Friday, 29 May 2009

Mari jauhi perbuatan mengumpat

Alhamdulillah marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah kerana memberikan kesempatan pada kita untuk menghirup udara di alam yang fana’ ini. Kita masih lagi diberi kesempatan olehNya untuk melaksanakan ibadah dan mencari redhaNya. Mudah2an hari ini dan hari-hari mendatang hidup ini sentiasa dilimpahi rahmat dan kasih sayangNya.

Kali ini saya ingin kupas sedikit berkaitan dengan Ghibah (mengumpat/backbiting). Kadang-kadang kita merasakan bahwa kita sudah berusaha membebaskan diri dari makanan haram, seperti daging babi, alcohol dan lain-lain. Terutama apabila berada di negara luar, kita benar prihatin dengan ingredient bahan makanan yan kita beli. Tetapi kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa kita seolah sedang memakan daging bangkai saudara kita sendiri! Apa yang saya sebutkan ini bukanlah bermakna kita memakan bangkai saudara kita secara zahir tetapi ianya berlaku secara tidak disedari jika kita tidak berhati-hati menjaga lidah kita.

Mengapa saya berkata demikian? Marilah kita rujuk firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat 12, yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka , kerana sebagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”


Demikianlah Allah mengumpamakan antara mengumpat (ghibbah)dengan orang yang memakan daging bangkai saudaranya sendiri. Apakah ghibah itu? Nabi SAW bersabda: "Tahukah kamu apa ghibah itu? Jawab sahabat: Allahu warasuluhu a'lam (Allah dan Rasulullah yang lebih tahu). Lalu Nabi SAW bersabda: Menceritakan hal saudaramu yang ia tidak suka diceritakan pada orang lain. Lalu Sahabat bertanya: Bagaimana jika memang benar sedemikian keadaan saudaraku itu? Jawab Nabi SAW : "Jika benar yang kau ceritakan itu, maka itulah ghibah, tetapi jika tidak benar ceritamu itu, maka itu disebut buhtan (tuduhan palsu, fitnah) dan itu lebih besar dosanya".

Dalam surah Al Hujurat ayat 12 yang sebut tadi menegaskan bahawa berprasangka pun kita kena berwaspada, kerana sebagian dari prasangka adalah dosa. Dalam hal ini adalah prasangka yang buruk (su’udzon). Sebaliknya kita dianjurkan untuk selalu berkhusnudzon atau prasangka yang baik.

Ghibah mempunyai dosa yang berganda. Kerana selain kita harus memohon ampun kepada Allah, dan Allah maha pengampun atas dosa-dosa kita. Kita juga harus memohon maaf kepada orang yang diumpat tersebut. Ini yang terkadang menjadi sulit bagi diri kita. Apalagi jika yang diumpat itu jumlahnya banyak sekali, naudzubillahi min dzaalik.

Apakah kesan ghibah dalam masyarakat kita? Sudah tentu ianya mempunyai banyak impak ke atas ikatan ukhuwwah sesama manusia. Apabila ghibah berleluasa dalam masyarakat kita ianya akan menjadi punca kepada keruntuhan sistem kemasyarakatan. Seseorang yang suka memutar belitkan sesuatu cerita hingga merenggangkan atau menyebabkan pergaduhan atau salah faham juga dianggap berdosa kerana merosakkan silaturrahim. Orang yang suka cakap putar belit ini dipanggil sebagai al Qattat. Maka wahai saudara ku marilah kita berhati-hati agar kita tidak terjerumus sebagai lidah bercabang kerana perbuatan itu berdosa di sisi Allah. Disebabkan adanya manusia jenis al Qattat inilah yang menyebabkan runtuhnya sistem usrah atau persahabatan. Yang paling bahaya manusia jenis al Qattat ini memang ada di mana-mana corok dunia. Justeru, marilah kita berwaspada agar diri kita tidak termasuk dalam golongan ini.

Apakah ghibah 100% haram?

Ada beberapa situasi yang membolehkan kita melakukan ghibah:

1. Orang yang teraniaya boleh menceritakan dan mengadukan kezaliman orang yang menzaliminya kepada seorang penguasa atau hakim atau kepada orang yang berkuasa memutuskan suatu perkara dalam rangka menuntut haknya.

2. Meminta bantuan untuk menyingkirkan kemungkaran dan agar orang yang berbuat maksiat kembali ke jalan yang benar. Malah ia merupakan kewajiban manusia untuk ber-amar ma'ruf nahi munkar. Setiap muslim harus saling bantu membantu menegakkan kebenaran dan meluruskan jalan orang-orang yang menyimpang dari hukum-hukum Allah, hingga nyata garis perbedaan antara yang haq dan yang bathil.

3. Istifta' (meminta fatwa) akan sesuatu hal. Walaupun kita diperbolehkan menceritakan keburukan seseorang untuk meminta fatwa.

4. Memperingatkan kaum muslimin dari beberapa kejahatan. Misalnya: menegur sahabat agar menutup aurat. (Note: memberi nasihat ni kadang2 jadi payah esp dalam masyarakat kita kerana org yg dinasihati itu menganggap kita menjaga tepi kain walhal kita hendak beri nasihat. "jaga tepi kain orang" dibolehkan selagi tujuannya untuk nasihat dan kebaikan bukannya untuk memburukkan orang)

5. Menceritakan kepada khalayak tentang seseorang yang berbuat fasik atau bid'ah seperti, minum-minuman keras, melakukan zina, melakukan maksiat atau perkara-perkara bathil lainnya. Tapi awas ketika menceritakan keburukan itu jangan pula tambah perencah untuk menyedapkan rasa tetapi tetapkan niat kita dalam melakukan hal itu hanya untuk kebaikan.

Sekadar renungan bersama agar tidak terjebak dengan perbuatan mengumpat. Sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar dapat menjaga lidah dan hati kita. ameen.

Monday, 25 May 2009

PhD vs Ibadah

Agak lama saya tidak dapat update blog ini. Memang berhajat untuk update sekurang-kurang sekali dalam seminggu tetapi keadaan dan masa yang tidak mengizinkan. Hari ini saya kuatkan juga untuk menulis sesuatu di dalam blog ini. Kenapa saya tidak sempat untuk update? kerana sekarang ini prioriti utama saya untuk siapkan penulisan dissertation saya. Saya sebenarnya telah menetapkan tempoh selama 3 tahun untuk siapkan dissertation ini. Namun, sebagai manusia kita hanya mampu merancang, Allah jua penentu yang terbaik ke atas setiap perjalanan hidup ini. Tetapi perancangan Allah itu mempunyai pelbagai hikmah yang tersendiri yang perlu kita teliti agar dapat memahami apakah yang tersirat di sebaliknya. Sebagai manusia yang lemah saya hanya mampu berdoa dan terus berdoa agar segala yang ditentukan ke atas diri ini membimbing diri untuk terus dekat padaNya. 'Ya Allah..lindungilah hambaMu ini dan dekatkanlah hambaMu ini kepada makrifahMu Ya Allah. Sesungguhnya PHD ini bukanlah matlamat hidupku selain ingin menjadikan ia sebagai wadah untuk terus dekatkan diri padaMu Ya Allah. Maka jadikanlah ketentuanMu ke atas hambaMu ini sebagai ketentuan yang baik untuk di dunia dan akhirat'.

Sepanjang perjalanan menyiapkan PhD ini, terlalu banyak rintangan yang mendatang. Justeru, ianya memerlukan kekuatan dalaman untuk terus bersemangat berhadapan dengan rintangan tersebut. Sebagai seorang muslim, kekuatan dalaman itu adalah sejauhmana kuatnya ikatan kita dengan Allah SWT. Kerana Dialah penolong yang paling hakiki ke atas hambaNya. Tetapi manusia memang lemah..kadang-kadang bila terlalu sibuk dengan urusan untuk menyiapkan Phd sehingga lewat malam, amalan pun semakin berkurangan. Hati ini merintih, kenapa itu berlaku? Walhal matlamatku hanyalah untuk Allah dan Rasul bukannya untuk kepentingan diri. "Ya Allah, pimpinlah hati ini agar aku terus dekat denganMu walaupun sibuk dengan hal-hal dunia.". wahai diri...jadikanlah perjalanan PhD ini sebagai satu tamrin untuk mendidik hati agar terus taqarub dengan Allah.

Terasa di hati ini, apabila usia meningkat momentum beribadah pun semakin kurang. Kenapa? mungkinkah dosa semakin banyak menyebabkan hati semakin keras untuk melaksanakan amalan-amalan harian? Dulu, sewaktu di pengajian sarjana muda amat mudah untuk bangun malam, bertahajud pada Allah. Tetapi, kini amalan ini sungguh berat.. "Ya Allah berikanlah kekuatan pada hambaMu ini". Moga hati ini sentiasa diberikan kekuatan untuk mendekatkan diri padaMu walaupun sibuk dengan urusan Phd.

Saya tidak mahu tertekan dengan kepayahan dalam menyiapkan Phd, tetapi saya ingin hati ini tertekan apabila tidak dapat mendekatkan diri padaMu Ya Allah. Apalah makna pada segulung sijil Phd kiranya diri ini tidak dikasihi Allah. Kematian pun akan memanggil kita bila-bila masa. Perjalanan kita ke akhirat lah yang paling aula dalam hidup ini. Diri ini takut dengan azab kubur dan azab neraka mu Ya Allah. Maka, luruskan hati ini kejalan yang benar!. Jadikanlah hidup ini agar sentiasa berpaksi pada iman dan taqwa dalam segala urusan termasuklah PhD ini.

Saturday, 9 May 2009

Taubat

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan."

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.

Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.

Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali."

Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu.

Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap.

Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'.

Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."

Ia bermaksud: "Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat.

Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya.

Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi.

Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu."

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.

Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan.

Sumber: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat