Saturday, 11 July 2009

PPSMI: apa untungnya kepada bangsa Malaysia?


BismiLlaahi Wal hamduliLlaah...

Pagi ini saya membaca beberapa komen individu terhadap pemansuhan PPSMI. Saya dapati ada yang gembira dengan perkhabaran ini dan ada juga yang sedih tentang pemansuhan PPSMI ini. Antara yang gembira ialah rakyat yang menentang PPSMI ini sejak awal lagi antaranya Sasterawan Negara Dato' A Samad Said. Beliau menolak idea pelaksanaan PPSMI ini atas dasar gerun tentang hilangnya jati diri bangsa pada masa akan datang. Falsafah "bahasa jiwa bangsa" itulah yang ingin dipertahankan oleh sasterawan negara kita dan juga individu yang sayangkan bahasanya.

Penentangan terhadap PPSMI ini bukanlah satu retorik politik tetapi meyedari bahawa bahasa merupakan indikator kepada jati diri sesuatu bangsa. Hilang bahasa sesuatu bangsa itu, maka hilanglah identitinya. Hatta, kalau kita lihat pada masyarakat sekarang ini pun cakap Melayu pun guna bahasa 'rojak' dalam perbualan. Saya pernah bersembang dengan seorang pensyarah Linguistic di University of Waikato tentang perkara ini. Beliau yang berbangsa 'mat salleh' tetapi fasih berbahasa Melayu ini pun mengungkapkan kesedihannya . Beliau juga banyak membuat penyelidikan tentang bahasa minoriti di Malaysia yang semakin pupus, dan termasuklah Bahasa Melayu.
"kenapa Malaysia menggubal kurikulum seumpama itu. Bukankah itu akan menhilangkan jati diri bangsa Malaysia. Sekarang pun saya perhatikan bahawa orang Malaysia banyak menggunakan bahasa rojak", ujar beliau. Itulah antara pandangan bangsa asing terhadap PPSMI.

Ungkapan beliau membuatkan saya terfikir, apakah untungnya Malaysia dengan pelaksanaan PPSMI ini? Adakah dengan terlaksananya PPSMI ini akan melahirkan individu yang cemerlang dalam kehidupannya? Adakah dengan PPSMI ini, maka akan lahirkah nobel laureate dalam bidang sains? dan apakah dengan terlaksananya pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris itu, maka rakyat Malaysia akan mahir berbahasa inggeris? dan banyak lagi persoalan yang timbul tentang di mana rasionalnya. Bangsa Jepun pun boleh menjadi negara maju dengan menggunakan bahasanya sendiri. Begitu juga Perancis dan Jerman yang sememangnya amat kebal terhadap memartabatkan bahasanya. Negara mereka boleh maju dengan bahasanya sendiri sebagai bahasa pengantar. Kenapakah kita sendiri merasa rendah diri dengan bahasa ibunda sendiri?

Ini tidaklah bermaksud kita mengabaikan pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Kerana tidak dinafikan akan kepentingannya terutamanya banyak buku-buku kajian yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Malah, buku-buku rujukan di universiti pun majoriti dalam bahasa Inngeris. Tetapi banyak kaedah lain yang boleh digunnakan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris. Pada saya setakat mengajar subjek sains dan matematik dalam BI belum tentu dapat meningkatkan penguasaan bahasa tersebut di kalangan pelajar. malah akan merencatkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran tersebut. Begitu juga dengan guru-guru yang mengajar subjek tersebut..akan merencatkan kreativiti mereka untuk menarik minat pelajar untuk mempelajari subjek tersebut. kalau subjek Matematik mungkin agak mudah kerana tidak banyak menggunakan penjelasan mendalam kerana banyak formula. Tetapi cuba bayangkan dalam subjek biologi?

