Showing posts with label Resipi Kejayaan. Show all posts
Showing posts with label Resipi Kejayaan. Show all posts

Friday, 29 January 2010

Minat dan motivasi diri

“Subjek Matematik Tambahan (add Math) ni susah nak lulus”, kata sepupu saya apabila mengetahui saya mengambil aliran Sains apabila saya melangkah ke Tingkatan 4. Matematik tambahan merupakan subjek yang tersusah bagi aliran sains ketika itu. Saya bukanlah seorang pelajar yang dikategorikan pandai, yakni saya hanyalah pelajar average sahaja. Walaubagaimanapun, apa yang mampu saya lakukan pada ketika itu ialah saya tanamkan azam dalam diri saya agar saya dapat menguasai subjek tersebut. Saya tanamkan minat saya kepada subjek Matematik Tambahan tersebut dan memastikan agar saya sentiasa lulus dengan cemerlang dalam ujian dan peperiksaan. Berkat azam dan minat yang saya pupukkan itu telah menyebabkan saya berjaya mendapat A dalam subjek tersebut semasa SPM saya. Alhamdulillah.

Begitu juga selepas saya menamatkan ijazah pertama saya di UKM. Saya telah bertukar kursus dari bidang sains (Genetik) ke bidang sain sosial (Psikologi). Dekan di jabatan biologi terkejut apabila saya mohon tandatangan beliau untuk mengisi borang master. Beliau menasihati saya agar jangan bertukar bidang dan teruskan master dalam bidang biologi tersebut. Namun atas minat saya yang sangat mendalam, saya tetap ingin bertukar bidang. Ramai pensyarah dan kawan-kawan saya ketika itu was-was dengan keputusan saya berpindah bidang dari sains ke sains sosial. Mereka juga mengatakan bahawa bidang yang saya pilih itu sukar untuk mendapat pekerjaan. Tetapi disebabkan minat saya, saya berjaya menamatkan master saya dalam bidang Psikologi tersebut dan akhirnya saya ditawarkan pekerjaan sebagai pensyarah di UTM dan juga beberapa jawatan lain iaitu pegawai kebajikan masyarakat. Memandangkan minat saya dalam bidang pendidikan, maka saya terima tawaran bekerja sebagai pensyarah sehingga kini. Alhamdulillah, segala pujian untuk Allah.

Daripada pengalaman yang saya lalui itu, apa yang saya dapat simpulkan ialah minat mendalam dalam diri kita akan memberi impak atau hasil yang baik kiranya kita jadikan ia sebagai motivasi diri. Di samping itu, minat itu juga hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan bukan semata-mata untuk mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan. Apabila kita melakukan sesuatu hendaklah disertai dengan niat, usaha, ikhlas dan tawakal pada Allah. Minda kita juga hendaklah sentiasa positif dan yakin bahawa kita boleh melakukannya...LAW OF ATTRACTION!

Thursday, 12 February 2009

Resipi Kejayaan: Niat yang jelas

Assalamu alaikum dan Alhamdulillah. Moga kita sentiasa dibawah rahmat Allah. Setiap orang yang berjaya dalam hidupnya tentu mempunyai resepi kejayaan yang tersendiri.

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dalam kembara ke arah kejayaan. Dalam kembara ke arah kejayaan, saya ingin menekankan bahawa niat yang jelas dapat memandu kita menuju ke arah kejayaan tersebut. Niat merupakan kompas dalam kehidupan kita. Niat juga merupakan teras setiap pekerjaan atau amalan seseorang. Tanpa niat yang jelas seseorang itu terumbang-ambing tanpa arah tuju yang jelas. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”segala amalan itu bermula daripada niat...”. Hadis ini mengingatkan bahawa segala pekerjaan atau amalan hendaklah dimulai dengan niat. Niat tersebutlah yang akan menentukan baik atau buruk sesuatu pekerjaan. Niat juga berkait rapat dengan penetapan matlamat, visi dan misi seseorang. Matlamat, visi dan misi dapat membangkitkan semangat seseorang agar bekerja keras untuk mencapai apa yang diingini dalam hidupnya.

Teori-teori motivasi juga banyak menekankan tentang penetapan matlamat. Antaranya teori motivasi penetapan matlamat yang menjelaskan bahawa tingkahlaku seseorang itu akan teruja apabila ia mampu menetapkan matlamat hidupnya. Keterujaan inilah yang akan menggerakkan otak seseorang untuk bertindakbalas dengan matlamat tadi. Apabila otak mendapat rangsangan maka sistem biologinya akan turut terangsang untuk melaksanakan sesuatu perbuatan seperti bekerja keras untuk mencapai matlamatnya. Otak manusia mempunyai berjuta-juta neuron untuk bertindakbalas tentang apa yang diniatkan dalam hati. Tindak balas daripada neuron-neron otak tadi merangsang anggota fizikal kita untuk bertindak melaksanakan apa yang diniatkan.

