Friday, 19 September 2008

Solat Tahajud

PUASA menyebabkan kita sentiasa prihatin dengan waktu terutamanya ketika berbuka dan bersahur. Antara hikmah yang tersembunyi di sebalik bersahur ialah untuk bangun berqiamullail dan membaca al-Quran sebagaimana yang dilakukan salaf al-Salih.
Ruangan pada kali ini akan mengemukakan berkenaan solat tahajud atau qiamullail.

Solat tahajud
Qiamullail ialah solat malam yang dinamakan tahajud jika dilakukan selepas tidur. Ini kerana perkataan tahajud bererti meninggalkan tidur.
Qiamullail adalah solat sunat yang tidak ditentukan bilangan rakaatnya dan dilakukan selepas terjaga daripada tidur sebelum azan subuh.

Hukum solat tahajud
Semua ulama sepakat menetapkan solat qiamullail atau tahajud hukumnya sunat muakkad. Walaupun begitu para ulama dan golongan soleh menitikberatkan dan tidak meninggalkannya kerena kelebihan dan fadilatnya teramat banyak.
Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan orang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah daripada dosa. (riwayat Muslim)

Fadilat solat tahajud
Terdapat banyak dalil dan nas di mana Islam menggalakkan umatnya melakukan ibadat qiamullail. Ibadat ini sepatutnya menjadi amalan setiap individu Muslim apatah lagi jika beliau merupakan seorang ulama atau daie (pendakwah). Antara dalilnya ialah:
* Firman Allah SWT dalam Surah al-Israk ayat 79 yang bermaksud: ...dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah 'sembahyang tahajud' padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.
Para ulama mengatakan pengertian ibadah sunat (tambahan) pada ayat, ada dua pengertian:
Pertama : Bahawa ini hanya diperuntukkan dan diwajibkan kepada Rasulullah SAW. Sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani dengan sanad daif dia berkata: Abdullah bin Abbas berkata: "Qiamullail diwajibkan kepada Rasulullah SAW, sementara bagi kita itu hanya berupa ibadah sunat".
Jadi, makna nafilah ialah solat tahajud iaitu tambahan kewajipan bagi solat lima waktu khususnya pada diri Rasulullah SAW. Oleh itu, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qiamullail sama ada dalam keadaan bermukim di Madinah mahupun ketika musafir, hingga baginda wafat.
Kedua : Nafilah bererti tambahan kebaikan bagi diri Rasulullah SAW. Sedangkan selain baginda, qiamullail itu bukan berupa tambahan kebaikan. Sebaliknya qiamullail bagi kita (selain Rasulullah SAW) adalah penebus dosa kejahatan-kejahatan kita.
Ini kerana kita terdiri daripada jiwa yang berdosa dan banyak melakukan kesalahan, kejahatan dan kemaksiatan. Sedangkan Rasulullah SAW semua dosa dan kesalahannya, sama ada yang dahulu mahupun yang akan datang telah diampunkan oleh Allah SWT.
Maka qiamullail hanyalah berupa tambahan kebaikan sahaja baginya, sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Fath ayat 2 yang bermaksud: kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepada-Mu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).
Firman Allah SWT dalam Surah al-Muzammil ayat 1-3 yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu.

Antara cara untuk memudahkan bangun di waktu malam adalah:
Ibn Qudamah menyebut dalam kitabnya Mukhtasar Minhaj al-Qasidin: Ketahuilah qiamullail amat sukar untuk dilaksanakan kecuali siapa yang diberi taufik dengan syarat-syarat yang memudahkannya. Terdapat dua syarat iaitu zahir dan batin.
Antara sebab-sebab zahir:
* Tidak makan terlalu banyak. Justeru mereka berkata: "Hai golongan sufi, jangan makan banyak, nescaya kamu minum banyak, kamu tidur banyak dan sesal banyak".
* Jangan berpenat pada siang hari dengan kerja-kerja yang membebankan.
* Jangan meninggalkan tidur qailullah (tidur sekejap) pada siang hari kerana ia menolong untuk bangkit pada malam hari.

Antara sebab-sebab batin pula ialah:
* Menjauhkan dosa. Dengan sebab itu al-Thauri berkata: "Aku dihalang untuk qiamullail selama lima bulan kerana satu dosa yang aku lakukan".
* Selamatkan hati daripada prasangka dan perasaan tidak baik kepada orang Islam.
* Menjauhkan diri daripada amalan bidaah.
* Berpaling daripada lebihan dunia.
* Mengetahui kelebihan qiamullail.

