Monday, 6 October 2008

Silaturrahim di Aidil fitri

Hari ini dah kembali ke alam sebagai PhD student setelah sebulan berada di Madrasah Ramadhan. Sepanjang berada di Madrasah Ramadhan terlalu banyak pengajaran yang diperolehi. Moga terus istiqamah dengan pengajaran-pengajaran yang dipelajari dari madrasah Ramadhan. Bermula 1 Syawal pula aktiviti di penuhi dengan program ziarah-menziarahi untuk merapatkan silaturrahim sesama insan. Kesempatan syawal inilah dapat berjumpa sahabat-sahabat yang jarang jumpa dek sibuk dengan tugasan research yang melambak. Masa-masa lain bukan tak nak jumpa tetapi tak sempat dek menyiapkan kerja-kerja research. Kerja-kerja research ni pun satu kerja dakwah juga untuk buktikan umat Islam mampu..

Maka di kesempatan syawal ini digunakan sepenuhnya untuk menjemput saudara seIslam mahupun non muslim ke rumah walaupun dengan hidangan yang hanya sederhana saja. Di samping itu, menziarahi sahabat-sahabat lain. Keseronokan di Aidil fitri yang paling hakiki ialah dapat merapatkan silaturrahim sesama insan. Makanan adalah perkara kedua tetapi yang paling aula adalah ukhuwwah yang patut dibina berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah sesuai dengan prinsip hari raya aidil fitri sebagai mercu kemenangan kepada umat Islam. Moga ukhuwwah yang terbina dapat menjadikan umat Islam umat yang terbaik dan menjadi qudwah hasanah kepada masyarakat lain.

“Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia senang menjalin silaturrahim” (HR Bukhari).

Sebagaimana namanya, “silah” artinya hubungan atau menghubungkan, dan “ar-rahmi” artinya kasih sayang. Dilihat dari maknanya, tujuan yang diharapkan dari silaturrahim adalah terwujudnya kasih sayang yang diridhai Allah SWT.

Banyak keuntungan yang diperoleh dari melakukan perbuatan baik ini, yang di antaranya disebutkan dalam hadits di atas: mudah rezeki dan panjang umur. Rezeki Allah kadangkala diberikan lewat tangan-tangan atau sepatah kata dari orang lain. Sepatah kata orang yang bijak dan bermanfaat dari orang lain tidak tertutup kemungkinan menggugat dan membuka fikiran kita luas-luas, sehingga mampu melihat peluang-peluang rezeki yang dihamparkan Allah setiap hari di dunia ini. Lebih-lebih kata yang bersifat ilham, yang tidak semua orang mampu mengenalinya dan memahaminya. Oleh karena itu, silaturrahim sebaiknya dilakukan bukan hanya dengan orang-orang yang dikenali, tetapi juga yang tidak dikenali.

Selanjutnya, umur manusia yang gemar bersilaturrahim akan berkat. Kerana hidup dalam kedamaian, sebagai akibat baik dari silaturrahim, kita menjadi benar-benar mengisi dan menikmati hidup dengan sebaik-baiknya, tidak takut dalam mencari rezeki, dan boleh beribadah kepada Allah dengan semaksima mungkin.

Sebaliknya, kalau silaturrahim diputuskan, pasti timbul beberapa akibat yang sangat buruk. Antaranya hidup di bawah tekanan, ancaman dan peperangan, terasa tidak menyenangkan, kerana selalu timbul rasa was-was akan berbagai mara bahaya dari pihak lain dan kadang-kadang terpaksa berlagak hipokrit di hadapan orang lain. Nampak luaran tersenyum tetapi di dalam hati tidak ada ketenangan kerana rapuhnya ikatan silaturrahim sesama manusia. Ikatan silaturrahim yang rapuh ini akan melemahkan umat Islam sejagat. Rezeki pun terasa amat sulit untuk diperoleh, kerana antara sesama kita bukan saling memberi manfaat tetapi saling memusuhi. Waktu untuk menikmati hidup akan terasa sedikit. Akibat yang lebih buruk lagi ialah tidak ditilik Allah di Hari Kiamat (HR Ad-Dailami).

No comments: