Assalamu'alaikum dan Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana masih memberi nikmat bernafas kepada kita. Mudah-mudahan nikmat ini kita boleh gunakan untuk terus beramal mencari keredhaan Allah di bumi ini.
Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk ke program Nadwah "Utamakan yang Utama" anjuran IKRAM Johor Bahru Tengah. Tiga orang panel telah mengupas megupas buku yang dikarang oleh seorang ulama kontemporari iaitu Syeikh Dr Yusuf Al Qardawi. Banyak pengisian yang telah diperolehi dan mudah-mudahan ianya dapat membantu untuk membuat pilihan yang terbaik dalam usaha mencari redha Allah.
Fiqh Aulawiyat (keutamaan) boleh juga dikaitkan juga dengan Fiqh Muwazanah (pertimbangan). Dalam kehidupan, boleh dikatakan setiap saat atau minit kita berhadapan dengan masalah untuk membuat keputusan. Hatta, untuk nak makan pun, kita terpaksa berhadapan dengan membuat keputusan seperti nak makan ape dan sebagainya. Justeru, fiqh aulawiyat ini menjelaskan konsep bagaimana kita sebagai seorang muslim membuat keputusan dalam merancang tindakan yang perlu didahulukan. Formula yang ditekankan ialah memikirkan input (tindakan) dan output (hasil) yang bakal dilakukan. Kedua-duanya mestilah seimbang agar dapat memberi maslahah yang lebih banyak kepada ramai orang atau dapat mengurangkan mudarat kepada lebih ramai orang. Antara perkara yang harus dipertimbangkan dalam menentukan keutamaan:
1. Nilai terlebih dahulu perkara yang wajib sebelum perkara yang sunat
2. Utamakan perkara pokok dan bukan fokuskan kepada perkara furu'
3. Utamakan tarbiyah dalam diri sebelum kepada masyarakat supaya tidak menimbulkan fitnah
kepada agama.
4. Mengutamakan ilmu yang dapat melahirkan amal
5. mengutamakan kualiti dari kuantiti
6. Mengutamakan kesihatan agar dapat berdakwah.
Sifirnya mudah sahaja bukan? Tetapi, nak menyeimbangkan kedua-dua input dan output ini bukan satu perkara yang mudah kerana ia dipengaruhi pula oleh keadaan atau persekitaran. Agar tidak terbabas dari landasan, NIAT memainkan peranan penting. Niat merupakan pemandu arah kepada seseorang untuk memperolehi apa yang dihajatkan. Bermula dari niat yang ikhlas, kita boleh tentukan mana prioriti utama yang perlu didahulu berdasarkan kepada maslahah yang lebih luas. Di samping itu, pengorbanan juga adalah penting. Pengorbanan ini merangkumi pengorbanan perasaan, masa dan tenaga. Adakalanya, keutamaan itu bukan keinginan hati kita, tetapi demi untuk dakwah kita perlu berkorban perasaan agar dapat memberi manafaat pada orang lain. Pengurusan diri dan masa juga adalah sangat penting untuk memastikan kita dapat melaksanakan prioriti utama dalam hidup kita sebagai muslim.
Hassan Al Bana ada menyebut:
"Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita,
oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya"
-Hassan Al-Banna
“Peredaran masa sesuatu yang aneh, tetapi lebih aneh orang yang membiarkan sahaja ianya berlalu.” -Imam Syafie
Kesimpulannya, keutamaan yang perlu diutamakan ialah melaksanakan dakwah dalam diri, keluarga dan masyarakat. Firman Allah dalam Surah At Taubah ayat 71 yang bermaksud:
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Wallahu'alam.
1 comment:
mohon share ye...
Post a Comment