Wednesday, 11 March 2009

Memorandum GMP kepada Yang di-Pertuan Agong

Berikut merupakan memorendum GMP kepada Yang di-pertuan Agong sebagai renungan bersama. Moga-moga hati kita dibuka hidayah untuk memahami apa yang tersurat dan tersirat di sebalik PPSMI ini. Sebagaimana yang termaklum penghantaran memorendum ini ke istana melalui jalan sukar kerana ianya di sekat oleh pasukan FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Mungkin ada yang berkata kenapa perlu buat demonstrasi untuk menyampaikan memorendum tersebut? Apalah daya rakyat untuk meluahkan perasaan mereka...setelah 6 tahun pejuang-pejuang bahasa menyeru agar kerajaan menghentikan PPSMI ini namun ianya tidak didengari dan langsung tidak di ambil perhatian oleh kementerian pelajaran. Malah mereka terus melaksanakannya tanpa menghirau implikasi negatif kepada guru-guru dan para pelajar. Tindakan kementerian melaksanakan PPSMI ini secara drastik juga sangat membebankan para guru dan pelajar. Himpunan 7 Mac 2009 merupakan kemuncak kepada seruan rakyat dan pejuang-pejuang bahasa untuk menyuarakan isi hati mereka yang selama ini tidak didengari oleh pihak tertentu!
Bacalah memo tersebut dengan mata hati yang bersih tanpa mengaitkan dengan sentimen politik.



Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.
Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:
1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.
Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.
Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?
Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!
Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.
Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.
Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.
Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.
Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.
Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.
Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN
11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.
Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron dari UPSI Januari (2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.
APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).
Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.


GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.
Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.
Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.
Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.
Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.
Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Patik sekalian yang berdatang sembah. _

Tuesday, 10 March 2009

Apa sudah jadi dengan negara Malaysia?




Assalamu alaikum dan Alhamdulillah. Moga kita semua sentiasa berada di bawah rahmatNya.


Kali ini saya ingin menyentuh isu PPSMI. Nampaknya menteri pelajaran masih lagi ingin melaksanakannya walaupun rakyat marhaen tidak bersetuju. Pada 7 Mac 2009 yang lalu kita menyaksi puluhan ribu rakyat yang menentang akan perlaksanaan PPSMI ini. Tahniah kepada rakyat Malaysia yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan. Tahniah dan syabas juga kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah satu asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.


Kenapa penentangan PPSMI ini berlaku? Kita menentang bukannya kita anti terhadap bahasa Inggeris, TETAPIpelaksanaan PPSMI ini mengakibatkan pelajar-pelajar luar bandar yang masih ketinggalan dalam bahasa Inggeris mendapat kelulusan rendah dalam pelajaran mereka. Masih banyak cara lain yang kerajaan dan menteri pelajaran boleh laksanakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran tersebut (matematik dan sains) hanyalah ”melepas batuk di tangga”. Belum tentu perlaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam dua subjek tersebut dapat menjamin penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar? Malah menyukar pelajar untuk meningkat kemahiran dalam subjek tersebut. Guru-guru mereka pun masih ramai yang tidak bersedia mengajar subjek tersebut dalam bahasa Inggeris. Situasi ini mengakibatkan ”yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Mungkin bagi anak-anak bangsawan, PPSMI ini sesuai kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka kuat sejak dari awal lagi. Oleh itu, mereka tidak menghadapi masalah untuk memahami pengajaran dalam bahasa Inggeris.

Seperti yang ditegaskan oleh Dr Awang Sariyan, asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen. Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI. Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan. Justeru, apakah muslihat kerajaan disebalik perlaksanaan PPSMI ini? Adakah mereka tidak faham undang-undang tersebut? Bagi pendapat saya, PPSMI ini terdapat banyak implikasi negatifnya terhadap pelajar terutama pelajar luar bandar. Alangkah indahnya, jika kementerian pelajaran fikirkan cara lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar terutama pelajar luar bandar bukannya dengan PPSMI tersebut. Pertingkatkan prasarana sekolah terutama di luar bandar seperti kemudahan perpustakaan dan komputer yang mencukupi. Wahai menteri pelajaran tolonglah turun ke sekolah-sekolah di luar bandar. Tengok dengan biji mata sendiri bagaimana kedhaifan mereka? Janganlah memaksa mereka untuk menerima sistem PPSMI tanpa menilai implikasinya ke atas mereka.


Kalaulah menteri pelajaran itu menggunakan otak untuk berfikir bukannya menggunakan kulit kepala untuk berfikir beliau akan nampak rasionalnya mengapa rakyat menentang PPSMI ini. Tidaklah menteri pelajaran kita berpandangan cetek dengan menuduh bahawa dalang kepada kebencian terhadap PPSMI ini ialah pembangkang khususnya PAS. Nampaknya, menteri pelajaran kita berfikir secara kebudak-budakan dengan menuding jari kepada pembangkang. Beliau melihat bahawa pembangkanglah yang menyebabkan penentangan terahadp PPSMI ini. Terencat urat saraf apabila membaca komen beliau itu. Seolah-olah menteri pelajaran itu tidak menggunakan otak sedarnya untuk berfikir mengapa puluhan ribu rakyat bangkit menentang PPSMI. Beliau hanya mampu berfikir bahawa pembangkanglah yang menyebabkan rakyat menentang PPSMI. Dangkal sungguh pemikiran itu dan tidak selayaknya untuk seorang menteri pelajaran malaysia. Pemikiran itu seperti pemikiran orang yang tidak berfikir menggunakan otak anugerah Allah. Sewajarnya, seorang menteri pelajaran hendaklah seorang yang rajin membaca dan berfikir dengan pemikiran yang luas. Sedarkah anda bahawa penentangan terhadap PPSMI ini bukan setakat di kalangan pembangkang tetapi juga di kalangan ahli akademik dan badan-badan NGO serta segelintir ahli umno yang masih sayangkan bangsa dan bahasanya. Cumanya ahli umno tersebut tidak berani bersuara kerana takut periuk nasinya melayang. Mungkin sebab itulah menteri pelajaran itu perasan hanya pembangkang saja yang exploit isu tersebut.

Sedarilah bahawa pembangkang hanyalah membantu rakyat untuk menyuarakan suara mereka. Kepada siapa lagi rakyat hendak mengadu? Buat aduan pada menteri pelajaran bukannya dilayan. Baru-baru ini pun, apabila rakyat hendak menyampaikan memorendum pada Yang Dipertuan Agong pun kena tembak dengan gas pemedih mata. Alangkah kesiannya rakyat Malaysia, hendak berjumpa dengan pemimpin untuk menyampaikan isi hati mereka pun kena diperlakukan sedemikan. Kalau rakyat Malaysia itu mengganas, maka wajar jugalah diperlakukan seperti itu oleh pihak polis. Tetapi rakyat hanya ingin menyampaikan sekeping memorendum untuk dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia. Pendatang asing dan penjenayah pula masih lagi mewah dan berkeliaran tetapi tidak pula ada gerak gempur untuk menghapuskan pejenayah di Malaysia secara besar-besaran. Mat-mat rempit masih lagi bermaharajalela tetapi tidak pula polis memberi kawalan ketat kepada mereka? Kanak-kanak yang hilang sampai sekarang belum ditemui?. Huh...adakah satu masa nanti bumi Malaysia itu hanya layak untuk didiami oleh manusia pak turut saja? Manusia yang tidak ada ’common sense’ dan tidak perlu berfikir hanya ikut apa saja pemimpin mereka buat? Apa yang terjadi pada Malaysia pada tahun 2020 kalau beginilah rupa pemimpin negara kita? Demokrasi sudah tidak berguna lagi.....rakyat kena terima saja apa pemimpin cakap. Renung-renungkanlah.....

Wallahu ’alam.