Sunday, 27 April 2008

Hayat bumi di penghujung jalan?

KITA kini berada pada hari kelima selepas Hari Bumi yang disambut Selasa lalu. Sekadar bertanya, apakah sumbangan anda kepada bumi pada hari itu? Atau ada di kalangan kita yang langsung tidak menyedari bahawa adanya sambutan Hari Bumi pada hari tersebut? Tidak mengapa. Tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan tentang bumi. Selagi kita masih bernyawa dan bebas melakukan apa sahaja. Selagi kita boleh memandu untuk ke mana-mana. Selagi kita tidak ditimpa masalah atau diancam oleh sesiapa. Kenapa perlu menyesakkan fikiran untuk mengambil peduli mengenai bumi?

Beberapa hari sebelum sambutan Hari Bumi Selasa lalu juga, sebuah danau di Chile tiba-tiba lenyap sekelip mata. Air danau itu mengalir laju ke sebatang sungai selepas bentengnya, iaitu bongkah-bongkah ais mencair kerana suhu di sekitarnya yang panas.

Dalam sekelip mata, kawasan-kawasan rendah di tebing sungai itu ditenggelamkan tsunami dan Chile, buat kali kedua, terpaksa mengecilkan keluasan negara mereka atas peta dunia.

Bagaimana? Tertarik untuk mengetahui kisah-kisah bumi di belahan lain dunia?

Kehilangan danau di Chile itu sebenarnya hanyalah satu kejadian terpencil yang berlaku disebabkan pemanasan global yang menghantui seluruh penduduk dunia ketika ini. Kerana jika laporan United Nations Intergovermental Panel on Climate Change (IPCC) yang dikeluarkan tahun lepas diambil kira, banyak lagi kawasan di dunia akan tenggelam dalam dekad mendatang.

Hakikatnya, bumi kita semakin panas, dan kepanasan itu menurut rekod IPCC, meningkat sehingga 90 peratus dalam dekad ini dengan sebahagian besarnya berpunca daripada aktiviti manusia.

Hukum alam selama ini mewujudkan sebuah vakum yang atmosferanya terdiri daripada komposisi gas rumah hijau dalam nisbah yang sangat ideal untuk memerangkap cahaya matahari pada kuantiti yang diperlukan manusia untuk hidup di bumi.

Bagaimanapun perlumbaan manusia untuk menjadi sebuah tamadun yang maju dan berkuasa, membebaskan gas rumah hijau dalam kuantiti yang tinggi menyebabkan lebih banyak cahaya matahari diperangkap berbanding yang dipantulkan semula.

Gas-gas rumah hijau itu pula terutamanya karbon dioksida, dibebaskan lebih banyak daripada tumbuhan-tumbuhan yang juga semakin gondol, atau lautan mampu menyerapnya.

Dalam putaran proses yang berlangsung sejak sejarah kewujudan manusia bertamadun itu, maka hasilnya bumi menjadi semakin panas dengan kemuncaknya direkodkan sepanjang 1995-2005 apabila suhu bumi meningkat di antara 0.15 hingga 0.3 darjah celsius.

Menurut IPCC, darjah kepanasan bumi dalam dua dekad ini dicatatkan paling tinggi dalam tempoh 400 tahun lalu, berkemungkinan juga sepanjang hayat bumi. Bumi pada 11 daripada 12 tahun kebelakangan ini juga lebih panas sejak 1850.

Apa yang membimbangkan saintis, bumi yang panas memberikan kesan negatif dalam dua bencana yang berbeza tetapi sangat besar risikonya, iaitu banjir besar dan kemarau yang panjang.

Dari sudut pemahaman kita sebagai manusia biasa, memang agak menghairankan bagaimana bumi yang panas ini boleh mewujudkan dua fenomena alam yang sangat berbeza, namun itulah yang sedang berlaku ketika ini.

Bumi yang panas mencairkan Artik, Antartika (Kutub Selatan) dan Greenland dengan pantas ketika ini dengan ramalan bongkah ais Artik akan lenyap pada 2040 atau mungkin lebih awal.

Bongkah ais di Antartika dan Greenland pula menjauh kira-kira 80 peratus daripada kedudukan asalnya 50 tahun lalu ekoran suhu permukaan kawasannya meningkat sehingga 2.5 darjah celsius.

Ais di pergunungan Himalaya dan Andes yang menjadi nadi kepada sumber air kepada penduduk China, India, Peru, Bolivia dan Ecuador saat ini mencair dengan pantas tanpa mengira musim dan membeku semula lewat beberapa minggu.

Situasi serupa turut berlaku di Taman Negara Glasier Montana, apabila 150 pergunungan saljinya yang direkodkan pada 1910, hanya tinggal 27 ketika ini, selebihnya mencair dan lenyap daripada permukaan bumi.

Ais yang mencair itu akan mengalir terus ke laut dan jika keadaan ini berterusan, paras air laut yang sepanjang abad ke-20 lalu meningkat setinggi 0.17 meter, akan bertambah melebihi satu meter.

Sekadar makluman bersama, sekiranya semua bongkah ais mencair seperti yang dijangka oleh saintis pada 2040 (jika suhu bumi terus meningkat), 2,000 buah pulau di seluruh dunia akan tenggelam.

Sepuluh tahun berikutnya, manusia yang masih bertahan akan berdepan dengan krisis bekalan makanan dan air bersih yang kronik, udara akan menjadi sangat panas dan kering manakala yang tersisa di dalamnya untuk disedut adalah habuk dan debu. Apa yang akan berlaku selepas itu rasa-rasanya tidak perlu diperincikan lagi, kerana sejarah bumi membuktikan ada kehidupan yang pernah pupus di sini sebelum sempat manusia mengenalinya.

Sebenarnya masih banyak fenomena luar biasa yang berlaku kepada alam ketika ini, yang jika disenaraikan pastinya menyentak nilai sedar kita kepada betapa alam selama ini begitu terseksa dengan tindakan rakus manusia.

Siapa yang dapat menerangkan bagaimana lembah di Argentina dan Afrika tiba-tiba dilitupi salji selepas ratusan tahun lamanya kawasan itu tidak pernah merasai waima udara yang dingin?

Cukuplah kita terleka dengan kesakitan bumi, ambil sedikit masa untuk mengetahui apa yang sedang ditanggung oleh planet kita ketika ini. Sudah terlalu banyak tanda-tanda yang menunjukkan bahawa pemanasan global menyebabkan perubahan iklim, cuaca dan persekitaran bumi yang luar biasa, yang hanya menunggu masa untuk meledakkan kesakitan dan membalas semula kerakusan manusia.

KehilanganAdakah kita begitu selesa dan yakin bahawa bumi yang kita diami ketika ini boleh diwarisi kepada beberapa generasi akan datang? Bagaimana jika dikatakan, kita sebenarnya berkemungkinan besar untuk kehilangan bumi ini sewaktu hayat kita, mungkin dalam masa beberapa tahun akan datang, atau mungkin juga esok atau lusa?

Banyak kejadian alam yang berlaku sebelum ini menyentak rasa sedar kita kepada kuasa alam. Lihat sahaja bagaimana Aceh menjadi padang jarak padang terkukur sekelip mata dilenyapkan tsunami. Begitu juga dengan Bam, Iran yang kini menjadi tinggalan sejarah diranapkan oleh gempa bumi. Lalu mengapa amaran demi amaran alam ini masih gagal difahami dan diinsafi oleh manusia?

Bukti-bukti sains yang sangat mengerikan itu barangkali membuatkan kita terfikir bahawa kita sudah berada di penghujung jalan untuk menyelamatkan bumi. Mungkin juga ramai yang beranggapan bahawa sudah tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan untuk menghalang bumi daripada membalas semula kerosakan manusia terhadapnya.

Apatah lagi mengetahui bahawa gas-gas yang dibebaskan sebelum ini terkumpul di atmosfera bertahun-tahun lamanya, bermakna meskipun punca-punca pelepasan gas itu tidak lagi wujud, ia tidak akan menghentikan pemanasan global dengan segera.

Namun, untuk hanya berdiam diri tanpa berbuat sesuatu bukanlah tindakan yang murni ketika segala macam kesakitan bumi kini terpampang di depan mata.

Sudah banyak yang diperkatakan tentang apa yang boleh disumbangkan oleh setiap daripada kita dalam bersahabat dengan alam sekeliling. Berkongsi kereta, menjaga kebersihan sungai, tidak merokok, berjimat menggunakan elektrik dan air serta banyak lagi amalan terpuji bukan lagi sekadar perlu dilakukan, tetapi seharusnya menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian.

Benarlah kecintaan terhadap alam tidak akan timbul jika kita tidak menghargai setiap kejadian yang diciptakan olah Allah s.w.t. Namun, mana mungkin perasaan cinta itu akan terbit di dalam hati setiap daripada kita jika kehidupan yang diteladani hari ini semakin menjauh dan menyimpang daripada landasan Islam yang sebenar? Atau mungkinkah bencana alam yang semakin luar biasa ketika ini juga sebagai tanda amarah Allah kepada makhluk manusia yang semakin kurang mengingati-Nya? Jika itu boleh dijadikan ukuran, mungkinkah pemanasan global ini akan membawa kita kepada berakhirnya hayat bumi dan kita sebenarnya semakin menghampiri kiamat dunia?

Wednesday, 23 April 2008

Ada PhD belum tentu cendekiawan

Oleh A. MURAD MERICAN

TIDAK dapat dinafikan bahawa ijazah doktor falsafah (PhD) mempunyai nilai yang tinggi dan amat berguna kepada kesejahteraan kehidupan manusia. Dan terdapat pelbagai pandangan dan perspektif tentang ijazah tersebut seperti yang telah diajukan dan dibincangkan sebelum ini. Namun terdapat beberapa aspek yang perlu diperjelaskan dari penulisan Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil yang bertajuk Bukan mudah dapat PhD (Utusan Malaysia, 14 April).

Beliau menyatakan bahawa pensyarah yang tidak mempunyai PhD 'belum sempurna keilmuannya' kerana seseorang itu tidak didedahkan dengan kaedah pengajian dan penyelidikan. Sebenarnya, ilmu yang ada pada seseorang itu tidak akan sempurna, tidak kira sama ada seseorang itu memiliki ijazah atau tidak.

Di Malaysia, segulung ijazah PhD dianggap sebagai puncak kejayaan dan kesempurnaan seseorang dari segi kebijaksanaan dan keilmuannya. Tetapi adapun pendapat yang menyatakan bahawa segulung ijazah, apatah lagi PhD merupakan permulaannya pencarian ilmu atas perasaan ketidaksempurnaan ilmu yang sedia ada pada seseorang itu.

Dalam kita mengukur keupayaan seseorang guru di universiti misalnya, keperluan PhD tidak sama dengan sumbangannya kepada kesarjanaan. Umumnya, PhD adalah satu kelayakan dalam bentuk ijazah yang dianugerahkan kepada seseorang itu apabila beliau telah menyempurnakan keperluan dan syarat-syarat dari sesebuah universiti. Salah satunya ialah menyiapkan tesis di bawah seorang penyelia atau beberapa orang (mungkin dua atau lebih) yang bertindak sama ada sebagai penyelia bersama, atau penyeliaan oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa sarjana.

Ijazah doktor falsafah pertama dianugerahkan oleh Universiti Paris tahun 1150. Bagaimanapun, gelaran 'PhD' hanya membawa maksud yang diterima pada zaman ini sebagai ijazah tinggi kedoktoran bermula dari amalan universiti-universiti di Jerman.

Apa yang perlu dimaklumkan di sini ialah ijazah PhD diberikan kepada seseorang pelajar yang telah menamatkan sesuatu kajian pasca siswazah dan dengan jayanya mempertahankan tesis beliau yang mengandungi kajian asli dalam bidang sains atau ilmu kemanusiaan.

Di Eropah moden, amalan tersebut dimulakan pada abad kesembilan oleh Friedrich Wilhelm University di Berlin. Amalan penganugerahan ijazah PhD itu kemudiannya digunakan oleh Yale University tahun 1861 dan kemudiannya di United Kingdom pada tahun 1917.

Tidak semestinya sesebuah tesis itu menghasilkan teori baru. Penulis Dr. Mohamed Azam menyatakan "…kalau ia tidak membuahkan satu teori baru, ia tidak dianggap tesis PhD". Apa yang pentingnya di sini ialah sesebuah tesis itu merupakan sesuatu penyelidikan asli yang menjurus kepada sesuatu penemuan atau tafsiran yang belum pernah wujud sebelumnya.

Juga perlu disebutkan bahawa ijazah PhD bukanlah tanda aras bagi seseorang itu 'dianggap sebagai seorang scholar'. Perlu kita ingat bahawa seseorang yang memperolehi ijazah PhD tidak semestinya seorang sarjana, ilmuwan atau cendekiawan.

Malangnya di Malaysia misalnya, ramai yang menganggap mereka ataupun diri mereka sendiri itu sebagai sarjana atau cendekiawan selepas memperolehi PhD. Sebenarnya, seseorang itu menjadi sarjana - dalam erti kata kewujudan ciri-ciri kesarjanaan sebelum memperolehi ijazah PhD.

Dan kita perlu ingat, ijazah kedoktoran seperti D. Econs (Doktor Ekonomi) atau D. Sc.(Doktor Sains) adalah lebih tinggi daripada ijazah doktor falsafah. Daripada apa yang diperhatikan, walaupun pada umumnya, setiap penyelidikan ke arah menghasilkan sebuah tesis itu perlu merangkumi dimensi-dimensi falsafah seperti epistemologi, ontologi, aksiologi, teleologi, tidak semua lulusan PhD perlu melalui pengalaman pembelajaran seperti itu.

Dan ini banyak bergantung kepada tradisi sistem, dan keperluan universiti dalam mengendalikan program ijazah tinggi.

Dalam sistem sesebuah universiti dalam atau luar negara, terdapat pelbagai pendekatan dan prosedur, serta mazhab pemikiran yang mempengaruhi, menentukan dan mencorak topik penyelidikan.

Apa yang penting ialah negara dan masyarakat kini memerlukan kualiti pemikiran yang tinggi, menyeluruh dan merentasi pelbagai pembahagian disiplin. Dan ini tidak semestinya diterjemahkan dengan kuantiti mereka yang memperolehi PhD. Kemajuan dan gagasan yang ada pada sesebuah masyarakat dan negara itu bukan bergantung kepada sekeping ijazah hasil daripada kepayahan menjalankan penyelidikan bertahun-tahun lamanya.

Walaupun PhD itu penting sebagai satu proses dan keperluan sesuatu sektor bidang ilmu dan amali untuk kesejahteraan masyarakat dan kemanusiaan, ia bukanlah satu izin berbahas tentang apa sahaja atau menggelar diri itu sebagai cerdik pandai dan mahir kepada semua bidang dan kepakaran kehidupan.

Sebenarnya, ijazah PhD perlu menyedarkan kita betapa kerdilnya ilmu yang ada pada kita ini. Kita perlu sedar bahawa kita ini miskin ilmu, tidak kira betapa tinggi kelulusan kita. Pengajarannya ialah kemiskinan ilmu yang ada pada kita merupakan pencetus kepada kesedaran tentang kekayaan ilmu di alam semesta ini.

Juga, ramai pemegang PhD berhenti menulis setelah memperolehi ijazah. Dan penulisan akademik dan kesarjanaan dalam bentuk buku ilmiah dan jurnal-jurnal tidak menjadikan seseorang itu sebagai sarjana dan cendekiawan.

Kita boleh menggalakkan penulis dan wartawan memiliki ijazah PhD. Yang membezakannya ialah kecenderungan berfikir dan berhujah dalam melihat sesuatu permasalahan itu serta menawarkan perspektif dan cara-cara menangani dan mengatasinya. Fakir miskin akan melihat kepada khazanah dan kekayaan dunia bagi mengatasi masalahnya.

Monday, 7 April 2008

Perjalanan Menuju Allah

Ilmu dan zikir- Rukun Perjalanan Menuju Allah


Sa’id Hawa menjelaskan bahawa perjalanan menuju Allah mempunyai dua rukun, iaitu ilmu dan zikir. Tanpa keduanya, tidak ada perjalanan menuju Allah SWT.

Ilmu adalah yang menerangi jalan dan zikir adalah bekal perjalanan dan keperluan pendakian. Kita berhajat kepada ilmu untuk mengenali segala perintah, petunjuk, bimbingan dan peringatan Allah SWT dan mengenali hikmatnya agar kita dapat melaksanakan segala perintah tersebut serta mencapai hikmatnya, manakala kita berhajat kepada zikir agar Allah SWT bersama kita dalam perjalanan kita menuju kepadaNya.

Rukun pertama: Ilmu

Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu tentang al-Qur’an dan al Sunnah serta ilmu tentang segala yang diperlukan oleh sesorang dalam perjalanannya menuju Allah SWT. Setiap muslim wajib mengetahui segala perbuatan yang wajib dilakukannya, agar ia tidak meninggalkannya; dan juga perbuatan yang haram dilakukannya, agar ia terhindar daripada melakukannya. Setiap perbuatan yang wajib dilakukan, maka mempelajari ilmunya juga menjadi wajib, Ini adalah kerana tanpa ilmu tentang sesuatu, maka seseorang tidak mungkin dapat melakukan sesuatu itu dengan betul, sesuai dengan kehendak syariat.

Imam Ghazali mengingatkan kita di dalam kitabnya Ihya Ulum Al-Din, bahawa di antara ilmu yang wajib dipelajari ialah ilmu mengenai jalan menuju ke akhirat. Apa yang dimaksud ilmu menuju jalan ke akhirat ialah ilmu cara membersihkan hati atau jiwa daripada sifat-sifat yang keji, yang tercela, yang dianggap sebagai kotoran yang menjadi penghalang daripada mengenali Allah SWT dan daripada mengenali sifat-sifat dan af’al atau perbuatan-perbuatanNya. Tidak ada jalan untuk ke sana melainkan dengan latihan, ilmu dan pengajaran.

Ilmu tersebut terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama: Ilmu zahir, iaitu ilmu yang berkaitan dengan amalan anggota badan, dan ia terbahagi kepada adat dan ibadat.
Kedua: ilmu batin, iaitu ilmu yang berkaitan dengan amalan hati atau jiwa, atau ilmu tentang sifat-sifat yang ada di dalam hati atau jiwa, yang juga terbahagi kepada yang terpuji dan tercela.
Sifat-sifat yang terpuji di dalam hati adalah seperti: sabar, syukur, takut, harap, redha, zuhud, taqwa, qana’ah (menerima dan berpuas hati dengan yang ada atau dengan apa yang Allah berikan), murah hati, ihsan, baik sangka, baik budi,baik pergaulan, jujur, ikhlas dan sebagainya, yang merupakan sumber atau punca daripada segala perbuatan taat dan ibadat kepada Allah SWT. Adapun yang tercela daripadanya adalah seperti; dengki, dendam, busuk hati, penipu, gila pangkat, gila harta, gila kuasa, gila pengaruh, suka dipuji, sombong, riya’, keras kepala, pemarah, benci, tamak kedekut, kufur ni’mat, mengagungkan orang kaya, bangga, ujub, nifaq (hipocracy), cintakan dunia, cinta harta, gopoh,lalai dan sebagainya, yang merupakan sumber atau punca daripada segala perbuatan ma’siat dan lain-lain perbuatan buruk atau keji, yang dilarang.

Rukun kedua: Zikir

Adapun yang dimaksudkan dengan zikir ialah zikir yang diwariskan atau dianjurkan, yang termasuk di dalam perintah Allah SWT dan RasulNya SAW.
Imam Nawawi di dalam kitabnya, Al-Adzkaar, telah menjelaskan pengertian zikir sebagai berikut:
“Ketahuilah bahawa fadilat zikir tidak terhad pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan yang seumpamanya, tetapi setiap orang yang beramal kerana Allah Taala dengan ketaatan, maka ia termasuk orang yang berzikir kerana Allah Taala.

Begitulah yang dikatakan oleh Sa’id Bin Jubair r.a. dan lain-lain ulama”.
‘Ata’ berkata: “Majlis-majlis zikir adalah majlis-majlis yang membincangkan masalah halal, haram, bagaimana anda membeli, menjual, solat, berpuasa, berkahwin, mentalak, haji dan yang seumpamanya”.
Beliau juga telah membawakan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seorang lelaki membangunkan isterinya pada waktu malam, kemudian keduanya solat dua rakaat, maka keduanya ditulis dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah”.

Maka kedua rukun berjalan menuju Allah menurut Sa’id Hawa adalah ilmu dan zikir; dan tidak akan ada perjalanan melainkan dengan keduanya.
Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa para salik yang menempuh jalan menuju Allah itu terbahagi kepada dua golongan:
i. Golongan yang pertama lebih banyak melibatkan diri mereka kepada Allah SWT disamping tidak melalaikan tanggungjawab mereka dalam menuntut ilmu agama sebagaimana yang dituntut oleh syara’.
ii. Golongan yang kedua pula mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT dengan bertungkus-lumus mendalami ilmu agama disamping tidak mengabaikan keperluan untuk berzikir.

Akhirnya, mereka semua (insya Allah) akan sampai ke satu arah tuju yang sama iaitu mencapai keredhaan Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Beliau menjelaskan bahawa pembahagian tersebut adalah disebabkan kerana adanya perbezaan pada kecenderungan atau minat dan kemampuan atau kesanggupan manusia itu sendiri. Segolongan manusia, kecenderungan atau minatnya kepada ilmu lebih besar dan juga kemampuannya untuk mencapai ilmu tersebut ada, dan segolongan lainnya kemampuannya untuk mencapai ilmu terhad dan kesanggupannya untuk beribadat, beramal dan berzikir adalah besar. Jalan yang sesuai bagi golongan yang pertama adalah ilmu, tetapi mesti juga disertai dengan zikir; dan jalan yang sesuai bagi golongan yang kedua adalah memperbanyak zikir, tetapi mesti juga disertai dengan ilmu.

Daripada huraian tersebut, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa setiap manusia yang berjalan menuju Allah atau mencari keredhaan dan keampunan Allah, yang dengannya dicapai kebahagiaan akhirat dan terhindar daripada seksaan neraka, mestilah berusaha, selain mengisi masanya dengan melaksanakan tugas peribadatan yang telah ditetapkan, seperti solat lima waktu, puasa ramadan dan lain-lainnya, juga dengan kegiatan menuntut ilmu dan berzikir.
Ia mesti menjadikan kegiatan menuntut ilmu dan berzikir ini sebagai agenda hariannya yang berterusan sepanjang hayat, kerana kedua-duanya merupakan ibadat yang sangat tinggi nilainya. Setiap kita mestilah berusaha menghindarkan diri daripada membazirkan masanya dengan sebarang perbuatan yang tidak ada manfaatnya seperti melepak, berbual kosong dan kerja-kerja yang seumpamanya.

Di dalam sesuatu hadis, ada dinyatakan bahwa tanggung jawab pertama yang akan disoal ke atas setiap insan ialah tentang umurnya: di mana ia telah menghabiskannya? Di dalam surah al-’Asr Allah SWT telah menyatakan dengan bersumpah: “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan (mengisi masanya dengan)beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.