Saturday, 14 August 2010

Ramadhan Kareem

Assalamu'alaikum dan Alhamdulillah,

Agak lama saya tidak berkunjung ke blog ini...dek kesibukan dalam tugas harian. Tiga bulan yang lepas iaitu sejak saya balik dari negara kiwi, saya sibuk dengan urusan kereta dan adjust kehidupan baru. Dalam masa yang sama, saya dihidangkan dengan pelbagai tugas di fakulti, dan juga membuat persiapan untuk viva PhD. Alhamdulillah pada 23 Julai 2010 saya berjaya melalui cabaran PhD. Saya hanya perlu membuat 'minor correction'. Alhamdulillah juga saya berjaya menyiapkan 'correction' tersebut dalam masa dua minggu saya di UoW.

Sekembali saya ke Malaysia, pelajar2 saya dah menanti...maknanya saya kena buat kelas gantian kerana kuliah semester ini telah pun bermula sejak 11 Julai yang lepas. Subhanallah..hidup ni memeng sentiasa dalam kesibukan.

Kini Ramadhan menjelang lagi...mudah-mudahan kesibukan ini tidak mengganggu ibadah di bulan Ramadhan. Mengimbas berpuasa di negara kiwi dahulu, satu pengalaman puasa yang amat tenang dari sudut ibadah. Banyak masa untuk bertadarus dan boleh mengkatamkan Al Quran sebelum syawal menjelang. Namun, dah balik Malaysia..mampukah saya khatamkan Alquran dalam bulan Ramadhan ini? Mudah2an Allah berikan kekuatan...artikel di bawah merupakan satu tazkirah di bulan yang mulia ini. Moga ianya bermanafaat!

-------------------------


Syaitan diikat?

ALHAMDULILLAH, Ramadan tiba lagi yang mempunyai pelbagai kelebihan di mana antara kelebihan tersebut al-Quran diturunkan seperti nas (al-Baqarah: 185) yang bermaksud: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Ibn al-Jauzi berkata: Ada tiga pendapat:

  • Diturunkan sekali gus, iaitu pada malam Qadar ke Bait al-'Izzah dari langit dunia seperti kata Ibn Abbas.
  • Diturunkan al-Quran dengan kefarduan puasa seperti riwayat daripada Mujahid dan al-Dahhaq.
  • Permulaan al-Quran dengan turunnya kepada Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan seperti pendapat Ibn Ishak dan Abu Sulaiman al-Dimasyqi.
  • Berkenaan dengan hadis syaitan ditambat, penerangannya seperti berikut:

    Daripada Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fath al-Bari 4/132 tidak menyebut sebarang komentar ketika dikemukakan hadis ini.

    Dalam Faidh al-Bari 'ala Sahih al-Bukhari oleh Sheikh Anwar al-Kashmiri 3/327 menyebut: Di sisi riwayat Tirmidzi iaitu yang dirantai ialah jin yang ganas. Justeru, tidak lazim bahawa dirantai keseluruhannya.

    Begitu juga sebab berlakunya maksiat bukan hanya terbatas dengan godaan syaitan semata-mata, tetapi di sana ada sebab yang lain seperti pengaruh hawa nafsu yang juga antara sebesar-besar musuh manusia. Apa yang dapat diperhatikan sedikitnya maksiat dan banyaknya ketaatan dilakukan pada bulan Ramadan ini tanpa syak.

    Dengan sebab itu, Saidina Uthman r.a memberi nilai tambah daripada segi amalan dua kali ganda berbanding bulan lain. Lihat juga penjelasan yang dikemukakan oleh al-Tahawi.

    Ibn Hajar al-Haitami dalam Ittihafu Ahlu al-Islam bi Khususiyat al-Siyam menyebut: "Diambil daripada hadis ini bahawa pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup mengikut hakikatnya. Ini untuk menggambarkan kepada malaikat dan lainnya berkenaan bulan Ramadan dan pahalanya".

    Ikatan dan belenggu syaitan pula termasuk hakikat demikian pada kebanyakan masa atau secara majaz kinayah daripada menahan perbuatan jahat dan tipu daya kepada manusia. Hal ini ada kebenarannya.

    Dalam Ahkam al-Siyam, oleh Dr. Muhammad Uqlah menyebut: "Iaitu maksud tambatan atau ikatan ialah kurang godaan dan menyakiti mereka".

    Semoga kita mengambil semangat Ramadan ini yang memberi 1,001 macam kebaikan untuk menambahkan lagi amalan ketaatan sehingga kita mendapat rahmat, keampunan dan dimerdekakan daripada api neraka Allah SWT. Amin.

    Thursday, 15 April 2010

    Dosa memfitnah

    Semalam saya bersembang dengan adik. Beliau adalah seorang guru disebuah sekolah menengah di Daerah Kota Belud. Adik saya memulakan ceritanya tentang seorang rakan guru (cikgu A) difitnah oleh rakan guru yang lain (cikgu B). Kisahnya bermula apabila cikgu A pergi berhari raya di rumah kawannya cikgu B. Cikgu A ni berasal dari Pahang dan rakannya juga, cikgu B berasal dari sebuah negeri di Semenanjung Malaysia. Kebetulan cikgu A ni belum berkahwin lagi. Lalu suami cikgu B ter'berkenan'kan si cikgu A. Suami cikgu B ni tidak berkerja. Beliau hanya mengikuti isterinya yang bertugas di Sabah. Sejak dari itu, suami kepada cikgu B selalu menghubungi cikgu A melalui SMS yang jiwang2. Perkara ini menimbulkan ketidakselesaan kepada cikgu A, lalu beliau memberitahu cikgu B agar menasihati suaminya agar tidak lagi menghantar SMS kepadanya. Cikgu A memberitahu cikgu B kerana yakin bahawa mereka adalah sahabat karib dan sudah tentu cikgu B akan memahaminya.

    Namun langit tidak selalunya cerah, cikgu B melenting dan mengatakan bahawa suaminya tidak berperangai sedemikian kalau perempuan tak menggodanya. Cikgu B dengan penuh emosional menuduh kawannya, cikgu B perempuan jahat dan penggoda suami orang. Cikgu B juga telah menghantar SMS kepada semua guru di tempat cikgu A mengajar dan memberitahu bahawa cikgu A ni perempuan jahat. Malah, cikgu B juga meghantar SMS kepada guru-guru di sekolah lain agar menjauhkan diri daripada cikgu A kerana beliau adalah perempuan jahat dan telah rosak. Cikgu B juga memfitnah bahawa cikgu A telah dirogol dirumah sewanya walhal perkara ini tidak betul. Cikgu B juga telah menghubungi keluarga cikgu A yang menyatakan cikgu A telah rosak di Sabah.

    Kesian saya mendengar kisah cikgu A. Akibat dari fitnah itu beliau mengalami trauma dan takut untuk berjumpa dengan orang. Begitulah adik saya mengakhiri ceritanya.

    Dalam dunia ini kita memang tidak lari dari manusia yang suka menabur fitnah. Saya juga mempunyai pengalaman difitnah. Memang amat sakit apabila kita difitnah dengan cerita-cerita yang tidak betul. Seandainya kita berada ditempat orang yang difitnah maka anggaplah ia sebagai ujian untuk memantapkan keimanan kita. Sebagaimana dalam Firman Allah:

    "Kami akan menguji sungguh-sungguh kepadamu dengan kesusahan dan kesenangan, lalu kamu dikembalikan kepada Kami" (Al-Anbiya:35)

    Kita juga kenalah menjauhi dari perbuatan memfitnah kerana ia merupakan dosa besar. Seperti yang disebut dalam Al Quran dan Hadis seperti dibawah:

    Al-Humazah : 1
    "Celakalah mereka yang mengumpat dan memfitnah"

    An-Nur : 19
    "Orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang keji itu tersiar dikalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Allah mengetahuinya, sedang kamu tidak mengetahui."

    Al-Isra'a : 36
    "Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggung jawabnya tentangnya."

    Al-Baqarah : 191
    "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan"

    An-Nur : 23-24
    Mereka yang memfitnah perempuan suci, celakalah di dunia dan akhirat; bagi mereka hukuman yang dahsyat dihari pengadilan; lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi diatas perbuatan mereka.

    Al-Buruj : 10
    Orang yang memfitnah orang mukmin, kemudian tidak bertaubat, bagi mereka azab jahanam dan neraka yang membakar.

    Dari Imam Ghazali
    "Mengumpat itu dosanya sama dengan berzina 30 kali."

    Dari Imam Al-Mawardi
    "Orang yang biasa mengumpat, isi batinnya kotor"

    Dari R. Muslim
    "Seseorang yang menutup cela seseorang yang lain didunia, akan ditutupi celanya oleh Allah pada hari kiamat."

    Daripada Abu Huraira, Termidzi:
    "Sesiapa yang duduk didalam perhimpunan yang tidak baik hendaklah membaca doa (memuji Allah dan meminta ampun darinya) sebelum berundur diri"

    Daripada Al-Nabari:
    "Barangsiapa yang beriman kepada Allah S.W.T dan Hari Akhirat maka hendaklah ia mengucapkan perkara-perkara yang baik atau diam"

    Daripada Al-Nabari:
    "Wahai Rasul Allah S.A.W, manakah orang Islam yang paling baik? Rasul Allah S.A.W menjawab : Ialah yang mana orang Islam lain terselamat dari gangguan lidah dan tangannya"

    Al- Maidah : 1
    Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah janjimu.

    Al-Imran:
    Akhirnya kami jadikan laknat Allah atas orang-orang pembohong.

    As-Shaf : 2-3
    Hai orang beriman, mengapa engkau ucapkan apa yang tidak engkau lakukan? Besar dosanya disisi Allah jika engkau mengucapkan apa-apa tetapi tidak engkau lakukan.





    Wednesday, 14 April 2010

    "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan"..apa ni weh?

    Sejak balik Malaysia, boleh dikatakan setiap hari saya mendengar salam 1Malaysia samada di Radio mahupun di kaca TV. Di kaca TV juga saya sering melihat pemimpin utama negara apabila merasmikan sesuatu mesti akan menunjukkan jari telunjuknya umpama pelajar tadika lagaknya untuk menandakan salam 1Malaysia. Sering juga saya mendengar lagu "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan". Saya tercari-cari apakah yang ada pada slogan 1Malaysia ini? Apakah ia sudah menjadi realiti? Atau hanya menjadi realiti dikalangan bangsawan? Sehingga mereka tidak perasan bahawa golongan marhaen semakin ketinggalan dalam arus pembangunan.

    Selama 2 minggu saya berada di Malaysia, saya perhatikan tidak ada banyak perbezaan sejak saya melanjutkan pelajaran di NZ. Terutama di kampung-kampung, hidup mereka terus-meneruskan dalam keadaan miskin dek kenaikan harga barang. Jalan-jalan raya di kampung juga masih seperti dulu (gravel)..tidak banyak yang berubah. Saya hanyalah seorang pemerhati. Hati ini kadang-kadang sayu melihat orang kampung dalam kesusahan. Sabah yang kaya dengan hasil buminya iaitu petroleum, tetapi rakyatnya masih dikategorikan antara rakyat termiskin di negara 1Malaysia. Sehingga ada orang kampung yang ingin mencalonkan saya sebagai pemimpin mereka lantaran untuk mengubah nasib mereka yang masih ketinggalan. Saya hanya tersenyum dan tak mampu berkata apa-apa. Jauh disudut hati, saya berkata bukannya senang untuk berkecimpung dalam politik yang memang masing-masing manusia ingin mengejar kekayaan bukannya untuk mengutamakan rakyat. Rakyat hanya didahulukan semasa pilihanraya, tetapi selepas pilihanraya mereka akan ditinggalkan. Janji pilihanraya hanyalah tinggal kenangan...

    Tidak ada guna slogan demi slogan tetapi hanya segelintir saja yang merasainya..tidak menyeluruh ke akar umbi. Kalau betul mendahulukan rakyat...upgrade segala prasarana yang ada...satu contoh yang saya lihat kebersihan. Mulanya saya menyalahkan orang yang tak pandai menjaga kebersihan. Tetapi apabila dilihat prasarana maka sudah tentulah orang tidak akan menjaga kebersihan kerana pihak berkuasa tidak menyediakan tempat untuk membuang sampah yang teratur...Kalau difikir2 pening kepala. Tapi apakan daya kita hanyalah rakyat marhaen dan tak mampu untuk menyalurkan suara hati kepada pihak atasan kerana ada tembok yang memisahkan. Lantas dimanakah ertinya "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan"?

    Aku masih tercari-cari jawabannya....

    Firman Allah surah Al-Qasas, ayat 83:

    "Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."

    Tuesday, 13 April 2010

    KeagunganMu

    Hidup tanpa matlamat amat membosankan. Hidup begitu kosong tanpa aktiviti. Tangan juga begitu lemah untuk menulis. Otak juga terasa lemah untuk berfikir. "Ya Allah, berilah kekuatan pada hambaMu ini". Aku bermonolog sendirian.

    Saya sebenarnya sengaja mengambil cuti yang panjang setelah berhempas pulas memerah otak menyiapkan tesis PhD saya. Saya berazam untuk rehatkan minda tanpa berfikir dan hanya duduk di kampung. Rupanya amat payah untuk berdiam diri apabila kita sudah terbiasa dengan hidup yang sibuk.

    Al Quran banyak menekankan tentang berfikir. Tanpa berfikir badan akan menjadi lemah. Al Quran menyeru kita untuk berfikir tentang keangungan Allah melalui ciptaanNya. Di bumi ini terdapat banyak tanda-tanda kekuasaan Allah. Gunung ganang yang terbentang merupakan petunjuk betapa sang Pencipta maha kuasa. Gunung-ganang ini ada fungsinya untuk mengukuhkan kedudukan muka bumi. Tanpa gunung-ganang, alam ini tidak kukuh. Bintang-bintang di langit juga merupa keunikan ciptaan Allah. Bintang-bintang ini boleh dijadikan petunjuk arah kepada pelayar-pelayar di lautan. Air sungai yang mengalir lantas memberi minuman kepada manusia, haiwan dan tumbuhan juga merupakan ciptaan Allah. Dan banyak lagi ciptaan Allah yang tak dapat dituliskan di sini untuk kita fikirkan bersama.Tidak mungkin semuanya berlaku tanpa penciptanya. Setiap detik, hidup ini mestilah diisi dengan berfikir tentang keanggungan Allah agar diri tidak lemah dan lalai.

    Di kampung, saya berkesempatan mandi di sungai. Terdapat banyak ikan di sungai. Begitu banyak nikmat yang Allah sediakan kepada manusia agar manusia berfikir. Namun tidak ramai manusia yang dapat berfikir tentang ciptaan Allah ini. Banyak manusia yang lalai tentang perintahNya. Malah engkar dan sombong di alam ini, seumpama dunia ini mereka yang punya.

    Di sungai juga, terdapat buih-buih yang bertakung. Saya teringat di dalam Al Quran ada menyebut tentang buih-buih yang terdapat di sungai-sungai. Allah umpamakan buih-buih tersebut dengan manusia yang tidak beriman. Apabila saya perhatikan buih-buih itu memang tidak bermanafaat. Hanya terlonggok disebalik takungan air dicelah-celah batu. Apabila semakin lama, buih-buih itu akan berwarna kekuningan dan akhirnya akan bertukar warna menjadi kehitaman. Moga kita tidak menjadi seperti buih-buih itu...

    Wednesday, 7 April 2010

    Indahnya Negaraku

    Alhamdulillah....segala puji bagi Allah akhirnya hari ni saya baru diberi kekuatan untuk menulis dalam blog ini. Blog ini pun dah ber'sawang' kerana dah lama saya tidak lawati dan kemas kini kan.

    Seusai saya menghantar thesis pada 5 Mac lalu, saya begitu sibuk dengan urusan shipping dan ziarah kawan2 di Hamilton. Sehinggalah saya balik ke Malaysia pada 26 Mac, hidup saya umpama "amazing race". Banyak perkara yang perlu diselesaikan terutama urusan rumah. Kembalinya saya ke Malaysia ini umpama baru memulakan hidup baru. Hidup dalam serba kekurangan dengan tiada kenderaan. Terpaksalah menumpang kawan untuk ke tempat kerja. Mujurlah masih ada kawan. Alhamdulillah.

    Pada 30 Mac, saya berjaya untuk lapor diri di UTM. Suasana agak berbeza sejak saya tinggalkan 4 tahun yang lalu. Hari pertama saya lapor diri, saya terus membantu rakan-rakan Psikologi untuk membaiki kurikulum. Saya difahamkan tujuan bengkel tersebut untuk mengubah program dari 3 tahun ke 4 tahun. Saya pun masih kurang jelas apakah rasionalnya. Yang pasti apa yang saya perhatikan untuk mengubah kurikulum tersebut pihak KPT telah pun ada garis panduan yang ketat hingga pihak akademik kurang autoriti untuk melakukan apa-apa perubahan. Tetapi itulah hakikat di Malaysia..apa yang nak dihairankan.

