Ayat yang saya paprkan diatas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengarahkan umat Islam agar masuk yang bererti menerima Islam secara keseluruhannya tanpa berbelah bagi. Seperti juga dalam doa iftitah yang sering kita baca dalam setiap solat, 'sesungguhnya solatku, segala ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan sekelian alam ini'. Begitulah juga dengan doa yang dibaca melalui surah al-Fatihah, 17 kali sehari semalam, iaitu 'tunjuklah kami jalan yang lurus'.
Masuk atau menerima Islam secara keseluruhannya seperti dalam ayat di atas, boleh disimpulkan seperti di bawah ini :
1- Menerima Islam sebagai cara hidup. Yakni, segala suruhan dan larangan yang anjurkan oleh agama kita tunaikan. Sebagai muslim, kita terjemahkan keindahan Islam itu dalam diri kita dan bukanlah sekadar atas nama sebagai beragama Islam.
2- Menerima Islam sebagai penyelesai kepada semua masalah. Apa-apa pun masalah yang melanda kita biarlah kita kembali kepada ajaran agama.
3- Menyedari bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah. Keyakinan ini akan menyebabkan kita tidak goyah akidah walau pun kita berada dalam keadaan kesempitan dan sebagainya. Hatta, walaupun kita dipulaukan oleh masyarakat kita tetapi kita tetap berpegang teguh pada agama Allah dan bukanlah ianya dipertaruhkan dengan sebegitu murah nilainya. Contohnya, apabila sesorang itu tertekan atas kemiskinan atau dipulau oleh rakan-rakan, lalu kita ugut bahawa kita akan keluar dari agama Islam. Perbuatan seperti ini menunjukkan betapa lemahnya iman kita kepada Allah SWT. Justeru, kembalilah kepada firman Allah dalam surah al Baqarah yang dijelaskan di atas.
4- Menyedari bahawa apabila tidak beramal dengan Islam secara serius, akan ditimpakan musibah oleh Allah SWT.
5- Memahami dengan sebaik-baiknya, bahawa apabila tidak beramal dengan Islam, bererti tidak percaya kepada kemuliaan Allah selaku Pencipta, apabila tidak percaya kepada Allah, bermakna menempah tempat dalam neraka.
6- Bersedia untuk menjadikan Islam sebagai pegangan dari sudut pakaian, cara berfikir, pergaulan, kerjaya dengan melaksanakan segala tanggungjawab sebagai Muslim dan Muslimah sejati di sisi Allah. Yakni, apabila kita berpegang teguh dengan Islam, bagi muslimah hendaklah ia menutup auratnya seperti pemakaian tudung dan pakaian yang tidak menjolok mata. Seperti yang ditekanlah dalam al Quran: Surah An Nur:30-31. Yang mana menyeru wanita Islam menutup auratnya. Sebagai muslimah, janganlah fobia untuk memakai tudung kerana ia akan menampak anda lagi anggun dan mulia di sisi Allah sekiranya hati kita benar-benar berpegang teguh dengan agama Allah. Begitu juga dengan pergaulan harian kita. Jagalah suara kita agar tidak menjadi fitnah. Begitu juga pergaulan yang menggunakan internet sebagai 'mediator'. Contohnya, pergaulan dalam facebook yang dewasa ini menjadi alat komunikasi yang popular dikalangan orang muda dan orang tua. Tanpa disedari komunikasi melalui facebook menyebabkan ramai yang tanpa segan silu meletakkan gambar yang kurang sopan atau tidak menutup aurat. Ada juga yang begitu ghairah meletakkan gambar yang tidak memakai tudung walaupun networkingnya terdiri dari lelaki dan perempuan. Pergaulan juga semakin tidak terkawal antara lelaki dan perempuan. Fenomena ini agak kurang sihat kerana kelalaian seseorang untuk menjaga peribadi sebagai seorang muslim. Facebook bukanlah masalahnya tetapi sebagai seorang muslim hendaklah kita berpandukan agama sebagai batasan dalam komunikasi kita.
7- Memperuntukkan masa untuk belajar Islam serta berkorban segala keringat, masa, tenaga, pemikiran dan kesanggupan. Dalam hal ini, walaupun kita bukan secara langsung belajar dalam aliran agama tetapi kita kena berusaha untuk pertingkatkan ilmu agama misalnya banyakkan pembacaan, berbincang dengan orang yang alim. Di samping itu, menghadiri kuliah-kuliah agama di surau-surau atau masjid.
8- Berjanji kepada Allah untuk memelihara agama-Nya. Yakni, kita berusaha menjaga kesucian agama Allah daripada perkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Lantaran dewasa ini terdapat kecenderungan golongan-golongan liberal yang cuba mengelirukan masyarakat Islam terhadap ajaran Islam yang sebenar dengan hujah-hujah akal mereka. Misalnya, golongan liberal ini cuba menyamakan Islam dengan agama-agama lain. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk berdepan dengan isu ini dan menjelaskan kesucian agama kita agar tidak dicemari.
9- Berjanji untuk memelihara jiwa daripada sebarang naluri dan kecenderungan yang menyalahi syariat. Yakni, membersihkan hati kita agar sentiasa melakukan tindakan selaras dengan syariat yang dianjurkan oleh agam kita.
10- Berjanji untuk memelihara harta daripada terjebak menyokong musuh-musuh Allah yang akhirnya membunuh saudara-saudara seagama. Misalnya, membeli rokok atau barangan keluaran syarikat orang-orang Yahudi. walaupun usaha ini nampak kecil tetapi kalau kita niatkan untuk memelihara harta demi agama, insyaAllah ianya dilihat sebagai amalan mulia dalam agama kita. Begitu juga dengan wang simpanan di bank. Sebagai muslim, kita hendaklah berusaha daripada terlibat dengan amalan riba yang diharamkan dalam agama Islam.
11- Berjanji memelihara keturunan serta kehormatan sebagai orang Islam dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan imej serta peribadi sebagai seorang Muslim yang sungguh-sungguh untuk mendaulatkan Islam.
12- Berjanji untuk memelihara memelihara akal daripada berfikir yang boleh merosakkan kesucian agama Islam dan berfikir cara bagaimana boleh memajukannya.
13- Menterjemahkan lima slogan yang pernah difahami oleh generasi ulama awalan sebagai cara hidup sempurna, iaitu Allah matlamat kita, Rasul itu pemimpin dan contoh teladan kita, al-Quran itu perlembagaan kita, jihad itu adalah cara hidup kita dan mati pada jalan Allah adalah cita-cita kita yang tinggi lagi murni di sisi Allah.
Moga tazkirah ringkas ini memberi peringatan pada diri kita agar sentiasa berpegang teguh dengan agama Allah walau apa jua yang menimpa kita. Janganlah kita dengan mudah memperjudikan agama hanya kerana kita menghadapi musibah di dunia yang fana ini. Anggaplah apa yang berlaku itu sebagai satu ujian untuk memantapkan iman. Contohilah ketabahan dan keteguhan iman Bilal bin rabah dalam mempertahankan agama ini..
Wallahu'alam.
"..kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mengerti?" [Al-An'am:32]
Wednesday, 1 April 2009
Praktikkanlah ajaran Islam secara keseluruhannya
Firman Allah SWT dalam ayat 208 surah al-Baqarah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment