Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT di atas nikmat Islam dan Iman. Moga kita terus menjadi muslim yang profesional dalam pelbagai aspek kehidupan. Salah satu tanda Allah sayang kepada hambanya ialah memimpin hati kita kepada jalan-jalan ilmu yang menjadi cahaya dalam meniti kehidupan di dunia hingga ke akhirat. Allah SWT maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Justeru, marilah kita sentiasa berdoa agar hati sentiasa mendapat pimpinan dariNya, amin.
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.
(Al-Fatihah [1]: 6)
Hidayah Allah adalah sangat penting dalam hidup kita. Tanpa hidayah dari Allah kita akan kehilangan kompas untuk meniti kehidupan di dunia ini. Persoalannya, bBerapa banyakkah hidayah yang boleh di miliki manusia? Para ulama menggariskan hidayah mempunyai lima peringkat iaitu:
1. Hidayah Tabie' (semulajadi)
Hidayah ini adalah fitrah yang Allah SWT berikan kepada semua makhluk ciptan-Nya. Contohnya, Allah SWT memberikan hidayah ilham kepada lebah yang suka hinggap di bunga untuk mengambil madunya, dapat membangun sarang yang menurut para ahli adalah ciptaan yang paling sempurna berdasarkan fungsinya. Seorang bayi yang lapar diberi hidayah ilham oleh Allah SWT untuk menangis dan merengek-rengek pada ibunya agar diberi makan/susu. Siapakah yang mengajari lebah dan bayi tadi untuk melakukan hal tersebut? Tentunya kita yang beriman kepada Allah SWT akan menjawab: itulah kekuasaan Allah SWT yang telah memberikan hidayah ilham kepada makhluk-Nya. Semua makhluk yang diciptakan Allah SWT akan menerima hidayah ini.
2. Hidayah Pacaindera (hawasi)
Hidayah hawasi adalah hidayah yang membuat makhluk Allah SWT mampu merespon suatu peristiwa dengan respon yang sesuai. Contohnya adalah, ketika manusia mendapatkan kebahagiaan maka ia akan senang dan jika mendapatkan musibah maka ia akan sedih. Dalam istilah kita, hidayah hawasi ini adalah kemampuan pancaindera seperti mata, telinga, mulut, hidung, tangan dan kaki pada manusia ialah membolehkannya merasai nikmat hidup. Melalui mata manusia boleh melihat pemandangan, mengenali orang-orang yang disayangi dan melihat berbagai kejadian Allah. Begitu juga dengan pacaindera yang lain, semuanya penting untuk melengkapkan hidup seorang manusia. Memiliki pacaindera ini juga hidayah dari Allah. Hidayah peringkat ini tidak semua orang mendapatnya. Ada segelintir manusia yang tidak memilikinya, contohnya seperti orang buta, pekak,bisu dan lain-lain.
3. Hidayah Akal
Kemampuan pancaindera menilai sesuatu adalah terbatas. Contohnya mata hanya mampu menyaksikan pemandangan gunung-gunung yang cantik. Walhal hakikatnya apa yang di atas gunung itu tidak seindah pandangan mata. Mungkin di situ terdapat binatang buas dan jurang yang membahayakan. Kalau semata-mata menggunakan pancaindera, kita mungkin akan tertipu. Di sinilah pentingnya hidayah akal. Dengan akal manusia dapat membezakan antara yang salah dengan yang benar, yang baik dan yang tidak baik. Hidayah akal ini tergolong dalam hidayah peringkat tinggi. Apakah tanda seseorang itu memiliki hidayah akal? Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud :
"Orang yang paling berakal ialah orang yang ingat mati dan kehidupan selepasnya."
Dalam satu hadis yang lain Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa manusia itu akan beramal mengikut taraf akalnya. Orang yang memiliki akal yang tinggi mampu untuk memikirkan hidup jangka panjang di Akhirat. Justeru itu mendorong dia beramal. Sentiasa bersyukur itu juga adalah sifat yang dimiliki oleh orang yang berakal. Kalau begitu, sedikit sangat orang yang memiliki hidayah bentuk ini. Buktinya, oleh kerana yang mampu bersyukur itu juga orang yang berakal, lihat apa kata Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : "Sedikit sekali hamba-Ku yang bersyukur"
Kekuatan akal seseorang itu dibuktikan dengan sejauhmana dia mampu menyelamatkan dirinya daripada api Neraka. Bukannya dengan sebanyak mana dia boleh mengumpul sijil kerana lulus periksa. Kecemerlangan dalam pelajaran atau peperiksaan itu didapati hasil dengan kuatnya daya ingatan, bukannya hasil kuatnya akal. Seseorang yang bertaraf profesor itu juga belum pasti sudah memiliki hidayah akal.
4. Hidayah Islam
Untuk menjadi seorang Islam tidak mudah. Buktinya daripada sekian ramai penduduk dunia, tidak sampai 50 peratus pun yang Islam. Ertinya lebih dari separuh penduduk dunia tidak mendapat hidayah untuk menjadi seorang Islam. Orang yang telah bersungguh-sungguh mempelajari malah mampu pula mengajar Ilmu Islam kepada orang lain pun belum tentu mendapat hidayah Islam. Salman Al Farsi salah seorang sahabat, terpaksa menempuh pelbagai kesusahan sebelum beliau boleh menjadi seorang Islam. Begitulah payah untuk mendapat hidayah Islam ini yang mana sepatutnya orang yang secara mudah telah diberi oleh Allah hidayah ini mestilah memeliharanya agar ia tidak dicabut kembali. Justeru, beruntunglah bagi mereka yang lahir dalam Islam. Persoalannya, ialah bagaimana kita mensyukuri nikmat yang sangat besar nilainya di sisi Allah?
5. Hidayah Taufiq
Hidayah taufiq ialah keupayaan diri manusia yang diberikan oleh Allah untuk mengawal diri manusia itu daripada melakukan maksiat dan melazimkan taat pada Allah. Inilah bentuk hidayah yang dimiliki oleh hanya segelintir manusia. Menurut Imam Malik, tanda seorang itu ahli Syurga ialah:
a. Mudah melakukan suruhan Allah, walaupun dia tidak berusaha untuk melakukannya.
b. Susah untuk berbuat maksiat walaupun dia ingin untuk melakukannya.
Manakala, tanda ahli Neraka pula ialah:
a. Susah untuk melakukan kebaikan walaupun dia ingin berbuat baik.
b. Mudah untuk membuat maksiat/kejahatan walaupun dia tidak mahu.
Hidayah taufiq ibarat benih yang Allah SWT semaikan di hati yang tidak hanya bersih dari segala penyakit, tetapi juga subur dengan titisan robbani. Bersih dan suburnya hati akan terlihat dari pohon-pohon kebaikan dan amal yang tumbuh di atasnya. Hanya kesungguhan yang akan membuat kita pantas menerima hidayah taufiq dari Allah SWT. Firman Allah SWT :
”Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabuut [29]: 69).
Hidayah Allah SWT memerlukan perjuangan untuk mendapatkannya. Semakin besar perjuangan dan kesungguhan kita, maka insya Allah kita akan semakin mudah mendapatkannya, karena semuanya tergantung kepada usaha kita. Hidayah Allah SWT ibarat sinar matahari yang menyinari seluruh alam ini, dan kita adalah penerima sinar tersebut. Jika kita membuka diri dengan hati yang bersih maka kita akan mudah untuk mendapatkan sinar hidayah Allah SWT. Tapi jika kita menutupi hati dan diri kita dengan kotoran dan penyakit hati maka kita akan sulit untuk mendapatkan sinar hidayah-Nya. Marilah kita berdoa dengan bersungguh-sungguh agar diberi oleh Allah hidayah taufiq. Amin. Wallahhua'lam....