Tuesday, 7 April 2009

Umat Islam dan Qudwah hasanah?

Saya terkesima sebentar apabila membaca akhbar utusan malaysia hari ini berkaitan dengan isu setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming membaca sepotong ayat Quran demi menyokong hujahnya untuk menyeru orang ramai memilih pemimpin yang adil. Berita tersebut disini dan disini. Mufti Perak iaitu Dato' Harussani menganggap bahawa perbuatan Nga Kor Ming tersebut telah mempersendakan Quran dan agama Islam. Berikut merupakan ayat al Quran yang telah dibaca oleh Nga Kor Ming:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat ihsan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya” [al-Nahl 16: 90]

Persoalannya, adakah perbuatan Ahli Parlimen Taiping daripada DAP dan beragama Kristian memetik firman Allah daripada al-Quran untuk memberitahu hadirin tentang kedudukan KEADILAN dari perspektif al-Quran ini menghina Islam? Bagi saya perbuatan Nga kor Ming tidaklah menghina agama Islam kerana beliau hanya menggunakan ayat Quran itu sebagai hujah betapa pentingnya memilih pemimpin yang adil. Sebagai umat Islam kita berbangga dengan tindakan mereka yang belum Islam lagi tetapi mengakui tentang kehebatan ayat-ayat quran. Di sinilah peranan kita pula untuk menyampai dakwah bil hal terhadap golongan yang belum Islam lagi agar mereka menerima dan yakin tentang kemukjizatan Al Quran. Al Quran juga boleh menjadi panduan kepada seluruh umat manusia untuk menjalani kehidupan sejahtera di muka bumi ini. Umat Islam sewajarnya terus-menerus memberi kefahaman kepada beliau dan bahawa itulah keistimewaan ayat-ayat quran. Ayat-ayat yang diturunkan dalam Al quran itu bukan setakat sesuai digunakan oleh umat Islam tetapi sesuai untuk segenap lapisan umat manusia di muka bumi ini. Tindakan segelintir umat Islam yang mendakwa perbuatan Nga Kor Ming itu hanyalah menjatuhkan air muka sendiri.
Kejumudan umat Islam dalam kes ini hanya menakutkan golongan yang belum menerima Islam untuk mendekati agama Islam. Mereka akan melihat agama Islam ini racist. Maka terbantutlah dakwah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada umat manusia disebabkan sikap jumud segelintir umat Islam itu sendiri. Perbuatan segelintir umat Islam yang mendakwa Nga Kor Ming dan melaporkan kepada polis merupakan sikap yang terlalu defensif dan memalukan. Mari kita renung dalam masyarakat Islam itu sendiri, berapa ramai yang benar-benar mengikuti apa yang dianjurkan dalam kitab Al Quran tersebut? Umat Islam memang ramai tetapi persoalannya berapa ramai yang betul-betul boleh menjadi qudwah hasanah kepada mereka yang belum menerima Islam? Pemimpin-pemimpin negara kita berapa ramai yang benar-benar menjadikan Al quran dan As Sunnah sebagai panduan dalam pentadbiran mereka? Malah isteri-isteri dan anak-anak mereka juga jelas tidak memakai tudung walhal perkara ini telah dianjurkan dalam Al Quran (surah An Nur: 30-32). Beranikah segelintir umat Islam itu menegur pemimpin-pemimpin ini untuk mematuhi apa yang diajarkan oleh AlQuran kepada kita selaku umat Islam?
Kita sepatutnya malu apabila orang yang belum menerima Islam boleh merujuk kepada ayat-ayat quran untuk kuatkan hujah mereka untuk menyokong menegakkan kebenaran dan keadilan dalam sistem kemasyarakatan. Kita sewajarnya muhasabah diri kita sejauhmanakah kita telah pun mengamalkan apa yang terkandung dalam ajaran Islam itu sendiri. Bukannya bersikap melenting apabila orang bukan Islam menggunakan ayat-ayat Quran untuk tujuan menyatakan kebenaran. Biarlah kita sensitif pada tempat yang betul bukan dengan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan maruah umat Islam.
Berbalik kepada kes Nga Kor Ming yang dikatakan salah kerana memetik ayat Al Quran tersebut. Saya ingin menceritakan pengalaman saya sebagai seorang 'saudara baru' yang sudah lama, bagaimana saya tertarik dengan Islam ialah bermula dengan saya membaca ayat-ayat Quran dan saya dapati ayat-ayat Quran tersebut sesuai dengan jiwa nurani manusia untuk menjalani kehidupan yang sejahtera di muka bumi ini. Saya juga buat perbandingan antara kitab bible dan Quran untuk menguatkan lagi keyakinan saya kepada agama Islam sebagai satu-satunya agama yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Adakah perbuatan saya tadi telah mencemarkan kesucian Islam? Yang mana hasilnya telah memberikan cahaya hidayah kepada saya dan keluarga untuk mengamalkan ajaran Islam. Justeru, bagi saya tidak salah golongan yang belum menerima Islam itu membaca ayat-ayat Quran selagi mana ia bukan bertujuan untuk mentertawakan kesucian agama Islam. Kalau sekadar mereka mengakui dan bersama-sama menyeru kita mengikuti apa yang dianjurkan oleh Al Quran maka ia patut kita terima.
Selaku umat Islam, patutnya kita peka dengan isu yang lebih besar kesannya terhadap agama Islam. Misalnya, kes golongan liberal dalam agama yang cuba mencalarkan kesucian agama dengan menggunakan akal mereka semata-mata tanpa menjadikan Al quran sebagai rujukan. Isu "sister in Islam" pernah menjemput Aminah Wadud wanita pakistan yang menjadi imam solat jumaat di US suatu ketika dulu. Persoalannya. selaku umat Islam sejauh manakah kita sensitif dengan isu ini? Para mufti kita berapa ramai yang berani bersuara untuk menangkis perkara ini daripada berleluasa dalam masyarakat kita?
Justeru, sebagai umat Islam marilah kita sama-sama amalkan Islam itu secara keseluruhannya dalam kehidupan kita. Janganlah kita hanya sensitif dengan isu yang remeh-temeh. marilah sama-sama muhasabah sejauhmanakah kita telah amalkan ajaran-ajaran dalam Al Quran itu. Jadikanlah kes Nga Kor Ming ini sebagai titik muhasabah sejauhmanakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim? Adakah selama ini kita telah berjaya menjadi qudwah hasanah kepada golongan seperti Nga Kor Ming itu. Hakikatnya perbuatan beliau itu bukannya penghinaan pada agama Islam tetapi suatu penghinaan kepada umat Islam (muslim) yakni kegagalan umat Islam untuk tegakkan ajaran Islam itu dalam diri mereka sendiri.

Wallahu 'alam

4 comments:

Ely said...

Ulasan yang baik.

Kita memang perlu marah apabila AlQuran disalah tafsir. Kita marah apabila orang non Muslim fobia dengan Islam. Tapi apabila orang itu menunjukkan keindahan dan keadilan Islam, apa alasan untuk kita melenting?

Kenapa begitu cepat melatah? Amat memalukan.

Ely said...

Kita mahu orang mengenali keindahan Islam. Kita tidak mahu non Muslim fobia dengan Islam.

Ramai penulis bangsa asing (dan agama berlainan) menulis tentang Islam dan sirah Nabi Muhammad s.a.w, dan penulisan dan rujukan mereka tidak bertentangan dan menyeleweng dengan Islam. Haruskah kita merasa terhina juga?

Tentang niatnya semata2 untuk berpolitik, mungkin juga. Tapi apa salahnya selagi tidak menyeleweng dan memburukkan Islam.

Hidayah hanya dari Allah. Tapi alangkah baik jika non Muslim boleh tahu keindahan Islam, dan bukannya tentang keganasan yang sering diwar-warkan.

kem-renjer said...

klu mcm tu memang patut apa yang Dr.Asri bekas mufti perlis kata.

Dikatakan beliau ini telah mendakwah & menyifatkan ada mufti yang berfikiran jumud seolah2 beliau telah memaki mufti tersebut. sedangkan beliau berkata demikian tanpa menyebutpun individu berkenaan. Saya rasa ia hanya interpretasi yang salah dari pihak2 tertentu tentang cara beliau mengeluarkan kenyataan beliau. dan disebabkan ingin melepaskan diri dari kenyataan, ada pihak yang menyalah tafsirkan kenyataan beliau.

Beranilah kerana benar. kalau betul apa yang non-muslim katakan dengan berpandukan ajaran islam, kenapa nak takut. kenapa rasa diperlekeh? ada benaran ya?

Anonymous said...

totally agree with this post..umat islam x bole nak tros take action.kn fkr ngn rational then take the best way to spread the beauty of islam.qudwah hasanah di malaysia..bilakah?=p