Begitu juga selepas saya menamatkan ijazah pertama saya di UKM. Saya telah bertukar kursus dari bidang sains (Genetik) ke bidang sain sosial (Psikologi). Dekan di jabatan biologi terkejut apabila saya mohon tandatangan beliau untuk mengisi borang master. Beliau menasihati saya agar jangan bertukar bidang dan teruskan master dalam bidang biologi tersebut. Namun atas minat saya yang sangat mendalam, saya tetap ingin bertukar bidang. Ramai pensyarah dan kawan-kawan saya ketika itu was-was dengan keputusan saya berpindah bidang dari sains ke sains sosial. Mereka juga mengatakan bahawa bidang yang saya pilih itu sukar untuk mendapat pekerjaan. Tetapi disebabkan minat saya, saya berjaya menamatkan master saya dalam bidang Psikologi tersebut dan akhirnya saya ditawarkan pekerjaan sebagai pensyarah di UTM dan juga beberapa jawatan lain iaitu pegawai kebajikan masyarakat. Memandangkan minat saya dalam bidang pendidikan, maka saya terima tawaran bekerja sebagai pensyarah sehingga kini. Alhamdulillah, segala pujian untuk Allah.
Daripada pengalaman yang saya lalui itu, apa yang saya dapat simpulkan ialah minat mendalam dalam diri kita akan memberi impak atau hasil yang baik kiranya kita jadikan ia sebagai motivasi diri. Di samping itu, minat itu juga hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan bukan semata-mata untuk mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan. Apabila kita melakukan sesuatu hendaklah disertai dengan niat, usaha, ikhlas dan tawakal pada Allah. Minda kita juga hendaklah sentiasa positif dan yakin bahawa kita boleh melakukannya...LAW OF ATTRACTION!