Kadang-kadang apa yang terbuku di hati sukar ditafsirkan melalui raut wajah dan tingkah laku. Dalam teori-teori psikologi banyak mengaitkan sesuatu tingkah laku itu terbit daripada apa yang terbuku dalam jiwa seseorang. Imam Al Ghazali juga banyak menekankan soal hati dalam pembentukan peribadi seseorang.
Hati memberi kesan ke atas setiap tingkah laku dan tutur kata kita. Bersihnya hati kita maka bersihlah tingkah laku dan perbuatan kita. Bersihnya hati kita maka kuranglah prasangka kita terhadap orang lain. Bersihnya hati kita maka kuranglah kita bercakap tentang hal-hal orang lain. Tetapi manusia memang cenderung dan suka kepada 'gosip' dan mengata hal-hal orang. Jika perbuatan mengata tersebut untuk kebaikan tidak mengapa tetapi kalau hanya untuk mengumpat dan bersaing-saing ianya boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia. Di dalam Al Quran awal-awal telah memberi peringatan berkaitan dengan azab bagi mereka yang suka mengata dan mengumpat orang.
Bagi diri kita demi mengelakkan daripada terjebak dengan perbuatan 'gosip', kita kena faham bahawa manusia boleh memberi pelbagai penafsiran terhadap seseorang. Hakikat yang perlu kita terima ialah penafsiran setiap orang adalah berbeza. Selalulah meletakkan diri kita di tempat orang lain supaya kita menyelami keadaan orang lain dan tidak bertindak mengikut kata hati atau andaian sendiri sendiri sahaja. Kadang-kadang perbuatan 'mengata orang' datang secara tidak langsung kepada kita. Mungkin di tempat kerja atau mungkin dalam kelompok masyarakat kita. Kalau kita dengar orang mengata hal-hal orang cepat-cepatlah kita muhasabah dan keluar dari kelompok perbincangan tersebut.
Begitu juga dengan hubungan kita dengan rakan, jika kita ada masalah yang dihadapi luahkan masalah tersebut dengan cara berhikmah. Janganlah pula masalah tersebut kita hebohkan kepada orang yang bukan sepatutnya hingga menjadi 'gosip' atau bahan umpatan orang. Jika ini berlaku ianya akan menjadi barah yang sukar diubati. Sebagai contoh hubungan dengan kawan -kawan. Jika kita berasa tidak selesa dengannya atau kerap tersinggung, maka perlu diluahkan dengan berhikmah agar tidak dipendam dan lama kelamaan mengeruhkan hubungan persahabatan.
Cara meluahkan perasaan juga perlu betul. Ini supaya tidak timbul kesan buruk yang lain pula. Bercakap dengan nada yang lembut, dalam suasana yang mesra dan berbincang dari hati ke hati. Semasa perbincangan elakkan dari menyalahkan, menyerang dan terlalu mempertahankan diri. Ini akan menimbulkan ketegangan perbincangan. Adalah lebih elok kita mengakui kekurangan dan kesilapan diri. Bersikap rendah diri. Minta penjelasan dengan baik jika mahukan penjelasan. Akhiri perbincangan dengan segera memohon maaf. InsyaAllah akan jernih kekeruhan.
1 comment:
A good one, kak aisyah sebagai muhasabah diri.
Kadang2 kita ni terlampau terbiasa berckp psl hal org, smpai tak sedar kadang2 tu dah masuk dlm kategori mengata dan mengumpat. kadang2 hal yang tak kena mengena dengan kita pun sedap juga nak bercakap.
Byk sgt bercakap tentang kelemahan orang lain, smpai lupa kita ni pun tak sebaik mana.. :)
Post a Comment