Salah satu elemen yang sangat penting dalam pengajaran dan pembalajaran ialah penerapan nilai dan akhlak dalam subjek tersebut. Bukan hanya untuk 'menyuap' belajar agar mereka hafal formula atau fakta dan semasa peperiksaan keluarkan semua formula dan fakta yang dihafal dalam kelas. Tetapi apa yang paling penting perlu diterapkan oleh seorang pendidik ialah memberi kefahaman kepada pelajar dan mengajar mereka apakah aplikasinya dalam kehidupan. Maka akan terbentuklah satu sistem nilai dalam individu. Sebagai contoh, Sains merupakan satu kajian tentang 'sebab dan akibat'. Sebagai pendidik muslim sesuatu fakta sains itu mestilah kita kaitkan dengan nilai-nilai yang diajar dalam agama Islam. Barulah kita dapat melahirkan individu yang cemerlang dalam hidupnya dan pelajarannya.

Bayangkan kalau kita mengajar dalam bahasa asing, mungkin agak sukar untuk kita kaitkan dengan sistem nilai dalam kehidupan tentang sesuatu topik yang dibincangkan. Mungkin bagi mereka yang belajar dari luar negara mampulah menjelaskan perkaitan topik dengan sistem nilai dengan menggunakan bahas Inggeris (note: bagi pendidik yang ada fikrah Islam). Bagaimana dengan graduan tempatan kita? Mungkin mereka seorang pendidik yang berkualiti, tetapi kekangan bahasa menyebabkan maksud tidak kesampaian...
fikir-fikirkanlah!

Nota tambahan:
Saya baru baca email dari seorang warga UTMKL melalui email universiti. Beliau meluahkan dengan penuh kemarahan. "Ingat anak kita ni guinea pig..nak experiment sesuka hati - sekejap tukar. Ni tengah pening kepala nak memikirkan anak yang tahun ni akan mengambil UPSR kalau mereka nanti ada masalah masuk Form 4, sebab semuanya kena tukar balik ke BM. Tak hari ke tu...".

Lalu saya terfikir siapa punya angkara yang men'cacamarba'kan sistem pendidikan kita? Saya pun selalu juga jadi bahan experiment kepada kerajaan Malaysia. Time saya di universiti dulu, group kami lah yang pertama jadi bahan experiment nak tukar tempoh pengajian dari 4 tahun ke 3 tahun. Sudahnya group saya ni jadi 3 tahun setengah. Kami dikerah ambil semester pendek (6 minggu) untuk nak habiskan 2 subjek 'killer' iaitu
DNA Recombinant 1 & 2. Kami time tu duduk kat makmal dari pkl 8 pagi hingga 5 petang.Tuhan saje yang tau betapa stressnya kami pada waktu itu. Selepas group kami barulah dapat dilaksanakan tempoh pengajian 3 tahun. Bila dah jadi 3 tahun, setiap semester pelajar kena ambil sampai 21 kredit. Lepas dah tamat pengajian, masalah lain pula timbul iaitu lambakan graduan dan menyukarkan untuk mendapat kerja. Ingat tak siapa yang laksanakan sistem ini? Ya..Dato' Seri Najib Tun Razak....tanyalah beliau apakah hasil dari tindakan itu?

Sekarang ni nak laksana pula PPSMI yang masih tak jelas halatujunya. Sekarang ni nak ubah pulak. Sewajarnya "pihak yang berkuasa di dunia, khususnya di Malaysia" mesti buat kajian dulu sebelum melaksanakan sesuatu polisi...bukannya buat dulu baru fikir. Kenapalah tak guna otak untuk berfikir?
Sampai bila kita jadi begini?.....

Thursday, 9 July 2009

Renungan buat wanita...

Hukum Tabarruj atau Berhias Berlebihan Bagi Perempuan

1. Bulu kening
-Menurut Bukhari, “Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.” Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.


2. Kaki (tumit kaki)
-”Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (An-Nur: 31)
Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.


3. Wangian
-”Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina.” (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban).


4. Dada
-”Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. ” (An-Nur : 31)


5. Gigi
-’Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.’ (Riwayat At-Thabrani)


-”Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah”(Riwayat Bukhari dan Muslim).


6. Muka dan Tangan
-Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: ‘Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja.” (Riwayat Muslim dan Bukhari).


