Showing posts with label Bicara Hati. Show all posts
Showing posts with label Bicara Hati. Show all posts

Tuesday, 13 April 2010

KeagunganMu

Hidup tanpa matlamat amat membosankan. Hidup begitu kosong tanpa aktiviti. Tangan juga begitu lemah untuk menulis. Otak juga terasa lemah untuk berfikir. "Ya Allah, berilah kekuatan pada hambaMu ini". Aku bermonolog sendirian.

Saya sebenarnya sengaja mengambil cuti yang panjang setelah berhempas pulas memerah otak menyiapkan tesis PhD saya. Saya berazam untuk rehatkan minda tanpa berfikir dan hanya duduk di kampung. Rupanya amat payah untuk berdiam diri apabila kita sudah terbiasa dengan hidup yang sibuk.

Al Quran banyak menekankan tentang berfikir. Tanpa berfikir badan akan menjadi lemah. Al Quran menyeru kita untuk berfikir tentang keangungan Allah melalui ciptaanNya. Di bumi ini terdapat banyak tanda-tanda kekuasaan Allah. Gunung ganang yang terbentang merupakan petunjuk betapa sang Pencipta maha kuasa. Gunung-ganang ini ada fungsinya untuk mengukuhkan kedudukan muka bumi. Tanpa gunung-ganang, alam ini tidak kukuh. Bintang-bintang di langit juga merupa keunikan ciptaan Allah. Bintang-bintang ini boleh dijadikan petunjuk arah kepada pelayar-pelayar di lautan. Air sungai yang mengalir lantas memberi minuman kepada manusia, haiwan dan tumbuhan juga merupakan ciptaan Allah. Dan banyak lagi ciptaan Allah yang tak dapat dituliskan di sini untuk kita fikirkan bersama.Tidak mungkin semuanya berlaku tanpa penciptanya. Setiap detik, hidup ini mestilah diisi dengan berfikir tentang keanggungan Allah agar diri tidak lemah dan lalai.

Di kampung, saya berkesempatan mandi di sungai. Terdapat banyak ikan di sungai. Begitu banyak nikmat yang Allah sediakan kepada manusia agar manusia berfikir. Namun tidak ramai manusia yang dapat berfikir tentang ciptaan Allah ini. Banyak manusia yang lalai tentang perintahNya. Malah engkar dan sombong di alam ini, seumpama dunia ini mereka yang punya.

Di sungai juga, terdapat buih-buih yang bertakung. Saya teringat di dalam Al Quran ada menyebut tentang buih-buih yang terdapat di sungai-sungai. Allah umpamakan buih-buih tersebut dengan manusia yang tidak beriman. Apabila saya perhatikan buih-buih itu memang tidak bermanafaat. Hanya terlonggok disebalik takungan air dicelah-celah batu. Apabila semakin lama, buih-buih itu akan berwarna kekuningan dan akhirnya akan bertukar warna menjadi kehitaman. Moga kita tidak menjadi seperti buih-buih itu...

Wednesday, 7 April 2010

Indahnya Negaraku

Alhamdulillah....segala puji bagi Allah akhirnya hari ni saya baru diberi kekuatan untuk menulis dalam blog ini. Blog ini pun dah ber'sawang' kerana dah lama saya tidak lawati dan kemas kini kan.

Seusai saya menghantar thesis pada 5 Mac lalu, saya begitu sibuk dengan urusan shipping dan ziarah kawan2 di Hamilton. Sehinggalah saya balik ke Malaysia pada 26 Mac, hidup saya umpama "amazing race". Banyak perkara yang perlu diselesaikan terutama urusan rumah. Kembalinya saya ke Malaysia ini umpama baru memulakan hidup baru. Hidup dalam serba kekurangan dengan tiada kenderaan. Terpaksalah menumpang kawan untuk ke tempat kerja. Mujurlah masih ada kawan. Alhamdulillah.

Pada 30 Mac, saya berjaya untuk lapor diri di UTM. Suasana agak berbeza sejak saya tinggalkan 4 tahun yang lalu. Hari pertama saya lapor diri, saya terus membantu rakan-rakan Psikologi untuk membaiki kurikulum. Saya difahamkan tujuan bengkel tersebut untuk mengubah program dari 3 tahun ke 4 tahun. Saya pun masih kurang jelas apakah rasionalnya. Yang pasti apa yang saya perhatikan untuk mengubah kurikulum tersebut pihak KPT telah pun ada garis panduan yang ketat hingga pihak akademik kurang autoriti untuk melakukan apa-apa perubahan. Tetapi itulah hakikat di Malaysia..apa yang nak dihairankan.

Perkara seterusnya yang saya dapat perhatikan ialah wajah-wajah rakan sekerja. Ada yang serius tahap gaban, ada yang muka stress dan ada juga yang muka ceria. Yang muka serius tahap gaban ni takut saya nak tegur...saya hanya senyum saja sebagai tanda selamat berjumpa kembali..yang muka stress ni saya berjabat tangan dan bertanya khabar. Rupanya ramai staff yang stress dengan masalah birokrasi terutama kaedah penilaian KPI. Yang mana dalam KPI ni penilaiannya hanya tertumpu kepada penulisan jurnal impak tinggi dan penyelidikan. Kerja-kerja seperti penilaian thesis pelajar langsung tidak diambil kira dalam KPI...begitu juga dengan kerja2 pentadbiran seperti merangka program. Keadaan ini menyebabkan ramai pensyarah yang tidak bermotivasi untuk melakukan tugas mereka. Saya lihat pihak atasan UTM kena membuat kajian terperinci tentang perkara ini.

Saya mengambil cuti selama 2 minggu untuk berjumpa keluarga. Pertamanya saya ke Kl di rumah adik. Saya telah menaiki bas di Taman Sri Putri. Setibanya saya di stesen bas, saya terus membeli tiket ke KL. Petugas kaunter memaklumkan ada tiket yang mana bas akan tiba dalam masa 5 minit. Saya pun dengan hati gembira terus membeli tiket tersebut. Rupanya bas yang dikatan tiba 5 minit itu, saya tunggu hampir sejam...masyaAllah. Ni la antara kejutan2 yang saya alami sekembali dari NZ (negara bukan Islam tetapi mengaplikasi banyak ciri-ciri Islam dalam sistem ketelusan pentadbiran).

Di KL, hujan turun dengan lebatnya. Saya menaiki LRT untuk ke KL sentral. Setibanya di KL sentral..rupanya tempat berhenti LRT ni agak jauh dari bangunan KL sentral. Saya nak ke KL sentral untuk mencari kedai fotostat. Hujan masih lagi turun dengan lebatnya. Jalan untuk ke KL sentral tak de atap, so terpaksalah tunggu hingga hujan berhenti. Laluan untuk ke KL sentral dari stesen LRT itu adalah disediakan 'zebra cross' supaya kereta boleh bagi laluan. Yang sedihnya kenderaan tidak pun berhenti untuk bagi laluan kepada pejalan kaki...alahai di mana kah sikap toleransi manusia. Kalau tak faham pun makna 'zebra cross' tapi berilah rasa empati kepada mereka yang berjalan kaki...yang sedihnya nilai2 Islam langsung tidak dipraktikkan.

Alhamdulillah, dengan berbekalkan kesabaran akhirnya saya tiba di bangunan KL sentral. Dalam sebesar2 bangunan itu, mesin fotostat semuanya rosak. Aduh...sungguh kecewa. Dah la pekerjanya sombong2. Hati saya berkata mungkinkah kebanyakan manusia di bumi Malaysia ini mengalami stress..so nak senyum pun susah.

Inilah sketsa yang saya lalui setelah kembali beberapa hari di Malaysia..insyaAllah ada kelapangan penulisan seterusnya akan menyusul. Semoga sentiasa bersabar.




Saturday, 11 July 2009

PPSMI: apa untungnya kepada bangsa Malaysia?


BismiLlaahi Wal hamduliLlaah...

Pagi ini saya membaca beberapa komen individu terhadap pemansuhan PPSMI. Saya dapati ada yang gembira dengan perkhabaran ini dan ada juga yang sedih tentang pemansuhan PPSMI ini. Antara yang gembira ialah rakyat yang menentang PPSMI ini sejak awal lagi antaranya Sasterawan Negara Dato' A Samad Said. Beliau menolak idea pelaksanaan PPSMI ini atas dasar gerun tentang hilangnya jati diri bangsa pada masa akan datang. Falsafah "bahasa jiwa bangsa" itulah yang ingin dipertahankan oleh sasterawan negara kita dan juga individu yang sayangkan bahasanya.

Penentangan terhadap PPSMI ini bukanlah satu retorik politik tetapi meyedari bahawa bahasa merupakan indikator kepada jati diri sesuatu bangsa. Hilang bahasa sesuatu bangsa itu, maka hilanglah identitinya. Hatta, kalau kita lihat pada masyarakat sekarang ini pun cakap Melayu pun guna bahasa 'rojak' dalam perbualan. Saya pernah bersembang dengan seorang pensyarah Linguistic di University of Waikato tentang perkara ini. Beliau yang berbangsa 'mat salleh' tetapi fasih berbahasa Melayu ini pun mengungkapkan kesedihannya . Beliau juga banyak membuat penyelidikan tentang bahasa minoriti di Malaysia yang semakin pupus, dan termasuklah Bahasa Melayu.
"kenapa Malaysia menggubal kurikulum seumpama itu. Bukankah itu akan menhilangkan jati diri bangsa Malaysia. Sekarang pun saya perhatikan bahawa orang Malaysia banyak menggunakan bahasa rojak", ujar beliau. Itulah antara pandangan bangsa asing terhadap PPSMI.

Ungkapan beliau membuatkan saya terfikir, apakah untungnya Malaysia dengan pelaksanaan PPSMI ini? Adakah dengan terlaksananya PPSMI ini akan melahirkan individu yang cemerlang dalam kehidupannya? Adakah dengan PPSMI ini, maka akan lahirkah nobel laureate dalam bidang sains? dan apakah dengan terlaksananya pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris itu, maka rakyat Malaysia akan mahir berbahasa inggeris? dan banyak lagi persoalan yang timbul tentang di mana rasionalnya. Bangsa Jepun pun boleh menjadi negara maju dengan menggunakan bahasanya sendiri. Begitu juga Perancis dan Jerman yang sememangnya amat kebal terhadap memartabatkan bahasanya. Negara mereka boleh maju dengan bahasanya sendiri sebagai bahasa pengantar. Kenapakah kita sendiri merasa rendah diri dengan bahasa ibunda sendiri?

Ini tidaklah bermaksud kita mengabaikan pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Kerana tidak dinafikan akan kepentingannya terutamanya banyak buku-buku kajian yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Malah, buku-buku rujukan di universiti pun majoriti dalam bahasa Inngeris. Tetapi banyak kaedah lain yang boleh digunnakan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris. Pada saya setakat mengajar subjek sains dan matematik dalam BI belum tentu dapat meningkatkan penguasaan bahasa tersebut di kalangan pelajar. malah akan merencatkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran tersebut. Begitu juga dengan guru-guru yang mengajar subjek tersebut..akan merencatkan kreativiti mereka untuk menarik minat pelajar untuk mempelajari subjek tersebut. kalau subjek Matematik mungkin agak mudah kerana tidak banyak menggunakan penjelasan mendalam kerana banyak formula. Tetapi cuba bayangkan dalam subjek biologi?

Salah satu elemen yang sangat penting dalam pengajaran dan pembalajaran ialah penerapan nilai dan akhlak dalam subjek tersebut. Bukan hanya untuk 'menyuap' belajar agar mereka hafal formula atau fakta dan semasa peperiksaan keluarkan semua formula dan fakta yang dihafal dalam kelas. Tetapi apa yang paling penting perlu diterapkan oleh seorang pendidik ialah memberi kefahaman kepada pelajar dan mengajar mereka apakah aplikasinya dalam kehidupan. Maka akan terbentuklah satu sistem nilai dalam individu. Sebagai contoh, Sains merupakan satu kajian tentang 'sebab dan akibat'. Sebagai pendidik muslim sesuatu fakta sains itu mestilah kita kaitkan dengan nilai-nilai yang diajar dalam agama Islam. Barulah kita dapat melahirkan individu yang cemerlang dalam hidupnya dan pelajarannya.

Bayangkan kalau kita mengajar dalam bahasa asing, mungkin agak sukar untuk kita kaitkan dengan sistem nilai dalam kehidupan tentang sesuatu topik yang dibincangkan. Mungkin bagi mereka yang belajar dari luar negara mampulah menjelaskan perkaitan topik dengan sistem nilai dengan menggunakan bahas Inggeris (note: bagi pendidik yang ada fikrah Islam). Bagaimana dengan graduan tempatan kita? Mungkin mereka seorang pendidik yang berkualiti, tetapi kekangan bahasa menyebabkan maksud tidak kesampaian...
fikir-fikirkanlah!

Nota tambahan:
Saya baru baca email dari seorang warga UTMKL melalui email universiti. Beliau meluahkan dengan penuh kemarahan. "Ingat anak kita ni guinea pig..nak experiment sesuka hati - sekejap tukar. Ni tengah pening kepala nak memikirkan anak yang tahun ni akan mengambil UPSR kalau mereka nanti ada masalah masuk Form 4, sebab semuanya kena tukar balik ke BM. Tak hari ke tu...".

Lalu saya terfikir siapa punya angkara yang men'cacamarba'kan sistem pendidikan kita? Saya pun selalu juga jadi bahan experiment kepada kerajaan Malaysia. Time saya di universiti dulu, group kami lah yang pertama jadi bahan experiment nak tukar tempoh pengajian dari 4 tahun ke 3 tahun. Sudahnya group saya ni jadi 3 tahun setengah. Kami dikerah ambil semester pendek (6 minggu) untuk nak habiskan 2 subjek 'killer' iaitu
DNA Recombinant 1 & 2. Kami time tu duduk kat makmal dari pkl 8 pagi hingga 5 petang.Tuhan saje yang tau betapa stressnya kami pada waktu itu. Selepas group kami barulah dapat dilaksanakan tempoh pengajian 3 tahun. Bila dah jadi 3 tahun, setiap semester pelajar kena ambil sampai 21 kredit. Lepas dah tamat pengajian, masalah lain pula timbul iaitu lambakan graduan dan menyukarkan untuk mendapat kerja. Ingat tak siapa yang laksanakan sistem ini? Ya..Dato' Seri Najib Tun Razak....tanyalah beliau apakah hasil dari tindakan itu?

Sekarang ni nak laksana pula PPSMI yang masih tak jelas halatujunya. Sekarang ni nak ubah pulak. Sewajarnya "pihak yang berkuasa di dunia, khususnya di Malaysia" mesti buat kajian dulu sebelum melaksanakan sesuatu polisi...bukannya buat dulu baru fikir. Kenapalah tak guna otak untuk berfikir?
Sampai bila kita jadi begini?.....

Tuesday, 10 March 2009

Apa sudah jadi dengan negara Malaysia?




Assalamu alaikum dan Alhamdulillah. Moga kita semua sentiasa berada di bawah rahmatNya.


Kali ini saya ingin menyentuh isu PPSMI. Nampaknya menteri pelajaran masih lagi ingin melaksanakannya walaupun rakyat marhaen tidak bersetuju. Pada 7 Mac 2009 yang lalu kita menyaksi puluhan ribu rakyat yang menentang akan perlaksanaan PPSMI ini. Tahniah kepada rakyat Malaysia yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan. Tahniah dan syabas juga kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah satu asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.


Kenapa penentangan PPSMI ini berlaku? Kita menentang bukannya kita anti terhadap bahasa Inggeris, TETAPIpelaksanaan PPSMI ini mengakibatkan pelajar-pelajar luar bandar yang masih ketinggalan dalam bahasa Inggeris mendapat kelulusan rendah dalam pelajaran mereka. Masih banyak cara lain yang kerajaan dan menteri pelajaran boleh laksanakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran tersebut (matematik dan sains) hanyalah ”melepas batuk di tangga”. Belum tentu perlaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam dua subjek tersebut dapat menjamin penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar? Malah menyukar pelajar untuk meningkat kemahiran dalam subjek tersebut. Guru-guru mereka pun masih ramai yang tidak bersedia mengajar subjek tersebut dalam bahasa Inggeris. Situasi ini mengakibatkan ”yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Mungkin bagi anak-anak bangsawan, PPSMI ini sesuai kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka kuat sejak dari awal lagi. Oleh itu, mereka tidak menghadapi masalah untuk memahami pengajaran dalam bahasa Inggeris.

Seperti yang ditegaskan oleh Dr Awang Sariyan, asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen. Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI. Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan. Justeru, apakah muslihat kerajaan disebalik perlaksanaan PPSMI ini? Adakah mereka tidak faham undang-undang tersebut? Bagi pendapat saya, PPSMI ini terdapat banyak implikasi negatifnya terhadap pelajar terutama pelajar luar bandar. Alangkah indahnya, jika kementerian pelajaran fikirkan cara lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar terutama pelajar luar bandar bukannya dengan PPSMI tersebut. Pertingkatkan prasarana sekolah terutama di luar bandar seperti kemudahan perpustakaan dan komputer yang mencukupi. Wahai menteri pelajaran tolonglah turun ke sekolah-sekolah di luar bandar. Tengok dengan biji mata sendiri bagaimana kedhaifan mereka? Janganlah memaksa mereka untuk menerima sistem PPSMI tanpa menilai implikasinya ke atas mereka.


Kalaulah menteri pelajaran itu menggunakan otak untuk berfikir bukannya menggunakan kulit kepala untuk berfikir beliau akan nampak rasionalnya mengapa rakyat menentang PPSMI ini. Tidaklah menteri pelajaran kita berpandangan cetek dengan menuduh bahawa dalang kepada kebencian terhadap PPSMI ini ialah pembangkang khususnya PAS. Nampaknya, menteri pelajaran kita berfikir secara kebudak-budakan dengan menuding jari kepada pembangkang. Beliau melihat bahawa pembangkanglah yang menyebabkan penentangan terahadp PPSMI ini. Terencat urat saraf apabila membaca komen beliau itu. Seolah-olah menteri pelajaran itu tidak menggunakan otak sedarnya untuk berfikir mengapa puluhan ribu rakyat bangkit menentang PPSMI. Beliau hanya mampu berfikir bahawa pembangkanglah yang menyebabkan rakyat menentang PPSMI. Dangkal sungguh pemikiran itu dan tidak selayaknya untuk seorang menteri pelajaran malaysia. Pemikiran itu seperti pemikiran orang yang tidak berfikir menggunakan otak anugerah Allah. Sewajarnya, seorang menteri pelajaran hendaklah seorang yang rajin membaca dan berfikir dengan pemikiran yang luas. Sedarkah anda bahawa penentangan terhadap PPSMI ini bukan setakat di kalangan pembangkang tetapi juga di kalangan ahli akademik dan badan-badan NGO serta segelintir ahli umno yang masih sayangkan bangsa dan bahasanya. Cumanya ahli umno tersebut tidak berani bersuara kerana takut periuk nasinya melayang. Mungkin sebab itulah menteri pelajaran itu perasan hanya pembangkang saja yang exploit isu tersebut.

Sedarilah bahawa pembangkang hanyalah membantu rakyat untuk menyuarakan suara mereka. Kepada siapa lagi rakyat hendak mengadu? Buat aduan pada menteri pelajaran bukannya dilayan. Baru-baru ini pun, apabila rakyat hendak menyampaikan memorendum pada Yang Dipertuan Agong pun kena tembak dengan gas pemedih mata. Alangkah kesiannya rakyat Malaysia, hendak berjumpa dengan pemimpin untuk menyampaikan isi hati mereka pun kena diperlakukan sedemikan. Kalau rakyat Malaysia itu mengganas, maka wajar jugalah diperlakukan seperti itu oleh pihak polis. Tetapi rakyat hanya ingin menyampaikan sekeping memorendum untuk dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia. Pendatang asing dan penjenayah pula masih lagi mewah dan berkeliaran tetapi tidak pula ada gerak gempur untuk menghapuskan pejenayah di Malaysia secara besar-besaran. Mat-mat rempit masih lagi bermaharajalela tetapi tidak pula polis memberi kawalan ketat kepada mereka? Kanak-kanak yang hilang sampai sekarang belum ditemui?. Huh...adakah satu masa nanti bumi Malaysia itu hanya layak untuk didiami oleh manusia pak turut saja? Manusia yang tidak ada ’common sense’ dan tidak perlu berfikir hanya ikut apa saja pemimpin mereka buat? Apa yang terjadi pada Malaysia pada tahun 2020 kalau beginilah rupa pemimpin negara kita? Demokrasi sudah tidak berguna lagi.....rakyat kena terima saja apa pemimpin cakap. Renung-renungkanlah.....

Wallahu ’alam.

Monday, 9 February 2009

Mata bergerak-gerak (eyelid twitching): Antara pemikiran orang tua-tua dan pemikiran saintifik?


Sejak beberapa minggu saya mengalami masalah kelopak mata bergerak-gerak. Terasa rimas..sampai rasa berair mata. Menurut kepercayaan orang tua-tua, mata bergerak-gerak bermakna kita akan menerima berita yang sedih. Lalu, saya cuba search di internet tentang masalah ini. Berdasarkan pencarian saya dalam alam maya, ramai yang menghadapi masalah mata bergerak-gerak dan terdapat pelbagai andaian atau kepercayaan tentang perkara ini. Antaranya ada yang berpendapat seperti berikut: “kalau yang bergerak tuh kelopak mata kanan, ada sedara belah ayah yang meninggal , kalau belah kiri , ada sedara belah mak pulak yang meninggal” dan “kalau mata kanan yang bergerak, nak tengok orang atau nak jumpa orang jauh”. Ada juga yang kata “nak dapat berita baik”. Kalau kelopak mata kiri yang bergerak, katanya “ada berita kurang baik yang akan didengar dan akan menangis”.

Walaubagaimanapun, sebagai muslim kita minta jauh daripada mempercayai kepercayaan-kepercayaan seperti itu. Semua yang berlaku dalam kehidupan kita merupakan ketentuan dari Allah. Semoga yang terbaik juga yang kita akan perolehi. Kita hanya mampu berdoa semoga semua yang baik-baik sahaja yang kita akan dengar dan perolehi. Baik buruk sesuatu kejadian adalah ketentuan dariNya. Pasti ada hikmah di sebalik. Justeru, apa yang berlaku dalam hidup kita sesungguhnya tidak mempunyai kaitan dengan masalah mata bergerak-gerak. Kadang-kadang apa yang berlaku itu adalah secara kebetulan sahaja.


Saya juga turut membuat pencarian dalam internet untuk mengetahui punca-punca masalah ini. Saya perolehi beberapa maklumat penting berdasarkan pemahaman saintifik. Maklumat yang menarik ialah nama saintifik untuk penyakit mata bergerak ini ialah "myokymia". Berdasarkan kata-kata pakar masalah ini adalah akibat pergerakan otot di bahagian kelopak mata atas dan kadang-kadang di bahagian kelopak mata bawah bawah . Mata bergerak-gerak ini berkait rapat dengan stress, fatigue, kurang tidur dan overdose minum kopi. Anxiety/depression juga boleh mengakibatkan kepada masalah mata bergerak-gerak ini. Kerisauan yang terlalu tinggi dalam diri kita juga turut menyumbang kepada masalah ini. Faktor personaliti juga turut menyumbang kepada masalah ini.

Berdasarkan pengalaman saya, kesan daripada mata bergerak-gerak ini tidaklah terlalu serius. Kesan yang paling ketara ialah merimaskan kerana mata asyik bergerak dan menyebabkan gangguan emosi. Berdasarkan analisis saya terhadap diri saya mengapa saya mengalami masalah ini ialah ia berlaku apabila saya sentiasa risau. Kadang-kadang kerisauan saya terhadap keluarga yang jauh di kampung halaman. Kemungkinan juga mata saya mengalami keletihan kerana tugas-tugas saya sebagai penyelidik yang banyak menggunakan komputer. Boleh dikatakan saya mengadap komputer 8 jam sehari.


Penawar kepada masalah ini ialah perbanyakkan berehat dan berzikir pada Allah. Perbanyakkan juga membaca Al Quran dan terjemahannya agar hati kita sentiasa tenang apabila membaca ayat-ayat Allah. Moga hati kita sentiasa diberi ketenangan olehNya. Kalau simptom-simptomnya masih berterusan anda dicadangkan agar buat pemeriksaan mata kalau masih mengalami masalah yang sama ( kelopak mata bergerak-gerak).

Kesimpulannya, masalah mata bergerak-gerak ini tidak ada kaitan dengan kepercayaan orang tua-tua. Mungkin kalau sesuatu kejadian yang berlaku semasa kita mengalami masalah ini, ia hanyalah kebetulan sahaja. Sebagai umat Islam, sama-samalah kita elak daripada mempercayai kepercayaan ini kerana ia menghampiri kepada perkara-perkara khurafat. Yakinlah setiap kejadian itu adalah qada’ dan qadar Allah SWT. Wallahu ’alam.

Wednesday, 28 January 2009

Hanya diri kita memahami diri kita

Assalamu alaikum dan Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah kerana masih lagi memberi kesempatan untuk terus menghirup udara di muka bumi Allah ini. Mudah-mudahan kesempatan yang diberikan ini dapat dimanafaatkan untuk mencari Redha Allah swt. Rasanya dah lama tak update blog ini. Memang hajat dihati nak selalu update tetapi terdapat kekangan-kekangan yang tidak dapat dielakkan.

Kali ini saya nak coretkan sedikit pengalaman saya sebagai pelajar di NZ. Sebagai pelajar banyak benda yang perlu dipelajari bukan setakat untuk mengejar sijil tetapi di samping itu menambahkan ilmu demi untuk meningkatkan martabat sebagai seorang ilmuan yang bergelar PhD. Namun, ukuran kejayaan seseorang itu bukannya terletak pada ijazah PhD semata-mata tetapi hendaklah disertai dengan perubahan sikap dan pemikiran. Bak kata-pepatah: "Act locally, think globally". Daripada sikap dan pemikiran tersebut dapat melahirkan tingkahlaku positive dan barulah terserlah ciri-ciri sebagai cendikiawan. Terutamanya sebagai seorang muslim, menuntut ilmu ini merupakan satu amanah untuk meningkatkan imej umat Islam di dunia. Sebagaimana posting saya sebelum ini, kenapa Yahudi begitu powerful? Kerana mereka memiliki ilmu yang tinggi. Lantas mereka dapat mengawal ekonomi dunia. Sebagai umat Islam, adalah tanggungjawab kita untuk melakukan perubahan sikap dan pemikiran agar umat Islam tidak lagi ditindas dan dizalimi. Justeru, sejauhmanakah pengajian kita selama 3 atau 4 tahun ini benar-benar memberi 'high impact' kepada penjanaan daya intelek dalam diri kita? Fikir-fikirkanlah...

Pengalaman saya belajar di luar negara ini banyak memberikan input-input baru untuk direalisasikan apabila balik ke Malaysia nanti. Banyak penemuan-penemuan yang rasanya amat relevan untuk dibuat kajian di Malaysia. Namun, sejauhmanakah budaya penyelidikan di kalangan penyelidik di Malaysia? Kalau di luar negara, hasil-hasil penyelidikan para penyelidik diberi perhatian oleh kerajaan tanpa ada campurtangan politik. Malah kajian pelajar 'high school' pun diberi perhatian kalau hasilnya memberi impact kepada negara. Begitu tinggi nilai penyelidikan di luar neagar. Tetapi, di Malaysia, hasil kajian hanyalah tersimpan di perpustakaan sebagai bahan bacaan tanpa diberi perhatian untuk direalisasi terutama sekali bidang penyelidikan sains sosial. Peranan seorang pensyarah untuk melakukan research hanyalah memenuhkan CV untuk kenaikan pangkat kepada profesor. Suasana inilah yang kurang dipraktikkan di Malaysia.

Menyorot kepada sikap dan pemikiran pelajar Malaysia yang berada di luar negara lain pula kesnya. Apa yang saya perhati apabila berada di luar negara terlupa dengan budaya sendiri. Saya bagi contoh, antaranya terlalu biasa dengan acara 'potluck' sehingga buat tahlil pun nak kena ber'potluck'. Sudahnya program tahlil itu, acara kemuncaknya makan-makan dan bergelak ketawa. Begitu juga dengan budaya 'shopping'. Apabila seseorang itu membeli sesuatu barang misalnya 'breadmaker', TV plasma' dan sebagainya, masing-masing nak menunjuk dan membanding-bandingkan. Pada saya budaya ini kurang sihat kerana akan menyebabkan konflik antara satu sama lain. Begitu juga dengan acara makan-makan, kalau seseorang itu tidak dapat menghadiri, maka ianya menjadi satu isu besar dan macam-macam andaian yang diberikan, misalnya si anu ni dah stage kritikal, dan bla bla.... Walhal yang yang membuat andaian itupun bukannya bertanya khabar, adakah kawan tadi tak dapat menghadiri kerana ada kekangan, sakit dan sebagainya. Acara makan-makan dah menjadi acara wajib kepada pelajar Malaysia di luar negara. Apabila seseorang itu tidak dapat hadiri maka perbuatan tersebut dianggap 'pelik'. Tetapi perbuatan gossip, menunjuk dan sebagainya adalah sesuatu yang normal dan tidak 'pelik'. Itulah realiti pelajar Malaysia di luar negara berdasarkan pengalaman saya. Mungkin di Malaysia berlaku juga perkara yang sama tetapi tidak ketara kerana berada dalam lingkungan komuniti yang besar. Apabila di luar negara, lingkungan pelajar Malaysia adalah dalam komuniti kecil, justeru sikap dan pemikiran seseorang menjadi ketara. Kadang-kadang terdetik juga di hati, belajar tinggi-tinggi tetapi perangai macam jakun. Sungguh mengecewakan dan bagaimana nak membangunkan negara kalau pemikiran masih kekampungan. Rasanya fenomena ni pun sama di mana-mana tempat seperti UK, NZ dan US. Sikap dan pemikiran orang Malaysia masih lagi di tahap kelas ketiga. Justeru, itulah faktornya apabila balik Malaysia hanyalah bekerja untuk dapat gaji. Namun apa yang saya coret ini, bukanlah nak kata semuanya seperti itu, tetapi majoritinya begitu....

Berbalik kepada diri, kenalilah diri kita dan jauhi daripada sikap dan pemikiran kelas ketiga ini. saya pun sebenarnya banyak kena kata juga dengan orang-orang Malaysia di sini kerana selalu tidak menghadiri program makan-makan kerana itu bukan nature saya untuk selalu bersukaria. Ada masa saya join ada masa saya tak join supaya tak hilang fokus dan matlamat diri. kadang-kadang apabila terlalu banyak bersosial pun banyak perkara tidak sihat seperti mengumpat, gossip dan sebagainya yang membutakan hati kita. Justeru, hanya diri kita yang memahami diri kita. Usah fikirkan apa orang lain kata, yang penting diri kita berada di landasan yang benar, memang pahit apabila orang mengata kita di belakang tetapi kadang-kadang yang pahit itu ada manisnya...

Wassalam

Sunday, 4 January 2009

Bumi Palestin bermandi darah lagi...

Kehadiran Tahun 2009, dunia Islam sekali lagi dikejutkan dengan serangan Isreal ke atas bumi Palestin. Malah Amerika Syarikat juga merestui tindakan rejim zionis tersebut sebagaimana yang dilaporkan dalam berita sisipan dibawah. Sebagai umat Islam, marilah kita sama-sama berdoa dan solat hajat agar Allah memberi perlindungan kepada saudara seagama kita diPalestin dan Allah membalas kezaliman tentera Israel tersebut. Sebagai umat Islam juga marilah kita buat sesuatu yang boleh memberi kesan kepada AS. Setidak-tidaknya sebagai pengguna, umat Islam boleh menggunakan kuasa beli dan ekonomi untuk menghukum AS. Seramai 1.3 bilion umat Islam di dunia. Sekiranya semua umat Islam bersatu hati, kita mampu melingkupkan ekonomi Amerika Syarikat yang angkuh itu. Perkembangan terbaru di Gaza, lebih 435 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan berterusan tentera Israel sejak awal minggu ini.