Semoga kita menjadi ahli tahajud dan ahli Quran yang melayakkan kita untuk menghuni syurganya. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sumber:
Dr.Zulkifli Mohamad AlBakri

Wednesday, 17 September 2008

Ragam kehidupan

Al kisah seorang sahabat yang mulutnya amatlah kecoh. Kadang-kadang manusia ni bila terlalu banyak sangat cakap mereka akan menambahkan rempah ratus untuk menyedapkan percakapan. Ada seorang sahabat yang mulutnya memang kecoh dan self-centered. Apabila bercakap memang orang lain dah tak boleh menyampuk. Percakapannya semua menjurus kepada dirinya. Saya pun 'confuse' juga dengan sikap dia ni. Depan kita bukan main lagi baik, tetapi kat belakang kita lain pula ceritanya. Walau pun dia ni banyak bercakap, masih tahan lagilah telinga ni mendengar. Tapi yang tak 'best' dia ni suka putar belit cerita. Mungkin si mulut kecoh ni tak sedar apa yang dia cakap kerana dah terbiasa sangat cakap berbelit-belit dan self-centered. Terdapat juga cerita-cerita dari sahabat-sahabat lain yang dikutip dari si mulut kecoh tersebut. Yang anehnya berita-berita tersebut sah terbalik daripada cerita sebenar. Walaupun ianya tidaklah berbentuk fitnah tetapi ianya mencalarkan imej kita di mata orang lain dan menyebabkan orang lain pandang serong pula ke atas kita di sebabkan oleh si mulut kecoh tadi.

Memang dunia akhir zaman ni agak ramai kah manusia yang seumpama ini? saya dah beberapa kali terkena dengan spesis manusia seperti ini. Sakit juga bila terkena tapi sabar saje lah senjata diri. Saya hanya mendoakan agar si mulut kecoh ni tersedar dengan perangai dia tu dan dapat mengubah diri. Pengajaran yang dapat saya simpulkan di sini ialah hendaklah kita menjaga lidah kita. Jangan sampai lidah kita menjadi racun kepada sahabat kita. Ingatlah Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan di dunia yang fana' ini. Bercakap biarlah berwaspada. Kerana mulut badan binasa. Sama-samalah kita gunakan lidah anugerah Allah untuk menyampaikan kebenaran bukan bercakap perkara yang sia-sia. Apapun semuanya saya kembalikan pada Allah.

17 Ramadhan - Peristiwa Badar

Perayaan 17 ramadhan adalah sebenarnya untuk mengingati Peperangan Badar yang berlaku pada tarikh tersebut. Nuzul Quran iaitu hari turunnya Al-Quran sememangnya jatuh pada bulan Ramadhan tetapi kebanyakan ulama' berpendapat bahawa tarikhnya adalah pada 27 ramadhanPeperangan badar berlaku di sebuagh tempat yang bernama Badar pada tahun ke 2 Hijrah. Ianya jatuh pada hari Jumaat 17 Ramadan pada tahun tersebut. Islam sememangnya menerima tentangan dari orang kafir Quraisy sejak dari mulanya lagi, dari masa Islam mula diperkenalkan secara tertutup dan kemudiannya secara terang. Ini akhirnya telah membawa kepada penghijrahan Rasullulah s.a.w dan orang Islam ke Madinah di mana penduduk di sana telah menerima mereka dan juga agama Islam. Walaubagaimanapun keadaan orang Islam yang tinggal di Mekah menjadi semakin teruk dan ini mula merebak ke Madinah.Perang Badar adalah peperangan yang pertama dalam Islam dan merupakan cara yang digunakan untuk membela keselamatan sosial dan politik mereka. Islam sememangnya tidaklah menggalakkan peperangan melainkan terpaksa. Ianya juga merupakan tindakan untuk mempertahankan kebebasan agama dan menyekat ajaran sesat yang berleluala pada masa itu.Pada tahun ke 2 Hijrah Rasulullah s.a.w serta sahabat bersetuju mempertahankan Islam di luar kota Madinah. Tentera Islam seramai 313 orang telah keluar untuk menyekat rombongan pedagang Mekah yang sedang pulang dari Syam. Abu sufian yang mengetuai rombongan perdagangan Quraisy itu telah mengikut jalan lain untuk kembali ke Mekah dan sebuah bala tentera melebihi 1000 dan serba lengkap dengan peralatan perang telah datang untuk menentang tentera Islam. Kedua- dua pasukan telah sampai ke temapt bernama Badar pada 16 Ramadhan.Tentera Quraisy telah bertahan di tempat yang ada air sementara tentera Islam berkhemah di tempat yang lebih kering. Allah telah menunjukkan kekuasaannya dengan menurunkan hujan yang lebat. Ini menyebabkan tempat orang Islam mendapat air sementara , air di tempat musuh menjadi berlumpur dan tidak sesuai digunakan. Rasullullah s.a.w , bagaimanapun telah membenarkan orang Quraisy yang datang,mengambil air untuk kegunaan merekaPeperangan di Badar hanya berlanjutan untuk satu hari sahaja bermula dengan pertarungan perseorangan diikuti oleh peperangan terbuka. Seramai 70 orang Quraisy yang terdiri dari pahlawan handal dan pemimpin telah terkorban sementara 70 lagi menjadi tahanan perang. Hanya 14 orang Islam sahaja yang telah mati syahid tetapi Allah telah mengurniakan pahala syahid kepada kesemua mereka ynag telah mengambil bahagian dalam peperangan tersebut.Peperangan Badar merupakan satu kejayaan besar bagi umat Islam. Ianya telah menukar idoelogi Islam kepada sebuah negara Islam yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Peperangan Badar memberi pengajaran kepada kita bahawa melaksanakan sesuatu tugas dengan kepercayaan kepada Allah serta keyakinan pasti membawa kejayaan. Insya Allah

Sumber:

Monday, 8 September 2008

Jarak 2 marhalah

Soalan; Saya ingin bertanya; salah satu syarat melakukan solat jamak dan qasar ialah perjalanan melebihi 2 marhalah. Boleh ustaz terangkan berapakh jauhnya dlm km dan adakah 2 marhalah itu dikira utk perjalanan pergi-balik @ satu hala sahaja?Jawapan;Dua marhalah bersamaan empat Barid. Satu Barid bersamaan empat Farsakh. Satu Farsakh pula bersamaan tiga Mil. Jadi, dua marhalah bersamaan 48 Mil. Itu adalah ukuran lama. Adapun mengikut ukuran baru (yakni KM), menurut Dr. Muhammad Bakr Ismail dalam kitabnya al-Fiqh al-Wadhih; dua marhalah menyamai kira-kira 89 KM. Jarak dua marhalah itu di hitung secara sehala iaitu jarak perjalanan pergi dari rumah/kediaman ke tempat musafir, bukan berdasarkan jarak pergi dan balik (yakni dua hala).Wallahu a'lam.

Puasa Qadha dan Puasa Enam Syawal

Puasa qada Ramadhan dan puasa sunat enam yang mana niat qada ramadhan dahulu diikuti dengan puasa enam adalah harus diniatkan sekali. Namun jika mampu memisahkannya –yakni melakukan puasa secara berasingan- itu yang sebaik-baiknya. Apabila berlaku pertembungan antara puasa Qadha dan puasa enam, kita boleh memilih seperti berikut;

a) Yang terbaik ialah kita menyelesaikan dahulu puasa qadha, kemudian diiikuti dengan puasa enam.

b) Jika kita tidak mampu puasa kedua-dua sekali dalam bulan Syawal, harus kita mendahulukan puasa enam di bulan Syawal, adapun puasa Qadha kita lakukan pada bulan-bulan lain.

c) Jika kita tidak mampu berpuasa kedua-duanya secara berasingan, harus kita meniatkan kedua-duanya dalam satu puasa. Malah sebahagian ulamak berkata; jika seseorang berpuasa dengan niat qadha dalam bulan Syawal, otomatik akan dapat untuknya pahala puasa enam sekalipun tanpa ia meniatnya kerana yang diperkira ialah wujudnya sebarang puasa dalam bulan Syawal itu.

Susunan di atas adalah mengikut keutamaan. Yang paling utama ialah pilihan (a), diikuti (b) dan seterusnya (c).

Untuk info tentang puasa enam, sila layari; (http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-sunat-6-hari-syawal.html).Wallahu a’lam.

10 cara meraikan Ramadhan

Allah berfirman: Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas golongan sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah; 183)
RAMADAN yang dikenali sebagai syahrul barakah atau bulan berkat mempunyai pelbagai kelebihan.
Muslim yang mukmin hendaklah mengambil peluang Ramadan kali ini bagi meningkatkan ketakwaan agar puasa kita mencapai tahap puasa khawasil khawas (orang khusus).
Berikut disenaraikan 10 cara untuk meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak.
1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasik. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya, walaupun dia berlapar dan berdahaga. (riwayat Bukhari).
2. Menghidupkan malam dengan beribadat (qiamullail). Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Kata Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a.: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.
Rasulullah SAW juga bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau menggerakkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 dari surah Taha yang bermaksud: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.
3. Bersedekah. Rasulullah SAW adalah seorang yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan”. (riwayat Tirmizi).
4. Menjamu makanan. Golongan salaf as-soleh amat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain dan mendahulukannya daripada ibadat sunat yang lain. Kesan daripada jamuan makanan ini dapat menimbulkan kasih sayang dan persaudaraan.
Ia juga dapat memudahkan seseorang itu masuk ke syurga Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Wahai manusia, sebarkan salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat”. (riwayat Ahmad dan Tirmizi).
Baginda bersabda lagi di dalam hadis yang lain: “Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang yang berpuasa itu”. (riwayat Ahmad).
5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf as-soleh khatam al-Quran ketika mengerjakan qiamullail pada malam bulan Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamkannya seminggu sekali dan ada yang mengkhatamnya 10 hari sekali. Mereka juga sentiasa menangis ketika membaca al-Quran.
Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. membaca surah al-Mutaffifin. Apabila sampai kepada ayat ke-6 yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam, beliau menangis sehingga rebah dan tidak berdaya meneruskan bacaan berikutnya.
6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari. Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa apabila Rasulullah selesai menunaikan solat subuh, baginda akan terus duduk di tempat solat baginda sehingga terbit matahari.
Menurut sebuah hadis lagi, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah SWT sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna”. Kata Sheikh Nasiruddin al-Bani: Hadith ini sahih.
7. Iktikaf. Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Muhammad beriktikaf selama 10 hari di dalam bulan Ramadan. Pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.
8. Mengerjakan umrah. Rasulullah SAW pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. (riwayat Bukhari dan Muslim).
9. Mencari-cari Lailatul Qadar. Rasulullah SAW akan mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan dan menyuruh para sahabat mencari-cari malam tersebut. Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadan dengan harapan supaya dapat memperoleh Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan.
Ubay bin Ka‘ab berkata: Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah SAW iaitu matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup. (riwayat Muslim).
10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar. Sesungguhnya siang dan malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang sangat istimewa, maka rebutlah peluang tersebut dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab berdoa.
Antaranya, waktu berbuka, sepertiga malam yang terakhir, waktu sahur dan hari Jumaat. Oleh yang demikian, para salaf as-soleh amat prihatin dalam memantapkan amalan mereka dengan memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Esa.

Pengiraan Fidyah dan Qadha Puasa

Soalan; Saya kini berusia 29 tahun dan mendapat haid ketika berusia 9/10 tahun selama lebih kurang 7 hari sebulan dan sepanjang itu, saya tak pasti samada saya ada menqada puasa atau tidak dan saya mengagak saya mula menqada puasa ketika berumur 26 tahun. Oleh kerana tidak pasti, saya membuat pengiraan seperti berikut:-
9 - 27 = 19 tahun
19 tahun x 7hari sebulan = 133 hari
a) Adakah puasa yang saya qada akan berganda dan kalau berganda, berapakah jumlah hari yang harus saya qada?
b) Bagaimana untuk saya mengira fidyah dan jumlah fidyah yang dikenakan ke atas saya?
c) Bolehkan Ustaz menjelaskan secupak beras bersamaan berapa gram?

Jawapan;

1. Puasa yang perlu diganti tidak bertambah/berganda. Jadi, puan/saudari hanya perlu mengganti puasa sebanyak 133 hari sahaja (jika merujuk hitungan puan/saudari tersebut).

2. Mengenai fidyah, menurut jumhur ulamak (mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad); fidyah juga tidak berganda. Mengikut pandangan jumhur ulamak; puan/saudari hanya perlu mengeluarkan fidyah mengikut jumlah hari qadha (bagi puasa Ramadhan yang lalu) yang gagal puan/saudari laksanakan apabila masuk Ramadhan baru. Walaupun berkali-kali Ramadhan baru menjelang dan puasa lampau masih tidak diqadha, jumlah fidyah untuknya tidak bertambah sebagaimana juga puasa tadi. Merujuk kepada bilangan hari yang puan/saudari nyatakan itu, maka jumlah fidyah yang perlu puan/saudari keluarkan ialah 133 fidyah sahaja. Wallahu a’lam.

Namun menurut mazhab Imam Syafi’ie; jumlah fidyah menjadi berganda dengan bertambahnya Ramadhan yang dilampaui (tanpa melaksana qadha puasa untuk Ramadhan sebelumnya). Jadi berdasarkan pandangan mazhab Syafi’ie ini, mengikut perkiraan saya (wallahu a’lam); jumlah fidyah yang puan/saudari perlu keluarkan ialah 1330 fidyah. Wallahu a’lam.

Untuk tambahan, sila baca lebih lanjut tentang fidyah di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/fidyah-bagi-puasa-puasa-yang-lalu.html).

3. Kadar satu fidyah ialah secupak beras (menyamai ukuran hari ini; 650 gram beras). Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; harus dikeluarkan dengan wang senilai dengan harga beras itu. Malah beliau mengharuskan menunaikan fidyah itu dengan memberi makan orang miskin, yakni membuat makanan dan kemudian menjemput orang miskin menikmatinya. Memakai pandangan Imam Abu Hanifah ini, Syeikh 'Atiyah Saqar rhm (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar) menyebutkan; satu fidyah ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin dengan makanan yang mencukupinya untuk makanan pagi (ghada’) dan malam (asya’).