7. Tangan
-”Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya”(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).


8. Mata
-”Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya.” (An Nur : 31).


-Sabda Nabi SAW, “Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).


9. Mulut (suara)
-”Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik.”( Al Ahzab: 32).
-Sabda Rasulullah saw, “Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi.” (Riwayat Ibn Majah).


10. Kemaluan
-”Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. “(An Nur : 31).


-”Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya.” (Riwayat Al Bazzar).


-”Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah.” (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah).


11. Pakaian
-”Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).


-”Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.


-”Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Ahzab : 59).


12. Rambut
-”Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tuesday, 7 July 2009

Letih dalam beribadah

Assalamu alaikum buat sahabat-sahabat sekalian. Alhamdulillah, Allah masih beri kesempatan pada kita untuk terus beribadah padaNya. Marilah terus istiqamah dan mohon padaNya agar hidup ini sentiasa diberkati dan dibawah rahmatNya sentiasa.

Dalam kita melaksanakan ibadah pada Allah memang persoalan keletihan seringkali timbul. Dalam kita berpuasa sama ada sunat atau fardhu..kita terkadang mengeluh Ya Allah letihnya..laparnya..dahaganya...semua simptom-simptom keletihan ini datang secara tersusun.

Begitu juga dalam ibadah solat. Ibadah solat juga memerlukan stamina yang kuat dari kita. Terutama solat subuh...terkadang amat berat nak angkat selimut untuk bangun solat.

Dalam kontek sedekah pun kita rasa letih juga. Kerana wang yang nak disedekah itu juga hasil dari titik peluh kita. Tanpa titik peluh tersebut..mana nak dapat wang untuk kita sedekah.

Berjihad dengan harta, diri, masa, tenaga, buah fikiran untuk meninggikan Islam. Letih juga! Berlawan dengan nafsu diri pun amat letih. Misalnya, nak didik jiwa kita agar tidak cintakan harta memerlukan kekuatan jiwa kita. Kadang-kadang jiwa kita bergolak, sanggup tak nak infaqkan harta dan diri untuk perjuangan?

Begitu juga masa, tenaga dan buah fikiran...kadang-kadang kita letih apabila buah fikiran diperlekehkan. Begitu juga dalam pembelajaran kita, amat letih untuk memastikan masa yang diperuntukkan itu digunakan sebaiknya. Menuntut ilmu pun letih juga...

Begitu juga nak menegakkan syariat Islam dalam diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita. Letih juga untuk mengawal diri agar tidak tersasar dari matlamat Islam.

Pendeknya, nak beribadah pada Allah memang lah letih. Tetapi dari keletihan itu ada nilainya kiranya kita lakukan bersungguh-sungguh kerana Allah dan dilakukan dengan penuh keikhlasan.

Firman Allah yang bermaksud:

"Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yg benar (pada tutur kata dan perbuatan) mendapat menafa'at dari kebenaran mereka;........."
AL-MAIDAH: 119.

Friday, 5 June 2009

Mohonlah padaNya di saat lapang

Sudah agak lama saya tidak dapat update blog. Selalu terjadi begini especially dengan tugas rutin saya yang saya sendiri tak pasti bila akan berakhir. Hanya Allah sahaja yang mengetahui jawaban ketika ini. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai ini.

Kadang-kadang saya bermonolog sendirian. Merenungi hikmah-hikmah tentang setiap peristiwa yang berlaku dalam hidup ini. Sebagai manusia kadangkala kita hampir dengan Allah apabila kita berada dalam kesusahan atau kesempitan. Tetapi amat payah untuk kita dekatkan diri padaNya di kala kita senang. Bila kita sakit...kita akan merintih kepadaNya..
Ya Allah tolonglah hamba ini! Begitu juga bila kita menghadapai tekanan kerja, pelajaran...hati kita amat dekat denganNya. Kita sering memohon padaNya agar dimudahkan jalan untuk mencapai kejayaan.

Tetapi..di kala kita senang..hati kita selalu alpa dan lalai untuk memohon padaNya. Itulah sifat manusia yang mudah di rosakkan oleh anasir-anasir luar untuk menjauhkan manusia daripada mengingati Allah. Kesenangan, kemewahan, dan pangkat itu merupakan ujian yang berat kepada manusia sekiranya mempunyai iman yang rapuh.

Ketika bermonolog ini saya teringat hadis Rasulullah saw yang bermaksud:

"Peliharalah Allah, nescaya engkau kan dapati Dia di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika senang nescaya Dia akan mengenalimu di ketika susah. Ketahuilah bahawa apa-apa yang (ditakdirkan) tidak menimpamu, ia tidak akan menimpamu. Dan apa-apa yang menimpamu bukannya ia tersilap menimpamu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu ada bersama kesabaran, terlepas dari kesempitan itu ada bersama kesusahan dan bersama kesusahan itu ada kesenangan."

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah sentiasa bersama-sama kita. Maka mintalah pada Allah tidak kira di waktu senang atau susah. Marilah kita sama-sama menjaga kewajipan pada Allah setiap masa dan tempat, lebih-lebih lagi ketika kita berada dalam kesenangan. Dengan ini, Allah akan menjaga kita sepanjang masa terutama sekali apabila kita berada dalam kesusahan.

InsyaAllah kemenangan atau kejayan akan tercapai jua dengan adanya kesabaran. Ingatlah setiap keperitan hidup pasti ada penyelesaiannya dan setiap kesusahan ada bersamanya kesenangan..bersyukur kita kiranya kita berhadapan dengan situasi getir, misalnya perjalanan untuk menyiapkan PhD. Kadangkala kita menghadapi jalan sukar, tetapi ingatlah bahawa di sebalik kesusahan itu ada seribu macam hikmah yang Allah telah tentukan ke atas kita.....

Yang pastinya...ayuh kita terus menjalankan kewajipan kita kepada Allah Ta 'ala..mudah-mudahan Dia akan terus dekat dengan kita di kala kita menghadapi jalan sukar dalam hidup..

Ameen.


Friday, 29 May 2009

Mari jauhi perbuatan mengumpat

Alhamdulillah marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah kerana memberikan kesempatan pada kita untuk menghirup udara di alam yang fana’ ini. Kita masih lagi diberi kesempatan olehNya untuk melaksanakan ibadah dan mencari redhaNya. Mudah2an hari ini dan hari-hari mendatang hidup ini sentiasa dilimpahi rahmat dan kasih sayangNya.

Kali ini saya ingin kupas sedikit berkaitan dengan Ghibah (mengumpat/backbiting). Kadang-kadang kita merasakan bahwa kita sudah berusaha membebaskan diri dari makanan haram, seperti daging babi, alcohol dan lain-lain. Terutama apabila berada di negara luar, kita benar prihatin dengan ingredient bahan makanan yan kita beli. Tetapi kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa kita seolah sedang memakan daging bangkai saudara kita sendiri! Apa yang saya sebutkan ini bukanlah bermakna kita memakan bangkai saudara kita secara zahir tetapi ianya berlaku secara tidak disedari jika kita tidak berhati-hati menjaga lidah kita.

Mengapa saya berkata demikian? Marilah kita rujuk firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat 12, yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka , kerana sebagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”


Demikianlah Allah mengumpamakan antara mengumpat (ghibbah)dengan orang yang memakan daging bangkai saudaranya sendiri. Apakah ghibah itu? Nabi SAW bersabda: "Tahukah kamu apa ghibah itu? Jawab sahabat: Allahu warasuluhu a'lam (Allah dan Rasulullah yang lebih tahu). Lalu Nabi SAW bersabda: Menceritakan hal saudaramu yang ia tidak suka diceritakan pada orang lain. Lalu Sahabat bertanya: Bagaimana jika memang benar sedemikian keadaan saudaraku itu? Jawab Nabi SAW : "Jika benar yang kau ceritakan itu, maka itulah ghibah, tetapi jika tidak benar ceritamu itu, maka itu disebut buhtan (tuduhan palsu, fitnah) dan itu lebih besar dosanya".

Dalam surah Al Hujurat ayat 12 yang sebut tadi menegaskan bahawa berprasangka pun kita kena berwaspada, kerana sebagian dari prasangka adalah dosa. Dalam hal ini adalah prasangka yang buruk (su’udzon). Sebaliknya kita dianjurkan untuk selalu berkhusnudzon atau prasangka yang baik.

Ghibah mempunyai dosa yang berganda. Kerana selain kita harus memohon ampun kepada Allah, dan Allah maha pengampun atas dosa-dosa kita. Kita juga harus memohon maaf kepada orang yang diumpat tersebut. Ini yang terkadang menjadi sulit bagi diri kita. Apalagi jika yang diumpat itu jumlahnya banyak sekali, naudzubillahi min dzaalik.

Apakah kesan ghibah dalam masyarakat kita? Sudah tentu ianya mempunyai banyak impak ke atas ikatan ukhuwwah sesama manusia. Apabila ghibah berleluasa dalam masyarakat kita ianya akan menjadi punca kepada keruntuhan sistem kemasyarakatan. Seseorang yang suka memutar belitkan sesuatu cerita hingga merenggangkan atau menyebabkan pergaduhan atau salah faham juga dianggap berdosa kerana merosakkan silaturrahim. Orang yang suka cakap putar belit ini dipanggil sebagai al Qattat. Maka wahai saudara ku marilah kita berhati-hati agar kita tidak terjerumus sebagai lidah bercabang kerana perbuatan itu berdosa di sisi Allah. Disebabkan adanya manusia jenis al Qattat inilah yang menyebabkan runtuhnya sistem usrah atau persahabatan. Yang paling bahaya manusia jenis al Qattat ini memang ada di mana-mana corok dunia. Justeru, marilah kita berwaspada agar diri kita tidak termasuk dalam golongan ini.

Apakah ghibah 100% haram?

Ada beberapa situasi yang membolehkan kita melakukan ghibah:

1. Orang yang teraniaya boleh menceritakan dan mengadukan kezaliman orang yang menzaliminya kepada seorang penguasa atau hakim atau kepada orang yang berkuasa memutuskan suatu perkara dalam rangka menuntut haknya.

2. Meminta bantuan untuk menyingkirkan kemungkaran dan agar orang yang berbuat maksiat kembali ke jalan yang benar. Malah ia merupakan kewajiban manusia untuk ber-amar ma'ruf nahi munkar. Setiap muslim harus saling bantu membantu menegakkan kebenaran dan meluruskan jalan orang-orang yang menyimpang dari hukum-hukum Allah, hingga nyata garis perbedaan antara yang haq dan yang bathil.

3. Istifta' (meminta fatwa) akan sesuatu hal. Walaupun kita diperbolehkan menceritakan keburukan seseorang untuk meminta fatwa.

4. Memperingatkan kaum muslimin dari beberapa kejahatan. Misalnya: menegur sahabat agar menutup aurat. (Note: memberi nasihat ni kadang2 jadi payah esp dalam masyarakat kita kerana org yg dinasihati itu menganggap kita menjaga tepi kain walhal kita hendak beri nasihat. "jaga tepi kain orang" dibolehkan selagi tujuannya untuk nasihat dan kebaikan bukannya untuk memburukkan orang)

5. Menceritakan kepada khalayak tentang seseorang yang berbuat fasik atau bid'ah seperti, minum-minuman keras, melakukan zina, melakukan maksiat atau perkara-perkara bathil lainnya. Tapi awas ketika menceritakan keburukan itu jangan pula tambah perencah untuk menyedapkan rasa tetapi tetapkan niat kita dalam melakukan hal itu hanya untuk kebaikan.

Sekadar renungan bersama agar tidak terjebak dengan perbuatan mengumpat. Sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar dapat menjaga lidah dan hati kita. ameen.

Monday, 25 May 2009

PhD vs Ibadah

Agak lama saya tidak dapat update blog ini. Memang berhajat untuk update sekurang-kurang sekali dalam seminggu tetapi keadaan dan masa yang tidak mengizinkan. Hari ini saya kuatkan juga untuk menulis sesuatu di dalam blog ini. Kenapa saya tidak sempat untuk update? kerana sekarang ini prioriti utama saya untuk siapkan penulisan dissertation saya. Saya sebenarnya telah menetapkan tempoh selama 3 tahun untuk siapkan dissertation ini. Namun, sebagai manusia kita hanya mampu merancang, Allah jua penentu yang terbaik ke atas setiap perjalanan hidup ini. Tetapi perancangan Allah itu mempunyai pelbagai hikmah yang tersendiri yang perlu kita teliti agar dapat memahami apakah yang tersirat di sebaliknya. Sebagai manusia yang lemah saya hanya mampu berdoa dan terus berdoa agar segala yang ditentukan ke atas diri ini membimbing diri untuk terus dekat padaNya. 'Ya Allah..lindungilah hambaMu ini dan dekatkanlah hambaMu ini kepada makrifahMu Ya Allah. Sesungguhnya PHD ini bukanlah matlamat hidupku selain ingin menjadikan ia sebagai wadah untuk terus dekatkan diri padaMu Ya Allah. Maka jadikanlah ketentuanMu ke atas hambaMu ini sebagai ketentuan yang baik untuk di dunia dan akhirat'.

Sepanjang perjalanan menyiapkan PhD ini, terlalu banyak rintangan yang mendatang. Justeru, ianya memerlukan kekuatan dalaman untuk terus bersemangat berhadapan dengan rintangan tersebut. Sebagai seorang muslim, kekuatan dalaman itu adalah sejauhmana kuatnya ikatan kita dengan Allah SWT. Kerana Dialah penolong yang paling hakiki ke atas hambaNya. Tetapi manusia memang lemah..kadang-kadang bila terlalu sibuk dengan urusan untuk menyiapkan Phd sehingga lewat malam, amalan pun semakin berkurangan. Hati ini merintih, kenapa itu berlaku? Walhal matlamatku hanyalah untuk Allah dan Rasul bukannya untuk kepentingan diri. "Ya Allah, pimpinlah hati ini agar aku terus dekat denganMu walaupun sibuk dengan hal-hal dunia.". wahai diri...jadikanlah perjalanan PhD ini sebagai satu tamrin untuk mendidik hati agar terus taqarub dengan Allah.

Terasa di hati ini, apabila usia meningkat momentum beribadah pun semakin kurang. Kenapa? mungkinkah dosa semakin banyak menyebabkan hati semakin keras untuk melaksanakan amalan-amalan harian? Dulu, sewaktu di pengajian sarjana muda amat mudah untuk bangun malam, bertahajud pada Allah. Tetapi, kini amalan ini sungguh berat.. "Ya Allah berikanlah kekuatan pada hambaMu ini". Moga hati ini sentiasa diberikan kekuatan untuk mendekatkan diri padaMu walaupun sibuk dengan urusan Phd.

Saya tidak mahu tertekan dengan kepayahan dalam menyiapkan Phd, tetapi saya ingin hati ini tertekan apabila tidak dapat mendekatkan diri padaMu Ya Allah. Apalah makna pada segulung sijil Phd kiranya diri ini tidak dikasihi Allah. Kematian pun akan memanggil kita bila-bila masa. Perjalanan kita ke akhirat lah yang paling aula dalam hidup ini. Diri ini takut dengan azab kubur dan azab neraka mu Ya Allah. Maka, luruskan hati ini kejalan yang benar!. Jadikanlah hidup ini agar sentiasa berpaksi pada iman dan taqwa dalam segala urusan termasuklah PhD ini.

Saturday, 9 May 2009

Taubat

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan."

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.

Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.

Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali."

Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu.

Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap.

Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'.

Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."

Ia bermaksud: "Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat.

Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya.

Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi.

Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu."

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.

Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan.

Sumber: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat