Thursday, 6 November 2008

Obama, Presiden baru AS

Moga pemilihan Obama benar-benar dapat memberi perubahan baru kepada hubungan dunia Barat dengan Islam sebagaimana yang diharapkan oleh kebanyakan negara-negara Islam. Orang ramai dari seluruh dunia seolah turut membuat perubahan ke atas Presiden Amerika kerana terlalu benci kepada dasar luar dan tindakan ganas George W Bush.

Nampaknya semua pemimpin negara dunia dan Malaysia memberi pengharapan tinggi kepada Obama. Mudah-mudahan Obama akan dan mampu melakukan semua yang dijanjikan dalam manifesto kempennya. Dua perkara besar yang ditunggu oleh dunia untuk diperhatikan oleh Obama. Pertama mengenai permukiman tentera Amerika di bumi Iraq dan Afghinstan. Dan kedua usaha untuk memulihkan ekonomi / kewangan Amerika yang dalam keadaan tenat kini.

Obama berjanji dalam tempoh 16 bulan beliau menjadi Presiden Amerika beliau akan menarik balik tentera Amerika di Iraq. Bagaimana pun beliau akan mengukuhkan kedudukan tentera Amerika di Afghanistan. Tentunya tindakan kedua Obama itu berbau pengkhianatan dan keganasanan yang dimulai oleh George W Bush.

Sudah pasti sekiranya Obama tidak melaksanakan janji atau komitmen ini dan terus mengekalkan memperkuatkan kedudukan tentera Amerika di Afghanistan lama kelamaan pemujaan umum kepada beliau akan pudar. Apa lagi kalau beliau memungkir janiji ini Obama boleh dibenci dunia dalam sekelip mata sahaja.

Buat masa ini sukar untuk menilai sejauh mana Obama dapat mengotakan janji-janjinya untuk memulihkan hubungan tersebut.Yang pastinya sewaktu kempen Presiden sebelum pemilihan dilakukan Obama dilihat agak resistant apabila beliau dikaitkan dengan Islam. Sama-samalah kita tunggu dan lihat sejauhmana Obama dapat mengotakan janji-janjinya..


Sisipan berita:

WASHINGTON 5 Nov. – Barack Obama, hari ini memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencipta sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Britain.

Obama, 47, yang mewakili Parti Demokrat mengetepikan pencabar kuat daripada Parti Republikan, John McCain dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih (BPP) di seluruh negara melepasi undi minimum sebanyak 270 undi BPP bagi melayakkan seseorang calon untuk diisytihar menang bagi menduduki White House.

McCain yang bergandingan dengan Gabenor Alaska, Sarah Heath Palin sebagai calon Naib Presiden hanya memperoleh 163 undi BPP.

Keputusan pilihan raya di North Carolina (15 undi) dan Missouri (11) kesemuanya melibatkan sebanyak 26 undi BPP masih belum diputuskan.

Jika undi BPP di kedua-dua negeri itu diambil kira, jumlah undi BPP yang bakal diterima oleh Obama dan McCain akan turut meningkat, tetapi tidak akan mengubah kemenangan Obama.

Senator Joe Biden, Senator dari Delaware akan mengiringi Obama sebagai Naib Presiden.

Kemenangan Obama banyak disumbang oleh pengundi wanita, kulit hitam dan mereka yang berketurunan Hispanik, selain pengundi bebas.

Obama turut berjaya ‘merampas’ undi mencukupi daripada pengundi kulit putih yang selama ini banyak memberi sokongan kepada Parti Republikan, untuk membantunya mengetepikan McCain.

Kejayaan Obama bukanlah satu perjalanan yang mudah buat anak kelahiran Hawaii ini, kerana beliau telah menempuh pertarungan sengit sejak hampir 24 bulan lalu, sebelum menempatkan dirinya sebagai lelaki paling berkuasa di dunia pada masa ini.

Bermula dengan perlumbaan sengit dengan bekas wanita pertama AS, Hillary Rodham Clinton bagi merebut tempat sebagai calon Presiden AS mewakili Parti Demokrat, Obama kemudian meneruskan persaingan dengan tokoh politik veteran, McCain yang sehingga saat akhir tidak berputus asa terus berkempen, walaupun tinjauan pengundi di seluruh AS mendapati Obama telah meninggalkan veteran tahanan perang Vietnam itu jauh di belakang.

Kemenangan Obama bukan sahaja disambut gembira oleh seluruh keluarganya, penyokong Parti Demokrat dan rakyat AS, malahan seluruh dunia yang mahu melihat reformasi yang diutarakan oleh Senator Illinois itu akan membawa perubahan termasuk kepada AS, yang kini mengalami kegawatan ekonomi tetapi juga kepada geopolitik dunia.

Obama bukan sahaja menjanjikan pembaharuan dan perubahan bagi rakyatnya, tetapi juga berjanji untuk mengubah imej AS yang kini terjejas teruk di mata dunia akibat tindak-tanduk kerajaan di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush selama lapan tahun sejak 2000.

Dalam ucapan sulungnya sejurus selepas diumumkan sebagai pemenang lewat tengah malam tadi di Grant Park, Chicago bandar kediamannya, Obama menyeru seluruh rakyat AS bersatu dan bersedia menyahut cabaran untuk membawa perubahan kepada AS.

Pemimpin-pemimpin dunia turut memberi reaksi atas kemenangan Obama dengan kebanyakan mereka mengucapkan tahniah. Iran memberi reaksi yang berbeza apabila tentera negara itu memberi amaran akan mengambil tindakan keras kepada tentera AS di Iraq kerana menceroboh wilayah Teheran.

Kemenangan Obama disambut begitu meriah dengan pelbagai upacara sambutan diadakan di seluruh AS.

Di pekan Kongelo, Kenya tempat asal usul keluarga sebelah bapa Obama turut meraikan kemenangan Obama itu dengan irama lagu dan tarian.

Di Jakarta, sekolah rendah tempat Obama belajar semasa tinggal di ibu kota Indonesia itu sekitar 1960-an turut meraikan kemenangannya.

Pilihan raya Presiden AS kali ini turut diadakan serentak dengan pilihan raya Senat di 33 negeri dan pilihan raya Dewan Perwakilan di semua 50 negeri dan pilihan raya Gabenor di 11 negeri.

Pada pilihan raya Senat, Parti Demokrat mengukuhkan majoriti di kedua-dua dewan Kongres AS, sekali gus menjadikan lebih mudah untuk Obama melaksanakan agenda pembaharuannya.

Demokrat menambah lima lagi kerusi di Senat dalam pilihan raya semalam, untuk meningkatkan majoriti mereka kepada sekurang-kurangnya 56 kerusi di dewan tertinggi yang mempunyai 100 anggota itu.

Sebanyak 35 daripada 100 kerusi itu dipertandingkan semalam.

No comments: