Sunday, 16 November 2008

Indahnya hidup bersama Islam - Bhg. 1

Bermulanya satu pencarian

Saya dilahirkan dalam keluarga yang berketurunan kadazan dari Daerah Kota Belud. Disamping itu, ada kacukan dari kaum Cina sebelah mak. Walaubagaimanapun saya dibesarkan dalam lingkungan kaum Kadazan. Kadazan merupakan penduduk pribumi/bumiputera Sabah yang terbesar. Menurut moyang saya, asalnya Kadazan ini tidak mempunyai agama. Mereka menyembah pokok Ara kerana kepercayaan mereka terhadap kekuasan pokok tersebut. Saya masih ingat lagi sewaktu saya berumur 8 tahun apabila ada orang sakit di kampung saya, maka orang kampun akan "megambil" untuk menyembuh penyakit si pesakit dengan memanggil roh. Dalam upacara ini mereka akan menyembelih ayam dan membaca mentera. Upacara ini dilakukan pada tengah malam di kalangan orang tua-tua sahaja. Satu hari saya telah mengambil kesempatan untuk melihat upacara tersebut secara curi-curi. Dalam upacara tersebut saya mendengar orang yang mengetuai upacara tersebut sedang 'deal' dengan roh jahat supaya keluarkan penyakit si pesakit tersebut. Keesokannya saya dapati orang yang sakit itu sembuh dari penyakitnya. Begitulah mujarabnya doa mereka kerana dilakukan dengan penuh "keyakinan". Pada waktu itu persoalan di kepala saya ialah bagaimana ia terjadi? Siapakah kuasa ghaib tersebut? Persoalan inilah yang sentiasa berlegar-legar di kepala saya sejak dari kecil lagi. Saya mula terfikir bahawa semua manusia ini mempunyai naluri untuk mempercayai 'kuasa ghaib' tersebut. Cumanya, mungkin dakwah tidak sampai kepada mereka dan tidak ada pendedahan menyebabkan mereka terus hidup dalam kejahilan dengan kepercayaan itu.


Kedatangan mubaligh Kristian ke Sabah telah mengubah landskap agama di kalangan Kadazan. Kehadiran mubaligh Kristian atau 'gembala' ke kampung kami telah menarik ramai penduduk kampung memeluk agama Kristian termasuklah ibu bapa saya. Mereka mudah menerima agama Kristian kerana ianya mudah untuk diamalkan dan tidak membebankan. Walaubagaimanapun, di kalangan orang-orang tua mereka sukar untuk menerima agama Kristian kerana mereka tidak mahu meninggalkan kepercayaan nenek moyang mereka. Tetapi berkat kesabaran 'gembala-gembala' tersebut lama-kelamaan ramai di kalangan mereka menerima agama Kristian. Maka di kampung kami lebih kurang 99% telah beragama Kristian. Gembala-gembala Kristian ini telah menyuburkan lagi semangat gotong royong yang sedia ada di kalangan Kadazan. Gembala-gembala tersebut suburkan dengan cara yang lebih kreatif menyebabkan penduduk kampung semakin kuat kepercayaan kepada agama kristian.


Apabila saya memasuki alam persekolahan (sekolah rendah) saya telah mengenali seorang ustaz dari semenanjung yang kebetulan baru di 'posting'kan ke sekolah saya. Pada waktu ini, di sekolah saya hanya 0.1% sahaja pelajar beragama Islam. Saya masih ingat lagi apabila ustaz ini mengajar subjek agama terpaksa buat di luar sekolah kerana alasannya pelajarnya sikit sahaja. Maka kelas tersebut pun diadakan ditangga sekolah atau kawasan lapang dan pelajar terpaksa duduk mencangkung kerana tiada 'facilities' yang disediakan. Subjek agama ini seolah-olah dianak tirikan oleh pihak sekolah. Tetapi pada ketika ini saya pun belum lagi memahami politik semasa di sekolah saya..lalu hanya menerima sahaja apa yang ada. Saya turut join kelas tersebut kerana ianya sangat menarik. Ustaz tersebut banyak bercerita tentang sejarah Islam dan sangat menarik minat saya bagaiamana perjalanan kehidupan Nabi Muhammad sejak dari kecil hinggalah menjadi Rasul Allah. Perjalanan hidup Rasulullah yang diceritakan oleh ustaz tersebut menarik minat saya untuk mendalami agama Islam. Ustaz itu juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas agama secara senyap-senyap di waktu malam dan di buat di rumahnya. Beliau mengajar cara-cara solat dan bab-bab akidah dalam Islam. Isteri ustaz tu juga seorang yang baik. Malah saya telah menjadi anak angkat mereka. Pengorbanan dakwah mereka sangatlah besar. Dengan iltizam ustaz tersebut saya boleh membaca tulisan jawi sejak sekolah rendah lagi. Namun kehadiran ustaz ini kurang disenangi oleh penduduk kampung dan telah ditukarkan ke sekolah lain. Sehingga kini saya tidak lagi berjumpa dengan ustaz tersebut. Moga beliau terus istiqamah dalam perjuangan dan sentiasa diberkati Allah. InsyaAllah ada kesempatan saya akan sambung bercerita bagaimana akhirnya saya diberi kekuatan untuk menerima Islam sepenuhnya...

3 comments:

kem-renjer said...

Salam...tajuk ni tak bersambung lagi ke?

Al Fakirah said...

insyaAllah akan bersambung dalam episod yang seterusnya...

Ely said...

ye lah marul, kan namanya chronicle.. mesti ada sambungan :)