Wednesday, 12 November 2008

Pastikan kriteria kemasukan ke SBP dipatuhi

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan Khamis ini. Sudah tentulah banyak calon yang berkira-kira untuk memohon masuk ke sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) sekiranya memperoleh keputusan 5A. Sebagaimana difahami, antara lain tujuan asal penubuhan SBP adalah untuk menempatkan pelajar-pelajar luar bandar yang terbukti cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum agar mereka dapat menikmati kemudahan yang lengkap dan sempurna setanding dengan rakan-rakan mereka di bandar. Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya bersekolah di SBP, matlamat penubuhan SBP nampaknya tersasar kerana ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan tinggi turut ditempatkan di SBP. Pengalaman saya bersekolah di SBP Sabah, saya anggarkan lebih 80% adalah anak-anak orang politik dan golongan berpendapatan tinggi. Secara tidak langsung, pelajar miskin yang jauh di pedalaman telah dinafikan akan haknya. Apatah lagi jika mereka mendapat 4A dan lebih rendah daripada itu tentulah sukar untuk menjejakkan kaki ke SBP. Senario ini pastinya mengundang ketidakselesaan dan putus asa di kalangan pelajar-pelajar luar bandar sekiranya tidak diberi perhatian khusus.

Pada pandangan saya, pelajar luar bandar yang memperoleh 5A atau 4A, jika diberi peluang dan kemudahan yang lebih sempurna dan selesa, besar kemungkinan potensi diri mereka akan lebih menyerlah. Manakala pelajar daripada golongan yang berpendapatan tinggi, ibu bapa mereka berupaya menyediakan bilik belajar yang sempurna di rumah dengan buku rujukan yang lengkap, kemudahan Internet, guru tuisyen dan persekitaran yang kondusif.

Semestinya hal ini diberi perhatian kerana inilah masa dan ketikanya pelajar-pelajar luar bandar diberi peluang dan ruang secukupnya agar mereka mampu bersaing di atas padang yang sama rata berbanding rakan-rakan mereka di bandar yang sudah terbukti mempunyai kemudahan dan prasarana yang lebih daripada mencukupi sehingga mampu melonjakkan mereka dalam bidang akademik dan prestasi yang lebih baik.

No comments: