Friday, 17 October 2008

Harta bukan matlamat hidup

Allah berfirman yang bermaksud :


Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta-benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga). (ali-‘Imran: 14)

SHEIKH Sya'rawi berkata: Tajuk yang datang dalam ayat mulia ini ialah pertembungan peperangan Islam yang Allah SWT jadikannya sebagai tanda berkekalan untuk menjelaskan kepada kita bahawa peperangan, keimanan memerlukan hanya kembali kepada Allah SWT dan memutuskan dari segala adab dan tabiat antaranya syahwat dunia.

Iktibar dan fiqh ayat:
1. Ibn Kathir berkata: "Allah SWT menceritakan kepada kita berkenaan dengan perhiasan kepada manusia dan kelazatan dengan mengikut susunan ujian dan fitnah yang paling banyak."

2. Al-Samarkandi berkata: "Syaitan yang menghiaskan sebagai ujian kepada orang yang beriman dengan cara was-was. Disebut dengan wanita dahulu kerana ia sebesar-besar fitnah yang berlaku sejak zaman Adam a.s hingga ke hari ini. Antara bentuk fitnah tersebut boleh memutuskan silaturrahim dan pergaduhan.

3. Ibn Jauzi berkata: "Semua yang disebut ini menjadi niat pada hamba untuk memakainya dan menjadi buruk akibat jika niatnya tidak baik."

4. Sheikh Sya'rawi berkata: "Apabila kita mengkaji ayat ini yang disebut berkenaan dengan kepelbagaian nikmat dari itu peperangan yang memerlukan perpisahan dengan keluarga hendaklah tidak menghalang oleh nafsu syahwat. Sehingga akhirnya orang yang beriman sejati mampu bersedekah pada jalan Allah SWT dan kudanya digunakan untuk berjihad pada jalan Allah SWT bagi meninggikan kalimahnya."

5. Al-Maraghi berkata: "Kecintaan terhadap kaum wanita disebut dahulu daripada kecintaan terhadap anak-anak padahal perasaan rasa cinta terhadap wanita adakala tidak kekal, sedangkan perasaan cinta terhadap anak akan berkekalan kerana kecintaan terhadap anak tidak akan membawa sikap berlebih-lebihan sebagaimana rasa kecintaan terhadap mana-mana wanita. "Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu untuk meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. Ia mengandungi suatu hikmah yang tersendiri, sama ada pada manusia atau haiwan."

6. Hamka berkata: "Di sini terdapat tiga kata. Pertama Zuyyina, ertinya diperhiaskan. Maksudnya, segala barang yang diingini itu ada baiknya dan ada buruknya, tetapi apabila keinginan telah timbul, yang kelihatan hanya eloknya saja dan lupa akan buruk atau susahnya.
Kata kedua ialah Hubb, ertinya kesukaan atau cinta. Kata ketiga ialah Syahwat, iaitu keinginan-keinginan yang menimbulkan selera yang menarik nafsu buat empunya diri.
Maka disebutlah enam macam hal yang manusia sangat menyukainya kerana hendak mempunyai dan menguasainya sehingga yang nampak oleh manusia hanyalah keuntungannya saja.

7. Al-Sonhadji berkata: "Manusia itu telah diciptakan oleh Allah SWT mempunyai watak atau tabiat semula jadi menyukai nafsu syahwat kepada enam perkara yang disebutkan dalam ayat ini. Segala kelazatan di dunia yang diciptakan oleh Allah SWT, dibolehkan hamba-hamba-Nya menyukai untuk dikecapi dan dinikmati keinginannya dengan diberikan-Nya pula batasan halal haramnya.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa harta dunia sebagai ujian Allah SWT kepada manusia untuk mujahadah al-nafsi dan membetulkan niat dengan menganggap harta benda sebagai alat atau wasilah dan bukan matlamat atau ghayah. Ia digunakan sebagai alat keperluan untuk mentaati dan mematuhi segala ajaran Allah SWT bagi mentahqiqkan matlamat penciptaannya untuk menjadi hamba Allah SWT yang sejati dan khalifah Allah SWT di dunia ini.

Semoga kita menjadi manusia yang selamat dari godaan hawa nafsu dan syahwat. Amin...

Gagalnya sistem kapitalis

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan krisis ekonomi global sebagai tanda kegagalan sistem kapitalis yang selama ini didewa-dewakan oleh negara Barat. Kesan dari krisis ekonomi global ini, kata Ustaz Hadi memaksa negara seperti Amerika Syarikat mengeluarkan dana yang besar untuk membantu syarikat yang hampir muflis.

"Amerika Syarikat begitu angkuh sebelum ini hingga sanggup menyerang negara lain semata-mata untuk kepentingan ekonomi mereka," kata beliau.
Beliau turut menegaskan sistem ekonomi kapitalis yang lebih mementingkan keuntungan kepada satu pihak menyebabkan banyak syarikat kewangan yang muflis.
Mengambil contoh kegagalan Bank Bumiputera yang kini hanya tinggal nama akibat mengamalkan riba untuk mendapatkan keuntungan yang berlebihan.
"Pinjaman yang banyak dikeluarkan kerana mahu mengaut riba yang tinggi, akibatnya ramai peminjam yang gagal membuat pembayaran dan akhirnya bank yang mengalami kerugian," kata Ustaz Hadi.

Berucap di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan pembentangan belanjawan 2009, Ustaz Hadi turut mengkritik pengagihan ekonomi yang tidak sama rata dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Beliau berkata BN lebih menumpukan pembangunan dari segi ekonomi dan infrastruktur di neger-negeri tertentu berbanding negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.
Dari segi infrastruktur kata beliau, Sabah dan Sarawak jauh lebih ketinggalan berbanding Semenanjung biarpun BN sudah memerintah lebih dari 50 tahun. "Pemimpin-pemimpin BN hanya tahu untuk mengambil balak di Sabah dan Sarawak tetapi tidak penderitaan yang ditanggung oleh rakyat di sana," tegas beliau.

Ustaz Hadi berkata sepatutnya pengagihan ekonomi sama rata dilakukan tanpa mengira agama dan kaum bersesuaian dengan ajaran Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.
"Kita tidak sepatutnya meminggirkan kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain kerana mereka juga rakyat negara ini," tegas Ustaz Hadi. Beliau juga mengesa agar ekonomi rakyat dimantapkan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat krisis ekonomi global.
Dengan mengambil contoh kadar gaji di Singapura yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia,Ustaz Hadi menegaskan sepatutnya rakyat negara ini juga menikmati gaji yang lebih tinggi agar mereka dapat hidup dengan lebih sempurna.

Sehubungan dengan itu, ahli parlimen Marang itu seterusnya mencadangkan agar sistem ekonomi kapitalis yang turut diamalkan di negara ini digantikan dengan sistem ekonomi Islam yang lebih menjamin kesejahteraan rakyat.

Wednesday, 15 October 2008

Muhasabah: Jagalah hati kita

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." (ayat 36 surah al-Israa).

Baginda s.a.w. menganggap hati sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati manusia. (Maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Setiap Muslim perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena virus penyakit berbahaya yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah pada hari kiamat. Ini kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati kebahagian seperti di bawah ini:
* Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah Allah.

Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera. Ini ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu'araa yang bermaksud: "Iaitu pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera)."
Iaitu sejahtera, bersih dan selamat daripada penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT. Apa yang perlu mereka ketahui, ialah bahawa hati manusia terbahagi kepada tiga jenis, satu positif dan dua yang lain adalah negatif, ia terserah kepada manusia Muslim untuk memilih salah satu daripada tiga jenis hati: (a) hati yang sejahtera (daripada segala bentuk khurafat, syirik, bidaah, nifaq), (b) hati yang mati dan (c) hati yang sakit.

Hati yang sejahtera
Iaitu hati yang sejahtera daripada menuruti hawa nafsu serakah yang menyalahi perintah Allah SWT, tidak terjebak dalam perlakuan syirik kepada-Nya, tidak melakukan tindakan yang menyalahi ajaran Rasul-Nya. Ia adalah hati yang sentiasa tunduk kepada kehendak Allah, mencintai-Nya lebih daripada isi dunia, takut kepada seksaan-Nya, rindu untuk menemui-Nya, ikhlas kerana-Nya, mengasihi seseorang Muslim dan membencinya kerana-Nya, sentiasa sokong dan cenderung kepada hukum-hakam-Nya, terselamat daripada jangkitan virus penyakit hati. Inilah hati yang hidup sejahtera, lembut, sedia menerima nasihat.

Hati yang mati
Iaitu hati yang berlawanan dengan hati yang sejahtera 100 peratus, iaitu membiarkan untuk tidak terus mengabdikan sebagai hamba Allah, menuruti hawa nafsu, menyanggah hukum-hukum-Nya, membenci golongan yang menyeru kepada kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak mahu menerima nasihat yang baik malah melawannya, bersahabat dengan orang-orang jahat. Itulah hati yang mati dengan Islam.

Hati yang sakit
Iaitu hati yang tidak konsisten, adakalnya cenderung kepada kebaikan dengan mendengar nasihat penceramah dan pada masa sama cenderung kepada kejahatan, inilah hati sekejap baik sekejap jahat.

Tanda-tanda hati yang sejahtera adalah:
1. Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan bertaubat kepada Allah.
2. Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.
3. Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan makanan dan minuman.
4. Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya ketika melaksanakan solat.
5. Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.
6. Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.
7. Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk selain-Nya.

Tanda-tanda hati yang rosak:
1. Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.
2. Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.
3. Merasa seronok bergelumang dalam dosa.
4. Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.
5. Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.
6. Benci kepada orang-orang soleh atau mereka yang suka melakukan kebaikan.
7. Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.
8. Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.
9. Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikit pun tidak takut kepada Allah.
10. Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.

Kaedah rawatan penyakit hati:
a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.
b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.
c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.
d) Khusyuk dalam solat.
e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.
f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.
g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.
h) Beriktikad dengan akidah yang betul.
i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.
j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.
k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.
l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.
m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.
n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.
o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.
p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.
q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.
r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan.

Hari Raya bukan untuk berpesta-pestaan

Oleh: Dato' Prof. Dr Haron Din

Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri, disambut setelah umat Islam menjalani ibadah berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan. Puasa merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Apabila selesai berpuasa, bermakna, kita menyelesaikan satu rukun.

Oleh kerana itu adalah wajar bagi mereka yang berjaya menunaikan rukun itu, berhari raya atau bergembira kerana berjaya menunai perintah Allah. Tujuan kegembiraan dipamerkan adalah untuk mensyukuri nikmat Allah selepas ibadah sempurna dilakukan.
Hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w (mafhumnya): "Ramadan pada awalnya rahmah, pertengahannya keampunan dan pada akhirnya bebas daripada api neraka."
Bagi orang yang mendapat ketiga-tiga itu, apakah dia tidak mahu menyambutnya dengan perasaan gembira sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

Bagi mengisi cara perayaan tersebut, syarak menggariskan beberapa panduan tertentu antaranya:
1. Diharamkan berpuasa pada hari raya - Ertinya kita harus menjamu selera. Sebaik-baiknya persediaan untuk menjamu selera itu mestilah munasabah dan tidak membebankan.
2. Berpakaian bersih, kemas dan menarik, termasuk berpakaian baru.
3. Pada pagi hari menuju ke tempat solat hari raya - sebaik-baiknya di tanah lapang jika keadaan mengizinkan kerana hendak memberi peluang kepada yang uzur, dapat bersama mengikuti khutbah raya.
4. Bertakbir dengan takbir yang disyariatkan - bermula terbenam matahari pada akhir Ramadan, masuk ke bulan Syawal sehingga selesai khutbah Aidilfitri.
5. Mendengar khutbah di samping bersembahyang hari raya.
6. Bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan silaturahim.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Apabila berlaku Hari Raya Fitrah, malaikat-malaikat turun ke bumi, berbaris di jalan-jalan orang yang hendak pergi ke tempat solat, sambil menyeru mereka dengan suara yang didengari oleh semua makhluk, kecuali jin dan manusia, dengan kata-kata "wahai umat Muhammad, ayuh beramai-ramai kepada keredaan Allah, Tuhan yang Maha Mulia, Tuhan yang memberi anugerah yang amat banyak dan yang mengampun dosa-dosa yang banyak."

Apabila mereka berada di tempat solat dan menunaikan solat serta mendengar khutbah, maka Allah berfirman kepada malaikat-malaikat tadi, "Tahukah kamu apakah balasan Aku kepada semua mereka itu?" Malaikat menjawab, "Allah sahajalah yang Maha Mengetahui dan akan membalas apa sahaja amal-amal ibadah mereka." Allah menjawab lagi, "Aku bersaksikan kamu, bahawa Aku akan membalas amalan puasa mereka, sembahyang malam mereka dan solat mereka pada hari ini, dengan keredaan-Ku dan keampunan-Ku kepada dosa-dosa mereka." (Riwayat Ibnu Abbas r.a)

Dalam Kitab Durratun Nasihin, halaman 80 dibawa suatu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Pada hari raya berbanyak-banyaklah bersedekah dan lakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebajikan serta pahala, perbanyakkan memuji Allah, mengagungkan Allah dan bersungguh-sungguh mentaati-Nya kerana pada hari itu Allah akan ampunkan dosa manusiayang berpuasa dan menyambut hari raya dan dibalas dengan syurga Allah."

Kaab bin Munabbih menceritakan, pada hari raya, raja iblis amat murung dan amat dukacita, anak-anak buah dan kuncu-kuncunya berkumpul beramai-ramai dan bertanya kepada raja mereka, siapakah yang menyebabkan dia berdukacita, segeralah beritahu agar mereka bertindak menghapuskannya. Maka jawab raja iblis, "Tidak bukannya orang yang mendukacitakan aku, tetapi Allah, Allah yang memberi keampunan kepada dosa yang telah kita usahakan mereka berdosa." "Jika begitu apa kita perlu lakukan?" tanya anak-anak iblis.
Jawabnya, "Mestilah kamu bertindak memalingkan manusia daripada keredaan Allah, hanyutkan mereka dengan nafsu syahwat, biar mereka menjamu selera sehingga melanggar hukum Allah, hasutkan sehingga mereka melakukan perkara yang diharamkan, ajak mereka berhibur dengan hiburan yang melalaikan, suruh mereka minum dan makan yang ditegah oleh Allah, biar mereka dimurkai semula oleh Allah."

Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w bersabda dalam suatu hadis yang mafhumnya: "Syurga amat merindui kepada empat kategori insan untuk memasukinya. Pertama, yang membaca al-Quran. Kedua, yang menjaga lidah daripada bertutur yang tidak baik. Ketiga, yang memberi makan orang yang lapar (terutamanya untuk berbuka puasa) dan keempat, yang berpuasa sepenuhnya pada bulan Ramadan."

Sehubungan itu umat Islam semuanya hendaklah berteraskan hal-hal daripada garis panduan yang dinyatakan seperti di atas. Wallahua'lam.

Monday, 13 October 2008

Puasa Sunat Syawal

Dalil puasa sunat Syawal

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. (Sahih Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa setahun.

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah SWT maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah puasa sunat Syawal
Puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberi ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain itu, sebagai manusia yang menjadi hamba Allah, alangkah baik seandainya amalan puasa yang wajib pada bulan Ramadan ini kita teruskan di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari.
Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada tuhannya. Sebab itulah kata ulama: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai”.

Melaka oh Melaka!!

