Sunday, 19 April 2009

Pindah rumah

Alhamdulillah urusan pindah rumah telah pun selesai walaupun masih ada sedikit lagi yang perlu dikemaskan di rumah baru dan rumah lama. Urusan pindah rumah ni telah meragut masa saya selama 4 hari untuk kemas barang dan bersihkan rumah. Perasan sesal pun ada pada mulanya. Apabila saya memaklumkan pada rakan-rakan Malaysian di sini (note: saya ni duduk di NZ, area Hamilton, sebuah daerah kecil tapi semakin rancak pembangunannya). Banyaklah saya dapat komentar. Kadang-kadang letih nak jawab. "Pindah rumah mana?" tanya si A. Soalan ni boleh jawab lagi dan make sense. "Jangan pindah senyap-senyap ye" Si B pula hantar text dalam email. Sah-sah saya bagi tau saya nak pindah, kurang 'common sense' gamaknya atau over excited. Paling tragis, dapat massage lagi "eeh nak tengok rumah lama untuk kali terakhir". Lack of common sense lagi. saya dah keletihan tapi pindah rumah ni untuk keselasaan diri sendiri dan bukannya nak susahkan siapa-siapa. Begitulah ragam manusia apabila berada di luar negara kot (note: mungkin hanya berlaku di daerah yang saya duduk agaknya). Di Malaysia, saya pindah rumah banyak kali pun orang tak kisah. Tapi di luar negara ni ada kelainan apabila seseorang akan berpindah rumah. Namun ianya merupakan pengalaman hidup yang tidak dilupakan untuk mematangkan diri agar menggunakan 'common sense' dan tidak menambahkan kepenatan fikiran orang lain. Alhamdulillah, semuanya ditempuhi dengan kesabaran dan ketaqwaan. Ameen.

Menyewa rumah di New Zealand ini tidak sama dengan urusan sewa rumah di Malaysia. Di NZ,ada jabatan di panggil 'Department of Housing' yang menyimpan duit perjanjian (bonding). Jumlah duit 'bonding' sama dengan jumlah sewa untuk 3 minggu. Wang ini akan disimpan oleh jabatan tersebut sehinggalah tenant tersebut memberikan notis at least 21 days sebelum keluar atau berpindah dari rumah tersebut. Tujuannya ialah untuk memastikan tenant rumah tersebut menjaga rumah dalam keadaan yang baik dan bersih. Apabila agent atau landlord berpuas hati dengan keadaan rumah barulah mereka akan tandatangan surat untuk membolehkan tenant membuat tuntutan duit bonding tadi. Kegagalan tenant untuk menjaga rumah dan memberi notis seperti yang ditetapkan akan menyebabkan duit 'bonding' tadi tidak dipulangkan.

Pada saya, cara ini sangat baik untuk memastikan rumah landlord sentiasa terjaga dan tidak berlaku kes tenant tidak membayar sewa sebagaimana yang berlaku di Malaysia. Pengalaman saya menyewa di Malaysia sewaktu mula-mula bekerja dulu, rumah yang saya sewa itu terdapat banyak barang-barang tenant sebelumnya yang tidak diangkat. Mujur sewaktu saya menyewa saya utilise kan barang-barang tersebut. Tetapi masalahnya apabila saya keluar daripada rumah tersebut, saya pula yang tanggung masalah macam mana nak pindahkan barang-barang tersebut. Apa yang saya mampu buat ketika itu ialah mengemas rumah tersebut mana yang mampu dikemas. Saya tidak dapat bayang bagaimana tuan rumah tersebut lupuskan barang-barang tersebut. Paling sedih, di Malaysia tidak ada kedai-kedai second hand or community shop untuk membolehkan kita sedekah barang-barang tersebut. Ada juga kes di mana jiran saya melarikan diri dari rumah sewa pada waktu tengah malam kerana sudah lama tidak membayar sewa. Disebabkan tidak ada undang-undang (atau may be tidak dikuatkuasa, jika ada) berkaitan dengan sewa rumah ini, ramai tuan rumah yang menangung kerugian. Malah rumah juga tidak dijaga dengan baik oleh tenant. Terfikir saya, betapa susahnya menjadi landlord rumah di Malaysia. Moga kerajaan Malaysia dapat sedari hakikat ini dan cuba memperbaiki sistem yang ada untuk memberi kebaikan kepada semua pihak.

Berbalik kepada kes saya pindah rumah tadi..saya berpindah ke apartment university kerana di situ sudah ada peralatan seperti peti ais dan mesin basuh. So, saya pindah untuk memudahkan urusan apabila menamatkan pengajian kelak. Tidaklah kelam kabut buat garage sale lagi. garage sale ni satu budaya di NZ untuk jual barang-barang rumah yang tidak diperlukan lagi. Bagus sungguh sistem di sini kerana kita dapat jual barang kita dan tidaklah membazir. Barang-barang yang tak laku boleh disedekah kan ke community shop seperti 'Hospice'. Rasa sangat berpuas hati dengan sistem seperti ini.

Akhir kalam, moga hijrah ke rumah baru ni dapat memberi semangat lagi untuk terus berusaha menyiapkan Phd kerana rumah dah terlalu dekat dengan department:). Adios.

Tuesday, 7 April 2009

Umat Islam dan Qudwah hasanah?

Saya terkesima sebentar apabila membaca akhbar utusan malaysia hari ini berkaitan dengan isu setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming membaca sepotong ayat Quran demi menyokong hujahnya untuk menyeru orang ramai memilih pemimpin yang adil. Berita tersebut disini dan disini. Mufti Perak iaitu Dato' Harussani menganggap bahawa perbuatan Nga Kor Ming tersebut telah mempersendakan Quran dan agama Islam. Berikut merupakan ayat al Quran yang telah dibaca oleh Nga Kor Ming:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat ihsan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya” [al-Nahl 16: 90]

Persoalannya, adakah perbuatan Ahli Parlimen Taiping daripada DAP dan beragama Kristian memetik firman Allah daripada al-Quran untuk memberitahu hadirin tentang kedudukan KEADILAN dari perspektif al-Quran ini menghina Islam? Bagi saya perbuatan Nga kor Ming tidaklah menghina agama Islam kerana beliau hanya menggunakan ayat Quran itu sebagai hujah betapa pentingnya memilih pemimpin yang adil. Sebagai umat Islam kita berbangga dengan tindakan mereka yang belum Islam lagi tetapi mengakui tentang kehebatan ayat-ayat quran. Di sinilah peranan kita pula untuk menyampai dakwah bil hal terhadap golongan yang belum Islam lagi agar mereka menerima dan yakin tentang kemukjizatan Al Quran. Al Quran juga boleh menjadi panduan kepada seluruh umat manusia untuk menjalani kehidupan sejahtera di muka bumi ini. Umat Islam sewajarnya terus-menerus memberi kefahaman kepada beliau dan bahawa itulah keistimewaan ayat-ayat quran. Ayat-ayat yang diturunkan dalam Al quran itu bukan setakat sesuai digunakan oleh umat Islam tetapi sesuai untuk segenap lapisan umat manusia di muka bumi ini. Tindakan segelintir umat Islam yang mendakwa perbuatan Nga Kor Ming itu hanyalah menjatuhkan air muka sendiri.
Kejumudan umat Islam dalam kes ini hanya menakutkan golongan yang belum menerima Islam untuk mendekati agama Islam. Mereka akan melihat agama Islam ini racist. Maka terbantutlah dakwah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada umat manusia disebabkan sikap jumud segelintir umat Islam itu sendiri. Perbuatan segelintir umat Islam yang mendakwa Nga Kor Ming dan melaporkan kepada polis merupakan sikap yang terlalu defensif dan memalukan. Mari kita renung dalam masyarakat Islam itu sendiri, berapa ramai yang benar-benar mengikuti apa yang dianjurkan dalam kitab Al Quran tersebut? Umat Islam memang ramai tetapi persoalannya berapa ramai yang betul-betul boleh menjadi qudwah hasanah kepada mereka yang belum menerima Islam? Pemimpin-pemimpin negara kita berapa ramai yang benar-benar menjadikan Al quran dan As Sunnah sebagai panduan dalam pentadbiran mereka? Malah isteri-isteri dan anak-anak mereka juga jelas tidak memakai tudung walhal perkara ini telah dianjurkan dalam Al Quran (surah An Nur: 30-32). Beranikah segelintir umat Islam itu menegur pemimpin-pemimpin ini untuk mematuhi apa yang diajarkan oleh AlQuran kepada kita selaku umat Islam?
Kita sepatutnya malu apabila orang yang belum menerima Islam boleh merujuk kepada ayat-ayat quran untuk kuatkan hujah mereka untuk menyokong menegakkan kebenaran dan keadilan dalam sistem kemasyarakatan. Kita sewajarnya muhasabah diri kita sejauhmanakah kita telah pun mengamalkan apa yang terkandung dalam ajaran Islam itu sendiri. Bukannya bersikap melenting apabila orang bukan Islam menggunakan ayat-ayat Quran untuk tujuan menyatakan kebenaran. Biarlah kita sensitif pada tempat yang betul bukan dengan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan maruah umat Islam.
Berbalik kepada kes Nga Kor Ming yang dikatakan salah kerana memetik ayat Al Quran tersebut. Saya ingin menceritakan pengalaman saya sebagai seorang 'saudara baru' yang sudah lama, bagaimana saya tertarik dengan Islam ialah bermula dengan saya membaca ayat-ayat Quran dan saya dapati ayat-ayat Quran tersebut sesuai dengan jiwa nurani manusia untuk menjalani kehidupan yang sejahtera di muka bumi ini. Saya juga buat perbandingan antara kitab bible dan Quran untuk menguatkan lagi keyakinan saya kepada agama Islam sebagai satu-satunya agama yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Adakah perbuatan saya tadi telah mencemarkan kesucian Islam? Yang mana hasilnya telah memberikan cahaya hidayah kepada saya dan keluarga untuk mengamalkan ajaran Islam. Justeru, bagi saya tidak salah golongan yang belum menerima Islam itu membaca ayat-ayat Quran selagi mana ia bukan bertujuan untuk mentertawakan kesucian agama Islam. Kalau sekadar mereka mengakui dan bersama-sama menyeru kita mengikuti apa yang dianjurkan oleh Al Quran maka ia patut kita terima.
Selaku umat Islam, patutnya kita peka dengan isu yang lebih besar kesannya terhadap agama Islam. Misalnya, kes golongan liberal dalam agama yang cuba mencalarkan kesucian agama dengan menggunakan akal mereka semata-mata tanpa menjadikan Al quran sebagai rujukan. Isu "sister in Islam" pernah menjemput Aminah Wadud wanita pakistan yang menjadi imam solat jumaat di US suatu ketika dulu. Persoalannya. selaku umat Islam sejauh manakah kita sensitif dengan isu ini? Para mufti kita berapa ramai yang berani bersuara untuk menangkis perkara ini daripada berleluasa dalam masyarakat kita?
Justeru, sebagai umat Islam marilah kita sama-sama amalkan Islam itu secara keseluruhannya dalam kehidupan kita. Janganlah kita hanya sensitif dengan isu yang remeh-temeh. marilah sama-sama muhasabah sejauhmanakah kita telah amalkan ajaran-ajaran dalam Al Quran itu. Jadikanlah kes Nga Kor Ming ini sebagai titik muhasabah sejauhmanakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim? Adakah selama ini kita telah berjaya menjadi qudwah hasanah kepada golongan seperti Nga Kor Ming itu. Hakikatnya perbuatan beliau itu bukannya penghinaan pada agama Islam tetapi suatu penghinaan kepada umat Islam (muslim) yakni kegagalan umat Islam untuk tegakkan ajaran Islam itu dalam diri mereka sendiri.

Wallahu 'alam

Wednesday, 1 April 2009

Praktikkanlah ajaran Islam secara keseluruhannya

Firman Allah SWT dalam ayat 208 surah al-Baqarah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata."


Ayat yang saya paprkan diatas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengarahkan umat Islam agar masuk yang bererti menerima Islam secara keseluruhannya tanpa berbelah bagi. Seperti juga dalam doa iftitah yang sering kita baca dalam setiap solat, 'sesungguhnya solatku, segala ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Tuhan sekelian alam ini'. Begitulah juga dengan doa yang dibaca melalui surah al-Fatihah, 17 kali sehari semalam, iaitu 'tunjuklah kami jalan yang lurus'.

Masuk atau menerima Islam secara keseluruhannya seperti dalam ayat di atas, boleh disimpulkan seperti di bawah ini :

1- Menerima Islam sebagai cara hidup. Yakni, segala suruhan dan larangan yang anjurkan oleh agama kita tunaikan. Sebagai muslim, kita terjemahkan keindahan Islam itu dalam diri kita dan bukanlah sekadar atas nama sebagai beragama Islam.

2- Menerima Islam sebagai penyelesai kepada semua masalah. Apa-apa pun masalah yang melanda kita biarlah kita kembali kepada ajaran agama.

3- Menyedari bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah. Keyakinan ini akan menyebabkan kita tidak goyah akidah walau pun kita berada dalam keadaan kesempitan dan sebagainya. Hatta, walaupun kita dipulaukan oleh masyarakat kita tetapi kita tetap berpegang teguh pada agama Allah dan bukanlah ianya dipertaruhkan dengan sebegitu murah nilainya. Contohnya, apabila sesorang itu tertekan atas kemiskinan atau dipulau oleh rakan-rakan, lalu kita ugut bahawa kita akan keluar dari agama Islam. Perbuatan seperti ini menunjukkan betapa lemahnya iman kita kepada Allah SWT. Justeru, kembalilah kepada firman Allah dalam surah al Baqarah yang dijelaskan di atas.

4- Menyedari bahawa apabila tidak beramal dengan Islam secara serius, akan ditimpakan musibah oleh Allah SWT.

5- Memahami dengan sebaik-baiknya, bahawa apabila tidak beramal dengan Islam, bererti tidak percaya kepada kemuliaan Allah selaku Pencipta, apabila tidak percaya kepada Allah, bermakna menempah tempat dalam neraka.

6- Bersedia untuk menjadikan Islam sebagai pegangan dari sudut pakaian, cara berfikir, pergaulan, kerjaya dengan melaksanakan segala tanggungjawab sebagai Muslim dan Muslimah sejati di sisi Allah. Yakni, apabila kita berpegang teguh dengan Islam, bagi muslimah hendaklah ia menutup auratnya seperti pemakaian tudung dan pakaian yang tidak menjolok mata. Seperti yang ditekanlah dalam al Quran: Surah An Nur:30-31. Yang mana menyeru wanita Islam menutup auratnya. Sebagai muslimah, janganlah fobia untuk memakai tudung kerana ia akan menampak anda lagi anggun dan mulia di sisi Allah sekiranya hati kita benar-benar berpegang teguh dengan agama Allah. Begitu juga dengan pergaulan harian kita. Jagalah suara kita agar tidak menjadi fitnah. Begitu juga pergaulan yang menggunakan internet sebagai 'mediator'. Contohnya, pergaulan dalam facebook yang dewasa ini menjadi alat komunikasi yang popular dikalangan orang muda dan orang tua. Tanpa disedari komunikasi melalui facebook menyebabkan ramai yang tanpa segan silu meletakkan gambar yang kurang sopan atau tidak menutup aurat. Ada juga yang begitu ghairah meletakkan gambar yang tidak memakai tudung walaupun networkingnya terdiri dari lelaki dan perempuan. Pergaulan juga semakin tidak terkawal antara lelaki dan perempuan. Fenomena ini agak kurang sihat kerana kelalaian seseorang untuk menjaga peribadi sebagai seorang muslim. Facebook bukanlah masalahnya tetapi sebagai seorang muslim hendaklah kita berpandukan agama sebagai batasan dalam komunikasi kita.

7- Memperuntukkan masa untuk belajar Islam serta berkorban segala keringat, masa, tenaga, pemikiran dan kesanggupan. Dalam hal ini, walaupun kita bukan secara langsung belajar dalam aliran agama tetapi kita kena berusaha untuk pertingkatkan ilmu agama misalnya banyakkan pembacaan, berbincang dengan orang yang alim. Di samping itu, menghadiri kuliah-kuliah agama di surau-surau atau masjid.

8- Berjanji kepada Allah untuk memelihara agama-Nya. Yakni, kita berusaha menjaga kesucian agama Allah daripada perkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Lantaran dewasa ini terdapat kecenderungan golongan-golongan liberal yang cuba mengelirukan masyarakat Islam terhadap ajaran Islam yang sebenar dengan hujah-hujah akal mereka. Misalnya, golongan liberal ini cuba menyamakan Islam dengan agama-agama lain. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk berdepan dengan isu ini dan menjelaskan kesucian agama kita agar tidak dicemari.

9- Berjanji untuk memelihara jiwa daripada sebarang naluri dan kecenderungan yang menyalahi syariat. Yakni, membersihkan hati kita agar sentiasa melakukan tindakan selaras dengan syariat yang dianjurkan oleh agam kita.

10- Berjanji untuk memelihara harta daripada terjebak menyokong musuh-musuh Allah yang akhirnya membunuh saudara-saudara seagama. Misalnya, membeli rokok atau barangan keluaran syarikat orang-orang Yahudi. walaupun usaha ini nampak kecil tetapi kalau kita niatkan untuk memelihara harta demi agama, insyaAllah ianya dilihat sebagai amalan mulia dalam agama kita. Begitu juga dengan wang simpanan di bank. Sebagai muslim, kita hendaklah berusaha daripada terlibat dengan amalan riba yang diharamkan dalam agama Islam.

11- Berjanji memelihara keturunan serta kehormatan sebagai orang Islam dengan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan imej serta peribadi sebagai seorang Muslim yang sungguh-sungguh untuk mendaulatkan Islam.

12- Berjanji untuk memelihara memelihara akal daripada berfikir yang boleh merosakkan kesucian agama Islam dan berfikir cara bagaimana boleh memajukannya.

13- Menterjemahkan lima slogan yang pernah difahami oleh generasi ulama awalan sebagai cara hidup sempurna, iaitu Allah matlamat kita, Rasul itu pemimpin dan contoh teladan kita, al-Quran itu perlembagaan kita, jihad itu adalah cara hidup kita dan mati pada jalan Allah adalah cita-cita kita yang tinggi lagi murni di sisi Allah.

Moga tazkirah ringkas ini memberi peringatan pada diri kita agar sentiasa berpegang teguh dengan agama Allah walau apa jua yang menimpa kita. Janganlah kita dengan mudah memperjudikan agama hanya kerana kita menghadapi musibah di dunia yang fana ini. Anggaplah apa yang berlaku itu sebagai satu ujian untuk memantapkan iman. Contohilah ketabahan dan keteguhan iman Bilal bin rabah dalam mempertahankan agama ini..

Wallahu'alam.

Wednesday, 11 March 2009

Memorandum GMP kepada Yang di-Pertuan Agong

Berikut merupakan memorendum GMP kepada Yang di-pertuan Agong sebagai renungan bersama. Moga-moga hati kita dibuka hidayah untuk memahami apa yang tersurat dan tersirat di sebalik PPSMI ini. Sebagaimana yang termaklum penghantaran memorendum ini ke istana melalui jalan sukar kerana ianya di sekat oleh pasukan FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Mungkin ada yang berkata kenapa perlu buat demonstrasi untuk menyampaikan memorendum tersebut? Apalah daya rakyat untuk meluahkan perasaan mereka...setelah 6 tahun pejuang-pejuang bahasa menyeru agar kerajaan menghentikan PPSMI ini namun ianya tidak didengari dan langsung tidak di ambil perhatian oleh kementerian pelajaran. Malah mereka terus melaksanakannya tanpa menghirau implikasi negatif kepada guru-guru dan para pelajar. Tindakan kementerian melaksanakan PPSMI ini secara drastik juga sangat membebankan para guru dan pelajar. Himpunan 7 Mac 2009 merupakan kemuncak kepada seruan rakyat dan pejuang-pejuang bahasa untuk menyuarakan isi hati mereka yang selama ini tidak didengari oleh pihak tertentu!
Bacalah memo tersebut dengan mata hati yang bersih tanpa mengaitkan dengan sentimen politik.



Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.
Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:
1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.
Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.
Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?
Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!
Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.
Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.
Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.
Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.
Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.
Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.
Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN
11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.
Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron dari UPSI Januari (2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.
APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).
Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.


GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.
Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.
Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.
Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.
Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.
Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Patik sekalian yang berdatang sembah. _

Tuesday, 10 March 2009

Apa sudah jadi dengan negara Malaysia?




Assalamu alaikum dan Alhamdulillah. Moga kita semua sentiasa berada di bawah rahmatNya.


Kali ini saya ingin menyentuh isu PPSMI. Nampaknya menteri pelajaran masih lagi ingin melaksanakannya walaupun rakyat marhaen tidak bersetuju. Pada 7 Mac 2009 yang lalu kita menyaksi puluhan ribu rakyat yang menentang akan perlaksanaan PPSMI ini. Tahniah kepada rakyat Malaysia yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan. Tahniah dan syabas juga kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah satu asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.


Kenapa penentangan PPSMI ini berlaku? Kita menentang bukannya kita anti terhadap bahasa Inggeris, TETAPIpelaksanaan PPSMI ini mengakibatkan pelajar-pelajar luar bandar yang masih ketinggalan dalam bahasa Inggeris mendapat kelulusan rendah dalam pelajaran mereka. Masih banyak cara lain yang kerajaan dan menteri pelajaran boleh laksanakan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran tersebut (matematik dan sains) hanyalah ”melepas batuk di tangga”. Belum tentu perlaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam dua subjek tersebut dapat menjamin penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar? Malah menyukar pelajar untuk meningkat kemahiran dalam subjek tersebut. Guru-guru mereka pun masih ramai yang tidak bersedia mengajar subjek tersebut dalam bahasa Inggeris. Situasi ini mengakibatkan ”yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Mungkin bagi anak-anak bangsawan, PPSMI ini sesuai kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka kuat sejak dari awal lagi. Oleh itu, mereka tidak menghadapi masalah untuk memahami pengajaran dalam bahasa Inggeris.

Seperti yang ditegaskan oleh Dr Awang Sariyan, asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen. Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI. Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan. Justeru, apakah muslihat kerajaan disebalik perlaksanaan PPSMI ini? Adakah mereka tidak faham undang-undang tersebut? Bagi pendapat saya, PPSMI ini terdapat banyak implikasi negatifnya terhadap pelajar terutama pelajar luar bandar. Alangkah indahnya, jika kementerian pelajaran fikirkan cara lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar terutama pelajar luar bandar bukannya dengan PPSMI tersebut. Pertingkatkan prasarana sekolah terutama di luar bandar seperti kemudahan perpustakaan dan komputer yang mencukupi. Wahai menteri pelajaran tolonglah turun ke sekolah-sekolah di luar bandar. Tengok dengan biji mata sendiri bagaimana kedhaifan mereka? Janganlah memaksa mereka untuk menerima sistem PPSMI tanpa menilai implikasinya ke atas mereka.


Kalaulah menteri pelajaran itu menggunakan otak untuk berfikir bukannya menggunakan kulit kepala untuk berfikir beliau akan nampak rasionalnya mengapa rakyat menentang PPSMI ini. Tidaklah menteri pelajaran kita berpandangan cetek dengan menuduh bahawa dalang kepada kebencian terhadap PPSMI ini ialah pembangkang khususnya PAS. Nampaknya, menteri pelajaran kita berfikir secara kebudak-budakan dengan menuding jari kepada pembangkang. Beliau melihat bahawa pembangkanglah yang menyebabkan penentangan terahadp PPSMI ini. Terencat urat saraf apabila membaca komen beliau itu. Seolah-olah menteri pelajaran itu tidak menggunakan otak sedarnya untuk berfikir mengapa puluhan ribu rakyat bangkit menentang PPSMI. Beliau hanya mampu berfikir bahawa pembangkanglah yang menyebabkan rakyat menentang PPSMI. Dangkal sungguh pemikiran itu dan tidak selayaknya untuk seorang menteri pelajaran malaysia. Pemikiran itu seperti pemikiran orang yang tidak berfikir menggunakan otak anugerah Allah. Sewajarnya, seorang menteri pelajaran hendaklah seorang yang rajin membaca dan berfikir dengan pemikiran yang luas. Sedarkah anda bahawa penentangan terhadap PPSMI ini bukan setakat di kalangan pembangkang tetapi juga di kalangan ahli akademik dan badan-badan NGO serta segelintir ahli umno yang masih sayangkan bangsa dan bahasanya. Cumanya ahli umno tersebut tidak berani bersuara kerana takut periuk nasinya melayang. Mungkin sebab itulah menteri pelajaran itu perasan hanya pembangkang saja yang exploit isu tersebut.

Sedarilah bahawa pembangkang hanyalah membantu rakyat untuk menyuarakan suara mereka. Kepada siapa lagi rakyat hendak mengadu? Buat aduan pada menteri pelajaran bukannya dilayan. Baru-baru ini pun, apabila rakyat hendak menyampaikan memorendum pada Yang Dipertuan Agong pun kena tembak dengan gas pemedih mata. Alangkah kesiannya rakyat Malaysia, hendak berjumpa dengan pemimpin untuk menyampaikan isi hati mereka pun kena diperlakukan sedemikan. Kalau rakyat Malaysia itu mengganas, maka wajar jugalah diperlakukan seperti itu oleh pihak polis. Tetapi rakyat hanya ingin menyampaikan sekeping memorendum untuk dipertimbangkan oleh kerajaan Malaysia. Pendatang asing dan penjenayah pula masih lagi mewah dan berkeliaran tetapi tidak pula ada gerak gempur untuk menghapuskan pejenayah di Malaysia secara besar-besaran. Mat-mat rempit masih lagi bermaharajalela tetapi tidak pula polis memberi kawalan ketat kepada mereka? Kanak-kanak yang hilang sampai sekarang belum ditemui?. Huh...adakah satu masa nanti bumi Malaysia itu hanya layak untuk didiami oleh manusia pak turut saja? Manusia yang tidak ada ’common sense’ dan tidak perlu berfikir hanya ikut apa saja pemimpin mereka buat? Apa yang terjadi pada Malaysia pada tahun 2020 kalau beginilah rupa pemimpin negara kita? Demokrasi sudah tidak berguna lagi.....rakyat kena terima saja apa pemimpin cakap. Renung-renungkanlah.....

Wallahu ’alam.

Wednesday, 18 February 2009

Syair Assyahid Sayyid Qutb

Assalamu alaikum. Rasanya buat masa ini tak sempat nak 'update blog' ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Apabila bermuhasabah, terasa diri ini teramat kerdil disisiNya. Masa yang Allah beri terasa tak cukup untuk melakukan banyak perkara. Di kesempatan ini, saya teringat akan puisi Assyahid Sayyid Qutb yang juga merupakan mujahid Allah yang rela berkorban demi sebuah perjuangan menegakkan hukum Allah. Renungilah setiap bait-bait puisi beliau untuk menghidupkan roh perjuangan dalam diri kita.
Sahabat,
Andainya kematianku ini kau tangisi
Pusaraku kau siram dengan air matamu
Maka diatas tulang belulangku yang sudah hancur luluh
Nyalakan obor untuk ummat ini
Dan lanjutkan gerak merebut kemenangan

Sahabat,
Kematianku hanyalah suatu perjalanan
Memenuhi panggilan kekasih yang merindu
Teman-teman indah di syurga Tuhan
Terhampar menanti
Burung-burungnya berpesta menanti ku
Dan berbahagialah hidupku disana

Sahabat,
Cahaya kegelapan pastikan lebur
Fajarkan menyingsing
Dan alam ini kan disinari cahaya lagi
Relakanlah rohku terbang menjelang rindunya
Jangan gentar berkelana ke alam abadi
Disana cahaya fajar memancar.

-Puisi Assyahid Sayyid Qutb

Friday, 13 February 2009

Wasiat As syahid Hasan Al Bana

Kebiasaannya sebelum saya mulakan kerja saya pada setiap pagi, saya akan 'warm up' terlebih dahulu dengan membaca isu-isu semasa untuk peringatan pada diri sendiri. Entah hari ni, saya tiba-tiba teringat akan 10 wasiat dari seorang mujahid Islam yang mempunyai bidang ilmu yang luas iaitu As Syahid Hasan Al Bana. Semasa saya mengaji di UKM dahulu saya dan sahabat-sahabat seusrah pernah mengupas bersama wasiat-wasiat As Syahid. Malah, buku-buku as syahid banyak mempengaruhi pemikiran saya untuk melibatkan diri dalam gerakan Islam. Pada penulisan kali ini, saya hanya sertakan 10 wasiat tersebut, insyaAllah saya akan cuba paparkan biodata As Syahid Hasan Al Bana pada penulisan akan datang.

Wasiat tersebut banyak memberi peringatan berguna kepada kita untuk diteladani dalam kehidupan kita.
10 wasiat tersebut saya sertakan seperti dibawah sebagai renungan dan peringatan bersama.

1)Wahai saudaraku, segeralah tunaikan solat di awal waktu. Dikala mendengar azan usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan Di situ ada sumber pertolongan Di situ ada sumber taufiq. Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran dimulakan dengan menyebut solat di awalnya.

2)Wahai saudaraku, Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya Selalulah berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit Kurangilah dengan masa yang tidak bertujuan Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu Sumber hidayah kepada anda dan saya Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir. Jadilah hamba yang sejahtera.

3)Wahai saudaraku, Dorongkanlah diri untuk menguasai Bahasa al-Quran Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda telah lama bermula Iaitu sejak anda solat setiap hari. Antara mala petaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya.

4)Wahai saudaraku, Usahlah bertarung idea tanpa adabnya! Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran Kerana di sana ada unsur lain membisikkan iaitu Syaitan namanya!

5)Wahai saudaraku, Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa. Rasulullah s. a. w adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya. Plato juga berharap agar pementasan hiburan yang tidak bermutu terlalu banyak ketawa bodoh hanyalah disaksikan oleh golongan abdi dan orang upahan asing. Begitu juga Aristotle berpendapat supaya golongan belia ditegah daripada menyaksikan hiburan-hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, supaya tidak menular keburukan dalam diri. Saudara, kalau kita perhati di kaca TV kita terlalu banyak hiburan lawak ketawa yang boleh merosakkan jiwa kita apabila terlalu banyak ketawa, maka marilah kita sama-sama hindari.

6)Wahai saudaraku, seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair : Berikan kerehatan pada jiwamu Yang sibuk dengan berfikir Ubati dengan bergurau Tapi, Kalau mengubatinya dengan bergurau Mestilah dalam batas Seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.

7)Wahai saudaraku, Kawallah nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakit hati orang lain pula. Luqman El-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya.

8)Wahai saudaraku, Usahlah umpat mengumpat. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Hindarilah... mengumpat! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama. Dosa orang yang mengumpat adalah seperti memakan daging saudaranya yang telah mati. Bertaubatlah jika anda mengumpat dan minta ampun terhadap orang umpatanmu. Boleh mengumpat... apabila ada tujuan syarie seperti untuk menuntut keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran, kerana memberi amaran kepada Muslim tentang kejahatan, dan kerana mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

9)Wahai saudaraku, Luaskanlah interaksimu dengan umat manusia Sekalipun mereka tidak diminta berbuat demikian. Hulurkan perkenalan, kemesraan dan persahabatn sesama insan.

10)Wahai saudaraku, Maksimumkanlah faedah waktu anda dan Tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Disiplinkan diri anda dengan masa. Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda. Bersegeralah, kerana... Sabda Nabi s. a. w bermaksud : "Bertindak segeralah melakukan amal...". Sayanglah masa saudaramu juga. Hormatilah waktu mereka dan usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.