Hari ini dah masuk 10 Muharram dalam kalender Islam. Satu amalan yang diperintah oleh Allah SWT dalam bulan Muharram ialah perbanyakkan selawat memuji-muji Rasulullah. Pada bulan ini nasyid seperti Talaal Badru Alaina perlu dialunkan bagi mengingati kembali betapa gembira kaum Ansar menyambut kehadiran Rasulullah bersama Muhajirin di Madinah. Hijrahnya Rasulullah, menandakan tamatnya segala penindasan ke atas golongan mustadafin (tertindas dan lemah) lantas membuka era baru perkembangan Islam - darinya juga bermula sebuah negara yang berlandas pimpinan Ilahiah.
Namun disamping kegembiraan ini, bulan Muharam juga mengingatkan kita peristiwa besar yang terjadi dalam sejarah tamadun manusia selepas Rasulullah iaitu 10 Muharram 61 Hijrah yang menyaksikan cucu kesayangan baginda, Hussin bin Ali bersama rombongannya terbunuh di Karbala. Jika Maal Hijrah, umat Islam bergembira, peristiwa 10 Muharam pula disaduri dengan kesedihan.
10 Muharram 1430 juga mempamerkan kesedihan kepada kita apabila Bumi Gaza dibedil lagi oleh tentera rejim Zionis sejak 27 Disember lalu. Hari ini genap 10 hari serangan tentera zionis laknatullah itu ke atas Bumi Gaza. Serangan darat yang telah dimulakan oleh tentera Zionis tidak mengenal kanak-kanak, bayi dan wanita. Sasarannya membabi buta - masjid, hospital dan pasar. Berita dalam Utusan Malaysia hari ini memaparkan kepala seorang kanak-kanak terputus dari badannya akibat serangan tentera Zionis tersebut. Hati ini sungguh tersentuh dan hanya mampu hadiahkan al fatihah kepada mereka yang terlibat. Moga roh mereka tergolong dalam golongan syuhada'. Walaupun kita tak mampu meluncurkan peluru ke atas tentera zionis laknatullah itu, marilah kita sama-sama menadah tangan berdoa agar tentera zionis laknatullah itu dimusnahkan oleh Allah.
Dalam kes di Bumi Gaza ini, kita hanya mampu berdemonstrasi, melaung-laungkan ''Jahanam-jahanam Israel, Hidup-Hidup Islam' atau Hancur Amerika! dan setidak-tidaknya hulurkan bantuan kemanusiaan. Selepas itu, masing-masing pulang ke rumah boleh bersuka ria dan bergelak ketawa di bulan Muharam ini. Tiada pemimpin atau negara yang mampu melawan Israel. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak mampu berbuat apa-apa meskipun Palestin adalah isu yang melibatkan sama ada Sunni atau Syiah. Hari ini dalam Utusan, kita masih lagi dalam proses bermesyuarat untuk tentukan cara bagaimana boikot barangan Amerika untuk memberi pengajaran kepada mereka. Begitu juga cadangan demi cadangan diberikan kepada OIC dan negara-negara Islam di dunia ini untuk melakukan tindakan memboikot ekonomi Amerika. Namun itu semua masih lagi dalam proses perbincangan dan mesyuarat. Sedangkan kezaliman rejim Zionis dan keangkuhan Amerika sudah berlaku.
Bagi rakyat marhaen seperti saya hanya mampu bertindak secara individu untuk memboikot barangan Amerika. Namun tindakan ini saya kira tidak memberi apa-apa kesan selagi pemimpin negara-negara Islam termasuk Malaysia tidak mengambil tindakan secara kolektif untuk memboikot barangan Amerika tersebut. Misalnya, di Malaysia kita masih lagi terpaksa bergantung dengan produk Amerika seperti Nestle, Maggi dan lain-lain produk keperluan asas. Product AS seperti KFC, Pizza Hutt dan McDonald masih lagi berdiri megah di negara kita. Pemimpin sepatutnya bertindak untuk memboikot kemasukan produk-produk seperti ini dan meningkatkan pengeluaran barangan tempatan sebagai alternatif. Kuasa seumpama ini hanya ada pada pemimpin negara kita. Pemimpin-pemimpin negara Islam juga wajar alihkan pergantungan wang Dollar AS kepada wang dinar. Sekiranya semua pemimpin di negara-negara Islam memainkan peranan, saya yakin umat Islam yang sejumlah lebih kurang 1.3 billion di muka bumi ini mampu menjatuhkan ekonomi AS dan dapat memberikan pengajaran kepada AS di atas keangkuhan dan pembohongannya.
Hari Asyura membuatkan penderitaan Palestin terasa dekat di hati. Moga Hari Asyura kali ini dapat memberi keinsafan kepada kita semua. Ayuh kita berdoa agar Allah menurunkan bala tentera untuk memusnahkan tentera Zionis laknatullah itu sebagaimana Allah memusnahkan tentera Abrahah dengan sekumpulan burung seumpama burung layang-layang dimana setiap seekor membawa tiga biji batu, sebiji di paruh dan dua biji lagi di kakinya. Batu tersebut seperti kacang kuda dan kacang dal, sesiapa sahaja yang terkena akan hancur dan binasa. Ameen Ya Allah.
No comments:
Post a Comment