baginda di bawa terlebih dahulu ke Palestin dan memasuki Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis). Perjalanan dari Mekah ke Masjidil-Aqsa (Baitil-Maqdis) ini bukan hanya diceritakan oleh sejarah, tetapi direkodkan oleh Allah di dalam al-Quran. Sila baca; surah al-Isra’, ayat 1. Ini menunjukkan bahawa Palestin (termasuk Baitil-Maqdis) adalah milik umat Islam. Bumi ini adalah warisan dari para Nabi yang diamanahkan kepada Nabi Muhammad dan umat baginda.
5. Dakwaan orang Yahudi bahawa mereka adalah penduduk asal Palestin adalah bohong dan palsu. Penduduk asal Palestin ialah bangsa pribumi Palstin sendiri yang berketurunan Kan’an yang mendiami di situ sejak 4500 tahun lalu. Bangsa Palestin ini terus tinggal di situ hinggalah apabila datangnya Islam, majoriti mereka telah memeluk Islam dan menjadi Bahasa Arab sebagai bahasa utama kerana pengaruh Islam.
6. Bangsa Yahudi hanya pernah memerintah bumi Palestin iaitu selama 4 kurun; dari tahun 1000 hinga 586 S.M.. Setelah itu, kerajaan mereka dihancurkan empayar Assyria, Fir’aun, Greek dan Roman. Mereka lari keluar dari Palestin. Adapun penduduk asal palestin terus tinggal di situ. Kemudian, bermula tahun 636M pemerintahan Palestin dipegang oleh umat Islam secara terus menerus (selama lebih kurang 1200 tahun, iaitu hingga 1917). Hakikatnya, dari segi sejarah hubungan Yahudi dan Palestin telah sekian lama terputus iaitu lebih 2000 tahun. Hinggalah pada pertengahan kurun ke 20 (tahun 1946), mereka merampas Palestin dari penduduk Palestin dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia ketika itu dan mengasaskan Negara Haram Israel. Wallahu a’lam.
Rujukan; 1. Tafsir al-Quran al-Adziem, Imam Ibnu Kathir.2. Faidhul-Qadier; syarah al-Jami’ as-Saghier, Imam al-Minawi.3. Konflik Palestin & Israel, Maszlee Malik.
Monday, 22 September 2008
Pengertian Tadarus
(Riwayat Abu Daud)[1]Menurut ulamak; maksud tadarus ialah saling mempelajari al-Quran iaitu seorang membaca dan yang lain mendengar dan memerhati bacaannya. Setelah ia selesai membaca, di sambung pula oleh orang lain. Berkata Imam al-Minawi; maksud “membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka” ialah mereka saling mengikuti bacaan sesama mereka, kerap mempelajarinya dan berusaha menjaga/menghafalnya sesama mereka kerana takut lupa” (Faidhul-Qadier, hadis no. 7776).
Dari sudut pahala, apabila membaca dan mempelajari al-Quran secara bersama –yakni seorang membaca dan yang lain mendengar-, semua yang terlibat akan mendapat pahala. Yang membaca akan mendapat pahala tilawah sekalipun bacaannya tidak lancar. Ini sebagaimana disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadisnya (bermaksud); “Orang yang mahir membaca al-Quran dia akan bersama dengan malaikat safarah (pembawa wahyu) yang mulia dan taat/berbuat kebajikan. Manakala seorang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yakni tidak lancar) di mana ia menghadapi kesukaran dan kepayahan ketika membacanya, maka dia akan memperolehi dua ganjaran” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.).[2] Yang mendengar pula akan mendapat pahala istima’ (mendengar tilawah/bacaan orang lain) dan pahala menegur (jika sahabat yang membaca tersalah). Firman Allah (bermaksud); “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikanlah dengan tenang, agar kamu mendapat rahmat” (Surah al-A’raf, ayat 204). Sabda Nabi s.a.w.; (bermaksud); “Sesiapa yang mendengar dengan teliti satu ayat dari kitab Allah (al-Quran), ditulis baginya dengan kebaikan yang berganda-ganda dan sesiapa yang membacanya maka ia akan menjadi cahaya untuknya di hari kiamat”. (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.)[3]
Semoga di bulan yang mulia ini dapat diimarahkan dengan tadarus..Amin!
Nota Kaki;
[1] Al-Jami’ As-Saghir, Imam as-Suyuti, hadis no. 7776 (Soheh).
[2] Al-Jami’ as-Soghir, Imam as-Suyuti, hadis no. 9165 (Soheh)
[3] Al-Jami’ as-Saghir, Imam Suyuti, hadis no. 8425 (Dhaif).
Wednesday, 17 September 2008
17 Ramadhan - Peristiwa Badar
Sumber: