Thursday, 15 April 2010

Dosa memfitnah

Semalam saya bersembang dengan adik. Beliau adalah seorang guru disebuah sekolah menengah di Daerah Kota Belud. Adik saya memulakan ceritanya tentang seorang rakan guru (cikgu A) difitnah oleh rakan guru yang lain (cikgu B). Kisahnya bermula apabila cikgu A pergi berhari raya di rumah kawannya cikgu B. Cikgu A ni berasal dari Pahang dan rakannya juga, cikgu B berasal dari sebuah negeri di Semenanjung Malaysia. Kebetulan cikgu A ni belum berkahwin lagi. Lalu suami cikgu B ter'berkenan'kan si cikgu A. Suami cikgu B ni tidak berkerja. Beliau hanya mengikuti isterinya yang bertugas di Sabah. Sejak dari itu, suami kepada cikgu B selalu menghubungi cikgu A melalui SMS yang jiwang2. Perkara ini menimbulkan ketidakselesaan kepada cikgu A, lalu beliau memberitahu cikgu B agar menasihati suaminya agar tidak lagi menghantar SMS kepadanya. Cikgu A memberitahu cikgu B kerana yakin bahawa mereka adalah sahabat karib dan sudah tentu cikgu B akan memahaminya.

Namun langit tidak selalunya cerah, cikgu B melenting dan mengatakan bahawa suaminya tidak berperangai sedemikian kalau perempuan tak menggodanya. Cikgu B dengan penuh emosional menuduh kawannya, cikgu B perempuan jahat dan penggoda suami orang. Cikgu B juga telah menghantar SMS kepada semua guru di tempat cikgu A mengajar dan memberitahu bahawa cikgu A ni perempuan jahat. Malah, cikgu B juga meghantar SMS kepada guru-guru di sekolah lain agar menjauhkan diri daripada cikgu A kerana beliau adalah perempuan jahat dan telah rosak. Cikgu B juga memfitnah bahawa cikgu A telah dirogol dirumah sewanya walhal perkara ini tidak betul. Cikgu B juga telah menghubungi keluarga cikgu A yang menyatakan cikgu A telah rosak di Sabah.

Kesian saya mendengar kisah cikgu A. Akibat dari fitnah itu beliau mengalami trauma dan takut untuk berjumpa dengan orang. Begitulah adik saya mengakhiri ceritanya.

Dalam dunia ini kita memang tidak lari dari manusia yang suka menabur fitnah. Saya juga mempunyai pengalaman difitnah. Memang amat sakit apabila kita difitnah dengan cerita-cerita yang tidak betul. Seandainya kita berada ditempat orang yang difitnah maka anggaplah ia sebagai ujian untuk memantapkan keimanan kita. Sebagaimana dalam Firman Allah:

"Kami akan menguji sungguh-sungguh kepadamu dengan kesusahan dan kesenangan, lalu kamu dikembalikan kepada Kami" (Al-Anbiya:35)

Kita juga kenalah menjauhi dari perbuatan memfitnah kerana ia merupakan dosa besar. Seperti yang disebut dalam Al Quran dan Hadis seperti dibawah:

Al-Humazah : 1
"Celakalah mereka yang mengumpat dan memfitnah"

An-Nur : 19
"Orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang keji itu tersiar dikalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Allah mengetahuinya, sedang kamu tidak mengetahui."

Al-Isra'a : 36
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggung jawabnya tentangnya."

Al-Baqarah : 191
"Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan"

An-Nur : 23-24
Mereka yang memfitnah perempuan suci, celakalah di dunia dan akhirat; bagi mereka hukuman yang dahsyat dihari pengadilan; lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi diatas perbuatan mereka.

Al-Buruj : 10
Orang yang memfitnah orang mukmin, kemudian tidak bertaubat, bagi mereka azab jahanam dan neraka yang membakar.

Dari Imam Ghazali
"Mengumpat itu dosanya sama dengan berzina 30 kali."

Dari Imam Al-Mawardi
"Orang yang biasa mengumpat, isi batinnya kotor"

Dari R. Muslim
"Seseorang yang menutup cela seseorang yang lain didunia, akan ditutupi celanya oleh Allah pada hari kiamat."

Daripada Abu Huraira, Termidzi:
"Sesiapa yang duduk didalam perhimpunan yang tidak baik hendaklah membaca doa (memuji Allah dan meminta ampun darinya) sebelum berundur diri"

Daripada Al-Nabari:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah S.W.T dan Hari Akhirat maka hendaklah ia mengucapkan perkara-perkara yang baik atau diam"

Daripada Al-Nabari:
"Wahai Rasul Allah S.A.W, manakah orang Islam yang paling baik? Rasul Allah S.A.W menjawab : Ialah yang mana orang Islam lain terselamat dari gangguan lidah dan tangannya"

Al- Maidah : 1
Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah janjimu.

Al-Imran:
Akhirnya kami jadikan laknat Allah atas orang-orang pembohong.

As-Shaf : 2-3
Hai orang beriman, mengapa engkau ucapkan apa yang tidak engkau lakukan? Besar dosanya disisi Allah jika engkau mengucapkan apa-apa tetapi tidak engkau lakukan.





Wednesday, 14 April 2010

"rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan"..apa ni weh?

Sejak balik Malaysia, boleh dikatakan setiap hari saya mendengar salam 1Malaysia samada di Radio mahupun di kaca TV. Di kaca TV juga saya sering melihat pemimpin utama negara apabila merasmikan sesuatu mesti akan menunjukkan jari telunjuknya umpama pelajar tadika lagaknya untuk menandakan salam 1Malaysia. Sering juga saya mendengar lagu "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan". Saya tercari-cari apakah yang ada pada slogan 1Malaysia ini? Apakah ia sudah menjadi realiti? Atau hanya menjadi realiti dikalangan bangsawan? Sehingga mereka tidak perasan bahawa golongan marhaen semakin ketinggalan dalam arus pembangunan.

Selama 2 minggu saya berada di Malaysia, saya perhatikan tidak ada banyak perbezaan sejak saya melanjutkan pelajaran di NZ. Terutama di kampung-kampung, hidup mereka terus-meneruskan dalam keadaan miskin dek kenaikan harga barang. Jalan-jalan raya di kampung juga masih seperti dulu (gravel)..tidak banyak yang berubah. Saya hanyalah seorang pemerhati. Hati ini kadang-kadang sayu melihat orang kampung dalam kesusahan. Sabah yang kaya dengan hasil buminya iaitu petroleum, tetapi rakyatnya masih dikategorikan antara rakyat termiskin di negara 1Malaysia. Sehingga ada orang kampung yang ingin mencalonkan saya sebagai pemimpin mereka lantaran untuk mengubah nasib mereka yang masih ketinggalan. Saya hanya tersenyum dan tak mampu berkata apa-apa. Jauh disudut hati, saya berkata bukannya senang untuk berkecimpung dalam politik yang memang masing-masing manusia ingin mengejar kekayaan bukannya untuk mengutamakan rakyat. Rakyat hanya didahulukan semasa pilihanraya, tetapi selepas pilihanraya mereka akan ditinggalkan. Janji pilihanraya hanyalah tinggal kenangan...

Tidak ada guna slogan demi slogan tetapi hanya segelintir saja yang merasainya..tidak menyeluruh ke akar umbi. Kalau betul mendahulukan rakyat...upgrade segala prasarana yang ada...satu contoh yang saya lihat kebersihan. Mulanya saya menyalahkan orang yang tak pandai menjaga kebersihan. Tetapi apabila dilihat prasarana maka sudah tentulah orang tidak akan menjaga kebersihan kerana pihak berkuasa tidak menyediakan tempat untuk membuang sampah yang teratur...Kalau difikir2 pening kepala. Tapi apakan daya kita hanyalah rakyat marhaen dan tak mampu untuk menyalurkan suara hati kepada pihak atasan kerana ada tembok yang memisahkan. Lantas dimanakah ertinya "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan"?