Kita pun sudah bosan dengan reaksi dunia termasuk negara-negara Islam terhadap kekejaman Israel. Kita berterusan mengharapkan AS semata-mata sedangkan itu tidak mungkin berlaku. Malah AS sendiri telah mengkhianati negara-negara Islam yang semasa era Perang Dingin telah menyokong Washington berbanding blok komunis diketuai Rusia. Dunia Arab pula kebanyakannya ‘tidak boleh pakai’ dan rela menjadi boneka AS. Begitu juga dengan Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) yang Malaysia turut menjadi anggotanya, hanya banyak bercakap tetapi tidak bertindak.

Sebagai umat Islam yang tidak mempunyai apa-apa ini, hanya doa saja yang mampu kita gunakan untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin. Ameen Ya Allah..


Gambar menunjukkan seorang ibu dan anak lelakinya duduk di atas runtuhan rumahnya yang musnah dibom oleh Israel di Rafah.

Berita sisipan:
Amerika restu Israel

ISRAEL TERUS MENYERANG... WASHINGTON 3 Jan. – Amerika Syarikat (AS) menegaskan tentera Israel bebas untuk melancarkan serangan udara dan darat ke atas Gaza.
Berikut adalah kenyataan White House melalui Timbalan Setiausaha Akhbarnya, Gordon Johndroe berhubung isu itu seperti dipetik oleh agensi berita AFP.


Terkini
* Jet-jet pejuang Israel awal pagi ini menyerang Masjid Ibrahim Al-Maqadna, Gaza, mengorbankan 13 orang termasuk dua kanak-kanak ketika lebih 200 jemaah sedang solat. Lebih 60 cedera dalam serangan itu.
* Beberapa serangan lain dilakukan di sekolah, lapangan terbang dan pelabuhan mengakibatkan empat terbunuh termasuk dua komander Hamas.

Friday, 28 November 2008

Syuhada Bali

Assalamu alaikum dan Alhamdulillah. Baru hari ini saya dapat menjenguk blog setelah bercuti selama 4 hari 5 malam di beberapa lokasi South Island New Zealand. Sepanjang dalam percutian saya telah banyak memerhati tentang keindahan alam ciptaan Allah. Maha suci Allah yang mencipta alam ini dengan begitu unik.

Sebenarnya satu isu yang saya ingin kupas kali ini ialah berkaitan dengan Almarhum Amrozi, Almarhum Mukhlas dan Almarhum Imam Samudera. Mereka telah menjalani hukuman bunuh dengan ditembak pada tengahmalam 12 Zul Qaedah 1429 bersamaan 10 November 2008. Pertuduhan yang disabitkan atas mereka khususnya adalah berkaitan dengan pengeboman Bali. Dalam keadaan umat Islam sibuk untuk mengerjakan haji dan 'ibadah qurban, mereka dipanggil kembali kepada Allah. Moga darah pengorbanan mereka yang mengalir dibumi tidak dipersia-siakan. Ramai umat Islam yang berpandangan bahawa kematian mereka merupakan syahid di jalan Allah dan tidak kurang juga yang mengutuk tindakan mereka. Namun pada saya syahid atau tidak hanya kepada Allah kita berserah. Sebagai saudara seagama hanya mampu untuk berdoa agar roh-roh mereka dimasukkan di kalangan para syuhada'. Panggilan syahid yang ditujukan kepada mereka oleh ribuan umat Islam juga merupakan satu doa agar mereka benar-benar di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Dari segi kewajaran terhadap tindakan mereka, secara umumnya saya tidak bersetuju tindakan membunuh orang awam yang tidak terlibat didalam peperangan. Namun isu ini perlu dilihat secara global. Walaupun tidak ada perisytiharan perang secara rasmi terhadap umat Islam, namun dunia dapat melihat bagaimana umat islam dizalimi, dianiaya, dirakusi, dijajah dan diperlakukan dengan pelbagai macam kazaliman dan keaiban. Sebagai umat Islam, mana mungkin kita dapat bertahan dengan penyeksaan umat Islam di Palestin, Ambon, Afghanistan dan lain-lain tempat. Tidak ada mana-mana umat islam yang punya sedetik iman pun yang boleh berdiam diri melihat saudara-saudaranya diperlakukan sedemikian. Pertubuhan Negara Islam pula sekadar menjadi tempat berforum tanpa tindakan. Kedayusan negara-negara dan pertubuhan umat Islam dalam menghadapi kemelut ini, maka tidak hairanlah muncul golongan-golongan dan individu-individu Muslim yang bangkit mempertahankan umat Islam. Mereka muncul dengan memberi harapan bahawa ada pembela bagi umat Islam. Mungkin tindakan Almarhum Amrozi, Almarhum Mukhlas dan Almarhum Imam Samudera dianggap sesetengah pihak sebagai keterlaluan. Namun pembunuhan terhadap mereka akan membuka mata umat Islam khasnya dan dunia umumnya akan kemelut yang sedang dihadapi oleh umat Islam. Sudah tentu ada yang tidak kena apabila pendakwah-pendakwah seperti mereka tiba-tiba bangkit membela umat Islam. Selagi kezaliman, penganiayaan, kerakusan, pembunuhan, penjajahan diperlakukan terhadap umat Islam ini berterusan..selagi itulah akan muncul pejuang-pejuang seperti mereka.

Almarhum Dr. Azahari, Almarhum Amrozi, Almarhum Mukhlas, Alamrahum Imam Samudera telah membayar dengan harga yang mahal demi satu keimanan. Moga Allah membayar nya kembali kepada mereka dengan harga syurga firdaus. Moga Allah memberikan keampunan dan rahmatNya kepada kesemua pejuang-pejuang dan para hizbullah semua. Amin ya robbal 'alamin..

Sunday, 16 November 2008

Indahnya hidup bersama Islam - Bhg. 1

Bermulanya satu pencarian

Saya dilahirkan dalam keluarga yang berketurunan kadazan dari Daerah Kota Belud. Disamping itu, ada kacukan dari kaum Cina sebelah mak. Walaubagaimanapun saya dibesarkan dalam lingkungan kaum Kadazan. Kadazan merupakan penduduk pribumi/bumiputera Sabah yang terbesar. Menurut moyang saya, asalnya Kadazan ini tidak mempunyai agama. Mereka menyembah pokok Ara kerana kepercayaan mereka terhadap kekuasan pokok tersebut. Saya masih ingat lagi sewaktu saya berumur 8 tahun apabila ada orang sakit di kampung saya, maka orang kampun akan "megambil" untuk menyembuh penyakit si pesakit dengan memanggil roh. Dalam upacara ini mereka akan menyembelih ayam dan membaca mentera. Upacara ini dilakukan pada tengah malam di kalangan orang tua-tua sahaja. Satu hari saya telah mengambil kesempatan untuk melihat upacara tersebut secara curi-curi. Dalam upacara tersebut saya mendengar orang yang mengetuai upacara tersebut sedang 'deal' dengan roh jahat supaya keluarkan penyakit si pesakit tersebut. Keesokannya saya dapati orang yang sakit itu sembuh dari penyakitnya. Begitulah mujarabnya doa mereka kerana dilakukan dengan penuh "keyakinan". Pada waktu itu persoalan di kepala saya ialah bagaimana ia terjadi? Siapakah kuasa ghaib tersebut? Persoalan inilah yang sentiasa berlegar-legar di kepala saya sejak dari kecil lagi. Saya mula terfikir bahawa semua manusia ini mempunyai naluri untuk mempercayai 'kuasa ghaib' tersebut. Cumanya, mungkin dakwah tidak sampai kepada mereka dan tidak ada pendedahan menyebabkan mereka terus hidup dalam kejahilan dengan kepercayaan itu.


Kedatangan mubaligh Kristian ke Sabah telah mengubah landskap agama di kalangan Kadazan. Kehadiran mubaligh Kristian atau 'gembala' ke kampung kami telah menarik ramai penduduk kampung memeluk agama Kristian termasuklah ibu bapa saya. Mereka mudah menerima agama Kristian kerana ianya mudah untuk diamalkan dan tidak membebankan. Walaubagaimanapun, di kalangan orang-orang tua mereka sukar untuk menerima agama Kristian kerana mereka tidak mahu meninggalkan kepercayaan nenek moyang mereka. Tetapi berkat kesabaran 'gembala-gembala' tersebut lama-kelamaan ramai di kalangan mereka menerima agama Kristian. Maka di kampung kami lebih kurang 99% telah beragama Kristian. Gembala-gembala Kristian ini telah menyuburkan lagi semangat gotong royong yang sedia ada di kalangan Kadazan. Gembala-gembala tersebut suburkan dengan cara yang lebih kreatif menyebabkan penduduk kampung semakin kuat kepercayaan kepada agama kristian.


Apabila saya memasuki alam persekolahan (sekolah rendah) saya telah mengenali seorang ustaz dari semenanjung yang kebetulan baru di 'posting'kan ke sekolah saya. Pada waktu ini, di sekolah saya hanya 0.1% sahaja pelajar beragama Islam. Saya masih ingat lagi apabila ustaz ini mengajar subjek agama terpaksa buat di luar sekolah kerana alasannya pelajarnya sikit sahaja. Maka kelas tersebut pun diadakan ditangga sekolah atau kawasan lapang dan pelajar terpaksa duduk mencangkung kerana tiada 'facilities' yang disediakan. Subjek agama ini seolah-olah dianak tirikan oleh pihak sekolah. Tetapi pada ketika ini saya pun belum lagi memahami politik semasa di sekolah saya..lalu hanya menerima sahaja apa yang ada. Saya turut join kelas tersebut kerana ianya sangat menarik. Ustaz tersebut banyak bercerita tentang sejarah Islam dan sangat menarik minat saya bagaiamana perjalanan kehidupan Nabi Muhammad sejak dari kecil hinggalah menjadi Rasul Allah. Perjalanan hidup Rasulullah yang diceritakan oleh ustaz tersebut menarik minat saya untuk mendalami agama Islam. Ustaz itu juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas agama secara senyap-senyap di waktu malam dan di buat di rumahnya. Beliau mengajar cara-cara solat dan bab-bab akidah dalam Islam. Isteri ustaz tu juga seorang yang baik. Malah saya telah menjadi anak angkat mereka. Pengorbanan dakwah mereka sangatlah besar. Dengan iltizam ustaz tersebut saya boleh membaca tulisan jawi sejak sekolah rendah lagi. Namun kehadiran ustaz ini kurang disenangi oleh penduduk kampung dan telah ditukarkan ke sekolah lain. Sehingga kini saya tidak lagi berjumpa dengan ustaz tersebut. Moga beliau terus istiqamah dalam perjuangan dan sentiasa diberkati Allah. InsyaAllah ada kesempatan saya akan sambung bercerita bagaimana akhirnya saya diberi kekuatan untuk menerima Islam sepenuhnya...

Wednesday, 12 November 2008

Pastikan kriteria kemasukan ke SBP dipatuhi

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan Khamis ini. Sudah tentulah banyak calon yang berkira-kira untuk memohon masuk ke sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) sekiranya memperoleh keputusan 5A. Sebagaimana difahami, antara lain tujuan asal penubuhan SBP adalah untuk menempatkan pelajar-pelajar luar bandar yang terbukti cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum agar mereka dapat menikmati kemudahan yang lengkap dan sempurna setanding dengan rakan-rakan mereka di bandar. Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya bersekolah di SBP, matlamat penubuhan SBP nampaknya tersasar kerana ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan tinggi turut ditempatkan di SBP. Pengalaman saya bersekolah di SBP Sabah, saya anggarkan lebih 80% adalah anak-anak orang politik dan golongan berpendapatan tinggi. Secara tidak langsung, pelajar miskin yang jauh di pedalaman telah dinafikan akan haknya. Apatah lagi jika mereka mendapat 4A dan lebih rendah daripada itu tentulah sukar untuk menjejakkan kaki ke SBP. Senario ini pastinya mengundang ketidakselesaan dan putus asa di kalangan pelajar-pelajar luar bandar sekiranya tidak diberi perhatian khusus.

Pada pandangan saya, pelajar luar bandar yang memperoleh 5A atau 4A, jika diberi peluang dan kemudahan yang lebih sempurna dan selesa, besar kemungkinan potensi diri mereka akan lebih menyerlah. Manakala pelajar daripada golongan yang berpendapatan tinggi, ibu bapa mereka berupaya menyediakan bilik belajar yang sempurna di rumah dengan buku rujukan yang lengkap, kemudahan Internet, guru tuisyen dan persekitaran yang kondusif.

Semestinya hal ini diberi perhatian kerana inilah masa dan ketikanya pelajar-pelajar luar bandar diberi peluang dan ruang secukupnya agar mereka mampu bersaing di atas padang yang sama rata berbanding rakan-rakan mereka di bandar yang sudah terbukti mempunyai kemudahan dan prasarana yang lebih daripada mencukupi sehingga mampu melonjakkan mereka dalam bidang akademik dan prestasi yang lebih baik.

Wednesday, 23 April 2008

Ada PhD belum tentu cendekiawan

Oleh A. MURAD MERICAN

TIDAK dapat dinafikan bahawa ijazah doktor falsafah (PhD) mempunyai nilai yang tinggi dan amat berguna kepada kesejahteraan kehidupan manusia. Dan terdapat pelbagai pandangan dan perspektif tentang ijazah tersebut seperti yang telah diajukan dan dibincangkan sebelum ini. Namun terdapat beberapa aspek yang perlu diperjelaskan dari penulisan Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil yang bertajuk Bukan mudah dapat PhD (Utusan Malaysia, 14 April).

Beliau menyatakan bahawa pensyarah yang tidak mempunyai PhD 'belum sempurna keilmuannya' kerana seseorang itu tidak didedahkan dengan kaedah pengajian dan penyelidikan. Sebenarnya, ilmu yang ada pada seseorang itu tidak akan sempurna, tidak kira sama ada seseorang itu memiliki ijazah atau tidak.

Di Malaysia, segulung ijazah PhD dianggap sebagai puncak kejayaan dan kesempurnaan seseorang dari segi kebijaksanaan dan keilmuannya. Tetapi adapun pendapat yang menyatakan bahawa segulung ijazah, apatah lagi PhD merupakan permulaannya pencarian ilmu atas perasaan ketidaksempurnaan ilmu yang sedia ada pada seseorang itu.

Dalam kita mengukur keupayaan seseorang guru di universiti misalnya, keperluan PhD tidak sama dengan sumbangannya kepada kesarjanaan. Umumnya, PhD adalah satu kelayakan dalam bentuk ijazah yang dianugerahkan kepada seseorang itu apabila beliau telah menyempurnakan keperluan dan syarat-syarat dari sesebuah universiti. Salah satunya ialah menyiapkan tesis di bawah seorang penyelia atau beberapa orang (mungkin dua atau lebih) yang bertindak sama ada sebagai penyelia bersama, atau penyeliaan oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa sarjana.

Ijazah doktor falsafah pertama dianugerahkan oleh Universiti Paris tahun 1150. Bagaimanapun, gelaran 'PhD' hanya membawa maksud yang diterima pada zaman ini sebagai ijazah tinggi kedoktoran bermula dari amalan universiti-universiti di Jerman.

Apa yang perlu dimaklumkan di sini ialah ijazah PhD diberikan kepada seseorang pelajar yang telah menamatkan sesuatu kajian pasca siswazah dan dengan jayanya mempertahankan tesis beliau yang mengandungi kajian asli dalam bidang sains atau ilmu kemanusiaan.

Di Eropah moden, amalan tersebut dimulakan pada abad kesembilan oleh Friedrich Wilhelm University di Berlin. Amalan penganugerahan ijazah PhD itu kemudiannya digunakan oleh Yale University tahun 1861 dan kemudiannya di United Kingdom pada tahun 1917.

Tidak semestinya sesebuah tesis itu menghasilkan teori baru. Penulis Dr. Mohamed Azam menyatakan "…kalau ia tidak membuahkan satu teori baru, ia tidak dianggap tesis PhD". Apa yang pentingnya di sini ialah sesebuah tesis itu merupakan sesuatu penyelidikan asli yang menjurus kepada sesuatu penemuan atau tafsiran yang belum pernah wujud sebelumnya.

Juga perlu disebutkan bahawa ijazah PhD bukanlah tanda aras bagi seseorang itu 'dianggap sebagai seorang scholar'. Perlu kita ingat bahawa seseorang yang memperolehi ijazah PhD tidak semestinya seorang sarjana, ilmuwan atau cendekiawan.

Malangnya di Malaysia misalnya, ramai yang menganggap mereka ataupun diri mereka sendiri itu sebagai sarjana atau cendekiawan selepas memperolehi PhD. Sebenarnya, seseorang itu menjadi sarjana - dalam erti kata kewujudan ciri-ciri kesarjanaan sebelum memperolehi ijazah PhD.

Dan kita perlu ingat, ijazah kedoktoran seperti D. Econs (Doktor Ekonomi) atau D. Sc.(Doktor Sains) adalah lebih tinggi daripada ijazah doktor falsafah. Daripada apa yang diperhatikan, walaupun pada umumnya, setiap penyelidikan ke arah menghasilkan sebuah tesis itu perlu merangkumi dimensi-dimensi falsafah seperti epistemologi, ontologi, aksiologi, teleologi, tidak semua lulusan PhD perlu melalui pengalaman pembelajaran seperti itu.

Dan ini banyak bergantung kepada tradisi sistem, dan keperluan universiti dalam mengendalikan program ijazah tinggi.

Dalam sistem sesebuah universiti dalam atau luar negara, terdapat pelbagai pendekatan dan prosedur, serta mazhab pemikiran yang mempengaruhi, menentukan dan mencorak topik penyelidikan.

Apa yang penting ialah negara dan masyarakat kini memerlukan kualiti pemikiran yang tinggi, menyeluruh dan merentasi pelbagai pembahagian disiplin. Dan ini tidak semestinya diterjemahkan dengan kuantiti mereka yang memperolehi PhD. Kemajuan dan gagasan yang ada pada sesebuah masyarakat dan negara itu bukan bergantung kepada sekeping ijazah hasil daripada kepayahan menjalankan penyelidikan bertahun-tahun lamanya.

Walaupun PhD itu penting sebagai satu proses dan keperluan sesuatu sektor bidang ilmu dan amali untuk kesejahteraan masyarakat dan kemanusiaan, ia bukanlah satu izin berbahas tentang apa sahaja atau menggelar diri itu sebagai cerdik pandai dan mahir kepada semua bidang dan kepakaran kehidupan.

Sebenarnya, ijazah PhD perlu menyedarkan kita betapa kerdilnya ilmu yang ada pada kita ini. Kita perlu sedar bahawa kita ini miskin ilmu, tidak kira betapa tinggi kelulusan kita. Pengajarannya ialah kemiskinan ilmu yang ada pada kita merupakan pencetus kepada kesedaran tentang kekayaan ilmu di alam semesta ini.

Juga, ramai pemegang PhD berhenti menulis setelah memperolehi ijazah. Dan penulisan akademik dan kesarjanaan dalam bentuk buku ilmiah dan jurnal-jurnal tidak menjadikan seseorang itu sebagai sarjana dan cendekiawan.

Kita boleh menggalakkan penulis dan wartawan memiliki ijazah PhD. Yang membezakannya ialah kecenderungan berfikir dan berhujah dalam melihat sesuatu permasalahan itu serta menawarkan perspektif dan cara-cara menangani dan mengatasinya. Fakir miskin akan melihat kepada khazanah dan kekayaan dunia bagi mengatasi masalahnya.