Sunday, 25 October 2009

Musim




Assalamu alaikum walhamdulillah...

Alhamdulillah baru hari ni berkesempatan menulis dalam blog ini. Actually, dah banyak kali percubaan untuk menulis sesuatu dalam blog ini tetapi asyik tertangguh kerana menyiapkan tugasan-tugasan yang lebih utama. Bak kata Syeik Yusof Al Qardawi dalam bukunya "utamakan yang utama".

Alhamdulillah, di NZ sekarang ni telah pun masuk musim bunga (Spring). Masa siang pun panjang berbanding dengan musim sejuk (winter). Sekarang Subuh masuk seawal 4.46 pagi. Manakala Maghrib pula masuk pukul 7.46pm. Dan masa siang ini semakin panjang dari hari ke hari. Terutama apabila masuk musim panas (summer) nanti masa siang lagi panjang dari sekarang iaitu waktu Subuh masuk lebih kurang seawal pkl 3 pagi. Manakala Maghrib pula masuk lebih kurang pukul 8.30pm.

Mari kita berfikir sejenak tentang hikmah dari peralihan musim ini. Berkaitan dengan peralihan musim ini Allah telah sebutkan dalam Surah al Hadid:6 bermaksud:

"Dia (Allah) yang memasukkan malam ke dalam siang, dan memasukkan siang ke dalam malam..."

Dari ayat tersebut, Allah berkuasa untuk memanjangkan masa malam dan begitu juga dapat memanjangkan masa siang. Subhanallah. Apabila saya duduk di negara empat musim ini barulah saya dapat merasai sendiri betapa banyak bukti-bukti dari alam yang menguatkan keyakinan dan keimanan kita kepada kebesran Allah. Terutamanya jika kita menggunakan akal untuk sentiasa berfikir akan kebesaran Allah.

Di negara empat musim ini akan merasai musim panas (summer), musim luruh (autumn), musim sejuk (winter), dan musim bunga (spring). Setiap musim tersebut mempunyai keunikannya yang tersendiri. Yakni pada musim panas akan mengalami siang yang panjang. Dan pada musim inilah petani-petani di NZ akan bekerja bersungguh-sungguh mencari rezeki. Tanah di sini juga memang subur secara semulajadi.

Pada musim luruh pula, daun-daun pokok berguguran hinggalah ke musim sejuk. Pokok-pokok akan togel, daun-daun semuanya habis luruh. Keunikan seterusnya apabila tiba musim bunga, yang mana pokok-pokok tersebut akan mula berdaun dan berbunga. Suasana sangat cantik di musim bunga. Apa yang saya perhatikan, dengan adanya empat musim di negara ini menyebabkan pokok-pokok di'trim' secara semulajadi. Justeru, tidak timbul hutan kan merimbun macam di Malaysia. Lalang juga tidak sempat tumbuh panjang kerana telah di'trim' secara semulajadi semasa musim winter. Daun-daun pokok yang berguguran di musim luruh dan winter pula secara semulajadi menjadi baja yang menyebabkan negara ini sentiasa subur.


...bagi orang2 yang berakal dan menggunakan akalnya untuk berfikir kebesaran kepada sang Pencipta, sudah tentulah kita akan berfikir maha kuasa Tuhan yang telah menciptakan alam ini. Keunikan yang Allah jadikan ini menambahkan keyakinan dan keimanan kita padaNya.

Saya selalu terfikir alangkah ruginya mereka yang tidak dapat melihat kebesaran Allah ini dengan akalnya. Bukti didepan mata tetapi hati dan pemikiran tidak dapat melihat. Mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan yang buta mata hati dan akalnya. Ramai orang yang bijak pandai tetapi berapa ramai yang dapat melihat kebesaran Allah swt? Renung-renungkanlah..

Wallahu alam.


Friday, 16 October 2009

Mungkinkah ini menjadi faktor penyumbang kepada kemalangan di Malaysia?

Saya baru membaca satu laporan akhbar di New Zealand tentang tahap keselamatan kereta buatan Malaysia yang diemailkan oleh sahabat saya. Berdasarkan ujian yang telah dijalankan oleh Australasian New Car Assessment Programme, kereta buatan Malaysia, khususnya Proton hanya mendapat rank 1 bintang. Berdasarkan ujian tersebut, kereta buatan Malaysia tidak mempunyai keselamatan untuk 'protect' kepala dan kaki pemandu dan penumpang. Kereta buatan Malaysia juga dikatakan tidak mempunyai 'airbags', ABS, dan electronic stability control. Kawalan ini penting untuk membantu pemandu mengawal kenderaan tersebut dalam keadaan genting.