Aku masih tercari-cari jawabannya....

Firman Allah surah Al-Qasas, ayat 83:

"Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."

Tuesday, 13 April 2010

KeagunganMu

Hidup tanpa matlamat amat membosankan. Hidup begitu kosong tanpa aktiviti. Tangan juga begitu lemah untuk menulis. Otak juga terasa lemah untuk berfikir. "Ya Allah, berilah kekuatan pada hambaMu ini". Aku bermonolog sendirian.

Saya sebenarnya sengaja mengambil cuti yang panjang setelah berhempas pulas memerah otak menyiapkan tesis PhD saya. Saya berazam untuk rehatkan minda tanpa berfikir dan hanya duduk di kampung. Rupanya amat payah untuk berdiam diri apabila kita sudah terbiasa dengan hidup yang sibuk.

Al Quran banyak menekankan tentang berfikir. Tanpa berfikir badan akan menjadi lemah. Al Quran menyeru kita untuk berfikir tentang keangungan Allah melalui ciptaanNya. Di bumi ini terdapat banyak tanda-tanda kekuasaan Allah. Gunung ganang yang terbentang merupakan petunjuk betapa sang Pencipta maha kuasa. Gunung-ganang ini ada fungsinya untuk mengukuhkan kedudukan muka bumi. Tanpa gunung-ganang, alam ini tidak kukuh. Bintang-bintang di langit juga merupa keunikan ciptaan Allah. Bintang-bintang ini boleh dijadikan petunjuk arah kepada pelayar-pelayar di lautan. Air sungai yang mengalir lantas memberi minuman kepada manusia, haiwan dan tumbuhan juga merupakan ciptaan Allah. Dan banyak lagi ciptaan Allah yang tak dapat dituliskan di sini untuk kita fikirkan bersama.Tidak mungkin semuanya berlaku tanpa penciptanya. Setiap detik, hidup ini mestilah diisi dengan berfikir tentang keanggungan Allah agar diri tidak lemah dan lalai.

Di kampung, saya berkesempatan mandi di sungai. Terdapat banyak ikan di sungai. Begitu banyak nikmat yang Allah sediakan kepada manusia agar manusia berfikir. Namun tidak ramai manusia yang dapat berfikir tentang ciptaan Allah ini. Banyak manusia yang lalai tentang perintahNya. Malah engkar dan sombong di alam ini, seumpama dunia ini mereka yang punya.

Di sungai juga, terdapat buih-buih yang bertakung. Saya teringat di dalam Al Quran ada menyebut tentang buih-buih yang terdapat di sungai-sungai. Allah umpamakan buih-buih tersebut dengan manusia yang tidak beriman. Apabila saya perhatikan buih-buih itu memang tidak bermanafaat. Hanya terlonggok disebalik takungan air dicelah-celah batu. Apabila semakin lama, buih-buih itu akan berwarna kekuningan dan akhirnya akan bertukar warna menjadi kehitaman. Moga kita tidak menjadi seperti buih-buih itu...

Wednesday, 7 April 2010

Indahnya Negaraku

Alhamdulillah....segala puji bagi Allah akhirnya hari ni saya baru diberi kekuatan untuk menulis dalam blog ini. Blog ini pun dah ber'sawang' kerana dah lama saya tidak lawati dan kemas kini kan.

Seusai saya menghantar thesis pada 5 Mac lalu, saya begitu sibuk dengan urusan shipping dan ziarah kawan2 di Hamilton. Sehinggalah saya balik ke Malaysia pada 26 Mac, hidup saya umpama "amazing race". Banyak perkara yang perlu diselesaikan terutama urusan rumah. Kembalinya saya ke Malaysia ini umpama baru memulakan hidup baru. Hidup dalam serba kekurangan dengan tiada kenderaan. Terpaksalah menumpang kawan untuk ke tempat kerja. Mujurlah masih ada kawan. Alhamdulillah.

Pada 30 Mac, saya berjaya untuk lapor diri di UTM. Suasana agak berbeza sejak saya tinggalkan 4 tahun yang lalu. Hari pertama saya lapor diri, saya terus membantu rakan-rakan Psikologi untuk membaiki kurikulum. Saya difahamkan tujuan bengkel tersebut untuk mengubah program dari 3 tahun ke 4 tahun. Saya pun masih kurang jelas apakah rasionalnya. Yang pasti apa yang saya perhatikan untuk mengubah kurikulum tersebut pihak KPT telah pun ada garis panduan yang ketat hingga pihak akademik kurang autoriti untuk melakukan apa-apa perubahan. Tetapi itulah hakikat di Malaysia..apa yang nak dihairankan.

Perkara seterusnya yang saya dapat perhatikan ialah wajah-wajah rakan sekerja. Ada yang serius tahap gaban, ada yang muka stress dan ada juga yang muka ceria. Yang muka serius tahap gaban ni takut saya nak tegur...saya hanya senyum saja sebagai tanda selamat berjumpa kembali..yang muka stress ni saya berjabat tangan dan bertanya khabar. Rupanya ramai staff yang stress dengan masalah birokrasi terutama kaedah penilaian KPI. Yang mana dalam KPI ni penilaiannya hanya tertumpu kepada penulisan jurnal impak tinggi dan penyelidikan. Kerja-kerja seperti penilaian thesis pelajar langsung tidak diambil kira dalam KPI...begitu juga dengan kerja2 pentadbiran seperti merangka program. Keadaan ini menyebabkan ramai pensyarah yang tidak bermotivasi untuk melakukan tugas mereka. Saya lihat pihak atasan UTM kena membuat kajian terperinci tentang perkara ini.

Saya mengambil cuti selama 2 minggu untuk berjumpa keluarga. Pertamanya saya ke Kl di rumah adik. Saya telah menaiki bas di Taman Sri Putri. Setibanya saya di stesen bas, saya terus membeli tiket ke KL. Petugas kaunter memaklumkan ada tiket yang mana bas akan tiba dalam masa 5 minit. Saya pun dengan hati gembira terus membeli tiket tersebut. Rupanya bas yang dikatan tiba 5 minit itu, saya tunggu hampir sejam...masyaAllah. Ni la antara kejutan2 yang saya alami sekembali dari NZ (negara bukan Islam tetapi mengaplikasi banyak ciri-ciri Islam dalam sistem ketelusan pentadbiran).

Di KL, hujan turun dengan lebatnya. Saya menaiki LRT untuk ke KL sentral. Setibanya di KL sentral..rupanya tempat berhenti LRT ni agak jauh dari bangunan KL sentral. Saya nak ke KL sentral untuk mencari kedai fotostat. Hujan masih lagi turun dengan lebatnya. Jalan untuk ke KL sentral tak de atap, so terpaksalah tunggu hingga hujan berhenti. Laluan untuk ke KL sentral dari stesen LRT itu adalah disediakan 'zebra cross' supaya kereta boleh bagi laluan. Yang sedihnya kenderaan tidak pun berhenti untuk bagi laluan kepada pejalan kaki...alahai di mana kah sikap toleransi manusia. Kalau tak faham pun makna 'zebra cross' tapi berilah rasa empati kepada mereka yang berjalan kaki...yang sedihnya nilai2 Islam langsung tidak dipraktikkan.

Alhamdulillah, dengan berbekalkan kesabaran akhirnya saya tiba di bangunan KL sentral. Dalam sebesar2 bangunan itu, mesin fotostat semuanya rosak. Aduh...sungguh kecewa. Dah la pekerjanya sombong2. Hati saya berkata mungkinkah kebanyakan manusia di bumi Malaysia ini mengalami stress..so nak senyum pun susah.

Inilah sketsa yang saya lalui setelah kembali beberapa hari di Malaysia..insyaAllah ada kelapangan penulisan seterusnya akan menyusul. Semoga sentiasa bersabar.