Ekoran ramai yang terkejut dan tidak kurang juga yang kelucuan dengan penganugerahan Datuk Shah Rukh Khan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka maka ketua menteri Melaka pun menjelaskan sebab-sebabnya (sila baca sisipan dibawah). Namun adakah benar Negeri Melaka menjadi popular di serata dunia selepas penggambaran filem Shah Rukh Khan di Negeri Melaka tersebut? Di negara New Zealand ni tak de pula kedengaran filem tu menjadi popular...

Kerajaan Melaka patut buat research jumlah pelancong di Melaka sebelum dan sesudah filem tersebut barulah kita nampak hasilnya. Adakah filem tersebut significant atau tidak dengan kehadiran para pelancong ke Negeri Melaka. Kepada ketua menteri Melaka..jadilah pemimpin yang intelektual sikit...


Sisipan: Sebab Shah Rukh Khan dikurnia Datuk
MELAKA 12 Okt. (Utusan)– Penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan adalah berdasarkan sumbangannya mempromosi negeri ini melalui filem lakonannya yang ditonton jutaan peminat seluruh dunia, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Beliau berkata, Shah Rukh Khan pernah datang ke Melaka membuat penggambaran filemnya bertajuk One Two Ka Four di A Famosa Resort, Alor Gajah beberapa tahun lepas.
“Salah satu lagu dalam filem berkenaan dibuat penggambaran di A Famosa Resort, Alor Gajah. Ini telah menyebabkan jutaan orang yang menonton filem itu mengenali Melaka,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas istiadat penyampaian anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke-70 hari jadi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.
Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka tahun ini. Tarikh penyampaian anugerah kepadanya belum ditetapkan lagi.
Mohd. Ali berkata, penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang.
“Kalau kita hendak buat promosi Melaka secara sendiri melalui sesuatu filem yang ditonton jutaan orang di seluruh dunia tentu kosnya bernilai beratus juta ringgit,” katanya.
“Melaka mempunyai banyak tempat pelancongan menarik seperti Sungai Melaka, Menara Taming Sari, Eye On Melaka dan tempat-tempat bersejarah yang menarik untuk filem seperti filem Hindustan. Kawasan lain di dunia pernah ditonton oleh orang ramai tetapi Melaka belum ditunjukkan secara menyeluruh,” katanya.
Mohd. Ali berkata, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mencadangkan kepada Mohd. Khalil supaya pelakon Bollywood itu diberi anugerah bagi membantu Melaka menjadi terus popular lebih-lebih lagi selepas Melaka mendapat pengiktirafan Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Saturday, 11 October 2008

Apakah jadah Shah Rukh Khan dapat anugerah 'datuk'??

Saya geli hati apabila terbaca tajuk berita "Shah Rukh Khan dapat datuk" dalam ruangan Dalam Negeri Utusan Malaysia (sila baca petikan berita tersebut di bawah). Mula baca tajuk tu macam tak percaya je. Biar betul...rupanya memang benar. Apa dah jadi dengan Malaysia tanah airku!! Sudahlah politik negara tidak menentu. Kali ni dikejutkan pula dengan berita seorang artis Bollywood iaitu Shah Rukh Khan dapat anugerah datuk sempena Harijadi Yang Dipertua Negeri Melaka yang ke-70, yang dijadualkan esok. Saya bukan mahu mempertikaikan hal ini, cuma apakah rasionalnya seorang rakyat India yang hanya merupakan artis dan sesekali datang ke Malaysia untuk menghiburkan peminatnya diberi anugerah sedemikian?. Apakah jasa-jasa yang telah disumbangkan kepada rakyat Malaysia amnya dan Melaka khasnya. Puas juga saya mencari-cari sumbangan besar pelakon Bollywood tersebut. Setahu saya sumbangannya ialah banyak menghanyutkan pemikiran rakyat Malaysia terutama para remaja melalui filem-filem cintanya yang begitu romantik.

Namun lain pula apa yang difikirkan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka yang melihat sumbangan Shah Rukh Khan tersebut amatlah besar kepada negara. Besar sangatkah sumbangan Shah Rukh Khan itu pada negara Malaysia sehingga kerajaan Melaka memberi gelaran 'datuk' kepada beliau? Apakah sudah tiada rakyat Malaysia yang layak untuk diberi gelaran itu?. Bukankah ramai lagi rakyat Malaysia yang memberi sumbangan positif kepada pembangunan negara misalnya di kalangan tenaga akademik, para doktor dan saya yakin ramai lagi di kalangan rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara. Alahai Yang Dipertua Negeri Melaka..apakah bengap sangat sampai tak nampak sumbangan rakyat sendiri? Apakah jadah?.....

Sisipan: Shah Rukh Khan dapat Datuk

MELAKA 10 Okt. (Utusan) – Pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan merupakan antara penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob ke-70, esok.
Penganugerahan itu menjadikan Shah Rukh Khan, yang dilahirkan di New Delhi pada 2 November 1965, artis Bollywood pertama ber gelar Datuk.
Beliau yang terkenal menerusi filem Kuch Kuch Hota Hai (1998) mempunyai ijazah sarjana dalam bidang komunikasi dari Jamia Millia Islamia University.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Saadun Basiron berkata, DMSM dianugerahkan bagi mengenang jasa Shah Rukh Khan dalam bidang seni dan perfileman di peringkat antarabangsa, termasuk di Malaysia.
Bagaimanapun, Shah Rukh Khan tidak dapat hadir untuk menerima anugerah tersebut, katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Fakta dari sumber yang boleh dipercayai:
Isu gelaran "Datuk" di Malaysia memang popular dan sering dikaitkan dengan "jual beli" atau "sistem barter" iaitu ada wang semua boleh jalan. Sistem barter ini memang popular sejak zaman kesultanan Melayu Melaka dulu lagi.Khabarnya gelaran itu kini nilainya mencecah sehingga RM300,000 ringgit dan bergantung kepada cara bayarannya. Kalau satu kepala Rm300K maka jika diberikan kepada 30 kepala, berapa banyak duit yang boleh disapu. Mungkin inikah rasional yang dilihat oleh Yang Dipertua Melaka?? Yang penting duit masuk..nilai dan identiti bukan lagi perkara utama semuanya hanya kerana duit...

Monday, 6 October 2008

Silaturrahim di Aidil fitri

Hari ini dah kembali ke alam sebagai PhD student setelah sebulan berada di Madrasah Ramadhan. Sepanjang berada di Madrasah Ramadhan terlalu banyak pengajaran yang diperolehi. Moga terus istiqamah dengan pengajaran-pengajaran yang dipelajari dari madrasah Ramadhan. Bermula 1 Syawal pula aktiviti di penuhi dengan program ziarah-menziarahi untuk merapatkan silaturrahim sesama insan. Kesempatan syawal inilah dapat berjumpa sahabat-sahabat yang jarang jumpa dek sibuk dengan tugasan research yang melambak. Masa-masa lain bukan tak nak jumpa tetapi tak sempat dek menyiapkan kerja-kerja research. Kerja-kerja research ni pun satu kerja dakwah juga untuk buktikan umat Islam mampu..

Maka di kesempatan syawal ini digunakan sepenuhnya untuk menjemput saudara seIslam mahupun non muslim ke rumah walaupun dengan hidangan yang hanya sederhana saja. Di samping itu, menziarahi sahabat-sahabat lain. Keseronokan di Aidil fitri yang paling hakiki ialah dapat merapatkan silaturrahim sesama insan. Makanan adalah perkara kedua tetapi yang paling aula adalah ukhuwwah yang patut dibina berdasarkan iman dan taqwa kepada Allah sesuai dengan prinsip hari raya aidil fitri sebagai mercu kemenangan kepada umat Islam. Moga ukhuwwah yang terbina dapat menjadikan umat Islam umat yang terbaik dan menjadi qudwah hasanah kepada masyarakat lain.

“Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia senang menjalin silaturrahim” (HR Bukhari).

Sebagaimana namanya, “silah” artinya hubungan atau menghubungkan, dan “ar-rahmi” artinya kasih sayang. Dilihat dari maknanya, tujuan yang diharapkan dari silaturrahim adalah terwujudnya kasih sayang yang diridhai Allah SWT.

Banyak keuntungan yang diperoleh dari melakukan perbuatan baik ini, yang di antaranya disebutkan dalam hadits di atas: mudah rezeki dan panjang umur. Rezeki Allah kadangkala diberikan lewat tangan-tangan atau sepatah kata dari orang lain. Sepatah kata orang yang bijak dan bermanfaat dari orang lain tidak tertutup kemungkinan menggugat dan membuka fikiran kita luas-luas, sehingga mampu melihat peluang-peluang rezeki yang dihamparkan Allah setiap hari di dunia ini. Lebih-lebih kata yang bersifat ilham, yang tidak semua orang mampu mengenalinya dan memahaminya. Oleh karena itu, silaturrahim sebaiknya dilakukan bukan hanya dengan orang-orang yang dikenali, tetapi juga yang tidak dikenali.

Selanjutnya, umur manusia yang gemar bersilaturrahim akan berkat. Kerana hidup dalam kedamaian, sebagai akibat baik dari silaturrahim, kita menjadi benar-benar mengisi dan menikmati hidup dengan sebaik-baiknya, tidak takut dalam mencari rezeki, dan boleh beribadah kepada Allah dengan semaksima mungkin.

Sebaliknya, kalau silaturrahim diputuskan, pasti timbul beberapa akibat yang sangat buruk. Antaranya hidup di bawah tekanan, ancaman dan peperangan, terasa tidak menyenangkan, kerana selalu timbul rasa was-was akan berbagai mara bahaya dari pihak lain dan kadang-kadang terpaksa berlagak hipokrit di hadapan orang lain. Nampak luaran tersenyum tetapi di dalam hati tidak ada ketenangan kerana rapuhnya ikatan silaturrahim sesama manusia. Ikatan silaturrahim yang rapuh ini akan melemahkan umat Islam sejagat. Rezeki pun terasa amat sulit untuk diperoleh, kerana antara sesama kita bukan saling memberi manfaat tetapi saling memusuhi. Waktu untuk menikmati hidup akan terasa sedikit. Akibat yang lebih buruk lagi ialah tidak ditilik Allah di Hari Kiamat (HR Ad-Dailami).

Friday, 3 October 2008

Khutbah Terpilih Aidil Fitri 1429

Oleh: Ustaz Nasarudin Hassan At Tantawi

BERJUANG LAH !!

