Dalil puasa sunat Syawal
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. (Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa setahun.
Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah SWT maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah puasa sunat Syawal
Puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberi ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain itu, sebagai manusia yang menjadi hamba Allah, alangkah baik seandainya amalan puasa yang wajib pada bulan Ramadan ini kita teruskan di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari.
Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada tuhannya. Sebab itulah kata ulama: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai”.
No comments:
Post a Comment