Persoalannya, dimana letaknya sesuatu niat itu? Jawapannya ialah niat itu tempatnya di hati. Hati yang bersih mampu mencipta suatu niat yang baik. Kadang-kadang ada manusia yang niatnya untuk berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai pangkat, wang, rumah besar dan sebagainya. Dengan niat tersebut akan mendorong seseorang berusaha keras mencapai apa yang diniatkan. Niat hendaklah ditanamkan dalam jiwa dengan penuh keazaman. Niat bukannya sekadar angan-angan tetapi ianya hendaklah disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan konsisten. Walaubagaimanapun, bagi seorang muslim niat hendaklah berpaksikan keimanan kepada Allah. Sepertimana kita sentiasa melafazkan niat dalam solat, maka begitu jugalah dalam aspek pekerjaan harian kita tidak kira sebagai seorang pelajar, seorang kakitangan kerajaan atau swasta atau apa pun peranan kita dalam kehidupan ini. Niat hendaklah ikhlas semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Sebagai contoh, apabila kita berniat untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam pekerjaan hendaklah dilakukan kerana Allah SWT. Begitu juga dalam bidang pelajaran. Tanamkan niat belajar untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan membuktikan umat Islam adalah umat yang bijak. Niat ikhlas kerana Allah akan menjamin kepada kebaikan pekerjaan kita untuk kepentingan sesama manusia dan bukan untuk kepentingan peribadi semata.

Niat yang ikhlas kerana Allah menjadikan diri kita sentiasa optimis dalam hidup. Niat yang ikhlas menjadi benteng agar tidak tersasar daripada matlamat asas dalam kehidupan di dunia. Tujuan utama kehidupan manusia di muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya. Allah juga menjadikan manusia sebagai khalifah atau pemimpin di alam maya ini. Firman Allah yang bermaksud:

''Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ''Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.'' Mereka berkata: ''Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?''. Tuhan berfirman: ''Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui''(Al-Baqarah:30)

Istimewanya manusia kerana diberikan akal oleh Allah. Akal seseoranglah yang akan menentukan tinggi atau rendahnya darjat seseorang. Allah meninggikan darjat manusia di bumi ini berbanding makhluk-makhluk lain. Apabila manusia gagal menggunakan akal dengan baik, maka manusia itu jugalah serendah-rendah nilainya berbanding dengan makhluk-makhluk lain.

Niat yang berpaksikan kepada keesaan Allah menyebabkan kita sentiasa reda dengan ketentuan Illahi. Kita memahami qada’ dan qadar Allah bahawa di dunia ini kita hanya mampu berusaha dan selebihnya kita berserah pada Allah. Di samping penetapan niat, kita juga hendaklah sentiasa bermohon padaNya agar segala apa yang kita niatkan akan termakbul. Niat ikhlas semata-mata kerana Allah menjadikan kita sentiasa berusaha hingga jaya. Kadangkala kita menemui kegagalan untuk mencapai sesuatu yang kita niatkan. Tetapi sekiranya niat tadi disandarkan kepada Allah, insyaAllah kita tidak mudah berputus asa untuk mengejar sesuatu kejayaan. Yakin akan janji Allah menjadikan kita terus berusaha untuk mencapai apa yang diniatkan. Firman Allah bermaksud:

”Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka”(Surah Ar Rad:11)

Justeru, hanya diri kita yang mampu mengubah nasib kita. Kalau kita bersungguh untuk membuat perubahan dengan keyakinan pada janji Allah, insyaAllah kita peroleh kejayaan. Niat yang benar dan ikhlas membawa kepada kejayaan dunia dan akhirat. Tanamkan niat untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup kita dengan penuh keazaman dan penyerahan pada Allah. Yakinlah bahawa ’man jadda wajada iaitu ’siapa yang berusaha, dia yang mendapat’. Apabila kita telah berusaha, selebihnya kita bertawakal kepada Allah. Firman Allah:

''Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)-nya.''(At-Thalaq: 3).

Kesimpulannya, tanamkanlah niat yang ikhlas dalam hati untuk menjanakan kejayaan dalam apa jua aspek kehidupan kita. Bermula dengan niat yang jelas, tetapkanlah matlamat jangka pendek dan jangka panjang anda. Terjemahkan niat tadi ke dalam bentuk yang lebih praktikal. Disiplinkan diri anda untuk melakukannya! Sekiranya anda mampu melakukannya secara berterusan, dengan izin Allah anda mampu memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam hidup. Amalkanlah hari ini untuk masa depan yang gemilang.

Wallahu ’alam.