Wednesday, 7 April 2010

Indahnya Negaraku

Alhamdulillah....segala puji bagi Allah akhirnya hari ni saya baru diberi kekuatan untuk menulis dalam blog ini. Blog ini pun dah ber'sawang' kerana dah lama saya tidak lawati dan kemas kini kan.

Seusai saya menghantar thesis pada 5 Mac lalu, saya begitu sibuk dengan urusan shipping dan ziarah kawan2 di Hamilton. Sehinggalah saya balik ke Malaysia pada 26 Mac, hidup saya umpama "amazing race". Banyak perkara yang perlu diselesaikan terutama urusan rumah. Kembalinya saya ke Malaysia ini umpama baru memulakan hidup baru. Hidup dalam serba kekurangan dengan tiada kenderaan. Terpaksalah menumpang kawan untuk ke tempat kerja. Mujurlah masih ada kawan. Alhamdulillah.

Pada 30 Mac, saya berjaya untuk lapor diri di UTM. Suasana agak berbeza sejak saya tinggalkan 4 tahun yang lalu. Hari pertama saya lapor diri, saya terus membantu rakan-rakan Psikologi untuk membaiki kurikulum. Saya difahamkan tujuan bengkel tersebut untuk mengubah program dari 3 tahun ke 4 tahun. Saya pun masih kurang jelas apakah rasionalnya. Yang pasti apa yang saya perhatikan untuk mengubah kurikulum tersebut pihak KPT telah pun ada garis panduan yang ketat hingga pihak akademik kurang autoriti untuk melakukan apa-apa perubahan. Tetapi itulah hakikat di Malaysia..apa yang nak dihairankan.

Perkara seterusnya yang saya dapat perhatikan ialah wajah-wajah rakan sekerja. Ada yang serius tahap gaban, ada yang muka stress dan ada juga yang muka ceria. Yang muka serius tahap gaban ni takut saya nak tegur...saya hanya senyum saja sebagai tanda selamat berjumpa kembali..yang muka stress ni saya berjabat tangan dan bertanya khabar. Rupanya ramai staff yang stress dengan masalah birokrasi terutama kaedah penilaian KPI. Yang mana dalam KPI ni penilaiannya hanya tertumpu kepada penulisan jurnal impak tinggi dan penyelidikan. Kerja-kerja seperti penilaian thesis pelajar langsung tidak diambil kira dalam KPI...begitu juga dengan kerja2 pentadbiran seperti merangka program. Keadaan ini menyebabkan ramai pensyarah yang tidak bermotivasi untuk melakukan tugas mereka. Saya lihat pihak atasan UTM kena membuat kajian terperinci tentang perkara ini.

Saya mengambil cuti selama 2 minggu untuk berjumpa keluarga. Pertamanya saya ke Kl di rumah adik. Saya telah menaiki bas di Taman Sri Putri. Setibanya saya di stesen bas, saya terus membeli tiket ke KL. Petugas kaunter memaklumkan ada tiket yang mana bas akan tiba dalam masa 5 minit. Saya pun dengan hati gembira terus membeli tiket tersebut. Rupanya bas yang dikatan tiba 5 minit itu, saya tunggu hampir sejam...masyaAllah. Ni la antara kejutan2 yang saya alami sekembali dari NZ (negara bukan Islam tetapi mengaplikasi banyak ciri-ciri Islam dalam sistem ketelusan pentadbiran).

Di KL, hujan turun dengan lebatnya. Saya menaiki LRT untuk ke KL sentral. Setibanya di KL sentral..rupanya tempat berhenti LRT ni agak jauh dari bangunan KL sentral. Saya nak ke KL sentral untuk mencari kedai fotostat. Hujan masih lagi turun dengan lebatnya. Jalan untuk ke KL sentral tak de atap, so terpaksalah tunggu hingga hujan berhenti. Laluan untuk ke KL sentral dari stesen LRT itu adalah disediakan 'zebra cross' supaya kereta boleh bagi laluan. Yang sedihnya kenderaan tidak pun berhenti untuk bagi laluan kepada pejalan kaki...alahai di mana kah sikap toleransi manusia. Kalau tak faham pun makna 'zebra cross' tapi berilah rasa empati kepada mereka yang berjalan kaki...yang sedihnya nilai2 Islam langsung tidak dipraktikkan.

Alhamdulillah, dengan berbekalkan kesabaran akhirnya saya tiba di bangunan KL sentral. Dalam sebesar2 bangunan itu, mesin fotostat semuanya rosak. Aduh...sungguh kecewa. Dah la pekerjanya sombong2. Hati saya berkata mungkinkah kebanyakan manusia di bumi Malaysia ini mengalami stress..so nak senyum pun susah.

Inilah sketsa yang saya lalui setelah kembali beberapa hari di Malaysia..insyaAllah ada kelapangan penulisan seterusnya akan menyusul. Semoga sentiasa bersabar.