الله أكبر الله اكبر الله اكبر ..... الله أكبر الله اكبر الله اكبر ..... الله أكبر الله اكبر الله اكبر ..... الله اكبر كبيرا و الحمد لله كثيرا و سبحان الله بكرة و أصيلا اللهم صل و سلم على رسولنا المصطفى صلى الله عليه وسلم و على آله و أصحابه و التابعين و تابعيهم بإحسان إلى يوم الدين وقال الله تعالى في كتابه العزيز : يا يها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته و لا تموتن إلا و أنتم مسلمون

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah swt.

Hari ini adalah hari seluruh umat Islam bersatu melaungkan kebesaran Allah Azza wa Jalla . Ia juga menepati laungan kemenangan Islam Agama suci ke atas gabungan musuh yang menentang Islam . Sebuah kemenangan yang berpaksi kepada ajaran tauhid , meng Esa dan meng Agongkan Allah Jalla wa A’la .

لا إله إلا الله وحده صدق وعده و نصر عبده وأعز جنده و هزم الأحزاب وحده
لا إله إلا الله و الله أكبر
الله أكبر و لله الحمد

“ Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah Tuhan Yang Maha Esa , Tuhan Yang Telah benarlah JanjiNya , Tuhan Yang Telah Memberi Kemenangan kepada HambaNya dan Tuhan Yang telah Memberi keperkasaan kepada TenteraNya dan Tuhan Yang telah Membinasakan Tentera Ahzab dengan segala keEsaanNya .

Tiada Tuhan Yang layak disembah melainkan Allah dan Allah adalah Tuhan Yang Maha Agong……….. Allah Tuhan Yang Maha Agong dan kembali kepada Allah segala Kepujian “.

Justeru itu , marilah kita raikan kemenangan tersebut dengan 1001 keinsafan bahawa kita pada hari ini , jika bermaksud mahu mengulangi kemenangan generasi terdahulu maka mestilah kita juga memiliki standard keupayaan yang serupa .

Sesungguhnya kemenangan menjulang Agama Allah dimata dunia , pula mengatasi ideology dan agama ciptaan manusia bukanlah satu kemenangan mudah , yang dicapai dalam masa yang singkat tanpa melalui tahap pengorbanan yang tinggi dan perjuangan yang getir .

Hari ini kita menyambut dan mengulangi slogan kemenangan , bukan hanya kerana rasa seronok dan gembira dengan kemenangan tersebut tetapi apa yang lebih penting ialah ingin menyemarakkan kembali semangat juang ke arah mendaulatkan syariat Allah swt dan memartabatkan sunnah Rasulillah saw. Sekaligus mengambil iktibar bagaimana persiapan spiritual , mental dan fizikal yang dipersiapkan oleh Rasulullah saw mendepani kekuatan serangan dan propaganda musuh .

الله أكبر .... الله أكبر...... الله أكبر

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah.

Kegembiraan kita menyambut hari lebaran ini janganlah sampai kita lupa , bagaimana keadaan Islam dan umatnya yang kini menghadapi tekanan dan kepungan hebat dari pihak musuh , samada di peringkat antarabangsa mahupun diperingkat nasional . Satu keadaan yang memaksa kita sebagai seorang muslim yang mukmin , bangkit berjuang membela maruah ummah dan berjuang menjulang kalimah Allah swt.

Perlu disedari , bahawa musuh tidak pernah bersimpati terhadap Islam dan umatnya. Inilah reality yang telah didedahkan oleh Allah swt :

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوا اْليَهُوْدَ وَ اَّلذِيْنَ أَشْرَكُوْا

Demi sesungguhnya ( engkau wahai Muhammad ) akan dapati manusia yang sangat tinggi semangat permusuhannya terhadap orang – orang beriman ialah orang – orang Yahudi dan mereka yang mempersekutukan Allah swt.

Surah al Maaidah . Ayat : 82

Kita sebagai seorang muslim muttaqin yang telah dididik sebulan di Madrasah Ramadhan guna melahirkan Insan yang komited dan istiqamah dengan amal Islami tentunya tidak mempunyai pilihan yang lain , melainkan kita selayaknya menyahut seruan Rasulullah saw.[1]

وَ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَ يُقَاتِلُهُمُ اْليَوْمُ رَجُلٌ فَيَقْتُلُ صَابِرًا مُحْتَسِباً
مُقْبِلاً غَيْرَ مُدْبِرٍ إِلاَّ أَدْخَلَهُ اللهُ الْجَنَّةَ .

“Demi ( Allah ) yang diri Muhammad di dalam gemgamanNya , tidaklah seseorang yang berjuang menentang mereka ( musyrikin ) hari ini lalu ia berjuang penuh kesabaran dan penghayatan serta sedia menghadapi musuh tanpa gentar ( berundur ) melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.”

Muslimin dan Muslimat sekelian .

Adalah salah , jika kita memahami Ramadhan hanyalah sebagai bulan Puasa semata – mata . Sedang Ramadhan juga adalah :

bulan Taqwa yang mendidik jiwa tunduk kepada Allah swt ,
bulan Quran yang memandu manusia mencari redho Allah swt dan
bulan Jihad yang merangsang daya juang menegakkan agama Allah swt.

الله أكبر .... الله أكبر...... الله أكبر

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah .

Kini ummat Islam dinodai . Sejarah gemilangnya dipalit arang. Prestasi cemerlangnya dipandang sinis sementara pejuang kedaulatannya pula dicurigai . Ummat Islam menjadi bangsat di atas tanahair sendiri , menjadi hina di hadapan kaum bangsa sendiri dan menjadi lemah dalam jumlah mereka yang ramai . Mereka hilang identiti dan luntur kualiti .

Bukankah kita ummat yang terbaik ?

Firman Allah swt :

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف و تنهون عن المنكر و تؤمنون بالله

Maksudnya : Kamu adalah sebaik – baik ummah , dikeluarkan dikalangan manusia . Kamu menegakkan perkara Ma’ruf dan mencegah perkara Mungkar dan kamu beriman kepada Allah swt.

( Surah Aali Imran . Ayat 110 )

Ummat ini tetap menjadi ummat yang terbaik asal sahaja mereka masih komited dengan 3 prinsip[2] yang dinyatakan oleh Allah di dalam ayat 110 dari surah Aali Imran yang saya bacakan tadi , iaitu :

Ø Menegakkan perkara Makruf
Ø Mencegah perkara Mungkar dan
Ø Beriman kepada Allah swt.

Ummat ini adalah ummat yang terbaik justeru inilah : [3]

· Ummat yang dilahirkan oleh Allah di atas muka bumi ini sebagai khalifah , untuk menjadi tuan dan pentadbir urusan hidup , kearah sebuah kemakmuran yang abadi dan hakiki .

· Ummat yang mempunyai Kitab suci ( al Quran ) sebagai pedoman dan panduan hala tuju yang bukan sahaja menjanjikan tamaddun yang soleh tetapi juga kehidupan yang dirahmati dan diredhoi oleh Allah swt.[4]

· Ummat yang diutuskan Rasul ( nabi Muhammad saw. ) sebagai pembimbing dan penunjuk arah yang bukan sahaja menjanjikan kesejahteraan dan kejayaan hidup tetapi juga menghindarkan kemurkaan dan azab ilahi .[5]

· Ummat yang dikurniakan aqal dan nafsu untuk mengendalikan sebuah kehidupan yang normal serta dikurniakan pula agama dan syariat untuk memelihara dan mengawal pengendalian tersebut. ( bukan bertujuan menghalang dan menafikan hak sebuah kehidupan.)

الله أكبر .... الله أكبر...... الله أكبر

Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian .

Persoalannya , kenapa dan mengapa ummat ini mengalami kemerosotan yang amat parah dan sangat kritikal ? Malah kenapa ummat ini terperangkap dalam kancah yang merosakkan prinsip aqidah mereka , melunturkan nilai akhlak dan moral mereka jua mengheret mereka dalam konflik perasaan dan polemic jiwa yang tidak berkesudahan .

Realiti ini telah memaparkan satu landskap kehidupan ummat yang sangat menghiris dan memilukan perasaan kita yang masih memiliki selembar iman dan secangkir agama ini . Manakan tidak……..

Institusi keluarga porak peranda .

Ibubapa sibuk memburu kemewahan dunia sementara anak terabai tanpa didikan dan asuhan yang sempurna. Hilang kasih sayang , lekang kemesraan dan hancur adab susila . Keluarga sedemikian hanyalah melahirkan anak yang liar tanpa kawalan , isteri durhaka tanpa rasa hormat kepada suami dan ketua keluarga yang tidak bertanggungjawab tanpa rasa bersalah .

Remaja tanpa jati diri .

Dunia mereka hanya dilingkari hiburan dan rakan sebaya yang tidak membantu pertumbuhan jati diri yang berwibawa dan bertaqwa . Masa depan mereka terumbang ambing laksana langkah kaki mereka yang tidak berketentuan . malah ramai yang terjebak dalam dunia maksiat yang keji dan jenayah yang jijik.

Mereka menyumbang kepada peningkatan taraf index jenayah yang menggugat rasa aman dalam Negara .[6]

Aktiviti maksiat dan Pusat hiburan bercambah .

Ianya bercambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan tanpa sebarang sekatan dan kawalan . Sebaliknya dengan rasa bangga , aktiviti dan pusat maksiat ini diperluas tanpa mengira sentiment ummat Islam .[7] Rentak muziknya menenggelamkan ketinggian suara azan dari menara rumah Allah ( masjid ) dan aksi lincah mereka mengatasi keaktifan seorang pendakwah yang tekun menyebarkan agama .

Program agama dan gerakkerja dakwah difitnah .

Aktiviti amal Islami sering berhadapan dengan fitnah dan terpaksa berhadapan pula dengan pelbagai implikasi yang tidak sedikit , khasnya dari pihak tertentu yang sering memandang perkembangan ini dengan rasa cemburu yang negative .

Fenomena ini hanya melahirkan masyarakat yang jahil dan menjadikan mereka lemas dalam arus deras mungkar dan maksiat yang sukar dikawal dan dibatasi .

Elemen inilah yang menghancurkan peradaban insaniyyah ( kemanusiaan ) dan anasir inilah pula yang menjadikan keadaan ummah mengalami dilemma dalam mencari identity dan kuality diri mereka .

Insafilah , bahawa kejatuhan ummat ini bukan kerana mereka berpegang teguh dengan ajaran agama Islam tetapi kerana hubungan mereka dengan Islam yang kian renggang , penghayatan mereka yang kian luntur , amalan mereka yang kian surut , akhlak mereka yang kian terhakis dan keimanan mereka kepada Allah serta hari akhirat kian malap .