    Perkara seterusnya yang saya dapat perhatikan ialah wajah-wajah rakan sekerja. Ada yang serius tahap gaban, ada yang muka stress dan ada juga yang muka ceria. Yang muka serius tahap gaban ni takut saya nak tegur...saya hanya senyum saja sebagai tanda selamat berjumpa kembali..yang muka stress ni saya berjabat tangan dan bertanya khabar. Rupanya ramai staff yang stress dengan masalah birokrasi terutama kaedah penilaian KPI. Yang mana dalam KPI ni penilaiannya hanya tertumpu kepada penulisan jurnal impak tinggi dan penyelidikan. Kerja-kerja seperti penilaian thesis pelajar langsung tidak diambil kira dalam KPI...begitu juga dengan kerja2 pentadbiran seperti merangka program. Keadaan ini menyebabkan ramai pensyarah yang tidak bermotivasi untuk melakukan tugas mereka. Saya lihat pihak atasan UTM kena membuat kajian terperinci tentang perkara ini.

    Saya mengambil cuti selama 2 minggu untuk berjumpa keluarga. Pertamanya saya ke Kl di rumah adik. Saya telah menaiki bas di Taman Sri Putri. Setibanya saya di stesen bas, saya terus membeli tiket ke KL. Petugas kaunter memaklumkan ada tiket yang mana bas akan tiba dalam masa 5 minit. Saya pun dengan hati gembira terus membeli tiket tersebut. Rupanya bas yang dikatan tiba 5 minit itu, saya tunggu hampir sejam...masyaAllah. Ni la antara kejutan2 yang saya alami sekembali dari NZ (negara bukan Islam tetapi mengaplikasi banyak ciri-ciri Islam dalam sistem ketelusan pentadbiran).

    Di KL, hujan turun dengan lebatnya. Saya menaiki LRT untuk ke KL sentral. Setibanya di KL sentral..rupanya tempat berhenti LRT ni agak jauh dari bangunan KL sentral. Saya nak ke KL sentral untuk mencari kedai fotostat. Hujan masih lagi turun dengan lebatnya. Jalan untuk ke KL sentral tak de atap, so terpaksalah tunggu hingga hujan berhenti. Laluan untuk ke KL sentral dari stesen LRT itu adalah disediakan 'zebra cross' supaya kereta boleh bagi laluan. Yang sedihnya kenderaan tidak pun berhenti untuk bagi laluan kepada pejalan kaki...alahai di mana kah sikap toleransi manusia. Kalau tak faham pun makna 'zebra cross' tapi berilah rasa empati kepada mereka yang berjalan kaki...yang sedihnya nilai2 Islam langsung tidak dipraktikkan.

    Alhamdulillah, dengan berbekalkan kesabaran akhirnya saya tiba di bangunan KL sentral. Dalam sebesar2 bangunan itu, mesin fotostat semuanya rosak. Aduh...sungguh kecewa. Dah la pekerjanya sombong2. Hati saya berkata mungkinkah kebanyakan manusia di bumi Malaysia ini mengalami stress..so nak senyum pun susah.

    Inilah sketsa yang saya lalui setelah kembali beberapa hari di Malaysia..insyaAllah ada kelapangan penulisan seterusnya akan menyusul. Semoga sentiasa bersabar.




    Tuesday, 16 February 2010

    Friday, 29 January 2010

    Minat dan motivasi diri

    “Subjek Matematik Tambahan (add Math) ni susah nak lulus”, kata sepupu saya apabila mengetahui saya mengambil aliran Sains apabila saya melangkah ke Tingkatan 4. Matematik tambahan merupakan subjek yang tersusah bagi aliran sains ketika itu. Saya bukanlah seorang pelajar yang dikategorikan pandai, yakni saya hanyalah pelajar average sahaja. Walaubagaimanapun, apa yang mampu saya lakukan pada ketika itu ialah saya tanamkan azam dalam diri saya agar saya dapat menguasai subjek tersebut. Saya tanamkan minat saya kepada subjek Matematik Tambahan tersebut dan memastikan agar saya sentiasa lulus dengan cemerlang dalam ujian dan peperiksaan. Berkat azam dan minat yang saya pupukkan itu telah menyebabkan saya berjaya mendapat A dalam subjek tersebut semasa SPM saya. Alhamdulillah.

    Begitu juga selepas saya menamatkan ijazah pertama saya di UKM. Saya telah bertukar kursus dari bidang sains (Genetik) ke bidang sain sosial (Psikologi). Dekan di jabatan biologi terkejut apabila saya mohon tandatangan beliau untuk mengisi borang master. Beliau menasihati saya agar jangan bertukar bidang dan teruskan master dalam bidang biologi tersebut. Namun atas minat saya yang sangat mendalam, saya tetap ingin bertukar bidang. Ramai pensyarah dan kawan-kawan saya ketika itu was-was dengan keputusan saya berpindah bidang dari sains ke sains sosial. Mereka juga mengatakan bahawa bidang yang saya pilih itu sukar untuk mendapat pekerjaan. Tetapi disebabkan minat saya, saya berjaya menamatkan master saya dalam bidang Psikologi tersebut dan akhirnya saya ditawarkan pekerjaan sebagai pensyarah di UTM dan juga beberapa jawatan lain iaitu pegawai kebajikan masyarakat. Memandangkan minat saya dalam bidang pendidikan, maka saya terima tawaran bekerja sebagai pensyarah sehingga kini. Alhamdulillah, segala pujian untuk Allah.

    Daripada pengalaman yang saya lalui itu, apa yang saya dapat simpulkan ialah minat mendalam dalam diri kita akan memberi impak atau hasil yang baik kiranya kita jadikan ia sebagai motivasi diri. Di samping itu, minat itu juga hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan bukan semata-mata untuk mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan. Apabila kita melakukan sesuatu hendaklah disertai dengan niat, usaha, ikhlas dan tawakal pada Allah. Minda kita juga hendaklah sentiasa positif dan yakin bahawa kita boleh melakukannya...LAW OF ATTRACTION!

    Ilmu bukan setakat di atas kertas...

    Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana masih memberi nikmat kehidupan dan beribadah di bumiNya. Buat rakan-rakan yang sentiasa mengunjungi blog ini, saya mohon maaf kerana sudah lama tidak dapat ‘update’ blog ini. Setiap kali masuk ke blog ini, niat untuk menulis asyik tergendela. Agaknya, saya dah kebosanan kerana di waktu ini saya juga tengah pulun menyiapkan penulisan akhir thesis saya.

    Di fasa ini juga, ramai kawan-kawan yang bertanya bila nak balik Malaysia? Ada juga kawan2-kawan yang berkata "wah bestnya buat PhD, mesti dah banyak ilmu". Sejujurnya, saya ingin nyatakan bahawa buat PhD ini bukanlah bermakna kita sudah menjadi pakar dalam bidang kita. Pada saya, PhD ini hanyalah ‘stepping stone’ untuk menjadikan kita sebagai pemburu ilmu. Ilmu dalam PhD ini hanyalah setitik daripada selautan ilmu yang Allah bentangkan pada kita. Malah pada saya bila buat PhD ni terasa diri ini terllau kerdil lagi untuk dikatakan pakar. Ilmu yang ada ini masih terlalu cetek. Walaupun, ada sesetengah orang apabila telah melalui proses PhD merasa dirinya sudah pakar dalam bidang itu dan ini.

    Tetapi bagi saya, perjuangan untuk menuntut ilmu ini belum lagi selesai dengan berjayanya melakukan PhD. PhD ini hanyalah wadah untuk menjadikan diri kita supaya sentiasa menhargai dan memperdalamkan ilmu. Satu cabaran yang paling besar yang saya lihat ialah bagaimana kita, terutama sebagai muslim menterjemahkan ilmu itu ke arah mencari keredhaan Allah SWT. Ilmu itu bukanlah sekadar di atas segulung ijazah. Tetapi yang paling utama ialah bagaimana ilmu itu menjadikan diri kita insan yang bertaqwa dan sentiasa tawaduq pada Allah swt. Ilmu yang ada itu dapat menjadikan kita insan yang berakhlak dan bukannya berlagak. Perjuangan menuntut ilmu ini belum selesai dan ianya memerlukan iltizam yang berterusan hingga ke akhir hayat…