Assalamu alaikum dan Alhamdulillah. Moga kita sentiasa berada dibawah lembahyung Illahi. Saya terpanggil untuk memberi pandangan berkaitan politik negara kita mutakhir ini. Mulanya saya tidak berniat untuk memberi ulasan tentang isu ini tetapi memandangkan isu politik kali ini berkaitan dengan imej demokrasi di Malaysia, maka saya terpanggil untuk berkongsi pandangan berhubung dengan isu ini. Saya bukan berpihak pada mana-mana, cuma apa yang ingin saya utarakan ialah berkaitan dengan nilai, jati diri dan maruah diri.
Seperti yang termaklum, pergolakan politik di Negeri Perak bergoncang setelah 11 bulan memerintah. Siapa yang menggoncangnya? Rasanya semua sedia maklum tentang siapa yang menggoncang keheningan politik di Perak? Tidak perlulah saya ulaskan di sini. Beberapa kejadian berlaku sebelum tumbangnya kerajaan pakatan rakyat yang dipimpin oleh Dato Ir Nizar. Kejadian pertama ialah hijrah sementara Datuk Nasaruddin Hashim ke dalam PKR. Kemudiannya, 2 Adun PKR isytiharkan diri sebagai bebas dan kemudiannya melompat ke Umno macam si katak lompat' suka melompat-lompat. Tidak lama kemudian seorang lagi Adun DAP hilangkan diri dan ikut melompat ke BN. Perbuatan Adun yang melompat ikut suka hati ini merupakan perbuatan yang melanggari amanah rakyat. Tambahan pula 2 Adun PKR yang itu disabitkan dengan kesalahan rasuah dan akan dibicarakan tidak lama lagi. Justeru, dari segi nilai etikanya, perbuatan adun-adun tersebut tidak bertanggungjawab dan amanah. Mereka terlupa bahawa mereka menjadi pemimpin adalah satu amanah dari rakyat. Sewajarnya mereka merasa malu kepada rakyat di atas perbuatannya itu. Manusia apabila hilang malu, mereka sanggup bertindak apa saja demi untuk kepentingan dirinya. Disebabkan hilang malu ini juga, mereka terlupa bahawa Allah sentiasa memerhati perbuatan kita di muka bumi ini. Disinilah kita boleh menilai tinggi atau rendah maruah ahli politik di Malaysia. Pada pilihanraya bukan main berjanji bekerja untuk rakyat tetapi setelah menang rupanya hanya untuk kepentingan diri sendiri.
Sehubungan dengan isu adun-adun si katak lompat ini, UMNO pula membentuk kerajaan baru di Perak. Ini kerana kononnya telah cukup korum untuk menubuhkan kerajaan baru. Alangkah tidak bermaruahnya politik yang diamalkan oleh pemimpin negara kita. Sebelum itu, Ir Nizar telah berusaha mohon pada sultan Perak untuk bubarkan Dun dan pilihan raya diadakan untuk membolehkan rakyat memilih kerajaan baru. Bukan dengan cara politik tidak bermaruah. Tetapi malangnya sultan Perak tidak memperkenankan permohonan Ir Nizar tersebut. Kisah politik yang berlaku di Perak ini umpama cerita dalam filem Hindustan. Menggunakan Raja, mahkamah dan polis/FRU untuk membolehkan matlamatnya tercapai. Itulah dia politik Machiavelli yang diamalkan oleh pemimpin tertentu, sanggup menghalalkan cara walaupun tidak beretika dan bermoral demi mencapai matlamatnya. Maka kita boleh lihat betapa berjayanya pemikiran machiavelli ini mempengaruhi pemikiran pemimpin politik kita.
Sultan-sultan pula terkenal sebagai boneka kepada pemimpin-pemimpin rakus dan tamak. Pada mulanya saya menjangkakan sultan Perak yang dikatakan bijaksana boleh membuat keputusan rasional untuk menyerahkan kepada keputusan rakyat untuk memilih kerajaan baru. Rupanya jangkaan saya meleset dan amat menyedihkan kerana sultan Perak gagal mengembalikan kuasa raja yang berjiwa rakyat. Apalah salahnya diadakan pilihanraya untuk membolehkan pemilihan kerajaan baru dibentuk? Apalah salahnya rakyat yang memilih pemimpin mereka? Pada saya, kalau UMNO dan BN betul-betul ingin berkuasa di negeri perak, biarlah dengan jalan yang bermaruah iaitu melalui proses pilihanraya untuk membersihkan sistem demokrasi di Malaysia. Kenapa takut sangat dengan pilihanraya? Paling tidak buat pilihanraya untuk 3 Adun "si katak lompat". Mereka tidak layak lagi untuk memerintah kerana sudah jelas lagi bersuluh mereka berjuang bukan untuk rakyat. Bagi saya walaupun UMNO/BN berkuasa di negeri Perak tetapi kemenangan mereka adalah kemenangan yang tidak bermaruah. Tindakan merampas kuasa secara tidak bermaruah mencalarkan imej Melayu dan Islam di mata kaum Cina dan India.
Bagi ahli UMNO yang bermaruah tindakan ini sangat memalukan kerana saya yakin di luar sana masih ada lagi segelintir ahli UMNO yang bermaruah (sila baca disini). Walaupun majoriti UMNO kini bersorak kegembiraan di atas rampasan kuasa tersebut, tetapi ingatlah anda sebenarnya rela diperbodohkan oleh pemimpin anda untuk kepentingan kuasa politik mereka. Janganlah kita menang sorak, akhirnya kampung tergadai ke bangsa lain jika anda masih berpemimpinkan manusia yang tidak bermaruah dan berpemikiran machiavelli. Sikap pemimpin seperti ini tidak mustahil akan menjatuhkan bangsa Melayu di negara sendiri disebabkan kerakusan dan ketamakan pada kuasa. Kita bukan berpihak pada mana-mana tetapi cara yang digunakan sangat menjijik dan tidak bermaruah. Tindakan tersebut juga mencalarkan sistem demokrasi di Malaysia di mata dunia.
Saya teringat pada pesanan tok guru Nik Aziz iaitu "kita tidak teragak-agak untuk bersatu dengan UMNO, sekiranya UMNO meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan". Mengapa kita tidak boleh bersatu atas nama Islam sebagai agama penyatuan umat? Paling menyedihkan bangsa Melayu sendiri sudah tidak yakin dengan agama sendiri. Agama hanyalah pada nama, tetapi ianya tidak dipraktikkan dalam kehidupan. Islam sudah terlalu asing dalam pemikiran orang Melayu. Hinggakan pakai tudung pun segelintir orang Melayu merasakan ia adalah perbuatan kolot, lantas mereka tidak ingin memakai tudung. Sedangkan hukum pemakaian tudung sudah jelas dalam Al Quran iaitu dalam Surah An Nur. Apatah lagi untuk melaksanakan undang-undang Islam seperti Qhisas, sedangkan semua undang-undang ini telah dijelaskan oleh Allah dalam Al Quran sebagai sumber rujukan umat Islam. Tetapi mengapa kita tidak ingin kembali kepada Islam. Kita kata kita beragama Islam, tetapi mengapa begitu allergic dengan suruhan agama. Wahai bangsa Melayu, sekiranya kita bersatu di bawah Islam, InsyaAllah bangsa Melayu akan terus gemilang, cemerlang dan terbilang. Sekiranya kita amalkan Islam secara menyeluruh dalam segala aspek kehidupan kita, nescaya bangsa Melayu akan menjadi bangsa yang dihormati. Tetapi selagi mana Melayu berjuang atas nama nasionalisma, bangsa Melayu akan terus layu...fikir-fikirkanlah!
No comments:
Post a Comment