Tuesday, 16 February 2010

Friday, 29 January 2010

Minat dan motivasi diri

“Subjek Matematik Tambahan (add Math) ni susah nak lulus”, kata sepupu saya apabila mengetahui saya mengambil aliran Sains apabila saya melangkah ke Tingkatan 4. Matematik tambahan merupakan subjek yang tersusah bagi aliran sains ketika itu. Saya bukanlah seorang pelajar yang dikategorikan pandai, yakni saya hanyalah pelajar average sahaja. Walaubagaimanapun, apa yang mampu saya lakukan pada ketika itu ialah saya tanamkan azam dalam diri saya agar saya dapat menguasai subjek tersebut. Saya tanamkan minat saya kepada subjek Matematik Tambahan tersebut dan memastikan agar saya sentiasa lulus dengan cemerlang dalam ujian dan peperiksaan. Berkat azam dan minat yang saya pupukkan itu telah menyebabkan saya berjaya mendapat A dalam subjek tersebut semasa SPM saya. Alhamdulillah.

Begitu juga selepas saya menamatkan ijazah pertama saya di UKM. Saya telah bertukar kursus dari bidang sains (Genetik) ke bidang sain sosial (Psikologi). Dekan di jabatan biologi terkejut apabila saya mohon tandatangan beliau untuk mengisi borang master. Beliau menasihati saya agar jangan bertukar bidang dan teruskan master dalam bidang biologi tersebut. Namun atas minat saya yang sangat mendalam, saya tetap ingin bertukar bidang. Ramai pensyarah dan kawan-kawan saya ketika itu was-was dengan keputusan saya berpindah bidang dari sains ke sains sosial. Mereka juga mengatakan bahawa bidang yang saya pilih itu sukar untuk mendapat pekerjaan. Tetapi disebabkan minat saya, saya berjaya menamatkan master saya dalam bidang Psikologi tersebut dan akhirnya saya ditawarkan pekerjaan sebagai pensyarah di UTM dan juga beberapa jawatan lain iaitu pegawai kebajikan masyarakat. Memandangkan minat saya dalam bidang pendidikan, maka saya terima tawaran bekerja sebagai pensyarah sehingga kini. Alhamdulillah, segala pujian untuk Allah.

Daripada pengalaman yang saya lalui itu, apa yang saya dapat simpulkan ialah minat mendalam dalam diri kita akan memberi impak atau hasil yang baik kiranya kita jadikan ia sebagai motivasi diri. Di samping itu, minat itu juga hendaklah disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah dan bukan semata-mata untuk mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan. Apabila kita melakukan sesuatu hendaklah disertai dengan niat, usaha, ikhlas dan tawakal pada Allah. Minda kita juga hendaklah sentiasa positif dan yakin bahawa kita boleh melakukannya...LAW OF ATTRACTION!

Ilmu bukan setakat di atas kertas...

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana masih memberi nikmat kehidupan dan beribadah di bumiNya. Buat rakan-rakan yang sentiasa mengunjungi blog ini, saya mohon maaf kerana sudah lama tidak dapat ‘update’ blog ini. Setiap kali masuk ke blog ini, niat untuk menulis asyik tergendela. Agaknya, saya dah kebosanan kerana di waktu ini saya juga tengah pulun menyiapkan penulisan akhir thesis saya.

Di fasa ini juga, ramai kawan-kawan yang bertanya bila nak balik Malaysia? Ada juga kawan2-kawan yang berkata "wah bestnya buat PhD, mesti dah banyak ilmu". Sejujurnya, saya ingin nyatakan bahawa buat PhD ini bukanlah bermakna kita sudah menjadi pakar dalam bidang kita. Pada saya, PhD ini hanyalah ‘stepping stone’ untuk menjadikan kita sebagai pemburu ilmu. Ilmu dalam PhD ini hanyalah setitik daripada selautan ilmu yang Allah bentangkan pada kita. Malah pada saya bila buat PhD ni terasa diri ini terllau kerdil lagi untuk dikatakan pakar. Ilmu yang ada ini masih terlalu cetek. Walaupun, ada sesetengah orang apabila telah melalui proses PhD merasa dirinya sudah pakar dalam bidang itu dan ini.

Tetapi bagi saya, perjuangan untuk menuntut ilmu ini belum lagi selesai dengan berjayanya melakukan PhD. PhD ini hanyalah wadah untuk menjadikan diri kita supaya sentiasa menhargai dan memperdalamkan ilmu. Satu cabaran yang paling besar yang saya lihat ialah bagaimana kita, terutama sebagai muslim menterjemahkan ilmu itu ke arah mencari keredhaan Allah SWT. Ilmu itu bukanlah sekadar di atas segulung ijazah. Tetapi yang paling utama ialah bagaimana ilmu itu menjadikan diri kita insan yang bertaqwa dan sentiasa tawaduq pada Allah swt. Ilmu yang ada itu dapat menjadikan kita insan yang berakhlak dan bukannya berlagak. Perjuangan menuntut ilmu ini belum selesai dan ianya memerlukan iltizam yang berterusan hingga ke akhir hayat…