Sunday, 25 October 2009

Musim




Assalamu alaikum walhamdulillah...

Alhamdulillah baru hari ni berkesempatan menulis dalam blog ini. Actually, dah banyak kali percubaan untuk menulis sesuatu dalam blog ini tetapi asyik tertangguh kerana menyiapkan tugasan-tugasan yang lebih utama. Bak kata Syeik Yusof Al Qardawi dalam bukunya "utamakan yang utama".

Alhamdulillah, di NZ sekarang ni telah pun masuk musim bunga (Spring). Masa siang pun panjang berbanding dengan musim sejuk (winter). Sekarang Subuh masuk seawal 4.46 pagi. Manakala Maghrib pula masuk pukul 7.46pm. Dan masa siang ini semakin panjang dari hari ke hari. Terutama apabila masuk musim panas (summer) nanti masa siang lagi panjang dari sekarang iaitu waktu Subuh masuk lebih kurang seawal pkl 3 pagi. Manakala Maghrib pula masuk lebih kurang pukul 8.30pm.

Mari kita berfikir sejenak tentang hikmah dari peralihan musim ini. Berkaitan dengan peralihan musim ini Allah telah sebutkan dalam Surah al Hadid:6 bermaksud:

"Dia (Allah) yang memasukkan malam ke dalam siang, dan memasukkan siang ke dalam malam..."

Dari ayat tersebut, Allah berkuasa untuk memanjangkan masa malam dan begitu juga dapat memanjangkan masa siang. Subhanallah. Apabila saya duduk di negara empat musim ini barulah saya dapat merasai sendiri betapa banyak bukti-bukti dari alam yang menguatkan keyakinan dan keimanan kita kepada kebesran Allah. Terutamanya jika kita menggunakan akal untuk sentiasa berfikir akan kebesaran Allah.

Di negara empat musim ini akan merasai musim panas (summer), musim luruh (autumn), musim sejuk (winter), dan musim bunga (spring). Setiap musim tersebut mempunyai keunikannya yang tersendiri. Yakni pada musim panas akan mengalami siang yang panjang. Dan pada musim inilah petani-petani di NZ akan bekerja bersungguh-sungguh mencari rezeki. Tanah di sini juga memang subur secara semulajadi.

Pada musim luruh pula, daun-daun pokok berguguran hinggalah ke musim sejuk. Pokok-pokok akan togel, daun-daun semuanya habis luruh. Keunikan seterusnya apabila tiba musim bunga, yang mana pokok-pokok tersebut akan mula berdaun dan berbunga. Suasana sangat cantik di musim bunga. Apa yang saya perhatikan, dengan adanya empat musim di negara ini menyebabkan pokok-pokok di'trim' secara semulajadi. Justeru, tidak timbul hutan kan merimbun macam di Malaysia. Lalang juga tidak sempat tumbuh panjang kerana telah di'trim' secara semulajadi semasa musim winter. Daun-daun pokok yang berguguran di musim luruh dan winter pula secara semulajadi menjadi baja yang menyebabkan negara ini sentiasa subur.


...bagi orang2 yang berakal dan menggunakan akalnya untuk berfikir kebesaran kepada sang Pencipta, sudah tentulah kita akan berfikir maha kuasa Tuhan yang telah menciptakan alam ini. Keunikan yang Allah jadikan ini menambahkan keyakinan dan keimanan kita padaNya.

Saya selalu terfikir alangkah ruginya mereka yang tidak dapat melihat kebesaran Allah ini dengan akalnya. Bukti didepan mata tetapi hati dan pemikiran tidak dapat melihat. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang buta mata hati dan akalnya. Ramai orang yang bijak pandai tetapi berapa ramai yang dapat melihat kebesaran Allah swt? Renung-renungkanlah..

Wallahu alam.


Friday, 16 October 2009

Mungkinkah ini menjadi faktor penyumbang kepada kemalangan di Malaysia?

Saya baru membaca satu laporan akhbar di New Zealand tentang tahap keselamatan kereta buatan Malaysia yang diemailkan oleh sahabat saya. Berdasarkan ujian yang telah dijalankan oleh Australasian New Car Assessment Programme, kereta buatan Malaysia, khususnya Proton hanya mendapat rank 1 bintang. Berdasarkan ujian tersebut, kereta buatan Malaysia tidak mempunyai keselamatan untuk 'protect' kepala dan kaki pemandu dan penumpang. Kereta buatan Malaysia juga dikatakan tidak mempunyai 'airbags', ABS, dan electronic stability control. Kawalan ini penting untuk membantu pemandu mengawal kenderaan tersebut dalam keadaan genting.

Justeru, di New Zealand, kereta-kereta yang dijual hendaklah sekurang-kurang rank empat star untuk memastikan keselamatan pemandu dan penumpang. Oleh itu, Consumer New Zealand telah mengeluarkan amaran agar tidak membeli kereta buatan Malaysia. Berita lanjut boleh di baca disini.

Berita ini membuatkan saya terfikir, mungkinkah ini menjadi faktor kepada peningkatan kemalangan di Malaysia dan juga kepada peningkatan angka kematian disebabkan kemalangan tersebut. Mungkin, berita ini juga menjawab kepada reaksi terkejut Menteri Keselamatan Dalam Negeri kita tentang peningkatan kematian kemalangan di Malaysia semasa sambutan hari raya yang lepas.


Tuesday, 6 October 2009

Kepulangan yang di nanti..

Syukur pada Allah kerana masih memberi ruang pada kita untuk bernafas di bumi yang fana ini. Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan banyak bencana alam. Misalnya, tsunami berlaku di Samoa, gempa bumi pula berlaku dia Padang, Sumatra, Indonesia. Bencana alam ini telah mengorbankan ribuan nyawa dalam sekelip mata. Sebentar tadi, saya baru membaca komentar dari seorang pakar gempa bumi dari Indonesia yang mengulas tentang kemungkinan akan berlaku lagi satu gempa bumi yang lagi dasyat pada masa akan datang. Bila gempa bumi ini akan berlaku amat sukar untuk diketahui. Mungkin ia berlaku minggi depan, bulan depan, tahun depan, atau 10 tahun lagi. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Saya bertafakur seketika mengenangkan kehidupan yang hanya sementara ini. Adakah umur ini telah dimanafaatkan sepenuhnya untuk mencari cinta illahi? Berapa banyakkah tenaga yang telah digunakan untuk menyampaikan dakwah? Semasa saya berada di sekolah rendah, kehidupan yang serba kekurangan mendorong jiwa saya untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran agar dapat mengubah kehidupan keluarga. Di hati kecil ini juga ingin menjadikan diri ini sebagai contoh kepada adik-adik dan juga orang lain bahawa kemiskinan bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan. Begitulah suara hati saya di kala itu..Lantas suara hati itu memberikan satu kekuatan kepada saya untuk berjaya dalam pendidikan hinggalah ke menara gading dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di luar negara.

Satu perkara yang belum saya dapat laksanakan hingga kini ialah menyampaikan suara hati ini kepada anak kampung agar mereka juga mempunyai suara hati yang sama. Motivasi untuk berjaya dalam hidup. Suara hati ini sentiasa berkata: aku akan pulang untuk berkongsi rasa hati dengan anak-anak kampung agar mereka tidak ketinggalan. Di samping itu juga, keinginan untuk memantapkan akidah saudara-saudara baru di kampung. Namun, semua ini memerlukan bekalan dan kekuatan diri.

Kini, saya masih berjuang untuk menyiapkan diri dengan ilmu. Semoga Allah sentiasa memimpin diri ini di jalan yang lurus. Moga hati ini sentiasa ada keinginan untuk membuat perubahan kepada yang lebih baik. Janganlah hati ini dilalaikan dengan dunia yang hanyalah fatamorgana..