Justeru, di New Zealand, kereta-kereta yang dijual hendaklah sekurang-kurang rank empat star untuk memastikan keselamatan pemandu dan penumpang. Oleh itu, Consumer New Zealand telah mengeluarkan amaran agar tidak membeli kereta buatan Malaysia. Berita lanjut boleh di baca disini.

Berita ini membuatkan saya terfikir, mungkinkah ini menjadi faktor kepada peningkatan kemalangan di Malaysia dan juga kepada peningkatan angka kematian disebabkan kemalangan tersebut. Mungkin, berita ini juga menjawab kepada reaksi terkejut Menteri Keselamatan Dalam Negeri kita tentang peningkatan kematian kemalangan di Malaysia semasa sambutan hari raya yang lepas.


Tuesday, 6 October 2009

Kepulangan yang di nanti..

Syukur pada Allah kerana masih memberi ruang pada kita untuk bernafas di bumi yang fana ini. Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan banyak bencana alam. Misalnya, tsunami berlaku di Samoa, gempa bumi pula berlaku dia Padang, Sumatra, Indonesia. Bencana alam ini telah mengorbankan ribuan nyawa dalam sekelip mata. Sebentar tadi, saya baru membaca komentar dari seorang pakar gempa bumi dari Indonesia yang mengulas tentang kemungkinan akan berlaku lagi satu gempa bumi yang lagi dasyat pada masa akan datang. Bila gempa bumi ini akan berlaku amat sukar untuk diketahui. Mungkin ia berlaku minggi depan, bulan depan, tahun depan, atau 10 tahun lagi. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Saya bertafakur seketika mengenangkan kehidupan yang hanya sementara ini. Adakah umur ini telah dimanafaatkan sepenuhnya untuk mencari cinta illahi? Berapa banyakkah tenaga yang telah digunakan untuk menyampaikan dakwah? Semasa saya berada di sekolah rendah, kehidupan yang serba kekurangan mendorong jiwa saya untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran agar dapat mengubah kehidupan keluarga. Di hati kecil ini juga ingin menjadikan diri ini sebagai contoh kepada adik-adik dan juga orang lain bahawa kemiskinan bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan. Begitulah suara hati saya di kala itu..Lantas suara hati itu memberikan satu kekuatan kepada saya untuk berjaya dalam pendidikan hinggalah ke menara gading dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di luar negara.

Satu perkara yang belum saya dapat laksanakan hingga kini ialah menyampaikan suara hati ini kepada anak kampung agar mereka juga mempunyai suara hati yang sama. Motivasi untuk berjaya dalam hidup. Suara hati ini sentiasa berkata: aku akan pulang untuk berkongsi rasa hati dengan anak-anak kampung agar mereka tidak ketinggalan. Di samping itu juga, keinginan untuk memantapkan akidah saudara-saudara baru di kampung. Namun, semua ini memerlukan bekalan dan kekuatan diri.

Kini, saya masih berjuang untuk menyiapkan diri dengan ilmu. Semoga Allah sentiasa memimpin diri ini di jalan yang lurus. Moga hati ini sentiasa ada keinginan untuk membuat perubahan kepada yang lebih baik. Janganlah hati ini dilalaikan dengan dunia yang hanyalah fatamorgana..


Saturday, 12 September 2009

Golongan yang sedikit


Rasulullah saw telah bersabda (mafhum):


'Kebaikan itu banyak tetapi pengamalnya (yg melaksanakannya) sedikit.' [ABU HANIFAH].

Hadis di atas sekadar renungan kita bersama, terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini. Yang mana pada bulan ini banyak kebaikan dan peluang yang Allah bukakan rahmat untuk kita.

Hadis di atas juga menekankan bahawa golongan yang beramal untuk kebaikan terlalu sedikit. Sebagai contoh, dalam perang badar tentera Islam pun tak ramai hanya 313 orang sahaja untuk melawan 1000 orang di pihak musyrikin. Tetapi walaupun sedikit tentera Islam tersebut diberikan kemenangan oleh Allah kerana mereka adalah umat yang amal dan imannya berkualiti.

Marilah kita masuk dalam golongan yang sedikit ini. Mantapkan amal, iman dan taqwa pada Allah.

Moga bertemu malam lailatul qadar...


Thursday, 10 September 2009

Ramadhan: di ambang 10 hari yang terakhir

Assalamu alaikum buat sahabat-sahabat sekalian. Moga sentiasa dibawah lembahyung rahmat Allah. Rasanya saya dah lama tak 'update' blog ini dek kesibukan dengan tugasan harian.

Alhamdulillah, kita pun dah memasuki fasa ketiga dalam bulan Ramadhan iaitu 10 malam yang terakhir dalam bulan ramadhan. Mudah-mudahan kita telah pun mendapat berkat,maghfirah, dan keampunan dariNya. Sempena 10 malam yang terakhir ini, marilah kita sama-sama lipat gandakan ibadah kita kepada Allah SWT. Sebagaimnana Rasulullah SAW apabila di 10 malam terahir bulan ramadhan baginda akan melaksanakan ibadah bersungguh-sungguh lagi.

Hadis yang bermaksud:
"Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, Rasulullah saw membangunkan ahli keluarganya, menghidupkan malam dan mengikat kainnya (iaitu mengasingkan diri dari isterinya "

Kesungguhan di sepuluh yang terakhir bulan Ramadhan amatlah penting kerana anugerah Allah yang sangat besar iaitu malam lailatul qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar."

Sabda Nabi saw yang bermaksud;
"Carilah malam lailatul qadar pada hari-hari yang ganjil di sepuluh terakhir bulan ramadhan."

Oleh itu, mudah-mudahan kita dapat menempuh segala halangan dan ujian untuk beribadah di 10 malam terakhir bulan ramadhan ini. Kebiasaannya di fasa ini ujian dan cabaran semakin berat untuk kita. Ianya memerlukan mujahadah dan iltizam yang bersungguh-sungguh agar kita dapat melaksanakannya. Marilah kita sama-sama memburu malam lailatul qadar. Perbanyakkan bertasbih, solat tahajud, membaca quran dan ibadah-ibadah lain.

Moga mendapat keberkatan dan keampunanNya.

Tuesday, 11 August 2009

Buta Mata

Buta mata tak nampak jalan di dunia
Kerana tidak nampak cahaya
Tidak tahu ke mana hendak dituju
Ke hilir atau ke hulu

Selamatlah di dunia fana ini
Bilamana mata tidak buta
Melalui pengalaman diri
Kerana jalan itu sudah biasa

Ada pedoman yang menunjuk kita
Tongkat di tangan membantu jua
Boleh jadi orang simpati yang membawa
Tapi jika buta hati menderita

Tidak nampak jalan menuju ke akhirat
Negeri yang kekal abadi
Tidak diukur, tidak diukur dengan mata
Kerana tiada kawan yang membantu
Tiada pengalaman yang memastikannya
Tiada pedoman menunjuk kita
Tidak ada yang simpati menolong kita
Dalam kegelapan terjun ke neraka

Menderita di negeri yang abadi
Tidak kembali ke dunia lagi
Tiada gunanya penyesalan diri
Oleh itu banyakkan 'amal dan bakti

Tuesday, 4 August 2009

Berputus asa


Meeting dengan supervisor semalam menyebabkan saya sedikit berputus asa. Biasalah setiap selepas meeting dengan supervisor saya terpaksa 'reverse' balik. Ini kerana supervisor baru perasan saya tersilap 'split up' model saya. Bayangkan saya dah 'running' analyses ni sebanyak 3 kali, then lastly baru perasan kesilapan tersebut. Aduhh...terasa sakit juga pada mulanya menerima hal ini tapi bak kata supervisor...'at least we notice this earlier". Kalau tak lagi haru kena belasah time viva. Saya masih bersyukur pada Allah kerana memberi petunjuk dalam hal ini..alhamdulillah. Moga Allah sentiasa memberi jalan dan bimbingan sepanjang perjalanan ini.

Perjalanan ini harus diteruskan walaupun terpaksa berpatah balik. Tapi biarlah lambat yang penting akhirnya akan sampai jua ke penghujungnya. Walaupun memberi kesan dalam hati ini yakni hampir-hampir berputus asa, saya cepat-cepat ingatkan diri ini agar jangan mudah berputus asa. Orang yang bertaqwa tidak akan mudah berputus asa. Malah orang yang bertaqwa akan sentiasa bersabar dan redha dengan ketentuan Allah SWT.

Ada seorang kawan pernah bertanya soalan kepada saya, "sampai bila kita kena berusaha?" Saya terkedu sebentar dengan persoalan ini. Sememangnya persoalan ini ada aura putus asa. Kadang-kadang diri sendiri pun sering terfikir juga. Tetapi bila kenangkan ilmu Allah yang luas..sememangnya selagi hayat dikandung badan kita kena berusaha dan terus berusaha. Dan...sepanjang perjalanan itu kita sudah pasti akan berhadapan dengan ujian demi ujian untuk menguji hati kita. Namun disamping kesukaran itu ada kemanisannya di sisi orang-orang yang beriman dan bertaqwa...

Firman Allah yang bermaksudnya;


"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman." ( Ali-Imran:139)