Hari ini saya menerima email yang menarik dari seorang sahabat. Email sahabat saya ini penuh dengan kata-kata semangat mengingatkan kita agar tidak tergelincir daripada niat kepada Allah dan Rasulnya dalam segala pekerjaan kita. Terima kasih kepada sahabat tersebut atas perkongsian ilmu tersebut. Email sahabat ini mengingatkan saya kepada sebuah hadis dalam Hadis 40 yang menyentuh tentang niat dan amalan kita. Hadis ini juga merupakan satu tajuk utama perbincangan dalam mana-mana usrah. Maksud hadis tersebut ialah:
"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."
Saya refleksi hadis tersebut ke atas diri saya. Apa jua dalam kehidupan kita hendaklah dimulai dengan niat. Niat menentukan amalan kita sama ada untuk Allah atau untuk dunia semata-mata. Adakah hijrah menuntut ilmu hingga ke luar negara ini dilakukan demi kerana Allah dan RasulNya? Saya masih ingat lagi sewaktu saya di alam sekolah rendah, bapa saya sering menasihati saya belajar rajin2 supaya besok sudah besar dapat kerja tinggi dan dapat gaji tinggi. Nasihat ini sering juga saya dengar daripada guru2 saya di sekolah. Lantas dalam fikiran saya waktu itu, "saya mesti belajar rajin2 supaya saya boleh jadi doktor dan dapat gaji tinggi". Pada masa itu, niat saya yang paling tinggi darjatnya ialah mahu menjadi doktor supaya saya dapat mengubat mak saya bila sakit nanti. Begitulah apa yang terniat dalam hati pada waktu itu. Pada waktu itu, saya jarang mendengar kata-kata motivasi agar belajar2 sungguh2 untuk Allah dan RasulNya. Mungkin juga kerana ibu bapa saya masa tu belum lagi memeluk agama Islam dan tidak faham lagi konsep hubungan dengan Allah. Kerana konsep dalam agama anutan ibu bapa saya masa tu agama dan dunia adalah dua benda yang berasingan. Saya kurang pasti kepada ibu bapa yang sememang beragama Islam apa pula kata-kata nasihatnya kepada anak-anaknya untuk menanamkan niat yang betul dalam pembelajaran. Begitu juga dengan guru2 yang beragama Islam, sejauhmanakah mereka memberi perangsang kepada anak didiknya agar belajar menjadi cemerlang demi Allah dan RasulNya.
Sebagaimana dalam hadis di atas, niat menjadi penentu kepada amalan seseorang sama ada di terima oleh Allah atau sebaliknya. Niat menyebabkan seseorang berusaha bersungguh-sungguh mengejar apa yang ia niatkan. Begitu juga dengan saya, niat yang ditanamkan diri saya mendorong saya untuk belajar bersungguh2 sehingga saya berjaya masuk ke 'boarding school', melayakkan saya masuk aliran sains dan seterusnya ke Matrikulasi sains UKM. Pada waktu ini, saya merasakan bahawa niat saya untuk menjadi doktor semakin jelas. Walaubagaimanapun, Allah yang menentukan segalanya saya ditakdirkan ditawarkan memasuki jurusan 'molecular biology' dan pengkhususan dalam bidang genetik. Bayangkan perasaan saya pada waktu itu, saya amat kecewa kerana tidak ditawarkan ke bidang perubatan. Saya belajar untuk menerima kenyataan dan menerima hakikat. Alhamdulillah, saya boleh melalui pengajian saya dengan baik. Memandangkan kurikulum pendidikan di Malaysia kurang pendedahan terhadap bidang kerjaya masa depan, maka saya masih lagi terawang2 apakah bidang pekerjaan yang sesuai dengan diri saya. Apa yang terfikir dalam kepala saya pada masa itu ialah apabila tamat nanti saya akan jadi penyelidik.
Semasa pengajian saya di UKM, saya berkecimpung dengan persatuan pelajar. Melalui kerja2 berpersatuan ini dapat mematangkan fikiran saya. Semasa di UKM, saya mula mengenali jemaah2 Islam seperti JIM, ABIM dan IPU. Kerana minat mendalam untuk mempelajari agama Islam, saya turut join dengan usrah2 yang dianjurkan oleh jemaah2 tersebut. Setiap cuti semester, saya ambil kesempatan untuk belajar agama ke pondok. Pondok yang paling kerap saya pergi ialah Pondok Terusan (Madrasah Ad Diniah) di kelantan. Di samping itu, saya mengikuti pengajian hujung minggu di sebuah pondok di Dengkil berdekatan dengan UKM. Kakak angkat saya di Seremban (Kak Telaah) juga banyak membimbing saya tentang Islam. Diringkaskan cerita, proses2 pembelajaran secara informal banyak membimbing saya untuk meletakkan niat untuk melakukan sesuatu pekerjaan kerana Allah dan RasulNya. Saya berusaha untuk melazimkan dalam diri agar setiap pekerjaan sama ada belajar, menolong orang dan sebagainya hendaklah diniatkan kerana Allah. Melalui niatikhlas juga dapat membantu kita mengenal diri misalnya, dalam menentukan kerjaya masa hadapan. Pengalaman saya, berdasarkan niat tadi, saya mula fikir dalam2 personaliti diri saya. Subhanallah, Allah Maha Adil kerana tidak meletakkan saya untuk ke jurusan perubatan. Saya bukanlah orang yang layak untuk menjadi seorang doktor perubatan kerana saya takut pada darah. Saya sebenarnya sesuai untuk menjadi pendidik. Saya mulai mempelajari bagaimana untuk memahami tingkah laku dan emosi manusia. Bidang psikologi adalah bidang yang paling sesuai dengan saya. Dengan niat dan keazaman yang tinggi saya tukar bidang master saya dalam bidang psikologi. Memandangkan sistem pengajian di Malaysia yang lebih menekankan pelajaran sains, maka saya menerima pelbagai komen negatif kenapa saya memilih bidang sains social. Pensyarah2 saya di genetik pun menghalang saya dan mereka mengatakan bahawa nanti saya menghadapi masalah untuk mendapat pekerjaan. Pada waktu itu, saya telah pun ditawarkan pekerjaan sebagai penyelidik. Namun minat saya untuk memahami manusia, maka saya teruskan juga niat saya tadi dengan penuh yakin kepada Allah. Alhamdulillah, Allah makbulkan dan selepas saya menamatkan master saya, saya terus ditawarkan oleh UTM sebagai pensyarah dalam 'Industrial Psychology'.
Ya, hasilnya amat menakjubkan. Dengan niat yang betul kerana Allah, hati sentiasa tenang dengan ujianNya. Hidup ini juga banyak ujian2 yang perlu ditempuhi. Sesuatu ujian yang ditimpakan ke atas seseorang itu merupakan rahmat kasih sayang Allah pada hambaNya. Bayangkan kita tak pernah diuji, apa yang diniatkan itu sering tercapai maka seseorang itu ada kecenderungan untuk menjadi sombong dan bangga diri. Justeru, niat, usaha, doa dan tawakal pada Allah hendaklah seiringan agar kita sentiasa dekat pada Allah. Apabila kita memperolehi apa yang diniatkan, hati kita tetap dekat denganNya, dan apabila kita gagal untuk mendapat apa yang diniatkan kita juga tetap dekat denganNya. Prinsip niat dan penyerahan kepada Allah wajib ditanamkan dalam diri. Maka tidak lagi timbul keegoan diri. Apabila kita mencapai niat kita untuk menjadi seorang doktor perubatan atau doktor falsafah misalnya, segalanya kita syukuri dengan jiwa yang tawaduk pada Allah dan bukannya membangga diri.
Melalui nawaitu yang betul kepada Allah, tidak lagi timbul perasaan ujub dan bangga diri. Perbuatan seperti "aku ni dah jadi doktor, maka orang kena panggil aku doktor". Berdasarkan pengalaman saya, ramai manusia yang bangga dengan gelaran2 ini. Saya pernah jumpa seorang 'hamba Allah' ni dengan bangga dia berkata "kita ni dah belajar penat2, orang kena panggillah kita dengan gelaran doktor". Kalau dah ada profesor, kenalah panggil profesor dan sebagainya. Tidak kurang juga ada yang memuji: "wah bestnye buat PhD". Walhal, semua gelaran itu tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang membezakan kita di sisi Allah ialah sejauh mana kita beramal kepada Allah dalam setiap kehidupan kita. Sebagai seorang doktor, sejauh manakah kita merealisasikan dakwah kita melalui pekerjaan kita? Atau kalau kita seorang pendidik (pensyarah atau guru), sejauhmanakah kita menjadi pendidik yang mempunyai wawasan untuk Islam. Kita berkerja bukan kerana gaji tetapi kita bekerja kerana hidup kita pada Yang Memberi!