Friday, 29 January 2010

Minat dan motivasi diri

“Subjek Matematik Tambahan (add Math) ni susah nak lulus”, kata sepupu saya apabila mengetahui saya mengambil aliran Sains apabila saya melangkah ke Tingkatan 4. Matematik tambahan merupakan subjek yang tersusah bagi aliran sains ketika itu. Saya bukanlah seorang pelajar yang dikategorikan pandai, yakni saya hanyalah pelajar average sahaja. Walaubagaimanapun, apa yang mampu saya lakukan pada ketika itu ialah saya tanamkan azam dalam diri saya agar saya dapat menguasai subjek tersebut. Saya tanamkan minat saya kepada subjek Matematik Tambahan tersebut dan memastikan agar saya sentiasa lulus dengan cemerlang dalam ujian dan peperiksaan. Berkat azam dan minat yang saya pupukkan itu telah menyebabkan saya berjaya mendapat A dalam subjek tersebut semasa SPM saya. Alhamdulillah.

Begitu juga selepas saya menamatkan ijazah pertama saya di UKM. Saya telah bertukar kursus dari bidang sains (Genetik) ke bidang sain sosial (Psikologi). Dekan di jabatan biologi terkejut apabila saya mohon tandatangan beliau untuk mengisi borang master. Beliau menasihati saya agar jangan bertukar bidang dan teruskan master dalam bidang biologi tersebut. Namun atas minat saya yang sangat mendalam, saya tetap ingin bertukar bidang. Ramai pensyarah dan kawan-kawan saya ketika itu was-was dengan keputusan saya berpindah bidang dari sains ke sains sosial. Mereka juga mengatakan bahawa bidang yang saya pilih itu sukar untuk mendapat pekerjaan. Tetapi disebabkan minat saya, saya berjaya menamatkan master saya dalam bidang Psikologi tersebut dan akhirnya saya ditawarkan pekerjaan sebagai pensyarah di UTM dan juga beberapa jawatan lain iaitu pegawai kebajikan masyarakat. Memandangkan minat saya dalam bidang pendidikan, maka saya terima tawaran bekerja sebagai pensyarah sehingga kini. Alhamdulillah, segala pujian untuk Allah.

Daripada pengalaman yang saya lalui itu, apa yang saya dapat simpulkan ialah minat mendalam dalam diri kita akan memberi impak atau hasil yang baik kiranya kita jadikan ia sebagai motivasi diri. Di samping itu, minat itu juga hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan bukan semata-mata untuk mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan. Apabila kita melakukan sesuatu hendaklah disertai dengan niat, usaha, ikhlas dan tawakal pada Allah. Minda kita juga hendaklah sentiasa positif dan yakin bahawa kita boleh melakukannya...LAW OF ATTRACTION!

Ilmu bukan setakat di atas kertas...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana masih memberi nikmat kehidupan dan beribadah di bumiNya. Buat rakan-rakan yang sentiasa mengunjungi blog ini, saya mohon maaf kerana sudah lama tidak dapat ‘update’ blog ini. Setiap kali masuk ke blog ini, niat untuk menulis asyik tergendela. Agaknya, saya dah kebosanan kerana di waktu ini saya juga tengah pulun menyiapkan penulisan akhir thesis saya.

Di fasa ini juga, ramai kawan-kawan yang bertanya bila nak balik Malaysia? Ada juga kawan2-kawan yang berkata "wah bestnya buat PhD, mesti dah banyak ilmu". Sejujurnya, saya ingin nyatakan bahawa buat PhD ini bukanlah bermakna kita sudah menjadi pakar dalam bidang kita. Pada saya, PhD ini hanyalah ‘stepping stone’ untuk menjadikan kita sebagai pemburu ilmu. Ilmu dalam PhD ini hanyalah setitik daripada selautan ilmu yang Allah bentangkan pada kita. Malah pada saya bila buat PhD ni terasa diri ini terllau kerdil lagi untuk dikatakan pakar. Ilmu yang ada ini masih terlalu cetek. Walaupun, ada sesetengah orang apabila telah melalui proses PhD merasa dirinya sudah pakar dalam bidang itu dan ini.

Tetapi bagi saya, perjuangan untuk menuntut ilmu ini belum lagi selesai dengan berjayanya melakukan PhD. PhD ini hanyalah wadah untuk menjadikan diri kita supaya sentiasa menhargai dan memperdalamkan ilmu. Satu cabaran yang paling besar yang saya lihat ialah bagaimana kita, terutama sebagai muslim menterjemahkan ilmu itu ke arah mencari keredhaan Allah SWT. Ilmu itu bukanlah sekadar di atas segulung ijazah. Tetapi yang paling utama ialah bagaimana ilmu itu menjadikan diri kita insan yang bertaqwa dan sentiasa tawaduq pada Allah swt. Ilmu yang ada itu dapat menjadikan kita insan yang berakhlak dan bukannya berlagak. Perjuangan menuntut ilmu ini belum selesai dan ianya memerlukan iltizam yang berterusan hingga ke akhir hayat…