Marilah , kita bergandingan dengan seluruh upaya dan daya yang kita miliki serta mengambil segala ruang dan peluang yang ada untuk mengembalikan semula kegemilangan dan kecemerlangan ummat ini .

Pastinya pula tiada formula dan tiada pilihan yang paling tepat melainkan kita kembali ke pangkuan agama dengan segala penghayatan dan perlaksanaannya. Komited dan istiqamah dengan setiap suruhan dan ajaran Ilahi . Hayatilah Firman Allah swt ini :

لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم . ثم رددناه أسفل سافلين . إلا الذين ءامنوا و عملوا الصالحات فلهم أجر غير ممنون .
فما يكذبك بعد بالدين . أليس الله بأحكم الحاكمين .

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk Yang sebaik-baik ciptaan ) dan lengkap sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur dan menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan Dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang Yang rendah, Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala Yang tidak putus-putus. (jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula Yang menjadikan Engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil Yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?

( Surah at Tiin : Ayat 4 – 8 )

Muslimin dan Muslimat sekelian .

Agama lah yang mengajar kita supaya membina silaturrahim agar wujud perpaduan yang merentasi kepentingan bangsa dan kaum serta agama dan budaya .

Agama lah yang mendidik kita supaya mentaati ibubapa , menghormati orang yang lebih dewasa dan menyayangi mereka yang lebih muda , agar lahir masyarakat penyayang yang saling hormat menghormati diantara satu sama lain .

Agama lah yang membimbing kita supaya menghindarkan diri dari segala maksiat , mungkar dan jenayah , semoga masyarakat bukan sahaja mendapat redho dan rahmat Ilahi tetapi juga bebas dari kerosakan dan kemusnahan serta hidup dalam keamanan dan kesejahteraan .

Agama lah yang membentuk nilai akhlak dan moral terpuji bagi meletakkan ummat Islam sebagai ummat yang bermartabat dan berdaulat jua bertamaddun dan berkeperibadian tinggi.

Agama lah yang menjana kekuatan spiritual dengan nilai pengabdian diri kepada Allah swt . Kekuatan rohani inilah pula yang mencetuskan rasa takut kepada Allah dan mampu menilai antara syurga dan neraka serta dosa dan pahala .

الله أكبر .... الله أكبر...... الله أكبر

Muslimin dan Muslimat sekelian .

Demi masa depan ummah dan tanahair tercinta ini , malah demi masa depan kita bersama , marilah kita kembali dengan sehayun tangan dan selangkah kaki ke pangkuan agama suci ini, justeru hanya inilah jalan yang lurus , jalan yang membawa kita ke pintu syurga .

و أن هذا صراطى مستقيما فاتبعوه و لا تتبعوا السبل فتفرق بكم عن سبيله
ذلكم وصكم به لعلكم تتقون

Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

( Surah al – An a’am : Ayat 153 )

بارك الله لي و لكم في القرآن العظيم و نفعني و إياكم بالآيات و الذكر الحكيم و تقبل مني و منكم تلاوته إنه هو السميع العليم .....



[1] Rujuk kisahnya di dalam Kitab al Jihaadu Fil Islam : Karangan Dr. al Imam Abdul Halim Mahmud , di bawah tajuk : دور الإيمان في المعركة . M/surat : 47 . Terbitan Darul Ma’arif Qaherah .

[2] Prinsip tersebut ialah : Menegakkan perkara ma’ruf ( syariat ) , Mencegah perkara Mungkar , Beriman kepada Allah swt.

[3] Sila rujuk Tafsir Al Munir Juzuk ke 4 . M/s 40 .

[4] Firman Allah swt .و نزلنا عليك الكتاب تبيانا لكل شئ و هدى و رحمة و بشرى للمسلمين dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran guna menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam. ( Surah an – Nahl : Ayat 89 )

[5] Firman Allah swt. و لقد بعثنا في كل أمة رسولا أن اعبدوا الله و اجتنبوا الطاغوت فمنهم من هدى الله و منهم من حقت عليه الضلالة

Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada Yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula Yang berhak ditimpa kesesatan.

( Surah an – Nahl : Ayat 36 )

[6] 156 , 455 kes jenayah berakhir tahun 2004 berbanding hanya 70 , 823 kes jenayah pada tahu 1980 . ( Laporan Harian Metro : 24 September 2005 .)

[7] Menteri Pelancungan Tengku Adnan Mansur telah mencadangkan agar Pusat hiburan di Bandar – Bandar tumpuan pelancung melanjutkan tempoh operasi hingga jam 5 am.

Madah Aidil Fitri

Bagaimana mulia dan sucinya hati Rasulullah saw. tetap senyum bila di benci , tetap tenang bila di musuhi , tetap membantu walau disakiti , tetap menyeru meskipun diusir pergi ....

tetapi kenapa kita mudah membenci bila dikasari , mudah kecewa apabila yang dilakukan tidak menjadi , mudah berputus asa bila orang lain tidak memahami , mudah terguris bila kita dinasihati ??

Marilah kita teruskan Mujahadah diri agar segala yang indah menghiasi peribadi , kerana qudwah kita ialah Nabi , itulah sifat hamba Allah yang sejati . Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin .